
Jumaat, 3 April 2009: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun.
Najib,55, mengangkat sumpah jawatan dan sumpah menyimpan rahsia sebagai Perdana Menteri Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada pukul 10:12 pagi tadi.
Upacara yang penuh adat istiadat itu berlangsung di Balai Rong Seri Istana Negara di sini.
Najib mencipta sejarah kerana mewarisi bapanya, Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan Perdana Menteri kedua.
Najib menyertai politik secara aktif selepas Tun Abd Razak meninggal dunia.
Upacara bersejarah itu bermula pukul 10 tadi dengan disiarkan secara langsung oleh RTM.
Sebelum ini, Najib yang mengambil alih jawatan Presiden Umno daripada Abdullah pada Perhimpunan Agung Umno minggu lepas, turut menghadap Seri Paduka di Istana Negara, selepas istiadat menghadap oleh Abdullah pada pagi semalam.
Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri kelima menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Oktober 2003.
Sumber: mStar Online
No comments:
Post a Comment