Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017]



Monday, 31 May 2010

Dunia Jadi Saksi Kekejaman Zionis Yahudi di Perairan Antarabangsa

PERBUATAN jijik dan amat memalukan yang dilakukan oleh rejim Israel pada hari ini (31 Mei) dengan mengarahkan komando tentera lautnya menyerang kapal misi kemanusiaan Lifeline for Gaza (LL4G) “MV Mavi Marmara” sehingga mengakibatkan 20 orang terbunuh dan puluhan lagi penumpang yang tidak bersenjata cedera terkena tembakan telah menzahirkan betapa kejam dan ganasnya rejim Israel yang terkutuk itu.

HALUAN Malaysia selaku ketua NGO delegasi Malaysia ke LL4G dengan ini mengajak seluruh lapisan masyarakat, tidak kira kaum ataupun agama, agar segera mengutuk dan mencela Israel atas sikap kurang ajar mereka ke atas pelayaran damai (Freedom Flotilla) yang membawa barangan keperluan hidup harian kepada penduduk Gaza yang semakin terhimpit dek tekanan ketenteraan, ekonomi dan kemanusiaan oleh rejim Israel di bawah pemimpin-pemimpin mereka yang mendapat dokongan kuat Amerika Syarikat dan Britain.


“Kami ingin menegaskan bahawa penindasan Israel ke atas rakyat Palestin dan kini pembunuhan terbuka di atas kapal penumpang “MV Mavi Marmara” dengan penggunaan peluru hidup ke atas penumpang yang sedang tidur telah menzahirkan sikap ganas Israel yang jelas menyalahi undang-undang antarabangsa dari segi hak asasi kemanusiaan mahupun undang-undang maritim antarabangsa yang menegaskan bahawa tiada suatu negara pun berhak bertindak sewenang-wenangnya di perairan antarabangsa.

Jelaslah Israel telah bertindak ala samseng dunia. Kini satu dunia mengutuk Israel dan konco-konconya,” tegas Prof. Madya Dr. Abdullah Sudin Abdul Rahman, Presiden HALUAN Malaysia.


“Kami ingin menegaskan bahawa seluruh penduduk dunia yang diwakili oleh para sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama dari lebih 50 buah negara yang berada di atas kapal tersebut itu, mengutuk sikap Apartheid yang ditunjukkan Israel itu sebagai satu tindakan yang amat kejam.

Israel telah sedar bahawa modus operandinya selama ini untuk decimate ataupun meluluhkan bilangan rakyat sah warga Palestin daripada tanah tumpah darah mereka sendiri sebagai suatu tindakan bangsa yang bangkrap adab, akhlak, idea dan tamadun.

Israel sudah tahu bahawa sudah ada gerakan antarabangsa yang kini sedang menjadi arus penentangan ke atas polisi luarnya yang amat menindas dan amat tidak berperikemanusiaan. Dakwaan mereka sebagai negara “underdog” yang dikepungi negara-negara Islam sudahpun lapuk dan kini Israel mahu mempamerkan yang ia mampu berlagak samseng di mata dunia untuk melangsungkan agenda kejinya itu.

Ketahuilah, bahawa warga dunia tidak akan berpeluk tubuh terhadap sikap 'Apartheid' Israel itu. Dunia TIDAK akan memaafkan Israel,” ujarnya lagi.


Pada bulan April yang lepas, Dr Abdullah Sudin Abd Rahman menegaskan di dalam suatu sidang akhbar bahawa penglibatan HALUAN di dalam misi LL4G ini adalah untuk “expose to the public the crimes which is being inflicted by the Zionist Israel regime and its allies upon the citizens of Gaza and the Palestinian Nation as a whole”.

Kini, buktinya telahpun jelas lagi nyata. Rejim Israel mengisytiharkan bahawa permusuhan mereka bukan hanya kepada orang Islam tetapi semua bangsa dan agama yang menentang agenda zionisnya. Sebab itulah tanpa rasa malu mereka telah memusnahkan masjid, gereja, hospital, sekolah, universiti, kompleks pentadbiran, stesen janakuasa elektrik, tadahan air minuman dan semua yang diperlukan untuk kelangsungan hidup.


Rejim ganas ini PERLU disekat oleh kita semua, rakyat Malaysia.

HALUAN dengan ini menegaskan bahawa kami melalui gabungan semua NGO dan badan-badan lain yang menentang sikap degil dan kejam Zionis Israel akan “Bersatu Untuk Palestin”.

Kami menyeru semua lapisan rakyat Malaysia agar menulis surat atau emel kepada Duta Besar Amerika, Britain dan Mesir di Malaysia untuk menyatakan solidariti kita menentang sikap mereka yang menyokong bangsa dan negara Israel yang terang-terangan amat keji itu.


Akhirnya kami memohon dan merayu kepada seluruh rakyat Malaysia supaya berdoa dan bermunajat kepada Allah agar menyelamatkan semua sukarelawan yang menyertai LL4G dan menghancurkan Israel laknatullah.

Sumber: Haluan Malaysia

Sunday, 16 May 2010

Peristiwa Nakbah: Pedulikah Kita?

GAZA CITY 15 Mei - Rakyat Palestin semalam memperingati hari ulang tahun ke-62 peristiwa Naqba atau 'malapetaka' berpunca daripada penubuhan negara Israel, dan menuntut hak bagi beratus ribu penduduk Palestin yang diusir dari kampung halaman mereka untuk kembali ke tanah air mereka yang dirampas Israel.

Tunjuk perasaan dilancarkan di Genting Gaza yang diperintah oleh Hamas dan di Lebanon, negara yang menempatkan kira-kira 400,000 pelarian Palestin.

Ketua perunding damai Palestin, Saeb Erakat membidas Israel kerana 'tidak menghiraukan undang-undang antarabangsa'.

Kira-kira 3,000 penduduk mengadakan tunjuk perasaan di kem pelarian Jabaliya di Gaza dalam protes anjuran Hamas, sementara bilangan yang sama menyertai demonstrasi anjuran Jihad Islam di kem pelarian Nuseirat.

"Kita tidak akan melepaskan hak pelarian untuk pulang ke pekan dan kampung asal mereka," kata seorang pemimpin Hamas, Muin Mderes kepada orang ramai di Jabaliya. Beliau menggesa semua pejuang Palestin bersatu menentang Israel.

Kerajaan Israel enggan membenarkan pelarian Palestin atau keturunan mereka pulang ke kampung halaman mereka yang ditinggalkan pada 1948 selepas penubuhan negara Israel kerana khuatir kepulangan besar-besaran mereka akan mengancam negara Israel serta 5.7 juta penduduk Yahudi.

Pemimpin Jihad Islam, Mohammed al-Hindi menyeru 'seluruh penduduk Palestin, Arab dan Islam supaya menyokong jihad dan perjuangan menentang Israel dan bersiap sedia untuk menghadapi pertempuran dengan musuh'.

Kanak-kanak yang turut menyertai protes di Gaza membawa anak kunci ke rumah-rumah yang ditinggalkan oleh datuk nenek mereka berikutan penubuhan Israel.

Kira-kira 700,000 penduduk Arab melarikan diri atau diusir dari rumah mereka.

Dalam perutusan sempena hari ulang tahun Naqba, Erakat menegaskan bahawa pelarian Palestin yang bersama-sama keturunan mereka kini berjumlah 4.7 juta orang berhak untuk pulang ke kampung halaman mereka.

"Dalam sebarang konflik, hak-hak pelarian ditunaikan dan dihormati, termasuk hak untuk kembali, mendapat semula harta mereka dan mendapat ganti rugi.

"Sebaliknya, Israel enggan mengiktiraf hak Palestin untuk pulang, dengan terus menafikan hak paling asas bagi orang pelarian," kata Erakat.

Sumber: Utusan Online, 16 Mei 2010

Selamat Hari Guru 2010

Piala Uber: Korea Selatan Mencipta SEJARAH

Kuasa badminton wanita China dikejutkan Korea Selatan yang mencatat SEJARAH merobohkan dominasi Tembok Besar dengan merampas mahkota Piala Uber buat pertama kali selepas menang 3-1 pada perlawanan akhir, semalam.

Yongbo, ketua jurulatih pasukan juara bertahan China, sebelum ini dengan angkuhnya bernada yakin bahawa Korea Selatan akan tetap berputih mata pada pertemuan final keenam kedua-dua pasukan berkenaan.

Namun, anak buah Kim Joong Soo menukar tempelak itu menjadi satu semangat apabila menumbangkan keangkuhan wanita China untuk membawa pulang Piala Uber buat kali pertama selepas lima percubaan serta memastikan mereka menyertai kelab elit empat negara trofi keagungan berpasukan wanita itu.

Korea yang turut merobohkan dominasi 11 tahun China, memulakan langkahan kemenangan perseorangan pertama, Bee Seung-hee menamatkan rekod dua kekalahannya dengan mengejutkan pemain nombor satu dunia, Wang Yihan 23-21, 21-11.

“Saya membuat analisa permainan Yihan dan menghantar bola di garisan belakang. Ternyata strategi itu menjadi,” kata Seung-hee. “Sebagai perseorangan utama, sudah tentu tekanan menghasilkan mata itu ada, tapi, rasanya saya berdepan tekanan itu lebih awal dan mengatasinya berbanding Yihan.”

Rentak kemenangan kemudian diteruskan beregu Lee Hyo-jung-Kim Min-jung yang terpaksa bergelut sebelum menjinakkan pasangan nombor satu dunia, Ma Jin-Wang Xiaoli 18-21, 21-12, 21-15.

Laluan Korea Selatan hampir terjejas apabila perseorangan kedua China, Wang Xin menewaskan Sung Ji-hyun 21-14, 16-21, 21-7 sebelum beregu Lee Kyun-won-Ha Jung-eun meleburkan ego Du Jing-Yu Yang untuk mata kemenangan Korea 19-21, 21-14, 21-19

Sumber: Berita Harian Online, 15 Mei 2010

Wednesday, 12 May 2010

13 Mei Sebelum Dan Selepas

Judul: 13 Mei Sebelum Dan Selepas
Pengarang : Tunku Abdul
Penerbit: Utusan Publications & Distributions
Genre : Esei
Mukasurat: 195 halaman
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9789676120731

13 Mei merupakan satu pengalaman dan pengajaran yang tidak dapat kita semua lupakan buat selama-lamanya. Kerana kejadian itu dapat menunjukkan kepada kita semua tentang bahaya-bahaya yang boleh timbul sekiranya kita terlampau lalai atau cuai.

Kita seharusnya bangga dengan apa yang telah kita capai. Dengan semangat perpaduan dan keharmonian serta kerjasama dan rasa muhibah, maka kita telah mengatasi segala kesulitan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran yang tidak ada tolok bandingnya.

Oleh itu, amatlah mustahak bagi kita semua untuk cuba sedaya upaya hidup bersama-sama dan cuba memahami antara satu sama lain dengan semangat persefahaman, hormat-menghormati agar kita dapat memelihara keharmonian dan keamanan.

- Tunku Abdul Rahman, 1969 -


Rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 adalah peristiwa tragis yang terburuk dialami oleh Malaysia. Peristiwa itu hampir-hampir memusnah-kan negara ini.

Alhamdulillah, dengan kebijaksanaan pemimpin dan semangat setia kawan rakyat, bencana itu telah dapat ditangani dan negara kembali pulih seperti sediakala.

Banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada bencana itu. Antara yang terpenting ialah peri mustahaknya memperkukuhkan perasaan muhibah dan ikatan perpaduan antara kaum demi kestabilan politik dan keselamatan Malaysia yang berbilang kaum ini.

Penerbitan buku ini adalah tepat pada waktunya memandangkan pada akhir-akhir ini terdapat usaha oleh pihak-pihak tertentu yang cuba memutarbelitkan fakta dan menimbulkan kekeliruan tentang peristiwa berdarah 13 Mei itu.

Pertengahan Mei yang lalu sebuah buku yang memperkatakan tentang peristiwa 13 Mei juga telah diterbitkan. Namun pendekatan yang digunakan jelas menolak bingkai kepercayaan lama bahawa kekacauan 1969 berpunca daripada ketidakseimbangan dalam sioekonomi kaum di negara ini, sebaliknya penulis buku tersebut mengemukakan tesis baharu iaitu kapitalis Melayu yang diketuai Tun Abdul Razak yang cuba untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman menjadi punca utama kepada tercetusnya peristiwa itu.

Walaupun sukar untuk mencari motif sebenar penulis buku itu membangkitkan sejarah berdarah 13 Mei, namun trend semasa menunjukkan wujud usaha untuk memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin negara, khususnya Tun Abdul Razak, Datuk Harun, Tun Mohammad Ghazali Shafie dan lain-lain, termasuk juga anggota-anggota keselamatan.

Pandangan serong tersebut jelas sekali bersifat prejudis dan olahan perbincangannya, kiranya dibiar tidak dijawab, ditakuti akan dianggap sebagai satu dokumen yang sah untuk melegitimasikan dakwaan bahawa peristiwa 13 Mei itu adalah dirancang oleh 'kapitalis Melayu'.

Buku ini adalah hasil renungan Tunku tentang peristiwa 13 Mei. Beliau terpanggil untuk menulis buku ini bagi menjelaskan 'hal-hal sebenar yang telah berlaku menurut pandangan saya, sekalipun ia amat dahsyat'.

Dalam penelitiannya, Tunku merumuskan bahawa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 itu adalah angkara golongan pelampau dan golongan komunis. Kedua-dua golongan ini, tegas Tunku, sejak sebelum merdeka lagi berusaha untuk mencetuskan kekacauan di negara.

Golongan ini telah terlibat dalam mencetuskan ketegangan dalam peristiwa hartal (1967), hukuman gantung (1968) dan pemulauan pilihan raya (1969), perarakan mayat pada 9 Mei dan perarakan kemenangan oleh parti-parti pembangkang pada 12 Mei 1969.

Akibat provokasi golongan ini ketegangan kaum terjadi dan rusuhan kaum berlaku.

Dakwaan kononnya rusuhan kaum dirancang oleh 'kapitalis Melayu' adalah tidak benar sama sekali. Dalam penulisannya Tunku tidak pernah menganggap peristiwa itu sebagai satu rampasan kuasa.

Memang benar Tunku mengakui bahawa akibat peristiwa berdarah itu ada segelintir ahli UMNO yang beliau labelkan sebagai 'pelampau' ataupun 'bijak pandai' yang tidak menyenangi beliau kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi perasaan tidak puas hati bukan menjadi penyebab kepada berlakunyal rusuhan.

Hal ini telah diperjelaskan oleh Tunku dalam Bab 15 bertajuk 'Sepucuk Surat' dan Bab 16 bertajuk 'Perebutan Kuasa dalam UMNO'.

Buku ini ditulis oleh Tunku berasaskan pengalamannya yang lama sebelum dan semasa menjadi Perdana Menteri serta bersandarkan sumber sahih yang telah diberikan oleh Polis Diraja Malaysia. Keadaan ini ber-beza dengan buku yang diterbitkan sebelum ini yang menyandarkan penulisannya semata-mata kepada sumber diplomat dan wartawan asing yang kesahihan sumbernya adalah diragui.

PROF. DR. NIK ANUAR NIK MAHMUD
Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan MalaysiaBangi
25 Ogos 2007

KANDUNGAN

Dedikasi
Penghargaan
Senarai Gambar
Kata Pengantar
Prakata

Bab 1 Ilham dari Hospital
Bab 2 Bayangan Masa
Bab 3 Pilihan Raya Umum
Bab 4 Kongsi Gelap dan Orang Cina
Bab 5 Tipu Helah dalam Kempen
Bab 6 Sidang Islam yang Bersejarah
Bab 7 Upacara Pengebumian "Pahlawan" Merah
Bab 8 Pengundi Membuang Undi
Bab 9 Hasil-hasil yang Mengejutkan
Bab 10 Mabuk "Kemenangan"
Bab 11 Api Menyala Malam
Bab 12 Tindakan-tindakan dan Kejadian-kejadian
Bab 13 Keadaan Darurat
Bab 14 Pulih Kembali
Bab 15 Sepucuk Surat
Bab 16 Rebutan Kuasa dalam UMNO
Bab 17 Perlembagaan dan Hak Asasi Melayu
Bab 18 Pemerintahan Beraja atau Republik?
Bab 19 Khidmat Bakti dan Pengorbanan
Bab 20 Falsafah Hidup
Bab 21 Peranan Akhbar dan Rusuhan
Bab 22 Pengajaran daripada Baling
bab 23 Mimpi dan Alamat

Indeks