Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017]



Thursday, 24 September 2009

Ulangtahun ke 40 Tahun OIC

Salam Sejarah. Pada hari ini, bersamaan tarikh 25 September 2009, maka genaplah 40 tahun penubuhan Pertubuhan Persidangan Islam atau lebih dikenali dengan OIC. Jika ingin dibuat perbandingan dengan seorang dewasa seusia 40 tahun, seharusnya OIC perlu lebih matang dan proaktif dalam setiap tindakan dan gerak kerjanya demi kebaikan umat Islam seantero dunia.

Berikut adalah sedikit info tentang OIC untuk dikongsikan bersama:-

Latar Belakang

Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ditubuhkan pada 25 September 1969 (12 Rejab 1389H) bersempena Persidangan Dunia Islam pertama di Rabat, ibu negara Maghribi ketika memuncaknya serangan ganas terhadap Masjid Al-Aqsa oleh puak Zionis. Tindakan biadab puak Zionis itu mendorong para pemimpin Islam menubuhkan sebuah pertubuhan antarabangsa bagi memperjuangkan kepentingan umat Islam dalam segenap bidang di seluruh dunia.

Objektif

Objektif OIC adalah seperti berikut:
1-Memupuk perpaduan di kalangan negara anggota;
2- Menyelaras kerjasama di kalangan negara anggota dalam bidang ekonomi, sosial, budaya, saintifik dan pelbagai bidang lain yang dianggap penting serta mengatur perundingan di kalangan mereka dalam pertubuhan antarabangsa;
3- Berusaha menghapuskan perbezaan kaum, penindasan dan penjajahan dalam sebarang bentuk;
4- Mengambil langkah perlu bagi menyokong usaha kea rah melahirkan keamanan dan keselamatan berasaskan keadilan;
5- Meningkatkan perjuangan umat Islam bagi memelihara maruah, kemerdekaan dan hak mereka; dan
6- Mewujudkan suasana yang mendorong lahirnya kerjasama dan kesefahaman di kalangan negara anggota dan dengan negara lain.


Keanggotaan

OIC kini mempunyai 57 anggota iaitu: Afghanistan, Albania, Algeria, Azerbaijan, Bahrain, Bangladesh, Benin, Bosnia and Herzegovia, Brunei, Burkina Faso, Cameroon, Chad, Comoros, Djibouti, Mesir, Gabon, Gambia, Guinea, Guinea Bissau, Indonesia, Iran, Iraq, Jordan, Kuawait, Kyrghstan, Lebanon, Libya, MALAYSIA, Maldives, Mali, Mairitania, Maghribi, Mozambique, Niger, Nigeria, Oman, Pakistan, Palestine, Qatar, Arab Saudi, Senegal, Sierra Leone, Somalia, Sudan, Surinam, Syria, Tajikstan, Tunisia, Turkmenistan, Turki(PENGERUSI), Uganda, Emiriah Arab Bersatu (UAE) Uzbekistan dan Yaman.

Struktur Institusi

Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mempunyai tiga badan utama :
- Pembuat dasar iaitu Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara Kerajaan OIC
- Persidangan Menteri-menteri Luar OIC
- Sekretariat OIC.


Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara dan Kerajaan OIC

Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara dan Kerajaan OIC merupakan badan pembuat keputusan tertinggi bagi OIC. Sidang kemuncak ini menjadi forum bagi para pemimpin dunia Islam menilai perkembangan yang berlaku di negara-negara Islam serta di peringkat antarabangsa menurut perspektif Islam. Ia juga merupakan forum tertinggi bagi OIC untuk mengatur strategi bagi melaksanakan dasar serta tindakan ke arah mencapai matlamat yang ditetapkan.

Persidangan Menteri-menteri Luar OIC

Badan pembuat keputusan kedua tertinggi bagi pertubuhan ini ialah Persidangan Menteri Luar OIC . Pada mesyuarat ini, para menteri luar negara anggota akan membincangkan keadaan sosio ekonomi di dunia Islam serta hubungan ekonomi antara negara-negara Islam dan negara bukan Islam. Mereka juga membuat penilaian terhadap institusi Islam yang ditubuhkan bagi meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan di kalangan negara anggota, di samping meluluskan pelan tindakan bersama ke arah memajukan dan meningkatkan taraf hidup penduduk di negara anggota.

Sekretariat

Sekretariat OIC yang berpejabat di Jeddah merupakan komponen institusi ketiga dalam OIC. Ia diketuai seorang setiausaha agung yang pilih empat tahun sekali oleh Persidangan Menteri-menteri Luar OIC. Sekretariat OIC bertanggungjawab melaksanakan semua keputusan yang dibuat oleh Persidangan Islam.

Negara-Negara/Pertubuhan-Pertubuhan Pemerhati OIC

1. Bosnia Herzegovina (Tahun sertai: 1994)
2. Afrika Tengah (1997)
3. Thailand (1998)
4. Rusia (2005)
5. Turkish Cypriot State (1979)


PERTUBUHAN/ORGANISASI MUSLIM
6. Moro National Liberation Front (1997)


INSTITUSI-INSTITUSI ISLAM
7. Parliamentary Union of the OIC Member States (PUOICM) - 2000
8. Islamic Conference Youth Forum for Dialogue and Cooperation ( ICYFDC) - 2005

ORGANISASI-ORGANISASI ANTARABANGSA
9. United Nations (UN) - 1976
10. Non-Aligned Movement (NAM) - 1977
11. League of ARAB STATES (LAS) - 1975
12. The African Union (AU) - 1977
13. Economic Cooperation Organization (ECO) - 1995


Peranan Malaysia Dalam OIC ?

1.Tunku Abdul Rahman dipilih sebagai Setiausaha Agung OIC yang pertama
2.Malaysia menjadi perantara dalam menyelesaikan peperangan Iran-Iraq
3.Memberi sokongan kepada rakyat Palestin mendapatkan semula tanah air
4.Menjadi tuan rumah persidangan OIC pada 1974 dan 2003
5.Menganjurkan persidangan menentang pengganas di kalangan negara Islam pada 2002
6.Menawarkan biasiswa kepada pelajar dari negara OIC yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
7.Mengesyorkan penggunaan dinar emas di kalangan negara Islam dalam urusan perdagangan

Faedah - Faedah Yang Dinikmati Oleh Malaysia Sebagai Anggota OIC

1.Mendapat pinjaman daripada Bank Pembangunan Islam bagi melaksanakan projek untuk rakyat
2. Mendapat bantuan untuk menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
3. Mendapat penghormatan negara anggota lain kerana serius dalam memperjuangkan hak dan kebajikan negara Islam
4.Ketokohan pemimpin Malaysia terserlah melalui dasar Malaysia yang mengutamakan keamanan dan kesejahteraan.


Sumber: http://www.oic-oci.org/home.asp

Mutakhir: Isu Tarian Pendet

BANDUNG: Isu tuduhan kononnya Malaysia mengambil tarian Pendet dan Pulau Jemur Indonesia untuk tujuan promosi pelancongan, yang terbukti tidak berasas dan sama sekali tidak tepat, telah dianggap selesai dengan penjelasan bukan saja oleh kerajaan Malaysia tetapi juga oleh pemerintah Indonesia sendiri.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Indonesia Raja Reza Raja Zaib Shah berkata dengan itu, hampir 6,000 pelajar Malaysia di 13 kampus terakreditasi di seluruh negara 17,000 buah pulau ini tidak lagi perlu khuatir atau terbawa-bawa dengan sentimen antiMalaysia sekalipun terus dipancing oleh media massa Indonesia.

"Bagi kita dan untuk semua pelajar di sini, kedua-dua isu ini sudah kita tutup buku sepenuhnya dan tidak perlu dilayani lagi.

"Ini kerana tuduhan-tuduhan itu tidak benar lantaran Malaysia tidak pernah mendakwa tarian Pendet yang berasal dari Bali milik kita," katanya pada sambutan Aidilfitri dengan lebih 200 pelajar perubatan Universiti Padjajaran di sini, malam tadi.

Katanya dalam kes Pulau Jemur pula seperti dijelaskan oleh Menteri Luar Indonesia Hassan Wirajuda dan juga Menteri Luar Malaysia Datuk Anifah Aman, terdapat tiga pulau bernama Pulau Jemur, termasuk satu milik Malaysia di perairan Selangor, yang menggunakan nama yang sama.

Beliau berkata seperti dijelaskan oleh Hassan pada sidang media bersama dengan Anifah di Jakarta pada Khamis lepas, media massa Indonesia terbukti tidak memeriksa terlebih dahulu fakta dan kebenaran sebelum menuliskan beritaberita berkaitan yang mengakibatkan tercetusnya rasa antiMalaysia di kalangan segelintir rakyat tempatan.

Sehubungan itu, Raja Reza yang juga Ketua Canseri di kedutaan, menasihatkan para pelajar supaya menumpukan perhatian penuh kepada pelajaran dan hidup bermasyarakat dengan baik bukan saja sebagai duta kecil Malaysia tetapi juga wakil persahabatan Malaysia dengan Indonesia.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar pula berkata para pelajar Malaysia setakat ini telah menunjukkan tahap kematangan yang tinggi apabila mereka tidak memberi reaksi keras terhadap laporan negatif media massa Indonesia, sebaliknya menerimanya dengan tenang sambil memberi penjelasan kepada rakan-rakan sekuliah.

"Majoriti rakyat Indonesia yang rasional memandang tinggi ketenangan rakyat Malaysia dalam menghadapi tuduhan-tuduhan itu yang akhirnya ternyata tidak benar. Namun, seperti yang dijelaskan oleh Anifah, semua pihak pun hairan apa tujuan media massa tempatan tidak mahu menerima penjelasan dan fakta yang tepat," katanya.

Pada majlis itu, para pelajar Malaysia khususnya pelajar tahun pertama, mengadakan pelbagai pertunjukan kebudayaan dengan rakanrakan berbilang kaum yang turut memeriahkan sambutan hari raya. Sumber: BERNAMA

Sila baca juga artikel-artikel di bawah:

1) 'Tarian Pendet' Bukan Lagi Isu, Kata Muhyiddin
2) Anifah Pelik Media Indonesia Enggan Terima Penjelasan Tarian Pendet

Tuesday, 22 September 2009

Hari Malaysia

Menurut Sumber Wikipedia:

" Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 September 1973 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat referendum di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah dan Sarawak. Ia bukan merupakan cuti am di Semenanjung Malaysia. "

KD Tunku Abdul Rahman


Kapal Selam Scorpene pertama negara, Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman yang diterima secara rasmi daripada pengarah projek Scopene di Toulon Perancis pada 24 Jan lepas,berlabuh di Pangkalan KD Sultan Abdul Aziz Shah, Pulau Indah, Klang dan disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, dalam satu upacara khas sebelum meneruskan pelayaran ke pangkalan TLDM Lumut. Foto: Klang. September 3, 2009.

Sila baca juga artikel-artikel di bawah:
1.
Scorpene kapal selam digeruni musuh
2. Cabaran bertugas dalam 'tiub besi'
3. KD Tunku Abdul Rahman, its official
4. KD Tunku Abdul Rahman In Full Operation Middle October
5. Kapal selam pertama negara selamat tiba

Salam Aidilfitri 1430H

Sunday, 13 September 2009

Tinta Strategis: Dunia Pasca 11 September (911) - Siri 1

Peristiwa 11 September yang telah sekian lama dilobi Amerika atas premis ‘War on Terror’nya telah memberikan impak yang besar kepada satu tahap perubahan yang dialami dunia hari ini.

Dalam memahami perubahan ini, ternyata ada beberapa persoalan yang perlu kita teliti dan analisa yang mana ianya sentiasa melingkari paradigma kita memahami apa yang terjadi sebenarnya.

Dalam Siri 1 ini, penulis sekadar membicarakan tiga persoalan utama untuk kita membuka minda dan renung-renungkan bersama:

Pertama. Sebaik berlakunya serangan pengganas ke atas WTC dan Pentagon, kita melihat satu arah aliran pergerakan yang sangat cepat baik dari sudut menghulurkan simpati, menzahirkan kemarahan dan usaha menjelaskan pendirian dari seluruh juzu’ dunia.

Adakah perkara yang sama akan berlaku kepada media massa global, kuasa-kuasa besar dunia andai perkara yang sama berlaku di negara dunia ketiga yang mangsa dan kemusnahannya lebih besar berbanding di WTC?, Atau apakah akan wujud satu keputusan bersama di peringkat antarabangsa bahawa terdapat ancaman pengganas dan keganasan antarabangsa berlaku jika ia wujud di bahagian dunia yang lebih miskin dan terpinggir?

Kedua. Serangan ‘pengganas’ ke atas WTC, telah menyebabkan kita mula memikirkan dan mencari definasi baru kepada istilah seperti “Perang”, “Tamadun” dan “Orde Baru Antarabangsa”. Apakah ‘the real wisdom’ di sebalik peristiwa 11 September sehingga melahirkan satu pakatan ketenteraan, jalinan perisikan dan kerjasama sekuriti terbesar dalam sejarah kemanusiaan dan peradaban manusia demi satu matlamat – “War on Terror”, atau apakah nilai universal tamadun yang cuba dijustifikasikan dalam menentukan kepada pengarahan aliran tamadun yang satu sehingga memerlukan kepada satu instrumen susun reka kembali (restructured) dasar-dasar globalisasi yang mewujudkan ‘International New Order’?

Ketiga. Isu 911 juga bukan hanya menuntut kita melihat entiti perang dan aspek ketamadunan semata-mata, malah lebih daripada itu ialah kefahaman mendalam ketidaksedaran dan kejanggalan aliran politik kita yang terlalu ideal. Justeru, sebaik berlaku tragedi 911, baik ahli politik, journalis, ahli akademik sehinggalah kepada warga dunia seluruhnya masih lagi dibelenggu oleh satu paradigma, ‘The Other’.

Kita acapkali merujuk isu 911 sebagai bukti pertembungan tamadun (Clash of Civilizations) kepada membalas serangan ‘Crusades’. Tidak kurang juga yang mengaitkan isu ini dengan peperangan antara ‘Baik’ dan ‘Jahat’ (Good and Evil). Adakah kita berada dalam catatan sejarah untuk meraikan “End of History”, atau berada di persimpangan yang genting untuk keluar daripada perangkap pemikiran dan idea politik stereotaip “Clash of Civilizations”?

Isu-Isu Utama Pasca 11 September

1. Unipolar World (Tamadun Barat)

Menurut Quigley, akan wujud hanya satu kuasa besar sahaja (U.S & Europe) yang mana di sana wujud gejala-gejala baru seperti penguasaan ke atas ekonomi global, kemajuan pesat bidang ICT dsb.

Kewujudan satu kuasa yang cuba mempengaruhi geopolitik dunia dan berusaha pula membentuk lingkaran pengaruh dan kuasa ke atas kuasa-kuasa yang tidak setandingnya. Sebagai contoh, usaha Amerika untuk mewujudkan ‘Pax Americana’.

Bagi Quigley, walaupun kerajaan ini nampak gagah pada zahirnya, akan tetapi disebabkan bercambahnya gejala-gejala buruk yang berlaku akan menyebabkan berlaku kelemahan dalaman yang parah. Ini akan terus berlarutan, melainkan ada penemuan mekanisme ‘instrumen expansion’ yang baru.(Quigley, Caroll: The Evolution of Civilizations)

Justeru, ramai penganalisis beranggapan usaha pencerobohan Amerika secara ‘unilateral’ ke atas Iraq, bakal menemukan Amerika dengan asas perkembangan baru perluasannya bila menguasai simpanan kedua terbesar minyak dunia selepas Arab Saudi.

Bersambung....

Sunday, 6 September 2009

Menghayati Makna, Hikmah Peristiwa Nuzul Al-Quran

Salam Sejarah buat para pengunjung Sejarah2u yang dimuliakan. Selamat bercuti buat warga Selangor atau sesiapa yang bekerja dan tinggal di negeri Selangor kerana hari ini merupakan hari cuti umum negeri sempena satu peristiwa besar dalam sejarah Islam iaitu peristiwa Nuzul Al-Qur'an atau hari diturunkan kitab Al-Qur'an oleh Allah swt kepada nabi besar junjungan kita iatu Nabi Muhammad Saw.

Biarpun ramai pengkaji berselisih pendapat tarikh sebenar turunnya kitab suci al-Quran, namun mereka bersepakat mencatat peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan. Perkataan 'nuzul' bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jenayah, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya.

Firman Allah SWT: "Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)." (Al-An'am:38)

Nuzul al-Quran suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai 'kitab induk' panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Bukan setakat membaca, bahkan kita harus berusaha menyelidiki rahsia ilmu pengetahuan di dalamnya. Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah Nabi SAW, ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada surah Al-'Alaq. maksudnya: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (al-'Alaq:1-5)

Nabi SAW banyak membaca al-Quran dalam bulan Ramadan. Maknanya Nabi juga belajar secara berguru iaitu dengan Jibril dan umatnya juga dituntut belajar dengan berguru. Nabi Muhammad juga mengulang-ulangi bacaan al-Quran begitu juga dengan para sahabat. Nabi bersabda maksudnya: "Semulia-mulia umatku ialah orang yang menghafaz al-Quran."

Antara faedah membaca al-Quran adalah;

- Mampu mengusir bisikan syaitan terkutuk;
- Menjadi penyebab meraih keredaan Allah SWT;
- Memperoleh pahala yang banyak;
- Membahagiakan rakan seperjuangan;
- Menghapus kesalahan dan dosa;
- Menjadikan wajah (pembaca al-Quran) berseri-seri;
- Melapangkan hati dan fikiran, menjernihkan sanubari;
- Melahirkan ketenteraman dalaman antara seorang hamba dengan Allah SWT;
- Memelihara umur manusia;
- Merangsang seorang hamba untuk terus melakukan kebaikan dalam hidup yang sementara;
- Mengembali, menjernihkan hati kepada Allah untuk meningkatkan kualiti hubungan dengan-Nya.

Saturday, 5 September 2009

Bukhara: Kota Tamadun Islam

Unggul sebagai pusat perdagangan dan perkembangan ilmu

TERLETAK di laluan sutera antara China dan Barat, Bukhara mengikut sejarahnya sudah sekian lama menjadi pusat perdagangan, akademik, kebudayaan dan keagamaan.

Dikenali juga sebagai Buhe atau Puhe dalam bahasa China Tang, ada sumber yang berhujah nama Bukhara mungkin berasal daripada bahasa Tajik Soghdian yang bermaksud Bumi Bertuah.

Namun ada juga sumber mendakwa asal usul nama wilayah itu daripada perkataan Sanskrit, iaitu Vihara atau kuil berlandaskan kepercayaan yang mengaitkannya dengan agama Buddha sebelum kedatangan Islam ke wilayah itu.

Ada juga mendakwa asal nama wilayah ini adalah daripada bahasa Mongol iaitu Bukhar yang membawa maksud lautan ilmu.

Bukhara ialah bandar oasis purba yang sejak berkurun lama unggul sebagai pusat perdagangan dan perkembangan ilmu Islam sehingga digelar Bukhori-i-Sharif atau Bukhori Yang Suci.

Pasukan tentera Islam pertama menjejakkan kaki di Bukhara ialah pada 674 Masihi di bawah pimpinan Ubaidillah bin Ziyad, tetapi pengaruh Islam benar-benar mendominasi wilayah itu pada 710 Masihi di bawah pimpinan Qutaiba bin Muslim.

Seabad selepas berlaku Perang Talas, Islam mulai mengukuh di wilayah ini dan pada 850 Masihi, Bukhara menjadi ibu kota Dinasti Samanid yang menghidupkan kembali bahasa dan budaya Iran di situ.

Sepanjang 150 tahun berkuasa, Dinasti Samanid bukan setakat menjadikan Bukhara sebagai pusat pemerintahan, tetapi juga pusat perdagangan yang menemukan pedagang dari Asia Barat dan Cina.

Kota itu kian berkembang dengan penghasilan kain sutera, tenunan kain kapas, permaidani, produk tembaga dan perhiasan dari emas serta perak, terkenal dengan buah-buahan serta menjadi pusat intelektual dunia Islam.

Ada berpuluh monumen purba yang menjadi saksi akan kehebatan tamadun bandar itu, khususnya selepas bertapaknya Islam di wilayah berkenaan.

Menempatkan tinggalan sejarah dan seni bina mengagumkan, bandar ini antara segelintir tempat di Asia Tengah yang membolehkan seseorang itu merasai kehidupan tradisional rantau berkenaan.

Selepas dikuasai Arab, Bukhara ditawan puak Qarakhanid dan Tatar, manakala pada 1555, kota ini menjadi ibu negeri Uzbekistan sebelum ditawan pula Russia pada 1866.

Pada 1991, Uzbekistan mencapai kemerdekaan daripada Soviet Union dan serentak itu semakin bercambahlah madrasah di Bukhara.

Bagi umat Islam, kota ini pasti mengingatkan kita kepada Imam al-Bukhari yang dilahirkan dengan nama Abu Abdullah Muhammad bin Ismail Al Bukhari pada 13 Syawal 194 Hijrah atau 21 Julai 810.

Menjadi yatim sejak kecil, Imam al-Bukhari amat bijaksana dan mempunyai daya ingatan luar biasa kerana mampu menghafal hadis ketika berusia 10 tahun sehingga mendapat jolokan Amirul Mukminin fil Hadis.

Diceritakan, beliau yang turut menguasai ilmu tafsir dan fikah dengan baik menjadi mangsa fitnah dan diusir daripada tanah kelahirannya sehingga wafat di Khartang berdekatan Samarkand ketika berusia 62 tahun.

Pada era kegemilangannya, Bukhara adalah pusat tamadun Islam terbesar dan paling berpengaruh serta tempat lahirnya cendekiawan Islam terkemuka selain Imam al-Bukhari, iaitu Ibnu Sinna, al-Tarmizi dan ramai lagi.

Bandar ini juga terkenal dengan monumen bersejarah seperti Kubu Kota Ark, Madrasah Mir-i Arab, Chor Minar, Menara Kalyan atau disebut juga Menara Kolon serta Masjid Jumaat.


Kubu Kota Ark yang dikelilingi tembok setinggi 30 meter, dikatakan dibina pada kurun pertama dan pernah menjadi kediaman pemimpin Bukhara, tetapi hampir musnah apabila diserang dan dibom tentera Soviet pada 1920.

Selepas peperangan, kerja pemulihan kota serta kawasan kubu dilakukan dan kini dijadikan muzium, sekali gus membuka pintu rezeki buat penduduk tempatan yang menjual pelbagai jenis cenderahati.

Minaret Kalyan yang berusia 900 tahun setinggi 46 meter pula menjadi struktur paling menonjol selepas Kubu Kota Ark dengan keunikan reka bentuknya yang tersendiri.

Satu masa dulu, ia pernah berfungsi sebagai menara tinjau bagi mengawal keselamatan Bukhara dan turut menempatkan rumah api untuk memandu pedagang di Laluan Sutera.

Menara yang dibina pada 1127 ini dipenuhi ukiran ayat suci al-Quran dan mempunyai 14 lapisan lukisan geometri Islam, kekal utuh hingga kini yang dikatakan hasil campuran tanah liat dan susu unta dalam bahan binaannya.

Sumber: Berita Harian Online