Friday, 27 June 2008

Isu Pulau Batu Putih: Kita Berputih Mata!!





Dalam peta Malaysia yang terkini, ditunjukkan dengan jelas kedudukan Pulau Batu Putih (White Rock Island) dan pulau ini asalnya kelihatan berwarna putih kesan tompokan-tompokan najis burung- burung laut sebab itulah dinamakan Pulau Batu Putih. Ahli-ahli pelayaran Portugis pula memanggil pulau itu Pedra Branca dan nama itulah yang digunakan oleh Singapura hingga sekarang.

Pulau ini adalah kosong tanpa hidupan dan tumbuhan, yang ada hanyalah rumah api di pulau tersebut. Keluasannya juga cuma seluas padang bola,tapi kedudukan pulau itu yang amat strategik menjadi penyebab pertikaian di antara Malaysia dan Singapura berhubung siapa pemiliknya.

Kemudian, Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan untuk mengemukakan tuntutan masing-masing ke atas Pulau Batu Putih kepada ICJ di The Hague dengan memeterai perjanjian mengenai perkara tersebut di Wisma Putra, Putrajaya pada 6 Februari 2003.
Menteri Luar bagi kedua-dua negara juga sudah memberikan persetujuan bahawa apa jua keputusan yang bakal diumumkan, maka keduanya akan menerima dengan hati yang terbuka. diharapkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura tetap kekal sepeti sekarang.
Apakah pentingnya Pulau Batu Putih ni kepada Malaysia?

Lokasi Batu Putih yang amat strategik untuk mengawal laluan keluar masuk ke selat Tebrau, Kepulauan Riau, dan Laut China Selatan. Lebih spesifik, dari kedudukan pulau tersebut, pemantauan 24 jam dapat dilakukan terhadap keluar masuk aset maritim termasuk juga aset Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dari KD Sultan Ismail atau Pangkalan TLDM Tanjung Pengelih. Malaysia juga boleh meletakkan peranti elektronik dan radar maritim yang berkuasa tinggi untuk melaksanakan “electronics intelligence” dari lokasi rumah api tersebut .

Kedudukannya amat strategik bagi kedua-dua negara kerana ia akan menjadi batu penanda wilayah marin kepada sempadan masing-masing. Sekiranya kes ini dimenangi oleh Singapura, keluasan perairannya akan memanjang sehingga ke Pulau Batu Putih. Hal ini pasti memberi kesan kepada industri maritim Malaysia termasuk para nelayan di Johor Darul Takzim.

Pada 23hb Mei lalu iaitu pada hari Jumaat, kes pertikaian mengenai tuntutan bertindih Pulau Batu Putih antara Malaysia dan Singapura telah diputuskan dan RTM1 telah menyiarkannya secara langsung. Keputusan penghakiman dari The Hague, Belanda pada jam 6 ptg telah memutuskan bahawa Singapura diberi hak ke atas Pulau Batu Putih sementara Malaysia hanya berhak ke atas Pulau Terumbu karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan sahaja yang kedua-duanya hanya akan timbul jika air laut surut dan kembali tenggelam jika air pasang.

No comments:

Post a Comment