Wednesday, 3 December 2008

Talqin Terakhir untuk Bahasa Melayu??

Menurut satu teori sejarah yang kuat, bahasa Melayu dikatakan berpunca daripada bahasa Austronesia, yakni asal usul bangsa Melayu yang berasal dari daerah Yunnan (bermaksud awan selatan) di China. Kemudiannya, bangsa Melayu yang datang dari Yunnan ini digelar sebagai Melayu Proto setelah berhijrah ke Asia Tenggara ketika zaman batu sehingga terbentuknya masyarakat Melayu Asli di Semenanjung Malaysia, dayak di Sarawak, Batak dan Komering di Sumatera.


Kata nama Austronesia itu sendiri membawa maksud ‘Kepulauan Selatan’, diterjemahkan daripada Bahasa Latin, ‘australis’ yang bermaksud ‘selatan’ dan bahasa Yunani, ‘nesos’ yang bermaksud ‘pulau’. Bahasa bangsa Austronesia itu dikatakan tersebar luas ke merata dunia, dari Taiwan dan Hawaii di hujung utara sehinggalah ke Selandia Baru (Aotearoa) di hujung selatan dan dari Madagaskar di hujung barat sehinggalah ke Pulau Paskah (Rapanui) di hujung timur.

Menurut tokoh bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam kategori atau filum bahasa Austris yang diletakkan bersama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China. Bahasa Melayu termasuk di dalam bahasa-bahasa golongan Sumatera bersama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.

Justeru itu, status Bahasa Melayu di Malaysia sepatutnya dipertahankan dan diangkat oleh semua bangsa yang mengaku dirinya warganegara Malaysia kerana citra bangsa dan nilai ketamadunan tanah airnya.

Hujah pihak-pihak tertentu yang cuba mempertikaikan hak Bahasa Melayu dengan alasan ia milik bangsa Melayu sahaja dan cuba menenggelamkan hak bahasa etnik lain adalah tidak dapat diterima sama sekali.

Pemikiran cetek golongan yang mengatakan ketidakupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu serta penyatuan bangsa adalah pendapat individu yang tidak sedar di mana tempatnya berdiri. Semasa kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dahulu, Bahasa Melayu berkembang kerana kekuatan dan keyakinan penutur-penuturnya bereksperimen dan berpencak dalam memperkayakan perbendaharaan bahasa itu sendiri. Ketika itu Bahasa Melayu seakan air, ia mengalir laju tanpa disekat. Bahasa Melayu dipertuturkan dengan penuh yakin, mesra dan tanpa prasangka oleh semua bangsa sehingga dimartabatkan sebagai 'lingua franca'.

Realitinya, ketika Bahasa Melayu diinjak dan dihumban, ia cuma dibela oleh pejuang-pejuang bahasa kebangsaan, melaung-laung apa yang termaktub dalam perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, ‘bahasa kebangsaan (Malaysia) ialah bahasa Melayu’ yang terdiri di kalangan bangsa Melayu semata-mata.

Bahasa Melayu kita di mana sekarang? Yang boleh berbahasa Melayu semakin tergeliat lidah menuturkannya, bahkan lebih berbangga bila dapat bertutur selain bahasa Melayu. Lebih ironi lagi, bila Bahasa ibunda sendiri dikatakan tidak mampu menyerap istilah-istilah sains dan teknologi. Sudahnya, ia dinisankan di tanah airnya sendiri. Apakah pemimpin-pemimpin negara tidak sedar bahawa bahasa merupakan medium utama mengeratkan integrasi kaum?

Bahasa Melayu di tanah airnya sendiri bagaikan pendekar tua yang ditujah keris, tombak dan parang oleh warganya dan dibiarkan mati perlahan-lahan untuk talqin terakhir.

Teringat penulis kepada satu ungkapan ayat yang bukanlah lahir daripada cendekiawan Melayu, tetapi daripada seorang lelaki asing, Sir Frank A Swettenham, Residen-Jeneral British pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu, dipetik dari bukunya, ‘Malay Sketches’ yang berbunyi:

“Jika kita ingin memahami orang Melayu, kita perlu tinggal di negerinya, bertutur bahasanya, menghormati agamanya, meminati apa yang diminatinya, melayan apa yang disukai dan tidak disukainya, bersimpati dengannya dan menolongnya dalam kesusahan, sama-sama merasai keseronokan dan mungkin juga menanggung kerugiannya. Hanya dengan kepercayaannya inilah kita dapat memahami jiwanya dan pengetahuan seperti ini hanya boleh didapati oleh orang yang diberikan peluang tersebut dan menggunakannya dengan sebaik-baiknya.”

Sama-samalah kita fikir-fikirkan...

No comments:

Post a Comment