"..Salam Ukhuwwah fillah. Selamat datang ke gerbang Salam Sejarah2u. Anda adalah dialu-alukan untuk berkongsi ilmu dan pandangan demi memartabatkan kegemilangan Ummah untuk generasi masa hadapan.." - Isharuddin Ismail - "Ingat Sejarah..., Ingat SEJARAH2U". :-)
Thursday, 24 April 2008
Keunikan Seni Bina Turki
Kehebatan reka bentuk bangunan, istana lama serta pemandangan indah tarikan luar biasa di Istanbul
ANDA pencinta seni bina dan suka melawat tempat bersejarah. Oleh itu, apa kata cari masa untuk mengunjungi Turki yang memang terkenal dengan keunikan seni bina bangunan yang indah.
Satu daripada wilayah yang menyimpan khazanah seni bina indah adalah Marmara, iaitu daerah menempatkan ibu kota Istanbul .
Istanbul bukan saja terkenal dengan seni bina mengagumkan di Turki, malah ia dikenali sebagai bandar dua benua yang mana sebahagian daripadanya terletak di benua Asia dan separuh lagi di Eropah. Tarikan utama Istanbul adalah Selat Bosphorus terletak di antara Laut Hitam dan Laut Marmara serta muara sungai dikenali sebagai Golden Horn (Tanduk Emas).
Istanbul yang dulunya adalah ibu negeri tiga empayar pemerintahan Roman, Byzantine dan Kerajaan Othmaniah kini menjadi destinasi pelancongan yang kaya dengan warisan masa lampaunya.
Istanbul mempunyai kepelbagaian tarikan pelancongan seperti istana lama, monumen bersejarah, muzium, gereja, masjid, bazar dan pemandangan indah alam yang tidak mungkin anda dapat dilihat di tempat lain di dunia.
Kelebihan berkenaan menjadikan Istanbul destinasi popular yang sering menjadi pilihan pelancong di seluruh dunia. Malah, kebanyakan pelancong menamakan Istanbul sebagai tempat paling mempesona di dunia.
Apabila anda berkunjung ke Istanbul jangan sesekali melepaskan peluang melawat istana sekitar bandar berkenaan terutama Istana Topkapi yang menjadi mercu utama Empayar Othmaniah pada kurun ke-15 dan 19.
Istana itu kini menempatkan dewan, perpustakaan Ahmet III dan ruang pameran pakaian keluarga Raja, batu permata terkenal simpanan keluarga Raja dan koleksi kecil manuskrip zaman pertengahan.
Di tengah istana berkenaan terletaknya Pavilion Holy Mantle yang mengabadikan peninggalan Nabi Muhammed SAW ketika zaman Othmaniah menjadi Khalifah Islam. Ia dibuka setiap hari kecuali Selasa.
Selain Topkapi anda juga boleh melawat Istana Dolmabahce yang dibina Sultan Abdulmecit I pada pertengahan kurun ke-19, mengunjur 600 meter menghadap selat Bosphorus.
Istana berkenaan mempunyai koleksi candelier kristal seberat empat setengah tan dengan 750 lampu yang sungguh mengagumkan. Malah, jika anda bertuah, akan dapat melihat burung dari seluruh dunia berkumpul di Astaka Burung di dalam istana ini. Istana ini dibuka setiap hari kecuali Isnin dan Khamis
Dalam abad ke-19 pula, Sultan Abdulaziz membina Istana Beylerbeyi, yang dilengkapi dengan batu marmar putih di serikan dengan taman magnolia di tengah-tengahnya mengunjur sehingga ke Selat Bosphorus sebelah Asia.
Malah, di sini terletaknya kediaman musim panas Sultan yang menjadi penginapan untuk pembesar asing yang melawat negara itu. Maharani Eugenie Perancis adalah antara penginap utama di sini, ketika itu. Ia dibuka setiap hari kecuali Isnin dan Khamis
Selain itu, kunjungilah State Pavilions di kompleks Istana Yildiz, yang turut menempatkan astaka dan sebuah masjid. Istana ini dibina Abdulhamit 11 pada akhir abad ke-19.
Di dalam istana ini terdapat bangunan di kenali sebagai The Sale, iaitu binaan terbesar dan paling indah yang menampilkan kehidupan mewah Sultan yang turut menjadi tempat berlibur golongan Raja, waktu itu.
Bangunan ini dilengkapi taman bunga yang besar dengan koleksi pelbagai jenis pokok dari seluruh dunia menjadikan istana ini antara yang tercantik di selat Bosphorus.
Namun, istana ini sedang dibaik pulih dan pengunjung hanya boleh melawat The Sale dan taman bunga saja yang di buka kepada orang ramai pada setiap hari kecuali Selasa.
Satu lagi istana yang perlu dikunjungi Istana Goksu atau lebih dikenali sebagai Kucuksu, mendapat namanya daripada nama anak sungai berhampiran Selat Bosphorus.
Istana ini dibina Abdulmecit I dalam pertengahan abad ke-19 yang digunakan sebagai istana hinggap musim panas yang dibuka kepada umum setiap hari kecuali Isnin dan Khamis.
Istana yang menampilkan ciri sebenar seni bina Turki pula dikenali sebagai Aynali Kavak Summer Pavilion terletak di Golden Horn. Ia dibuka kepada pelancong setiap hari kecuali Isnin dan Khamis.
Mengikut sejarah, istana ini di bina pada abad ke-18 dan menjadi kediaman rasmi beberapa Sultan yang kemudian dikenali Istana Mirrored Poplar, selepas cermin yang dihadiahkan kerajaan Venice dipasang di istana itu pada 1718.
Kunjungan ke Istanbul pastinya lebih menarik jika anda singgah ke Masjid Biru yang diiktiraf sebagai tinggalan seni bina agung dunia selain Hagia Sophia yang menjadi landskap kebanggaan Turki.
Hagia Sophia adalah lambang toleransi agama dan masyarakatnya yang dahulunya dibina penganut Kristian Ortodok sebagai gereja oleh Justinian I pada 537 Sebelum Masihi (SM). Kemudian ia dijadikan masjid ketika zaman pemerintahan Othmaniah.
Hagia Sophia sering diingati bukan kerana sejarahnya tetapi kubah utamanya yang besar dan cantik. Ia disokong oleh 40 tingkap yang membolehkan cahaya matahari menerobos masuk ke bahagian dalam. Dari jauh,kubah itu kelihatan `terapung'.
Banyak lagi monumen dan bangunan bersejarah yang menarik yang mempunyai keunikan tersendiri yang tidak dapat di tempat lain. Maka, apa kata anda dapatkan maklumat lanjut mengenai Turki di laman webnya di www.tourismturkey.org
INFO: Seni bina Istanbul
- Istana Topkapi menjadi mercu utama Empayar Othmaniah pada kurun ke-15 dan 19 di
Turki.
- Pengasas Turki Moden, Mustapa Kamal Ataturk, ditemui mati Istana Dolmabahce pada 10 November 1938.
- Sultan Abdulaziz membina Istana Beylerbeyi, dilengkapi dengan batu marmar putih di
serikan dengan taman magnolia di tengah-tengahnya mengunjur sehingga ke Selat
Bosphorus sebelah Asia pada abad ke-19.
- Istana Goksu atau lebih dikenali sebagai Kucuksu, mendapat namanya daripada nama
anak sungai berhampiran Selat Bosphorus.
- Istana yang menampilkan ciri sebenar seni bina Turki pula dikenali sebagai Aynali
Kavak Summer Pavilion terletak di Golden Horn
- Istana Yildiz dibina Abdulhamit 11 pada akhir abad ke-19 menempatkan astaka dan
sebuah masjid.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Destinasi/20080420101647/Article
No comments:
Post a Comment