Salam ukhuwwah dan sejahtera buat semua pengunjung setia Sejarah2u.
Semalam, bersamaan 7 April telah mencipta sejarah bila negara kita mengadakan tiga pilihan raya kecil secara serentak pada hari yang sama.
Pilihan raya kecil ini disebabkan oleh kematian penyandang (Batang Ai , Bukit Gantang) dan perletakan jawatan ADUN Bukit Selambau, V Arumugam. Mengikut perlembagaan, Suruhanjaya Pilihan Raya mesti mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari sebaik disahkan kerusi-kerusi tersebut kosong.
Secara zahirnya, kelihatan dua parti komponen telah 'berpencak' dengan hebatnya iaitu antara parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), namun hakikatnya ia adalah manifestasi suara rakyat yang menjunjung perlembagaan dengan menggunakan 'kuasa undi' mereka dalam pilihan raya tersebut.
Keputusannya, PR mengalahkan BN dengan 2-1. BN berjaya menewaskan PR di kerusi DUN Batang Ai, Sarawak bila calonnya Malcom Mussen Lamoh mendapat 3907 undi, sementara lawannya, Jawah Gerang sekadar mendapat 2053 undi dengan undi majoriti yang diperolehi sebanyak 1854.
Bagi keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pula, calon PR dari parti PKR, S. Manikumar telah memperoleh 12632 undi mengatasi lawannya dari BN, Datuk S. Ganesan yang hanya memperolehi 10229 undi. Sementara semua 13 calon bebas lain telah hilang wang deposit, RM5000 seorang serta wang kempen RM3000 seorang kerana mendapat undi yang sangat sedikit marginnya berbanding yang diperolehi oleh kedua-dua calon di atas.
Sementara bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang, calon PR dari PAS iaitu Dato' Seri Ir. Nizar Jamaludin telah berjaya mengalahkan lawannya dari BN, Ismail Saffian dengan mendapat undi sebanyak 21860 berbanding 19071. Undi majoriti yang diperolehi Nizar ialah sebanyak 2789 undi. Calon bebas iaitu Kamarul Ramizu sekadar mendapat 62 undi sahaja dan kehilangan wang deposit.
" Demokrasi itu boleh difahami sebagai..dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat" (Abraham Lincoln)
No comments:
Post a Comment