Monday, 19 October 2009

Tinta Strategis: Dunia Pasca 11 September (911) - Siri 2


Imej ISLAM

Kedangkalan pemikiran dan sifat prejudis media global dan Barat terhadap Islam menjadikan Islam dipandang sebagai agama keganasan sehingga melahirkan gejala ‘Islamiphobia’ yang cukup digeruni Barat.

Islam menjadi ‘kambing hitam’ bagi isu 911. Masyarakat Islam di Barat sentiasa berada dalam kebimbangan kerana merasakan diri mereka semakin terancam.

Bagi kebanyakan negara Eropah dan Barat seluruhnya melihat perkembangan Islam dan umatnya di kalangan mereka sebagai ancaman kepada suasana hegemoni Barat dan politik multiculturalism untuk jangka panjang. (Tariq Modood:Muslim & the Politics of Multiculturalism)

Islam, selepas 11 September terpampang sebagai musuh Barat, dan bukan setakat sebagai pencabar kepada tamadun Barat sebagaimana yang dinukilkan oleh Samuel Huntington. Islam disamatarafkan dengan komunisme – lantas ia digelar ‘komunisme Baru’.

Kehidupan Barat yang berpaksikan falsafah sekular moden, dan keamanan Barat yang terbentuk oleh kemajuan material, difikir akan tercabar sekiranya negara muslim berperintahan cara Islam, atau pengaruh Islam merebak di rantau yang strategis seperti Timur Tengah.

Pakatan ketenteraan Barat mula dihala kepada Islam. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Setiausaha Agung NATO, “Islam ‘militan’ adalah ancaman menggerunkan kepada keselamatan Barat”. (“March of the Militants,” Far Eastern Economic Review, 1995)

Perkembangan Islam di beberapa buah negara Arab juga membimbangkan pemimpin dan pembuat dasar Barat yang sensitif terhadap masa depan cara hidup dan ‘survival’ kebudayaan mereka. Justeru, Barat berterusan memainkan peranan utama untuk menghalang kepada kebangkitan Islam.

Beberapa pemimpin negara Arab yang dihantui oleh kebangkitan Islam (yang dianggap Barat sebagai ‘Islamic Moderates’) begitu mudah terdorong oleh hasutan dan saranan Barat, seterusnya menjadi harapan bagi mengekalkan kepentingan Barat di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Di luar lingkungan dunia Arab, maka Turki dan Pakistan merupakan negara dipupuk sebagai pembela kepentingan Barat dalam konteks kebangkitan Islam. Turki yang menganut dasar sekular tajaan Kamal Attartuk pernah bergandingan dengan Barat dalam Perang Dingin, begitu ghairah untuk menganggotai Kesatuan Eropah semacam telah dipertanggungjawabkan dengan tugas membendung kemaraan Islam, sekurang-kurangnya dalam negara.

Imej Turki sebagai pemimpin empayar Islam lepas masih segar di kalangan umat Islam, dan seandainya negara itu memilih jalan Islam, impak kehadirannya adalah besar dan meluas. Barat merasa bimbang terhadap kemungkinan itu.

Kewujudan penganut Islam di Eropah Barat yang semakin besar jumlahnya dari setahun ke setahun juga adalah dimensi kepada dunia bukan barat, yang sering dihubungkaitkan dengan ancaman agama tersebut terhadap keseluruhan tamadun Barat.

Tambahan pula, sebahagian mereka ini mempunyai pertalian dengan kebangkitan Islam di negara asal mereka, manakala sebahagian lain telah terserap dalam pergerakan membangun semula kehidupan Islam di kalangan sesama mereka.

Di Perancis terdapat lebih lima juta penganut Islam, sebahagian besarnya berasal dari utara Afrika, dan di kalangan mereka terdapat pihak yang berusaha mewujudkan cara hidup Islam di tengah-tengah kebudayaan sekular moden Perancis.

Di Jerman, terdapat lebih dua juta Muslim, yang terdiri dari kaum imigran dan pekerja dari Turki, pelarian Bosnia, dan sebagainya. Mereka ini yang berpusat di bandar-bandar seperti Berlin, Cologne, dan Munich, juga terlibat dalam kegiatan Islam yang membangkitkan rasa curiga dan marah di kalangan penduduk Jerman.

Penganut Islam yang berjumlah lebih dua juta di Britain turut menimbulkan konflik dan tentangan daripada orang British yang sememangnya tidak senang terhadap kehadiran orang keturunan India dan Pakistan dari dahulu, dan kini terpaksa pula berdepan dengan tuntutan agar cara hidup Islam mereka turut dihormati sama oleh kerajaan setempat.

Sungguhpun orang-orang Islam yang terlibat ini sudah lama bermaustatin di Eropah Barat, malah telah menjadi warganegara negara-negara berkenaan, dan bersedia mengamal aspek-aspek asas dalam kehidupan bernegara, namun, mereka masih berterusan dilihat sebagai wakil dari dunia lain – dunia bukan Barat dengan berpandangan dunia sendiri.

Pemupukan Islam dalam kalangan Muslim di Amerika Syarikat juga telah membangkitkan persoalan serupa kepada cara hidup sekular di negara itu, dan kini penyerangan terhadap masjid, institusi dan hak asasi penganut Islam sebagai kaum minoriti semakin menjadi-jadi.

Bersambung........

No comments:

Post a Comment