Friday, 29 May 2009

Kehancuran LTTE: Kemenangan Penduduk Islam Sri Lanka

MAYAT penduduk Muslim yang maut dalam letupan bom oleh LTTE di luar sebuah masjid di Matara, pada awal tahun ini.

KEMENANGAN tentera Sri Lanka mengalahkan kumpulan gerila Harimau Tamil Eelam (LTTE)Ahad lalu, tidak hanya menamatkan perang saudara yang berlanjutan lebih 25 tahun lamanya, tetapi turut mengakhiri trauma dan kesengsaraan penduduk Muslimnya.

Apa tidaknya, bumi kecil yang dihuni 20 juta penduduk dengan etnik Sinhala kumpulan majoriti sebanyak 74 peratus, Tamil (18 peratus) dan Muslim (8 peratus), perang saudara itu sebenarnya tidak hanya menyaksikan pertikaian antara kerajaan dengan LTTE atau penduduk Sinhala dengan Tamil, tetapi turut sama mengheret penduduk Muslimnya.

Malangnya, derita dan kesengsaraan kira-kira 1.5 juta penduduk Muslim yang sebahagian besar bertumpu di wilayah utara dan timur yang juga kawasan konflik, serta di selatan, tidak diketahui ramai.

Ketika media tempatan dan antarabangsa lebih banyak menghebahkan laporan dan gambar penduduk Tamil dan Sinhala menjadi pelarian dengan wajah sugul berjalan membawa beg atau sehelai sepinggang akibat konflik itu, sebaliknya tidak banyak kelibat penduduk Muslim dipaparkan sebagai subjek utama.

Jika masyarakat dunia masih belum dapat melupakan wajah mayat pemimpin LTTE, Vellupillai Prabhakaran yang mati dalam serangan beberapa hari lalu, hakikatnya tidak ramai yang mungkin dapat mengingati atau pun tahu mengenai ribuan jenazah penduduk Muslim yang terbujur kaku di dalam rumah, masjid, sekolah serta di kaki lima akibat kekejaman LTTE yang berlaku hampir sepanjang tahun.

Hakikatnya, LTTE bukan sekadar kumpulan pemisah biasa, sebaliknya berstatus kumpulan pemberontak profesional, mempunyai kerajaan dan bala tenteranya sendiri termasuk pasukan penyerang bunuh diri menggunakan lilitan bom. Ia turut menjadi kumpulan militan pertama menggunakan wanita dalam serangan mereka, selain dikenali kerana tindakan ‘gila’ pengikutnya yang memakai rantai kapsul racun sianida bagi membolehkan mereka membunuh diri serta-merta jika tertangkap.

Tidak hairanlah ia mampu melancarkan lebih 200 serangan bunuh diri dan mencetuskan perang saudara yang meragut lebih 70,000 nyawa. Operasi kejamnya turut melangkaui bumi Sri Lanka dan dikaitkan dengan pembunuhan bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pada 1991.

Namun, mangsa sebenar dan berterusan kekejaman LTTE itu adalah penduduk Muslim yang disifatkan sebahagian usaha pembersihan etnik penduduk Islam di Sri Lanka. Kebencian yang bukan saja disebabkan perbezaan etnik dan agama, tetapi faktor perebutan wilayah di timur dan utara negara itu yang juga menjadi kubu kuat kumpulan gerila berkenaan sebelum ini.

Dari segi ekonomi, penduduk Muslim jauh lebih berjaya berbanding masyarakat Tamil, manakala aspek politik pula menyaksikan parti politik Muslim memegang status sebagai ‘broker’ kuasa dan penentu kerajaan yang memerintah Sri Lanka. Ini disebabkan biarpun minoriti, tetapi pecahan kerusi dimenangi parti Muslim berperanan sebagai penentu penguasaan parti politik utama di Parlimen.

Sila baca lanjut di sini

Sumber: Berita Harian Online

Monday, 25 May 2009

Antara Jumaat dan 'Fry Day'...

Salam peperiksaan untuk semua adik dan anak didik penulis yang dikasihi walau di mana jua kalian berada kini.

Bagi yang sedang menekuni dan menelaah pelajaran untuk baki hari peperiksaan yang tinggal, salam kecemerlangan daripada penulis untuk anda sekalian.

Tanggal 22 Mei yang lepas, merupakan hari yang cukup penting dan bermakna buat penulis bila dapat mengamati anak-anak didik kesayangan menjawab kertas peperiksaan Sejarah SPM di sekolah penulis. Seperti biasa, melihat persediaan dan komitmen murid-murid mengulangkaji sentiasa mengundang rasa debaran yang jarang terkawal di hati penulis.

"Ya ALLAH! anugerahkanlah kejayaan kepada anak-anak didikku. Kurniakan kefahaman dan kemudahan buat mereka menjawab semua soalan yang dikeutarakan. Moga kalungan kejayaan buat mereka dengan izinMu. Amiinn..".

Sementelah menanti dan sekali-sekala menjenguk mereka di kelas, penulis dapat melihat pelbagai 'style' atau gaya dan tahap kesungguhan mereka semasa menjawab. Ada yang dah 'lipat baring', ada yang melangut melihat dinding, ada yang mula menongkat dagu, di samping ada juga yang matanya pejam kejap seperti berfikir panjang lagaknya. Namun, ramai juga yang konsisten 'tersenyum' menulis dan menjawab tanpa henti-henti seperti "derasnya air sungai Pusu" bersebelahan sekolah penulis.

Sambil menunggu masa peperiksaan tamat, sempat penulis berbual dengan rakan-rakan sejawatan tentang kelebihan hari Jumaat yang merupakan 'Penghulu segala hari' atau dalam bahasa Arabnya disebut sebagai 'Sayyidul Ayyam'. Seorang rakan penulis sempat bergurau tentang terjemahan hari Jumaat dalam bahasa Inggeris dengan "Fry Day", iaitu sebagai 'Hari Menggoreng'. Gamat juga la kami di bilik guru pada hari itu membicarakan perihal antara hari Jumaat dan 'Fry Day'.

Di sisi lain, penulis cepat menangkap tafsiran lain akan penggunaan ungkapan 'Fry Day' tersebut bila mengenangkan situasi murid-murid kecintaan yang sedang menjawab soalan peperiksaan, khususnya ketika menjawab soalan esei. Persoalannya, adakah mereka fokus menjawab berdasarkan fakta atau sekadar 'menggoreng' fakta? Jika mereka menjawab dengan fakta dan dalil yang sahih, maka lega perasaan penulis, tapi sebaliknya jika mereka 'menggoreng', paling penulis risaukan ialah 'gorengan mereka berhasil sehingga hangus' yang tidak dapat diselamatkan lagi.

Sehingga hal itu dapat disahkan, penulis tak berhenti-henti berdoa agar hari Jumaat yang baru berlalu memberikan kekuatan 'penghulu' kepada anak-anak murid kesayangan...dan dijauhkan mereka dengan 'pesta acara menggoreng yang tidak rasional' yang jika terus diamalkan, dikhuatiri memberi impak yang tidak kecil kesannya bagi mengadapi peperiksaan SPM sebenar pada hujung tahun 2009 ini.

Antara Jumaat dan 'Fry Day', hakikat kejayaan dan kegagalan bergantung kepada usaha dan keiltizaman anda serta dengan izin dari-Nya jua. Masih ada ruang masa untuk pembaikan dengan keazaman mencipta kecemerlangan yang dinanti-nantikan. InsyaAllah, jalan kemenangan sedang menanti di depan mata kalian. "Bersedialah untuk sebuah perubahan!".

Sunday, 24 May 2009

Keputusan dan Rayuan...!


" Krisis di Perak tidak akan sampai ke tahap yang begini sulit dan memalukan jika sultan berkenan membubarkan dewan pada 5 Februari lalu. Memang dewan masih boleh dibubarkan. Sama ada melalui Perkara 16(2) atau 32(2).

Memang ia sudah agak terlewat. Tetapi baiklah lewat daripada tak buat langsung. Cuma dalam keadaan rakyat sudah ada yang marah, saya tidak fikir mereka yang bertanggungjawab tidak akan dihukum oleh SEJARAH. Mereka yang berkenaan akan dicatat sebagai penghalang atau elemen anti-demokrasi."

Oleh Profesor Dr Abdul Aziz Bari, Pakar Perlembagaan dan mengajar di Kuliyyah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Dipetik daripada artikel 'Memahami keputusan Mahkamah Rayuan', terbitan akhbar Sinar Harian, Edisi Selangor & KL bertarikh 25 Mei 2009.

Juara Liga Juara-Juara Eropah 2009?

Salam Sejarah buat semua pengunjung Sejarah2u yang dihormati.

Posting kali ini khusus buat peminat bola sepak, khususnya di antara penyokong pasukan Manchester United dan Barcelona yang akan bertembung untuk satu kejuaraan berprestij benua Eropah pada 27 Mei hadapan.

Siapakah bakal juaranya nanti?

Manchester United yang dilatih dan diurus oleh Sir Alex Ferguson pastinya ingin mencatat SEJARAH sebagai kelab yang mampu mengekalkan piala tersebut, di samping turut telah menjuarai piala Antara Kelab-kelab Dunia dan Piala Liga Inggeris.


Sementara pasukan Barcelona di bawah pengurusan dan jurulatih Pep Guardiola pastinya berhajat mencipta SEJARAH sebagai kelab Sepanyol pertama yang memenangi tiga piala dalam satu musim setelah memenangi piala La Liga, piala Copa del Rey dan seterusnya piala Liga-Liga Juara Eropah menentang Manchester United pada minggu depan.

Sudah pasti peminat-peminat kedua-dua finalis tersebut tidak akan berganjak untuk menyaksikan kelibat menakjubkan daripada dua ikon kelab-kelab tersebut seperti Christiano Ronaldo dan Lionel Messi, di samping ramai lagi pemain-pemain bintang bertaraf dunia yang bakal turun dalam perlawanan tersebut nanti.

Siapa pun yang bakal muncul juara antara dua kelab ini, sama-samalah kita nantikan kemunculan mereka di Rom, Itali pada 27 Mei depan dengan SEJARAH yang bakal tercipta untuk dunia bola sepak yang tiada sempadannya ini.

Tun Sri Lanang


Nama Tun Sri Lanang ialah Tun Muhammad. Beliau dilahirkan di Seluyut pada tahun 1565.

Beliau menjadi Bendahara Paduka Raja Johor semasa pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II, Sultan Alauddin Riayat Shah III, dan Sultan Abdullah Ma'ayat Shah.

Beliau terlibat dalam perancangan menawan semula Melaka pada tahun 1586, 1587, dan tahun 1606. Beliau menyusun pertahanan Johor bagi menghadapi serangan portugis dan Acheh.

Beliau menjadi utusan Johor ke Goa untuk berunding dengan Portugis pada tahun 1583.

Beliau telah menyusun kitab Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) pada tahun 1612.

Beliau juga bertanggungjawab dengan Admiral Matelief pada 23 September 1606 untuk mempertahankan Johor daripada serangan Acheh.

Ujong Tanah: Pengasasan Johor

Nama asal negeri Johor ialah Ujong Tanah. Perkataan Johor berasal daripada perkataan Arab, Jim, Ha, Ra yang disebut Jauhar yang bermakna permata. Penduduk tempatan menyebutnya sebagai Johor.

Pengasasan Johor bermula apabila Sultan Mahmud membangunkan Johor di sana setelah Melaka diserang dan ditawan oleh Portugis. Putera Sultan Mahmud Shah , Raja Ali, dilantik sebagai sultan yang baru dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah II (1528-1564).

Sultan Alauddin telah menerus dan menyambung warisan Kesultanan Melayu Melaka di Johor.

Sebagai contoh kepada penerusan warisan tersebut ialah jawatan Seri Nara Diraja di Johor sama dengan gelaran jawatan Penghulu Bendahari yang wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Tugas Seri Nara Diraja ialah mengawal semua pendapatan negara, mentadbir istana, dan mengawal hamba sultan.

Kata Tugas Dalam Soalan Sejarah

Di bawah adalah senarai Kata-kata Tugas yang lazim ditemui dalam soalan-soalan matapelajaran Sejarah:

1) Apakah: Memberi maklumat yang khusus atau spesifik
2) Andaikan: Membuat andaian.
3) Bagaimanakah: Memerihalkan/memberi penerangan tentang
cara/keadaan/langkah/kejadian.
4) Bandingkan: Menyatakan persamaan dan perbezaan antara dua atau
lebih perkara.
5) Bincangkan: Memberi penerangan daripada pelbagai aspek
6) Buktikan: Menyatakan kebenaran dengan dalil/contoh/fakta.
7) Huraikan: Memerihalkan/ menceritakan sesuatu dengan panjang
lebar/terperinci secara teratur
8) Jelaskan: Memberi penerangan tentang sesuatu supaya mudah
difahami
9) Mengapakah: Memberi sebab
10) Nyatakan: Memberikan jawapan yang spesifik tanpa memerlukan
penerangan lanjut/huraian/sokongan.
11) Siapakah: Mengenalpasti individu dalam konteks tertentu
12) Terangkan: Menyatakan fakta dengan huraian atau menjelaskan
sesuatu dengan sebab.

Friday, 15 May 2009

Selamat Hari Guru 2009


Pengenalan Hari Guru

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Objektif Hari Guru

Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.

Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.

Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.

Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Ikrar Hari Guru
Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.
Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negaraKami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.


Sila lihat juga:
Ayat-ayat Cinta:
"Seorang guru yang sederhana memberitahu, seorang guru yang baik menerangkan, seorang guru yang lebih baik akan menunjukkan, tapi seorang guru yang hebat akan sentiasa mencetuskan inspirasi kepada murid-muridnya".

Kes Pertama Wabak Influenza A (H1N1) di Malaysia

Seorang pelajar 21 tahun mangsa pertama disahkan positif dijangkiti wabak influenza A(H1N1) atau selesema babi - kes pertama di Malaysia, demikian diumumkan oleh Kementerian Kesihatan hari ini (15/5/09).

"Kementerian ingin memaklumkan mengenai satu kes yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan telah disahkan positif influenza A(H1N1) melalui ujian makmal yang dilakukan hari ini," kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

"Ia merupakan kes yang pertama influenza A(H1N1) dikesan di Malaysia."

Pelajar itu, yang baru pulang dari Amerika Syarikat pada Rabu lalu, mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan semalamdan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama.

"Beliau telah diberi rawatan antivirus dan berada dalam keadaan stabil," kata Dr Mohd Ismail dalam satu kenyataan di laman web rasmi kementerian berkenaan.

Kementerian telah mengambil tindakan pencegahan dan kawalan termasuk penyiasatan perhubungan mangsa dengan orang lain, termasuk ahli keluarganya dan penumpang serta anak kapal penerbangan MH 091 dari Newark, USA yang tiba di lapangan terbang KLIA pada 7.15 pagi kelmarin.

Menurut kenyataan itu lagi, kementerian meminta semua klinik dan hospital swasta agar sentiasa merujuk segera kes-kes mereka yang baru kembali dari negara yang dilanda wabak tersebut dan mengalami gejala-gejala seperti demam dan salah satu daripada gejala berikut - batuk, susah bernafas, sakit badan, sakit kepala atau sakit tekak - ke hospital-hospital rujukan yang telah ditetapkan.

Sila baca lanjut di sini

Tragedi Hitam 13 Mei

Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 ialah rusuhan kaum yang berlaku dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Tragedi ini yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan "Pilihan Raya Umum 1969" merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.

Isu-isu perkauman yang menyentuh emosi dan sentimen menjadi tema utama sepanjang kempen pilihanraya yang telah menaikkan semangat kaum-kaum di Malaysia. Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik terutamanya daripada parti pembangkang, telah membangkitkan soal-soal sensitif berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai (Bumiputera) dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah menimbulkan perasaan perkauman dan syak wasangka.

Parti Perikatan yang dianggotai oleh (UMNO-MCA-MIC) telah mengalami kekalahan yang teruk dalam Pilihan Raya 1969. Jumlah kerusi yang dimenanginya dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969. Parti Perikatan telah kehilangan majoriti dua-pertiga dalam Dewan Rakyat.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.

Sumber: Wikipedia

Monday, 11 May 2009

Sejarah Falsafah Pendidikan Negara (FPN)

Pendidikan yang bersepadu dan seimbang mampu melahirkan murid-murid yang cemerlang dalam pelbagai aspek kehidupan - sekadar gambar hiasan.

Keperluan untuk menyatakan FPN secara tersurat telah lama disedari. Oleh itu langkah untuk menggubal FPN yang menjadi cermin dan cita-cita serta idealisme yang hendak diperjuangkan oleh rakyat negara ini melalui sistem pendidikan memang dinanti-nantikan. Dalam penggubalannya pertimbangan yang teliti perlu dihalusi dengan merujuk kepada perkara-perkara berikut :

1. Penyata Razak 1956
2. Laporan Rahman Talib 1960
3. Akta Pelajaran 1961
4. Laporan JK Kabinet 1974
5. Laporan JK Kabinet 1979
6. Rukunegara
7. Prinsip-prinsip pendidikan
8. Matlamat pendidikan
9. Dasar Pendidikan Kebangsaan

Perakuan 191, Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979. Perakuan 191 menegaskan :

“ Pendidikan di negara ini adalah untuk mencapai perkembangan murid yang menyeluruh, iaitu perkembangan yang meliputi aspek kognitif atau intelek, jasmani, sosial, emosi, sikap dan nilai-nilai etika pada murid-murid dan generasi akan datang. “

Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979, dibentuk adalah hasil daripada maklum balas dan laporan daripada Jawatankuasa Kabinet tahun 1974.

Pembentukan Jawatankuasa Kabinet tahun 1974, adalah kerana berlakunya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, pembentukan Rukunegara, 1970 dan pelancaran Dasar Ekonomi Baru, 1970. Peristiwa-peristiwa tersebut, telah mendorong kerajaan mengkaji semula dasar pendidikan kebangsaan sebelum ini yang kurang menitikberatkan perpaduan negara dan memajukan aspek sosial, ekonomi dan politik untuk membangunkan bangsa dan negara.

Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979, yang menitikberatkan aspek nilai hanya diistiharkan pada tahun 1998 dan dijelmakan secara rasmi melalui Falsafah Pendidikan Negara pada tahun 1988.

Menurut Akta Pendidikan tahun 1996, Falsafah Pendidikan Negara tahun 1988, telah digantikan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1996 (Kementerian Pendidikan, 1999).Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996, berbunyi :

“ Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruhdan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. “

Selain itu, Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979 juga, telah menetapkan secara tersurat dan tersirat penentuan wajah dan jenis warganegara Malaysia yang perlu dibentuk melalui sistem pendidikan di Malaysia. Keperihatinan dan hasrat Jawatankuasa tersebut dirakamkan seperti berikut :

“ Mereka bukan sahaja perlu cekap bahkan perlu boleh berfikir dan bertindak dengan baik sama ada secara sendiri mahu pun secara beramai-ramai dengan berpandukan punca-punca akhlak yang mulia. Tegasnya individu yang lahir dari sistem persekolahan negara perlu selaras dengan tujuan pembangunan kemanusiaan. “

Ringkasnya, berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979, peranan pendidikan tidak lagi hanya ditumpukan kepada perpaduan negara dan pengeluaran sumber tenaga manusia, tetapi pendidikan turut ditumpukan kepada pembentukan keperibadian insan selaras dengan pembangunan kemanusiaan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996, telah menetapkan matlamat pendidikan negara dengan jelas, iaitu pendidikan ke arah melahirkan insan, masyarakat dan warganegara yang baik.

[Imbasan Sejarah Pendidikan di Malaysia Selepas Merdeka]

Penyata Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957 - Zaman Pengukuhan

Pembentukan satu sistem pendidikan kebangsaan
Pengakuan matlamat akhir Bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar utama
Permulaan kurikulum yang berorientasikan alam sekeliling Malaysia
Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua

Laporan Rahman Talib dan Akta Pelajaran 1961 - Zaman Kemaskini

Sekolah umum dijadikan sekolah kebangsaan semetara sekolah jenis umum dijadikan sekolah jenis kebangsaan
Pelajaran percuma kepada semua pelajar sekolah rendah kerajaan
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
Pelajaran Agama Islam diajarkan di semua sekolah bantuan penuh kerajaan yang mempunyai sekurang-kurang 15 orang pelajar Islam.
Pengajaran bahasa Cina dan Tamil jika terdapat sekurang-kurangnya 15 murid kaum-kaum berkenaan.
Semua peperiksaan awam akan diadakan dalam bahasa kebangsaan.

Ciri-ciri Laporan Kabinet 1979

Penegasan kepada pendidikan asas 3M membaca, menulis dan mengira
Penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang diingini
Penegasan kepada kurikulum ala Malaysia
Pendidikan menengah atas melalui dua jurusan, akademik dan vokasional
Peluang melanjutkan persekolahan dari 9 tahun ke 11 tahun
Melicinkan tatacara pengurusan pelajaran meningkatkan mutu pelajaran keseluruhan

Rang Undang Undang Pendidikan 1995

Sistem pendidikan kebangsaan dicorakkan untuk menghasilkan pendidikan bertaraf dunia dari segi kualiti untuk mencapai aspirasi negara
Falsafah Pendidikan Negara dijadikan landasan kepada dasar pendidikan kebangsaan
Tempoh pendidikan rendah adalah antara 5-7 tahun
Pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan
Pendidikan teknik & politeknik dipertingkatkan
Peruntukan diadakan bagi mengawal selia pendidikan swasta

Tanyalah Akan Dirimu...

“Semasa kamu melelapkan mata pada malam nanti, tanyalah akan dirimu, apakah yang kamu telah lakukan untuk saudara-saudaramu di bumi Palestin ?”

-Diucapkan oleh Dr Azzam Tamimi pada 9 Mei 2009 semasa sesi akhir Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis di PWTC, KL , Malaysia.

Saturday, 9 May 2009

Pendidikan Asas Kecemerlangan Tamadun

Dalam tradisi Islam, pendidikan adalah satu profesional yang tinggi nilainya. Imam al-Ghazali dalam kitabnya, 'Ihya Ulumuddin telah mengungkapkan sesuatu yang berkaitan dengan pendidikan. Katanya:

" Seseorang yang berilmu dan kemudian bekerja dengan ilmunya itu ibarat minyak kasturi yang baunya dinikmati orang lain dan ia sendiri pun harum. Sesiapa yang bekerja di bidang pendidikan, maka sesungguhnya ia telah memilih pekerjaan yang terhormat dan yang sangat penting, maka ia hendaklah memelihara adab dan sopan santun dalam tugasnya."

Pendidikan itu dianggap penting kerana ia mempengaruhi pembentukan generasi sesuatu masyarakat dan kecemerlangan sesuatu tamadun dan peradaban. Sebab itu peribahasa Cina ada menyatakan, yang bermaksud:

" Jikalau kamu merancang untuk satu tahun, tanamlah gandum. Jikalau kamu merancang untuk sepuluh tahun, tanamlah pokok. Jikalau kamu merancang untuk seribu tahun atau lebih lama dari itu, maka 'tanamlah' manusia."

Wawasan 2020

Wawasan 2020 merupakan gagasan negara menjadi sebuah negara maju yang menggunakan acuan sendiri menjelang tahun 2020.

Idea wawasan ini dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir Mohammad, mantan Perdana Menteri Malaysia pada 28 Februari 1991.

Wawasan ini bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri maju dengan menitikberatkan elemen kemajuan bersepadu.

Dalam merealisasikan matlamat wawasan tersebut, terdapat sembilan cabaran yang perlu kita atasi iaitu:-

Cabaran Pertama: Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu

Cabaran Kedua: Membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan.

Cabaran Ketiga: Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang.

Cabaran Keempat: Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika

Cabaran Kelima: Mewujudkan masyarakat yang maju dan saintifik.

Cabaran Keenam: Membina masyarakat yang maju dan saintifik.

Cabaran Ketujuh: Mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang

Cabaran Kelapan: Menjamin masyarkat yang adil dan saksama ekonominya.

Cabaran Kesembilan: Memupuk dan membina masyarakat makmur.

Sila lihat lanjut di sini

Wednesday, 6 May 2009

Setiap Hari Adalah Hari Ibu!



" Seorang pemuda telah bertemu dengan Rasulullah Saw, lalu bertanya kepada baginda," Ya Rasulullah, kepada siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik kepadanya?".

Rasulullah Saw menjawab; "Ibu-mu"

Lantas bertanya lagi pemuda itu;" kemudian siapa lagi ya Rasulullah Saw?"

Rasulullah Saw menjawab; "ibu-mu".

"kemudian siapa lagi ya Rasulullah Saw?", pemuda itu terus bertanya.

Rasulullah Saw menjawab lagi; "Ibu-mu".

Pemuda itu bertanya lagi, " kemudian siapakah lagi?"

Rasulullah Saw menjawab; "bapa-mu".

Sumber: Hadis Sahih, Riwayat Bukhari dan Muslim

Ayat-Ayat Cinta:

"Zahirkanlah cinta kasih dan penghargaan tertinggi kepada kedua ibu bapa-mu semasa ada hayat mahupun selepas kembalinya mereka kepada sang Pencipta. Ingatlah selalu..bila hadir amarah, teguran atau nasihat daripada mereka, ia ibarat seorang musafir kelana di padang pasir dalam derita dahaga teramat sangat yang menemui sebuah kolam dingin airnya yang ia mandi dan minum sepuas-puas darinya".

Tuesday, 5 May 2009

Hari Ini Dalam Sejarah: Aliran Menengah Melayu Diperkenalkan

Pada hari ini bersamaan tarikh 5 Mei tahun 1958, pengajian peringkat menengah dalam aliran Melayu telah diperkenalkan di seluruh negara. Pengenalan Sistem Pelajaran Melayu di peringkat Sekolah Menengah ini adalah sebagai asas dan permulaan kepada perlaksanaan sepenuhnya Sekolah Menengah yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Pada peringkat permulaan, sebanyak 15 buah kelas baru telah dibuka di seluruh negara bagi membolehkan pelajar – pelajar lepasan darjah 6 Sekolah Melayu melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah.

Sebelum pengenalan aliran Menengah Melayu ini, pelajar– pelajar dari Sekolah Rendah Melayu perlu melanjutkan pelajaran peringkat menengah ke Sekolah Menengah Inggeris dan menduduki kelas peralihan selama setahun untuk mempelajari Bahasa Inggeris.

Lanjutan daripada ini, ia telah menjadi pemangkin kepada kewujudan dan perkembangan Sekolah Menengah Melayu yang kini menjadi tunggak kepada sistem pelajaran kebangsaan di negara ini.

Sesungguhnya, ianya juga merupakan antara langkah yang telah diambil oleh kerajaan selepas negara mencapai kemerdekaan untuk memartabatkan dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Sunday, 3 May 2009

Artifak di 1500 Tapak Sejarah Purba Afgahanistan Lesap

AFGHANISTAN, negara yang tidak pernah sunyi daripada pergolakan dan peperangan. Serangan bunuh diri yang mengorbankan ramai penduduk, pertelingkahan puak pemisah dan perang sesama bangsa bagaikan sudah rutin dalam kehidupan penduduknya.

Negara itu mempunyai warisan kebudayaan paling kaya di dunia. Negara bergunung-ganang itu menjadi laluan Jalan Sutera mempunyai adunan pelbagai budaya dan agama. Namun, serangan Russia pada 1979 dan perang saudara berterusan menyebabkan ia bertukar daripada syurga ahli kaji purba kepada sebuah negara yang mengerikan.

Kehadiran tentera asing diketuai Amerika Syarikat ketika ini tidak membawa banyak perubahan, malah ada kalanya memburukkan lagi keadaan sedia ada. Keadaan kucar-kacir dan suasana politik yang tidak menentu ini memberi peluang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab, mengaut keuntungan dengan cara yang tidak wajar.

Tidak hairanlah, pencari dan pencuri barangan purba dan harta karun, kini menguasai lebih 1,500 tapak sejarah purba bagi mendapatkan artifak berharga dan menyeludupnya ke luar negara.

Tawaran harga tinggi yang diberikan pengumpul barangan purba menjadi tarikan yang tidak dapat ditolak kumpulan pencuri dan penyeludup untuk melakukan apa saja bagi mendapatkan artifak berkenaan.

Sila baca lanjut di sini....

Selamat Hari Pekerja

Syukur kerana cuti Hari Pekerja pada tahun ini jatuh pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Maka, dapatlah kita berehat panjang sebelum menunaikan solat Jumaat. Ditambah dengan dua hari lagi cuti menjadikan hujung minggu ini benar-benar 'bermakna' kepada mana-mana individu yang bergelar 'pekerja'.

Tahukah anda bahawa sambutan hari pekerja merupakan cuti tahunan bagi seluruh negara di dunia kesan daripada tuntutan pergerakan kesatuan sekerja. Ia demi meraikan pencapaian ekonomi dan kebajikan sosial yang telah disumbangkan oleh golongan pekerja.

Lazimnya, hari pekerja disambut pada tarikh 1 Mei setiap tahun. Ia juga dikenali sebagai 'Hari Mei' (May Day) dan 'Hari Pekerja Antarabangsa' (International Workers' Day)