Salam Sejarah buat semua pengunjung Sejarah2u yang dikasihi lagi dihormati. Tip-tip atau panduan menjelang persediaan menhadapi peperiksaan kali ini penulis tujukan buat semua para calon yang bakal menduduki peperiksaan SPM yang semakin hampir tiba.
Harapan penulis agar ia mampu membantu persediaan yang telah sekian lama diusahakan oleh para calon serta dapat menghadirkan kecemerlangan sebagaimana yang dicita-citakan oleh semua. InsyaAllah.
1. Semak Jadual Lengkap Peperiksaan SPM 2009
Semakan ini penting bagi merancang jadual belajar pecutan akhir. Ulangkaji hendaklah dirancang mengikut kertas peperiksaan yang yang akan diduduki terlebih dulu. Rancang dan bincang dengan guru dan ibu bapa supaya jadual terbaik dapat dihasilkan dengan mengambil kira keperluan semua mata pelajaran
2. Teruskan Latihan Sambil Mengulangkaji Secara Konsisten
Teruskan latihan soalan model peperiksaan bagi setiap mata pelajaran. Cubalah menjawab soalan-soalan percubaan peringkat negeri selain soalan peperiksaan sebenar. Semak jawapan dan kukuhkan penguasaan anda dengan membuat semakan dari buku teks atau buku ulangkaji di bahagian soalan yang gagal dijawab. Tindakan ini akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping memanjangkan hayat ingatan anda.
3. Ulangkaji Semua
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. Jangan sekali-kali belajar subjek atau sub-tajuk yang anda sukai, sebaliknya perlu merangkumi semua topik. Semua subjek adalah keutamaan anda.
4. Mengingat dan Membuat Perkaitan
Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda gunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali, membuat akronim, mancipta skrip atau melodi lagu, melakar, mengingat kata kunci dan membuat perkaitan menerusi modul 'pemetaan minda'.
5. Merancang Persiapan Peperiksaan
a. Beberapa minggu sebelum peperiksaan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan di sekolah, rumah, di mana saja manfaatkan masa membaca nota ringkas tapi padat.
b. Jaga kesihatan diri dan tidur yang mencukupi supaya sentiasa sihat, segar dan fokus ketika mengulangkaji dan menduduki peperiksaan.
c. Lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minati seperti perlawanan bola sepak misalnya :).. Jangan lepaskan peluang keemasan ini . Pastikan SPM hanya diambil sekali seumur hidup anda. Tiada ulangan kertas. Na'uzubillah
d. Dapatkan restu ibubapa dan guru serta mohonlah keampunan mereka.
e. Datang lebih awal dan pastikan anda bersarapan. Bawalah semua alat tulis yang anda perlukan seperti pensel, pen, kalkulator, jam (tangan), pemadam, pembaris, dan lain-lainnya. Kelengkapan ini membantu anda fokus sepanjang masa peperiksaan.
f. Tenang dan percayakan diri sendiri. Ingatkan diri anda bahawa anda sudah bersedia dan akan menghadapi peperiksaan dengan baik dan tenang.
g. Prebiu soalan-soalan terlebih dahulu. Luangkan 10% dari keseluruhan waktu peperiksaan untuk membaca soalan-soalan secara mendalam, tandakan kata-kata kunci dan tetapkan berapa lama masa yang diperlukan untuk menjawab setiap soalan.
h. Menjawab soalan yang mudah dahulu, baru soalan yang sukar. Ketika anda membaca soalan, catatkan juga idea-idea yang muncul yang akan digunakan sebagai jawapan.
i. Semasa menjawab soalan aneka pilihan, ketahuilah jawapan yang patut dipilih. Analisa jawapan dan memberi rasional betul atau salah kepada setiap pilihan jawapan . Potong jawapan yang anda tahu salah dan pilih jawapan anda
j. Semasa menjawab soalan esei, fikirkan dulu jawapannya sebelum menulis.
Buat rangka karangan secara ringkas untuk esei dengan mencatat dahulu beberapa idea yang akan ditulis. Kemudian susun idea-idea tersebut mengikut susunan yang mana penting atau perlu dibincangkan dulu.
k. Sisihkan 10% waktu anda untuk memeriksan jawapan .
Pastikan anda telah menjawab semua soalan. Baca sekali lagi jawapan anda untuk memeriksa ejaan, struktur bahasa dan tanda baca atau tanda titik perpuluhan.
l. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah. Fokus pada kertas berikutnya.
6. Banyakkan Berdoa dan Bertawakkal. InsyaAllah anda akan cemerlang
Nota: Jika perlu berlajar lah dalam kumpulan kecil. Yang penting tanamkan azam dan semangat untuk fokus kepada kejayaan cemerlang. Anda memang boleh berjaya …..
No comments:
Post a Comment