PM cadang pendedahan kepada murid di sekolah rendah
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan mata pelajaran sejarah diwajibkan di semua sekolah rendah di seluruh negara bagi mendedahkan pelajar kepada sejarah pembangunan negara bermula daripada peringkat umur rendah.
Perdana Menteri berkata, kaedah pengajaran mata pelajaran itu juga perlu dilakukan secara lebih menarik untuk menanam minat pelajar, manakala kurikulum mata pelajaran diperkasakan.
"Sejarah bangsa dan negara kita amat bernilai untuk difahami... kata orang, kita perlu belajar daripada sejarah, jika tidak kita mungkin mengulangi kesilapan lampau.
"Sejarah adalah elemen penting dalam peradaban bangsa. Generasi muda perlu mendalami pengetahuan mengenai sejarah bangsa dan pembangunan negara," katanya ketika berucap merasmikan Wisma Sejarah di Jalan Tun Razak di sini, semalam.
Bangunan milik Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) yang dibina dengan kos RM20 juta siap dibina pada 2003. Turut hadir pada majlis itu Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.
Abdullah yang juga Presiden PSM berkata, pembelajaran sejarah di sekolah rendah perlu kerana lazimnya pelajar yang mengikuti aliran sains di sekolah menengah sehingga ke peringkat pengajian tinggi dan seterusnya memasuki alam pekerjaan, tidak terdedah kepada mata pelajaran sejarah.
"Apabila mereka ikuti sains, maka sains yang diikuti sehingga ke universiti dan bekerja... tak terdedah kepada yang lain," katanya.
Hishammuddin yang ditemui kemudian bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri, dan berkata pengenalan mata pelajaran sejarah di sekolah rendah adalah sebahagian transformasi pendidikan yang sedang dirintis kementerian menjelang 2010 melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).
"Cara bagaimana mata pelajaran itu disuntik pada peringkat kurikulum sedang dirintis, termasuk perbincangan dengan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, dengan mengambil kira kekangan termasuk guru," katanya.
Sumber: Berita Harian, 14 Okt 2008
Berita Mutakhir:
Subjek Sejarah dimasukkan dalam UPSR
KUALA LUMPUR: Mata pelajaran Sejarah akan dimasukkan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) apabila subjek itu diajar secara khusus bermula pada Tahun 3 pada 2010.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, berkata perkara itu sedang dikaji dalam Transformasi Kurikulum Sekolah Rendah yang dijangka akan beroperasi, dua tahun lagi.
Sumber: Berita Harian, 16 Okt 2008
No comments:
Post a Comment