Saturday, 10 October 2009

Obama Pemenang Hadiah Keamanan Nobel 2009?

OSLO: Presiden Barack Obama diumumkan pemenang Hadiah Keamanan Nobel 2009 semalam sebagai penghargaan ke atas usaha luar biasa beliau dalam memperkukuhkan diplomasi antarabangsa dan memupuk kerjasama antara negara.

Jawatankuasa Hadiah Nobel Norway berkata usaha presiden Amerika Syarikat (AS) itu untuk memulihkan hubungan dengan dunia Islam dan membendung penularan senjata nuklear adalah antara faktor memihak kepada pemilihannya.

Pemilihan mengejutkan itu menjadikan Obama presiden AS keempat memenangi hadiah berprestij itu selepas Presiden Jimmy Carter (2002), Woodrow Wilson (1919) dan Theodore Roosevelt (1906). Apa yang lebih mengejutkan lagi ialah pencalonan untuk hadiah Nobel itu ditutup pada 1 Februari sedangkan Obama mula memegang jawatan presiden pada 20 Januari, membayangkan sumbangannya untuk 11 hari berkenaan melayakkan beliau merangkul hadiah itu.

Presiden kulit hitam pertama AS itu memang dikaitkan dengan spekulasi untuk memenangi hadiah berkenaan tetapi ramai pemerhati berkata ia adalah terlalu awal untuk beliau mendapat penghargaan itu.

Bagaimanapun jawatankuasa Nobel berkata: Jarang sekali seseorang tokoh dapat menarik perhatian dunia seperti Obama yang memberi harapan masa depan yang lebih cerah.

Usaha diplomasi beliau diasaskan kepada konsep sesiapa yang mahu memimpin dunia harus mempunyai nilai dan sikap yang secocok dengan majoriti penduduk dunia, kata jawatankuasa itu.

Sebanyak 205 pencalonan diterima untuk dipertimbangkan bagi hadiah tahun ini.- AP

Sumber: Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment