Friday, 26 February 2010

Salam Maulidur Rasul 1431 Hijrah

"SEJARAH telah membuktikan bahawa keagungan tamadun Islam yang dahulunya hebat dan gagah akhirnya tersungkur lantaran ada antara penganutnya yang tidak mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam.

"Tanpa menghayati ajaran Islam yang sebenar diyakini umat Islam tidak akan mampu menjadi umat contoh bahkan akan terus dihina dan diperlekehkan.

"Malahan yang lebih mendukacitakan telah berlaku perpecahan, pergeseran dan persengketaan di kalangan sesama umat Islam.

"Tema sambutan pada tahun ini iaitu "Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah" menuntut agar umat Islam mencontohi ukhuwah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dan menjadikan intipati ajaran Islam sebagai asas membangun ummah.

""Dalam mengorak langkah ke arah itu, umat Islam perlu sentiasa bersedia dan menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan maklumat semasa agar dapat bergerak seiringan dengan tuntutan zaman.

"Sikap sambil lewa membuang masa dan takut bersaing perlu dihapus dan diganti dengan nilai-nilai positif yang boleh membentuk jati diri mukmin sejati.

[ Titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Syah pada majlis Sambutan Maulidur Rasul 1431 H peringkat kebangsaan di Masjid Putra di Putrajaya hari ini (26/2/10) ]

Gelombang Hijau di SMIAAG

Pada 25 Februari yang lalu, SMIAAG telah menganjurkan program tahunannya iaitu Temasya Sukan dan Permainan 2010 (TESPER '10) bertempat di dataran SMIAAG.

Seperti lazimnya, empat kontinjen pasukan rumah sukan yang terdiri daripada Rumah Al-Falah (Hijau), Rumah Al-Fatah (Merah), Rumah As-Solah (Kuning) dan Rumah An-Najah (Biru) telah terlibat secara aktif dan penuh semangat kesukanan yang tinggi.

Majlis perasmian TESPER '10 telah disempurnakan oleh akhi Wan Muhammad Wan Ibrahim,
selaku Pengerusi Hal-Ehwal Kokurikulum Lembaga Pengelola Pusat Pendidikan Al-Amin (PPAA).

Acara kemuncak pada tarikh yang cukup bersejarah tersebut ialah acara larian merentas desa dan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Secara keseluruhannya, Rumah Al-Falah (Hijau) diisytiharkan sebagai pemenang keseluruhan dengan mendominasi acara larian merentas desa pada hari tersebut, di samping dinobatkan pasukan terbaik acara perbarisan dengan tema 'Pahlawan Lima Bersaudara' beserta slogan 'Al-Falah Pantang Berundur'.

Acara selingan pada temasya tersebut turut menarik perhatian ramai dengan mempersembahkan pertandingan futsal persahabatan antara 'Pasukan Impian' (dream team) guru dan staf lelaki SMIAAG di bawah pengurus/jurulatih/ pengulas sukan yang tidak asing lagi, Ishar Maurinho menentang pasukan futsal alumni yang berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada team alumni hasil 'gol ihsan' yang diberikan oleh team guru.

Akhir kata, "Majulah Sukan Untuk Ummah"...

Tuesday, 23 February 2010

Perang Koloni

Perang Revolusi Amerika (1775–1783), juga dikenal sebagai Perang Kemerdekaan Amerika, adalah satu peperangan antara Kerajaan Great Britain dan para pendukung revolusi dari 13 koloni Amerika Utara jajahan Britain.

Perang ini terjadi apabila 13 koloni mengusir pegawai diraja Britain pada 1775, menubuhkan Kongres Kebenuaan Kedua, membentuk pasukan tentera dan mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 1776.

Perang ini tercetus daripada sikap tidak puas hati penduduk daripada koloni-koloni terlibat dengan dasar berat sebelah yang diputuskan di Parlimen British, di samping hak dan kebebasan mereka yang disekat serta rasa dipinggirkan oleh kerajaan berparlimen di Britain.

Sebagai contoh, pengenalan Akta Perdagangan melarang sebarang jajahan menjual pengeluarannya seperti tembakau, beras, kapas dan kulit kepada mana-mana negara kecuali Britain. Ini bererti pihak pendatang di koloni terpaksa menerima harga yang ditawarkan oleh peniaga British walaupun pihak lain mampu menawarkan harga yang lebih tinggi.

Perang tersebut yang merupakan kemuncak Revolusi Amerika, kemudian meluas ke luar Amerika Utara Britain (British North America), mengakhiri kekuasaan Britain terhadap ketiga belas koloni tersebut, serta membentuk Persekutuan Amerika Syarikat.

87 Tahun Dalam Kenangan

Pada hari Ahad lepas (21/2/2010), maka berakhirlah perkhidmatan perkhidmatan kereta api di Bukit Bendera yang telah beroperasi selama hampir 87 tahun, serta telah meninggalkan banyak kenangan indah kepada para pelancong dan penduduk yang pernah ke tempat tarikan terkenal di Pulau Pinang itu.

Kereta api itu bagaimanapun akan digantikan dengan sistem baru yang bernilai RM 63 juta dan dijangka siap dalam masa tujuh bulan. Mengikut sumber, proses baik pulih bakal siap pada 28 September tahun ini.

Usaha baik pulih perlu memandangkan beberapa kes kejadian kemalangan yang membabitkan pengangkutan bersejarah ini demi memastikan keselamatan penduduk dan para pelancong ke Bukit Bendera pada masa depan.

Sunday, 21 February 2010

Melerai Misteri Kematian Firaun Tutankhamun

WAJAH Tutankhamun atau Firaun muda yang dihasilkan imej komputer
dan tengkoraknya yang berusia ribuan tahun.

Analisis DNA lerai misteri 3,000 tahun kematian Raja Tuntankhamun serta rahsianya bertongkat MISTERI yang melingkari hidup dan mati Raja Tut atau nama sebenarnya Tutankhamun tidak pernah gagal menarik perhatian dunia.

Sebarkan apa saja mengenai Firaun muda itu - mitos atau hakikat, pasti ada cerita susulan menerusi penerokaan penyelidik yang tidak pernah jemu mengkaji mumia terkenal itu. Selama lebih 3,000 tahun, dunia mengenali Raja Tut atau ‘Raja Budak’ yang menaiki takhta pada usia 10 tahun sebagai cacat.

Namun hasil kajian DNA terhadap mumia King Tut selama dua tahun, menunjukkan beliau mengalami bibir sumbing, masalah tulang kronik dan kaki sejak lahir serta dijangkiti malaria yang mengancam nyawa. Lebih mengejutkan, ibu bapanya bersaudara dan dia sendiri mungkin mengahwini saudara perempuannya sendiri.

Terbongkarnya misteri kematian Raja Tut itu melenyapkan dakwaan yang beliau mati dibunuh. Tetapi sains membuktikan sehebat-hebatnya Firaun muda ini, beliau juga manusia biasa yang tidak kebal kepada serangan penyakit yang mungkin wujud lebih lama daripada Raja Tut sendiri.

Carsten Pusch, salah seorang daripada dua saintis bukan berketurunan Mesir yang diminta membantu pasukan negara itu mengkaji 16 mumia, termasuk Raja Tut, berkata perubatan, radiologi dan siasatan genetik mendedahkan hubungan sebenar antara mumia dan penyakit yang dialami ketika meninggal dunia.

“Kita membuka alam semesta. Kita ‘menghidupkan’ semula mereka yang terbukti manusia biasa,” kata Dr Pusch mengenai disiplin baru itu, yang digelar sama ada Molekul Mesir atau Perubatan Mesir, yang membabitkan penggunaan peralatan forensik moden kepada mumia bersejarah Mesir.
Sejak Howard Carter menemui makan itu pada tahun 1922, Firaun muda itu sentiasa menjadi bahan berita. Tutankhamen memerintah selama sembilan tahun dalam dinasti ke-18 Kerajaan baru, sehingga dia menemui ajal pada tahun 1324 Sebelum Masihi ketika berusia 19 tahun.

Kesan prosedur pengawetan yang diamalkan oleh pegawai agama Mesir beribu tahun lalu, penyelidik menemui DNA kukuh untuk membina semula susur galur keturunan Raja Tut. Keturunan keluarganya bermula dengan moyangnya, Thuya dan Yuya. Mereka mempunyai seorang anak perempuan yang kini dikenali sebagai Ratu Tiye, nenek Raja Tut dan isteri kepada Amenhotep III.

Anak-anak mereka adalah ibu bapa Raja Tut. Akhenaten adalah bapanya dan mumia yang masih belum mempunyai nama ialah ibunya dan dua daripada mereka adik beradik.

Dua janin perempuan yang meninggal ketika dilahirkan yang ditemui dalam makam Raja Tut berkemungkinan anaknya, walaupun penyelidik belum memperoleh profil penuh DNA bagi kedua-duanya.
“Tulang temulang amat rapuh tetapi beberapa penanda DNA yang kami miliki setakat ini menunjukkan mereka adalah anak Tutankhamen,” kata Dr Pusch.

DNA janin berkenaan turut padan dengan satu lagi mumia perempuan yang berkemungkinan ibu mereka. Penyelidik tidak dapat mengambil profil penuh DNA mumia itu tetapi ia ‘menunjukkan beberapa persamaan’ dengan DNA Raja Tut, menunjukkan mereka mungkin saudara kandung atau saudara tirinya - ‘tidak memeranjatkan memandangkan berlakunya perkahwinan sesama keluarga dalam keturunan itu,’ kata Dr Pusch.

Penyelidik seterusnya menyelesaikan teori mengenai sama ada bapa Raja Tut, Akhenaten, mempunyai penyakit hormon, yang mungkin menjelaskan mengapa banyak artifak menunjukkan dia mempunyai banyak sifat kewanitaan seperti payu dara. Selepas pemeriksaan rapi, dirumuskan Akhenaten ‘tidak mempunyai sebarang kecacatan.’

Perkara sama tidak terjadi kepada Tutankhamen. Imbasan CT pada kaki menunjukkan dia mengalami kecacatan dan masalah tulang kronik yang digelar Penyakit Kohler. Raja Tut hidup dengan keadaan menyakitkan selama bertahun-tahun, yang memberi penjelasan mengenai kewujudan 130 tongkat yang ditemui dalam makamnya.

Sumber:
Berita Harian Online, 22/2/2010

'My Name Is Khan' Berjaya Mengangkat Islam Di Mata Barat ??

PENANTIAN untuk menonton filem My Name Is Khan (MNIK) adalah sesuatu yang sukar difahami jika anda bukan peminat 'King Khan' atau Datuk Shah Rukh Khan.

Menonton dan menghayati setiap dialog yang diucapkan oleh Shah Rukh dalam filem MNIK, yang mengangkat martabat orang Islam di seluruh dunia ini, ibarat satu 'tanggung jawab' .

Atas beberapa sebab, filem ini tidak boleh dilihat dari perspektif filem Bollywood sebagaimana lazimnya kerana penghasilan dan cara garapan filem ini jauh berbeza dari semua filem Hindustan yang pernah ditonton.

Untuk membaca lanjut, sila klik di sini...

Friday, 19 February 2010

Sejarah Tercipta Selepas Hampir Dua Dekad

Di atas ketentuan dan keizinan dari Allah Swt, maka pada 5 Januari lalu, Pusat Pendidikan Al-Amin (PPAA) iaitu SRI Al-Amin Gombak dan SMI Al-Amin Gombak telah dianugerahkan kelulusan sijil layak menduduk (CF) oleh pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Sehubungan itu, pihak Lembaga Pengelola PPAA akan menganjurkan Majlis Kesyukuran Al-Amin sempena penyerahan sijil CF tersebut pada 20 Februari 2010, bertempat di Surau Al-Amin. Majlis penyerahan tersebut akan disempurnakan oleh YB Dato' Dr Hj Hasan Mohd Ali, ADUN Gombak Setia.

Satu majlis jamuan makan tengahari akan disediakan kepada semua jemputan yang hadir.

"Ke Arah Membentuk Generasi Pelajar yang Soleh Wa Musleh Melalui Sistem Pendidikan Bersepadu"

Saturday, 13 February 2010

Tarian Singa

Menurut Ann Wan Seng, seorang ahli sosiologi dan penulis terkenal, tarian singa dipercayai mampu membawa tuah serta kekayaan pada tahun baru.

Ia juga dipercayai ditarikan bagi membuang semangat jahat.

Tarian ini juga dikatakan menjadi pelindung kepada penghuni premis tempat tarian dilakukan.

Terdapat dua tarian singa yang amat popular iaitu, Tarian Singa Utara dan Tarian Singa Selatan.

Tarian Singa Utara berasal dari bahagian utara China yang menggunakan tarian ini sebagai hiburan diraja, manakala Tarian Singa Selatan lebih membawa kepada perlambangan alam sekitar.

Tarian singa lebih diminati berbanding tarian naga kerana ia diiringi muzik rancak, tidak memerlukan penari yang ramai, dan tarian yang lebih agresif dan memukau.

Skor A Siri 1/10

Tajuk: Tamadun Awal di Asia Tenggara

a) Jelaskan peranan raja dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran kerajaan awal di Asia Tenggara (12m)

Beraja - Sistem beraja dengan gelaran raja kepada ketua pemerintah


Ketua - Raja sebagai ketua pemerintah di bawahnya terdapat kerabat
diraja dan pembesar , termasuk ahli agama, iaitu Brahmin, rakyat dan hamba

Mutlak - Raja berkuasa mutlak dalam semua aspek pemerintahan yang meliputi pentadbiran, hubungan luar, ketenteraan, dan khazanah negara

Undang - Perintah raja adalah undang-undang yang wajib dilaksanakan sekiranya melanggar perintah bermakna menderhaka

Adil - Raja dikehendaki adil terhadap golongan yang diperintah

Tuhan - Rakyat takut untuk menderhaka kepada raja walaupun raja tidak berlaku adil kerana wujudnya kepercayaan bahawa raja merupakan bayangan tuhan

Dewa-Raja - Dewa-Raja dipercayai memiliki kesaktian, menggunakan unsur mitos dan lagenda asal usul untuk memperkuatkan kedudukan raja sebagai pemerintah

Istiadat - Adat istiadat pertabalan raja golongan Brahmin bagi mengukuhkan kedaulatan raja

Brahmin - Golongan Brahmin memainkan peranan dalam upacara keagamaan

Orde Kosmos - Raja mendirikan kompleks kota yang melambangkan konsep alam semesta atau orde kosmos

Pentadbiran - Dalam pentadbiran, raja dibantu oleh pembesar yang terdiri daripad pegawai tentera dan hakim manakala di setap daerah terdapat pembesar daerah atau gabenor

b) Huraikan kepentingan candi kepada kerajaan awal di Asia Tenggara (8m)


Agama - Merupakan monument keagamaan bagi agama Hindu dan Buddha

Rumah - Berperanan sebagai rumah ibadat

Simpan - Berfungsi sebagai tempat menyimpan abu jenazah raja dan keluarganya

Patung - Tempat menyimpan patung dewa utama

Lambang - Menjadi lambag kepada keagungan seseorang pemerintah berdasarkan kehebatan seni binanya

Kosmos - Angkor Wat melambangkan orde kosmos iaitu raja dan ibu kota sebagai pusat alam

Seni - Melambangkan kehebatan ahli seni agama Asia Tenggara dalam melahirkan monumen keagamaan.

Tahukah Anda? - 'The Great Bombard'

Sejak beribu tahun dulu, manusia sering dikaitkan dengan perang, cuma ia berubah mengikut zaman, khususnya dari segi taktikal, persenjataan, jumlah korban dan puncanya.

Apapun, setiap kali berlaku perang tanpa mengira sebabnya, ia sentiasa membabitkan penciptaan senjata baru. Menyingkap sejarah perang Islam, sememangnya diakui tentera Muslimin adalah antara pasukan paling disegani sepanjang sejarah peperangan dunia.

Usah dibangkitkan keberaniannya yang tiada tandingan kerana ganjaran mati syahid di medan perang sememang dinantikan tentera Islam.

Ditambah pula dengan ketaatan menunaikan solat ketika perang, itu sudah cukup membuatkan musuh sering terpukau dan timbul rasa gerun.

Itulah senjata utama umat Islam ketika menegakkan agama Allah tetapi mereka juga terkenal dengan taktik dan strategi perang serta inovasi persenjataan yang dianggap canggih pada zamannya.

Satu daripada penemuan menakjubkan yang membuktikan fakta itu ialah meriam raksasa dari zaman Turki Uthmaniah lebih dikenali dengan nama ‘The Great Bombard’ yang menggunakan ubat bedil seberat 1,600 kilogram sebagai pelurunya.

Ilmuwan Islam menemuinya pada abad ke-12 bersama penemuan lain membuktikan perkembangan teknologi ketenteraan Islam pada zaman itu. ‘The Great Bombard’ ialah teknologi paling tersohor, hinggakan mendengar namanya saja membuatkan musuh ketakutan.

The Great Bombard diakui teknologi artileri paling maju dan paling kuat ketika itu yang digunakan oleh Kerajaan Turki Uthmaniah untuk merampas semula Kota Constantinople pada 1453 daripada tangan tentera Salib.

Artileri legenda yang sangat berat itu yang juga terkenal dengan nama “The Great Turkish Bombard” dan ketika perang melawan kerajaan Britain pada 1807, ia terkenal dengan nama “Dardanella Gun” kerana perang berlaku di Selat Dardanella.

Bangsa Eropah menggelarnya dengan nama “Muhammad Gun” kerana ia membuatkan jeneral perang dan tenteranya sudah boleh membayangkan bagaimana kapal perang dan kubu pertahanan mereka akan hancur berkecai jika terkena tembakan meriam raksasa itu.

Senjata raksasa itu bukan setakat gah dari segi saiznya, tetapi nama besar yang dilabel memang setaraf dengan kemampuannya, sekali gus membuktikan perancangan membinanya yang dirancang oleh jurutera, Munir Ali pada 1450 memang berhasil.

Mempunyai saiz panjang 518 sentimeter (sm) (kaliber 8,2) dan berat 18,6 tan, senjata itu mempunyai dua bahagian iaitu laras dan selongsong di belakangnya.

Bahagian laras digunakan untuk menembak peluru yang dibuat daripada bola granit raksasa dengan berat dianggarkan antara 300 hingga 1,600 kilo, manakala bahagian selongsong pula mampu menampung tujuh bola granit raksasa (ubat bedil) atau 15 bola granit ukuran kecil pada satu-satu masa.

Disebabkan saiznya yang terlalu besar, meriam itu hanya boleh melepaskan tembakan maksimum 15 kali sehari saja, namun kemampuan jarak tembakannya sangat luar biasa pada ketika itu dengan mencapai jarak 1,760 ela (satu batu atau 1.61 kilometer).

Difahamkan, setiap kali tembakan dilepaskan, ia memerlukan serbuk belerang yang cukup banyak bertujuan memberikan tenaga maksimum untuk meletup dan melepaskan tembakan.

The Great Bombard dibuat daripada bahan logam terbaik iaitu campuran tembaga dengan timah putih dan gangsa. Tukang besi yang membina dan menempanya juga dipilih di kalangan yang terbaik pernah hidup pada zaman itu.

Apa yang membuatkan meriam itu berbeza daripada meriam lain ialah ukiran seni yang mengandungi unsur kebudayaan Islam pada zaman itu.

Kekuatan dan kemampuan membolehkan ia cukup sesuai untuk diletakkan di mana-mana saja ruang pertahanan, di darat, di pantai atau di atas kapal perang ketika digunakan untuk menyerang kubu musuh atau pertempuran di laut.

Kapal perang Turki yang membawa meriam itu cuma terdiri daripada kapal jenis galleon dan monitor, setaraf dengan keupayaannya membawa meriam besar dengan tentera yang ramai.

Ketika ‘Pertempuran Dardanella’, meriam itu menenggelamkan enam kapal Sir John Ducksworth kerana keupayaan melepaskan tembakan melepasi selat kecil melalui strategi menyerang jarak jauh.

Pada 1866, Sultan Abdul Aziz memberikan satu daripada ‘The Great Bombard’ yang digunakan dalam Perang Dardanella kepada Ratu Victoria ketika kunjungan hormatnya ke Britain.

Kini, The Great Bombard atau Dardanella Gun itu boleh dilihat di Fort Nelson, Portsmouth, England dan menjadi sebahagian daripada koleksi paling berharga Angkatan Tentera Diraja Britain.

Bahkan, pada zaman moden ini, namanya tetap dikenang dan cukup popular di kalangan penggemar permainan video RTS (Real Time Strategy) seperti Age of Empire dan Rise of the Nations.

Ini kerana hanya pemain yang berkemampuan tinggi boleh mencapai tahap mampu memiliki senjata artileri paling ampuh pada abad ke 15 hingga 18 itu dan dianggap kejayaan terbesar jika memilikinya, setaraf dengan sejarah agungnya yang sentiasa digeruni lawan.

Permainan Tradisional; Masih Ingatkah Kita?

SECARA asas, permainan tradisional masa lapang boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu yang menggunakan peralatan, berteraskan alam semula jadi dan bermain sambil menyanyi atau berdialog.

Wau, congkak, gasing, tarik upih pinang dan ting ting adalah antara permainan menggunakan peralatan paling popular di kalangan kanak-kanak dan dewasa, manakala laga ikan, main sorok-sorok dan helang dengan ibu ayam antara permainan berunsurkan alam semula jadi paling kerap dimainkan.

Sementara permainan yang memerlukan nyanyian atau dialog untuk menyempurnakan keseronokan termasuk mencari cucu, enjit-enjit semut dan tom tom bak.

Biarpun cuma sekadar permainan mengisi masa lapang, ia masih mempunyai peraturan untuk dipatuhi dan pemain yang melanggarnya berdepan risiko disingkirkan atau lebih buruk dipulaukan untuk beberapa ketika.

Tiada perkataan dapat diucapkan untuk menggambarkan keseronokan bermain tarik upih pinang yang menggunakan pelepah pinang sebagai satu-satunya asas menjayakan permainan itu.

Ia memerlukan seorang pemain duduk di pangkal pelepah pinang, manakala rakan sepasukannya akan menarik pelepah itu sehingga ke garisan penamat yang dipersetujui kedua-dua pasukan.

Sesampai di garisan penamat, kedudukan akan bertukar dan si penarik upih kini mengambil giliran duduk di pangkal pelepah dan ditarik ke garisan mula. Pasukan yang sampai dulu dikira pemenang.

Bagi permainan yang menjadikan alam semula jadi sebagai latarnya, kisah helang dengan ibu ayam antara yang kerap dimainkan kanak-kanak perempuan.

Ia memerlukan seorang kanak-kanak menjadi helang dan beberapa lagi menjadi ibu dan anak ayam. Dalam permainan ini, helang akan cuba menyentuh anak ayam yang berada di belakang ibu ayam yang sedaya upaya melindungi anak-anaknya dengan mendepakan tangan. Anak ayam akan memeluk pinggan pemain di depan dan bergerak mengikut pergerakan si ibu untuk menyelamatkan diri.

Sekiranya helang berjaya menangkap anak ayam, kanak-kanak itu berkenaan akan bertukar peranan menjadi helang.

Permainan tom tom bak yang diangkat menjadi tajuk rancangan popular kanak-kanak di stesen televisyen berbayar dijayakan dengan sebilangan kecil kanak-kanak yang duduk membentuk satu bulatan kecil.

Masing-masing menggenggam kedua-dua tangan dan menyusunnya berselang seli secara menegak diikuti dengan nyanyian tom tom bak.

Tangan pemain di bawah sekali akan dibuka setiap kali lagu habis dinyanyikan dan begitulah seterusnya sehingga semua pemain membuka genggaman masing-masing.

Selepas itu mereka meneruskan permainan dengan menggerakkan tangan beramai-ramai dalam satu pusingan kecil sambil bernyanyi. Selesai menyanyi, semua pemain mengangkat tangan dan berdiam diri kerana pemain yang bersuara akan dicubit oleh rakan-rakan sepermainan yang lain.

Tuesday, 9 February 2010

Sistem Pendidikan Pondok

Sistem pendidikan pondok merupakan institusi pendidikan atau pusat pengajian formal terawal di nusantara yang memfokuskan kepada aspek ilmu-ilmu Islam.

Di Pattani dan Tanah Melayu, pusat pengajian ini dinamakan sebagai 'pondok'. Sementara di Jawa, dinamakan dengan 'pesantren' dan di Acheh dikenali sebagai 'dayah'.

Mata pelajaran yang diajar di pondok antaranya ialah Feqah, Usuludn, Tasauf, Hadis dan Tafsir. Bahasa pengantarnya ialah bahasa Melayu dan bahasa Arab.

Keperluan asas di pondok seperti makan minum, lazimnya disediakan oleh pelajar sendiri.

Yee Sang: Makanan Warisan 1500 Tahun Dahulu

SETIAP kali tibanya Tahun Baru Cina, Yee Sang merupakan makanan tradisi yang pastinya menjadi hidangan utama ketika makan besar pada malam sebelum sambutan perayaan itu.

Hidangan Yee Sang dipercayai dicipta kira-kira 1,500 tahun lampau di kawasan pantai selatan China terutamanya di wilayah Chaozhou dan Shantou semasa pemerintahan Dinasti Song.

Menurut sejarahnya, idea menghasilkan hidangan ini muncul kerana terdapat lebihan makanan seperti keropok, lobak merah, lobak putih, limau bali, halia dan sebagainya selepas merayakan Tahun Baru Cina.

Disebabkan tidak mahu membazir, mereka mencampur saki baki makanan itu dan ditambah dengan perasa seperti sos pelam, lada hitam dan putih serta minyak untuk membangkitkan rasa. Dengan itu terhasillah hidangan unik yang dipercayai membawa kemakmuran, kemewahan dan tuah dalam masyarakat tersebut.

Dalam kalangan masyarakat Cina, mereka begitu menekankan hidangan ini kerana dengan menjamah Yee Sang, mereka percaya hidup seseorang akan diberkati dengan kesejahteraan serta dipanjangkan umur.

Dahulu, hidangan Yee Sang hanya dihidangkan semasa Tahun Baru Cina namun seiring dengan trend semasa dan peredaran masa, Yee Sang mula dijual di restoran-restoran Cina, hotel-hotel dan gedung membeli-belah kira-kira sebulan sebelum tibanya hari perayaan.

Tradisi Usung Rumah

APABILA Ramli Ismail mahu memindahkan rumah papannya, beliau menghebahkan hasratnya kepada penduduk Wang Belimbing.

Jumaat lepas, beliau memaklumkan hasratnya di masjid dan memberitahu rakannya di penduduk itu apabila menemui mereka termasuk berkunjung dari rumah ke rumah.

Hari ini, lebih daripada 250 penduduk kampung berkumpul seawal 7 pagi bagi memindahkan rumahnya yang terletak di pinggir bukit secara mengusungnya beramai-ramai ke lokasi baru sejauh kira-kira 10 meter dari tapak asal.

Kegiatan usung rumah secara tradisional ini masih dipraktikkan di Perlis.

Ramli, 44, yang ditemui Bernama berkata, rumah berusia lebih 40 tahun itu dibeli daripada seorang penduduk tempatan dengan harga RM600 untuk diduduki salah seorang anaknya.

Ramli yang bekerja sendiri itu bersyukur kerana kegiatan seumpama itu telah merapatkan hubungan penduduk tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Selepas selesai kerja mengusung rumah, orang ramai disajikan dengan jamuan yang disediakan secara gotong royong oleh penduduk.

Katanya, kegiatan gotong royong dan mengusung rumah di Wang Belimbing sentiasa segar dan Jumaat lalu, sebuah rumah penduduk kampung itu telah diusung secara bergotong-royong.

Selain rumah, mereka turut mengusung sebuah jelapang padi secara bergotong royong di lokasi yang sama.

Sumber: Mstar Online, Isnin, 8/2/2010

Sunday, 7 February 2010

Penemuan Rangka Manusia Zaman Mesolitik di Malaysia

Sekumpulan arkeologis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang menjalankan kerja-kerja ekskavasi di Gua Bewah, Tasik Kenyir sejak tiga bulan lepas, menemui rangka manusia yang dipercayai dari zaman Mesolitik.

Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu (Atma) UKM, Prof Datuk Dr. Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman berkata, rangka manusia zaman Mesolitik yang dipercayai remaja itu dianggar berusia 8,000 hingga 11,000 tahun.

Rangka manusia tersebut yang disemadikan dalam keadaan meringkuk seperti bayi di dalam kandungan ditemui di Gua Bewah, Tasik Kenyir, November tahun lalu.

Dengan penemuan rangka manusia zaman prasejarah itu, ia membuktikan wujudnya kawasan penempatan manusia zaman Mesolitik di negara kita.

Semasa ditemui, rangka berada dalam posisi yang dipercayai merupakan cara masyarakat zaman tersebut mengkebumikan mayat.

Rangka tersebut ditemui pada kedalaman 75 sentimeter dan ia merupakan penemuan terbesar selepas rangka pertama yang ditemui pada tahun 1975 di Gua Batu Tok Bidan berdekatan gua tersebut

Dengan usaha eskavasi ini, ia menjadi penemuan penting sejarah ketamadunan manusia di Malaysia.

Sila baca juga:
1) Rangka Manusia Zaman Mesolitik di Gua Bewah
2) Rangka manusia berusia 8,000 tahun ditemui
3) Rangka Manusia Zaman Mesolitik Ditemui Di Gua Bewah

Cipta Sejarah: Ainan Bergelar Mahasiswa

Pada usia tujuh tahun, Ainan mula mendapat perhatian dunia kerana kepintaran luar biasanya dan menjadi kanak-kanak termuda lulus subjek kimia di peringkat GCE O-Level. Hari ini dia mengukir satu sejarah lagi apabila bergelar mahasiswa universiti.

Ainan mula merangkak pada usia empat bulan, berjalan ketika enam bulan dan berlari ketika lapan bulan. Malah, pada usia Ainan mencecah enam tahun, dia mula menunjukkan minat membaca buku kimia.

Untuk membaca lanjut, sila klik di sini..

Tuesday, 2 February 2010

Keperluan Kepada Pemimpin


Antara persoalan pokok dalam falsafah politik ialah kewujudan pemimpin. Mengapakah manusia perlu kepada pemimpin? Mengapakah pemimpin wujud?

Sesungguhnya ini adalah persoalan penting yang membawa kita kepada persoalan kedua: Bagaimanakah mereka itu muncul?

Ibnu Sina di bahagian akhir dari bukunya, al-Shifa' yang bertajuk ilahiyat (metaphysic), menjelaskan kenapa rakyat memerlukan kepada pemimpin.

Beliau mengambil punca-punca awal kehidupan manusia serta tabiat mereka untuk mengesahkan perlunya kelahiran seorang pemimpin berkaliber untuk menjamin kelangsungan hidup (survival) rakyat dan negara.

Sebagaimana Plato dan al-Farabi, Ibnu Sina juga bersetuju bahawa manusia mustahil boleh hidup dengan baik secara berseorangan iaitu hidup sendirian. Ia memerlukan orang lain yang berperanan secara timbal-balas (mutual-help)

Plato dalam tradisi intelektual Greek terlebih dahulu membawa gagasan "Mutual-help" dalam teori a "Polis"nya. Sikap saling memenuhi dan tolong-menolong menjadi elemen penting untuk mencapai kesempurnaan. David Melling meringkaskan idea tersebut seperti berikut:

"In the Republic, Plato presents a sustained and developed discussionof the nature of justice. Socrates constructs an account of the origin of the polis.

Individual human beings are not self-sufficient; alone, they are unable to fulfil their own needs. Human beings gather in communities, helping each other to satisfy their needs. They freely exchange mutual help to mutual advantage. A settled community of human beings co-operating together to fulfil their needs and to promote their common welfare is what we call a polis.

There are various different jobs which need to be done of the variety of different human human needs is to be fulfilled. Human beings need food to eat. clothing to wear, houses to live in. It would be possible for an individual person to spend part of his or her time in producing food, in making clothes, in building houses.

In a settled community the variety of forms of work essential to the community's economic life should ideally be performed by individuals who specialize in particular kinds of work. The specialist who applies his skills in a field of activity to which he is particularly suited can develop those skills to ensure his work is of a high standard. A settled community in which individual members specialize in work for which they are suited will provide a better basis for the fulfilment of the economic needs of its members than would a community of inviduals each of whom engaged himself in the whole range of tasks required in order to provide him with food, clothing, and shelter and to fulfil all his other needs.

A polis is a settled community of human beings whose economic functions are differentiated and specialized so that the needs of the members of the community are fulfilled. Sucj a community could be very small; Socrates argues it would be possible to have a polis of no more than a handful of members, since such a population would be sufficient to fulfil all the basic economic needs of the community. A farmer to produce food, a tailor and a shoemaker to produce clothing, a builder to build houses, a toolmaker to provide tools, and a merchant to trade and barter would seem to provide all the basic economic functions to allow the basic needs of a community to be met". (David J. Melling. Understanding PLATO. Oxford Univ. Press; Oxford, New York, 1987).

Negeri-Negeri Selat

Negeri-Negeri Selat terdiri daripada Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Pusat pentadbirannya di peringkat awal ialah di Pulau Pinang.

Selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Pulau Pinang ditadbir oleh Leftenan Gabenor sementara Melaka dan Singapura ditadbir oleh Residen.

Pada tahun 1826, ketiga-tiga negeri tersebut digabungkan bagi membentuk Negeri-negeri Selat. Penggabungan itu bertujuan untuk menyeragamkan serta menjimatkan perbelanjaan pentadbiran.

Pemindahan pentadbiran ke London pada tahun 1867 adalah kerana Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) di India tidak mengambil berat kebajikan Negeri-Negeri Selat. Desakan oleh para saudagar yang tidak berpuas hati dengan dasar Pejabat Tanah Jajahan British di India dan cadangan Syarikat Hindia Timur Inggeris untuk menghapus taraf pelabuhan bebas Singapura mengancam kemajuan perdagangan di Negeri-Negeri Selat.

Kemasukan pendatang dari China secara tidak terkawal menyebabkan berlaku kekacauan akibat penubuhan kongsi gelap dan penduduk membantah tindakan Pejabat Tanah Jajahan British di India yang menjadikan Singapura sebagai tempat pembuangan banduan dari India telah mempercepatkan pemindahan pusat pentadbirannya ke London.