Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Saturday, 5 September 2009

Bukhara: Kota Tamadun Islam

Unggul sebagai pusat perdagangan dan perkembangan ilmu

TERLETAK di laluan sutera antara China dan Barat, Bukhara mengikut sejarahnya sudah sekian lama menjadi pusat perdagangan, akademik, kebudayaan dan keagamaan.

Dikenali juga sebagai Buhe atau Puhe dalam bahasa China Tang, ada sumber yang berhujah nama Bukhara mungkin berasal daripada bahasa Tajik Soghdian yang bermaksud Bumi Bertuah.

Namun ada juga sumber mendakwa asal usul nama wilayah itu daripada perkataan Sanskrit, iaitu Vihara atau kuil berlandaskan kepercayaan yang mengaitkannya dengan agama Buddha sebelum kedatangan Islam ke wilayah itu.

Ada juga mendakwa asal nama wilayah ini adalah daripada bahasa Mongol iaitu Bukhar yang membawa maksud lautan ilmu.

Bukhara ialah bandar oasis purba yang sejak berkurun lama unggul sebagai pusat perdagangan dan perkembangan ilmu Islam sehingga digelar Bukhori-i-Sharif atau Bukhori Yang Suci.

Pasukan tentera Islam pertama menjejakkan kaki di Bukhara ialah pada 674 Masihi di bawah pimpinan Ubaidillah bin Ziyad, tetapi pengaruh Islam benar-benar mendominasi wilayah itu pada 710 Masihi di bawah pimpinan Qutaiba bin Muslim.

Seabad selepas berlaku Perang Talas, Islam mulai mengukuh di wilayah ini dan pada 850 Masihi, Bukhara menjadi ibu kota Dinasti Samanid yang menghidupkan kembali bahasa dan budaya Iran di situ.

Sepanjang 150 tahun berkuasa, Dinasti Samanid bukan setakat menjadikan Bukhara sebagai pusat pemerintahan, tetapi juga pusat perdagangan yang menemukan pedagang dari Asia Barat dan Cina.

Kota itu kian berkembang dengan penghasilan kain sutera, tenunan kain kapas, permaidani, produk tembaga dan perhiasan dari emas serta perak, terkenal dengan buah-buahan serta menjadi pusat intelektual dunia Islam.

Ada berpuluh monumen purba yang menjadi saksi akan kehebatan tamadun bandar itu, khususnya selepas bertapaknya Islam di wilayah berkenaan.

Menempatkan tinggalan sejarah dan seni bina mengagumkan, bandar ini antara segelintir tempat di Asia Tengah yang membolehkan seseorang itu merasai kehidupan tradisional rantau berkenaan.

Selepas dikuasai Arab, Bukhara ditawan puak Qarakhanid dan Tatar, manakala pada 1555, kota ini menjadi ibu negeri Uzbekistan sebelum ditawan pula Russia pada 1866.

Pada 1991, Uzbekistan mencapai kemerdekaan daripada Soviet Union dan serentak itu semakin bercambahlah madrasah di Bukhara.

Bagi umat Islam, kota ini pasti mengingatkan kita kepada Imam al-Bukhari yang dilahirkan dengan nama Abu Abdullah Muhammad bin Ismail Al Bukhari pada 13 Syawal 194 Hijrah atau 21 Julai 810.

Menjadi yatim sejak kecil, Imam al-Bukhari amat bijaksana dan mempunyai daya ingatan luar biasa kerana mampu menghafal hadis ketika berusia 10 tahun sehingga mendapat jolokan Amirul Mukminin fil Hadis.

Diceritakan, beliau yang turut menguasai ilmu tafsir dan fikah dengan baik menjadi mangsa fitnah dan diusir daripada tanah kelahirannya sehingga wafat di Khartang berdekatan Samarkand ketika berusia 62 tahun.

Pada era kegemilangannya, Bukhara adalah pusat tamadun Islam terbesar dan paling berpengaruh serta tempat lahirnya cendekiawan Islam terkemuka selain Imam al-Bukhari, iaitu Ibnu Sinna, al-Tarmizi dan ramai lagi.

Bandar ini juga terkenal dengan monumen bersejarah seperti Kubu Kota Ark, Madrasah Mir-i Arab, Chor Minar, Menara Kalyan atau disebut juga Menara Kolon serta Masjid Jumaat.


Kubu Kota Ark yang dikelilingi tembok setinggi 30 meter, dikatakan dibina pada kurun pertama dan pernah menjadi kediaman pemimpin Bukhara, tetapi hampir musnah apabila diserang dan dibom tentera Soviet pada 1920.

Selepas peperangan, kerja pemulihan kota serta kawasan kubu dilakukan dan kini dijadikan muzium, sekali gus membuka pintu rezeki buat penduduk tempatan yang menjual pelbagai jenis cenderahati.

Minaret Kalyan yang berusia 900 tahun setinggi 46 meter pula menjadi struktur paling menonjol selepas Kubu Kota Ark dengan keunikan reka bentuknya yang tersendiri.

Satu masa dulu, ia pernah berfungsi sebagai menara tinjau bagi mengawal keselamatan Bukhara dan turut menempatkan rumah api untuk memandu pedagang di Laluan Sutera.

Menara yang dibina pada 1127 ini dipenuhi ukiran ayat suci al-Quran dan mempunyai 14 lapisan lukisan geometri Islam, kekal utuh hingga kini yang dikatakan hasil campuran tanah liat dan susu unta dalam bahan binaannya.

Sumber: Berita Harian Online

1 comment:

insan pendidik said...

Salam,

tahniah masukkan info tersebut.Banyak pengetahuan. Hakikatnya Islam telah lama bertapak. Tapi apabila runtuhnya Soviet Union barulah Islam mula berkembang pesat di negara bekas Soviet Union itu.