"..Salam Ukhuwwah fillah. Selamat datang ke gerbang Salam Sejarah2u. Anda adalah dialu-alukan untuk berkongsi ilmu dan pandangan demi memartabatkan kegemilangan Ummah untuk generasi masa hadapan.." - Isharuddin Ismail - "Ingat Sejarah..., Ingat SEJARAH2U". :-)
Monday, 30 November 2009
Memori Natrah: Antara Cinta dan Air Mata
KALAU disebut kepada generasi muda hari ini tentang kisah hidup Natrah, percayalah pasti akan ada yang mengerutkan dahi dan menggelengkan kepala.
Tetapi bagi mereka yang hidup di zaman penuh tragedi dan provokasi serta mereka yang mengikuti kisah itu, pastinya ia merupakan satu sejarah yang tidak mungkin akan luput sehingga bila-bila.
Biarpun sudah lebih lima dekad tragedi berdarah sehingga tercetusnya Rusuhan Natrah itu, tetapi implikasi yang berlaku daripada tragedi itu sebenarnya cukup relevan dengan apa yang berlaku hari ini.
Malah Natrah, atau nama sebenarnya, Maria Huberdina Hertogh juga sudah pergi meninggalkan kita semua pada usia 72 tahun di tanah kelahirannya, Belanda.
Jika ada yang mempersoalkan kenapa isu Natrah masih lagi mahu dipanjangkan dan dibincangkan, jawapannya cukup mudah.
Kisah itu sebenarnya telah meninggalkan impak yang cukup besar dalam sejarah terutama sekali apabila ia membabitkan soal agama, budaya dan latar belakang.
Natrah dilahirkan pada 24 Mac 1937 di Tjimahi, Jawa, Indonesia. lima tahun kemudian, beliau diserahkan kepada seorang wanita bernama Che Aminah Ahmad untuk dijadikan sebagai anak angkat.
Natrah yang juga dikenali sebagai Bertha Hertogh diserahkan kepada Che Aminah oleh ibunya, Adeline dan neneknya, Nor Louisenya tanpa pengetahuan bapa Natrah, Sarjan Hertogh yang telah ditawan oleh tentera Jepun.
Bermula detik itu, Natrah dididik, dibelai dan dicurahkan dengan penuh kasih sayang oleh Che Aminah dalam suasana yang cukup harmoni sehingga Natrah dilihat sebagai orang Melayu.
Hidupnya, tuturnya, gayanya dan peribadinya sudah seperti orang Melayu dan mereka yang berada di sekelilingnya juga tidak melihat Natrah sebagai orang Barat.
Mereka menerima Natrah dengan tangan terbuka dan menjadikannya sebahagian daripada komuniti mereka sewaktu Natrah tinggal di Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu.
Malah, Natrah sendiri dalam satu temuramah satu ketika dahulu menyifatkan kehidupan sewaktu zaman kanak-kanaknya merupakan momen yang cukup indah dan bahagia sekali.
Malangnya, kebahagiaan yang dikecapi Natrah tidak kekal lama dan semuanya direntap apabila polemik mula tercetus sebaik sahaja bapanya dibebaskan dan menjalankan misi mencarinya.
Kemuncaknya adalah pada tahun 1950 apabila detik demi detik yang mencemaskan lagi mendebarkan mula tercetus.
Muslihat
Semuanya bermula apabila Natrah dibawa ke Singapura oleh Che Aminah untuk bertemu dengan bapa kandungnya tanpa disedari semuanya adalah muslihat yang mahu memisahkan Natrah dan ibu angkatnya itu.
Tanggal 22 Mei 1950, Ketua Hakim Mahkamah telah mengarahkan Natrah untuk diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Singapura dan kemudiannya dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura.
Tidak sanggup untuk berpisah dengan Natrah yang sudah dianggap sebagai anak kandungnya itu, Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah.
Che Aminah menang kes rayuannya itu dan dengan pantas, Natrah dikeluarkan daripada York Hill.
Bimbang peristiwa yang sama berulang lagi, Che Aminah menyegerakan perkahwinan di antara Natrah dan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung.
Mungkin dengan pernikahan itu akan akan menyelamatkan Natrah daripada 'dirampas' oleh Belanda tetapi ia bukan satu jaminan yang kuat.
Sebaik sahaja hakim menjatuhkan hukuman bahawa Natrah mesti dipulangkan semula kepada ibu bapa kandungnya dan harus ditukar agamanya kepada Katolik, di sinilah amarah orang Melayu dan Islam semakin memuncak.
Ternyata, keputusan itu langsung tidak boleh diterima oleh orang Melayu ketika itu yang kuat dan tebal pendirian dan pegangan mereka terhadap Islam.
Bagi mereka, soal agama dan budaya adalah perkara yang tidak langsung boleh dikompromi terutama sekali isu murtad dan ia seharusnya dipelihara sehingga ke liang lahad.
Kerana Natrah, sebuah peristiwa berdarah yang diberi nama Rusuhan Natrah telah tercetus lantas dimaktubkan dalam sejarah sebagai salah satu peristiwa penting.
Akibat daripada Rusuhan Natrah yang berlaku pada 12 Disember 1950 itu, 18 orang telah kehilangan nyawa manakala 200 orang lagi cedera parah hanya mahu membela dan tidak sanggup untuk melihat agama mereka dipermainkan sebegitu rupa.
Begitulah impak yang terhasil daripada kehidupan seorang wanita biasa namun istimewa bernama Natrah ini.
Kerana Natrah juga, ramai yang tidak tahu beberapa individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung ketika itu telah menjadi tokoh serta negarawan terbilang dan tersohor.
Sampai bila-bila pun, kisah ini akan terus bersemadi dalam hidup dan ingatan sebahagian daripada.
Cuma, adakah insiden Natrah ini akan membuka mata kita terutama kepada generasi muda hari ini untuk dijadikan iktibar agar ia tidak akan berulang lagi?
Wednesday, 25 November 2009
Kekejaman Komunis Bintang Tiga
DITANGKAP dan disembelih hidup-hidup, darah menyembur keluar dari leher yang hampir putus, tubuh terangkat ke atas dan menggelepar menahan seksa sakratulmaut. Bunyi geruh menarik nafas akhir amat gerun dan memilukan.
Tidak cukup dengan itu, walaupun batang tubuh sudah tidak bergerak dan basah bermandi darah, dagingnya ditakik pula sebelum dibakar dan dihumban ke dalam lubang sedalam paras paha.
Perbuatan kejam dan di luar peri kemanusiaan itu adalah gambaran kekejaman komunis yang bermaharajalela ketika era darurat dari 1948 sehingga 1960.
Bagi Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri menyifatkannya sebagai tindakan membalas dendam Parti Komunis Malaya (PKM) yang juga dikenali Bintang Tiga terhadap individu yang disyaki menjadi tali barut tentera Jepun.
Tentera Jepun menguasai negara ini untuk tempoh tiga tahun lapan bulan. “Jepun menyerah kalah selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom pada 6 Ogos 1945. Sebaik mendapat khabar, komunis keluar daripada tempat persembunyian di hutan dan menunjukkan kekuatan dengan membunuh sesiapa saja yang dipercayai bersekongkol dengan Jepun,” katanya.
Gambaran kekejaman Bintang Tiga dijelaskan beliau pada ceramah program Bicara Tokoh Darurat sempena pameran Darurat-Rentetan Sejarah 1948-1960 anjuran Muzium Negara yang berlangsung dari 30 Jun hingga 30 Ogos lalu.
Shafie berkata, keadaan huru-hara di Malaya ketika itu menyebabkan hubungan antara kaum tegang biarpun keanggotaan PKM bukan di kalangan kaum Cina saja.
“Hubungan antara kaum ibarat paku berselirat. Mereka terlalu berhati-hati baik dalam pergaulan mahupun percakapan kerana takutkan musuh dalam selimut.
“Si penjual sayur yang berjaja setiap pagi menjadi pembelot pada malam hari apabila membawa PKM mengepung kediaman penduduk yang lancang mengkritik komunis,” katanya.
Disebabkan tidak mahu ditimpa kesusahan, masyarakat ketika itu rela bergelap dan berkurung di rumah biarpun Maghrib belum menjelang.
Shafie berkata, ancaman PKM tidak dihadapi orang Melayu saja, bahkan ada kaum Cina terutama suku Tionghua selalu menerima ugutan, diganggu malah harta mereka dirampas menyebabkan mereka memilih mendiami kawasan pinggir hutan.
Perang Vietnam memburukkan keadaan kerana memberi ilham untuk menghasilkan jerangkap samar atau bobby trap kepada pengganas komunis. Pemberontakan komunis ketika ini di seluruh dunia melalui fasa kedua dengan melakukan serangan lebih agresif dan membunuh.
“Permatang (laluan) tentera dan polis dipasang jerangkap samar menyebabkan ramai anggota keselamatan terkorban, kudung kaki dan tangan. Pemilik ladang dan lombong dikelar, tanaman getah ditetak, manakala kereta api yang membawa hasil komoditi itu diserang, diterbalikkan dan dibakar. Hakikatnya, ini cara komunis melumpuhkan ekonomi negara,” katanya.
Namun, kata Shafie, kekejaman komunis meragut kesabaran rakyat, terutama orang Melayu apabila balai polis diserang, dibakar dan menagih korban bukan saja di kalangan anggota bertugas, bahkan anak isteri dibunuh tanpa belas kasihan. Balai Polis Bukit Kepong, Kuala Krai, Simpang Pertang dan Pekeliling musnah dihujani peluru dan bom tangan membangkitkan kemarahan masyarakat,” katanya ketika mengenang semula keganasan dicetuskan anak buah Chin Peng itu.
Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Zaini Mohd Saidi walaupun ketika darurat masih kecil dan berusia dua tahun, namun beliau mengerti kesengsaraan dan ketakutan yang ditanggung orang sekelilingnya.
“Saya membesar dalam kekalutan, hilang kebebasan bahkan lebih teruk, melabelkan suku kaum tertentu sebagai komunis. Keadaan ketika itu sangat menekan perasaan sehinggakan untuk pulang ke kampung saya di Lenggeng, Negeri Sembilan dari Kuala Lumpur harus melalui tidak kurang 10 sekatan jalan raya, perintah berkurung dikenakan selepas jam 6 petang, manakala permit diperlukan bagi beras dan gula mempunyai berat lebih sekati,” katanya.
Namun, paling dikesali beliau ialah kesan pemberontakan komunis yang mencipta sentimen benci di antara kaum, khususnya Melayu dan Cina. “Angka korban darurat dianggarkan mencecah 2,542 orang membabitkan semua kaum terutama Melayu dan Cina.
Pantang silap sikit ketika itu, akan tercetus perkelahian kaum yang berakhir dengan kematian,” katanya. PKM di bawah pimpinan Chin Peng membiak ke angka 10,000 anggota pada akhir 60an berbanding 400 anggota asal. Matlamat awal untuk memerangi kuasa Jepun sebaliknya melahirkan gerombolan gerila yang berniat jahat menimbulkan huru-hara.
“Generasi kini patut mengenang semula pahit getir perjuangan dan kesediaan anggota keselamatan berkorban nyawa demi negara. Azab dua tiga bulan berkampung di hutan tidak terungkap dengan kata-kata, namun itu sudah menjadi tugas kami untuk melindungi keselamatan rakyat,” katanya.
Fahami sejarah kemerdekaan
KEMERDEKAAN dikecapi hari ini bukan diperoleh secara mudah tetapi dibina dengan keringat, darah dan air mata. Penghayatan kemerdekaan tidak terhad dengan mengibarkan bendera, menganjurkan perarakan warna-warni, konsert dan menyanyikan lagu ‘Negaraku’ semata-mata tetapi sewajarnya rakyat dilatih mengenang semula perjuangan generasi terdahulu membebaskan negara daripada penjajahan, selain memahami proses bagaimana akhirnya kemerdekaan menjadi milik negara.
Kependudukan Jepun yang bertunjangkan slogan ‘Asia untuk Asia’ berjaya merubah senario politik Tanah Melayu apabila British tidak lagi dianggap kuasa imperialisme kebal. Bertujuan mengembalikan maruah peribadi, namun diuar-uarkan atas nama membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman Jepun, British menjalinkan kerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 8 Disember 1940.
Namun, British silap perhitungan apabila PKM yang sepatutnya menyebelahi mereka, sebaliknya bermaharajalela mengisi kekosongan ditinggalkan Jepun yang kalut dengan kemelut pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1946.
Pengaruh fahaman komunis semakin meluas menjelang 1948. Malah, untuk merealisasikan wawasan penubuhan Republik Komunis Malaya, PKM menukarkan namanya kepada Malayan People Anti-British Army (MPABA) sekali gus menjadi platform melancarkan serangan lebih agresif untuk melumpuhkan British.
Tiga peringkat strategi dirangka komunis untuk mengambil alih Tanah Melayu bermula dengan menghasut kesatuan sekerja mengadakan mogok.
Usaha ini gagal apabila British meluluskan Trespass Law (undang-undang pencerobohan) yang menyekat kesatuan memasuki ladang bagi tujuan berceramah dan menstruktur organisasi pekerja.
Ordinan persatuan yang mewakili pekerja juga dipinda dan dikemaskini pada 12 Jun 1948 iaitu mewajibkan semua kesatuan sekerja mendaftar dengan pihak berkuasa.
Strategi kedua PKM ialah menguasai bandar kecil, seterusnya mendirikan markas PKM yang diisytiharkan British sebagai kawasan putih. Bagi memastikan dasar dan rancangan mereka berjalan lancar, Gerakan Rakyat (Min Yuen) berciri serampang dua mata ditubuhkan. Gerakan Rakyat ini bertanggungjawab membekalkan makanan kepada ahli PKM yang melarikan diri ke dalam hutan selepas pengharaman parti itu, selain mengumpul maklumat berkaitan strategi kerajaan menghapuskan mereka.
Pemberontakan bersenjata terkandung dalam strategi terakhir. Melaluinya, anggota dilatih menguasai taktik perang gerila, selain menubuhkan unit kecil berfungsi menakutkan penduduk Tanah Melayu membabitkan pertumpahan darah warga British dan sekutunya.
Kekejaman demi kekejaman yang dilakukan memaksa British mengambil pendekatan drastik mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948.
Meskipun darurat menyusahkan rakyat kerana mengekang pergerakan, mengorbankan banyak nyawa serta menyebabkan kerosakan harta benda, dari perspektif lain, insiden darurat sebenarnya mempercepatkan lagi proses memerdekakan Tanah Melayu apabila British bersetuju ia ditadbir anak tempatan.
Info Kes-Kes keganasan komunis
· Serang hendap di Kelian Intan - 10 September 1947
Peristiwa berlaku pada jam 7.30 pagi membabitkan serangan pengganas ke atas sebuah lori dan dua bas yang membawa anggota polis. Tiga anggota polis dan enam orang awam terkorban, manakala dua mata-mata polis serta 12 orang awam cedera parah. Segerombolan pengganas komunis dikatakan melepaskan tembakan bertubi-tubi selama 10 minit, merampas harta penumpang dan mengacukan senapang kepada mereka.
· Pembunuhan di Sungai Siput, Perak - 16 Jun 1948
Tragedi ini mengorbankan tiga pengurus ladang berbangsa Eropah iaitu T.G Christian, A.E Walker dan J.M Allison. Pembunuhan ini menggemparkan penduduk tempatan, seterusnya penyebab kepada pengisytiharan Undang-undang Darurat di Perak. Ia adalah pengumuman darurat pertama sebelum ia diperluaskan di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948. Pembunuhan ini disifatkan sebagai kemuncak keganasan komunis yang mula berleluasa sejak tamat Perang Dunia Kedua di negara ini.
· Serangan ke atas kampung Jeram Choh, Johor - 18 Jun 1948
Ia dilakukan kira-kira 20 pengganas komunis lengkap bersenjata. Kemuncak kejadian ialah serangan ke atas balai polis yang menyebabkan kerajaan mengalih langkah mengumumkan perintah darurat berkuat-kuasa serta-merta.
· Tragedi lombong Batu Arang, Selangor - 12 Julai 1948
Lombong ini ditawan komunis sebagai strategi melumpuhkan ekonomi negara. Ia bukan saja mengakibatkan operasi kilang terhenti, malah seluruh kilang dimusnahkan manakala lima pekerja berbangsa Cina terkorban.
· Sabotaj ke atas kuari Sungai Gepai, Tapah, Perak - 19 Januari 1950
Serangan membabitkan kira-kira 20 pengganas itu memusnahkan beberapa kenderaan dan peralatan kuari.
· Serang hendap di Seberang Perai - 22 Januari 1950
Serangan ini mengorbankan lapan anggota polis termasuk seorang sarjan Inggeris manakala enam anggota polis Melayu cedera parah.
· Serangan di Kampung Simpang Tiga, Setiawan, Perak - 4 Februari 1950
Kira-kira 80 pengganas komunis menyerang dan membakar kampung yang mengakibatkan 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda.
· Peristiwa Bukit Kepong - 23 Februari 1950
150 pengganas komunis yang diketuai Mat Indra menyerang balai polis pada jam 4.30 pagi. Tragedi memilukan ini mengorbankan 23 mangsa membabitkan 13 anggota polis, enam pengawal kampung, tiga wanita dan seorang kanak-kanak.
· Serang hendap di Sungai Semur, Kelantan - 25 Mac 1950
Pertempuran antara kira-kira 250 pengganas komunis dengan platun Kompeni D Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja berjumlah 25 orang. Serangan berlaku pada jam 10.30 pagi ketika platun berkenaan menyusuri sungai. Sejumlah 17 orang anggota tentera terbunuh dengan lapan cedera.
· Pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney di Batu 56 1/2, Jalan Kuala Kubu Bharu, Bukit Fraser - 6 Oktober 1951
Sir Henry, Pesuruhjaya Tinggi British pada 1948 hingga 1951 diberi tanggungjawab membanteras ancaman komunis di Tanah Melayu. Dia dan isteri ditembak mati ketika dalam perjalanan ke Bukit Fraser dari Kuala Lumpur untuk bercuti.
· Serang hendap kereta api, Tampin, Negeri Sembilan - 14 November 1951
Serangan ini mengorbankan empat orang awam, termasuk pemandu kereta api, K Vettivelu. Kejadian berlaku pada waktu malam ketika kereta api berkenaan berada kira-kira sebatu dari Tebong berhampiran Tampin.
Sabotaj dilakukan dengan mengalihkan landasan mengakibatkan kereta api tersasar, manakala sebahagian gerabak terbabas serta tergelincir kira-kira 10 meter ke bawah landasan. Kereta api itu ditembak bertubi-tubi sekali gus mencederakan 20 penumpang. Antara mangsa terselamat, termasuk Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dan isteri serta dua putera baginda.
· Pokok getah seluruh Tanah Melayu ditetak (1948 - 1951)
Ia adalah tindak balas pengganas komunis terhadap pemilik ladang yang enggan bekerjasama dengan mereka. Perbuatan menetak pokok juga bertujuan melumpuhkan ekonomi yang ketika itu banyak bergantung kepada hasil pengeluaran getah.
Sumber: Berita Harian Online
Tahukah Anda? - Khasiat Kurma
Populariti kurma mengatasi hidangan lain ketika berbuka puasa dan buah ini menjadi makanan utama Nabi Muhammad SAW yang diteladani umat Islam zaman berzaman.
Umat Islam dianjurkan berbuka puasa dengan buah kurma sebaik terbenamnya matahari kerana ia perkara yang disunatkan.
Selain bulan puasa, biasanya masyarakat Melayu Islam sering dihadiahkan kurma oleh jemaah yang baru pulang dari mengerjakan ibadat haji di Makkah.
Menjadi makanan wajib di Asia Barat, kurma menurut ensiklopedia Wikipedia dipercayai berasal di sekitar Teluk Parsi dan ditanam sejak zaman kuno dari Mesopotamia hingga prasejarah Mesir, kira-kira 4,000 tahun Sebelum Masihi.
Bukti arkeologi pula menunjukkan kurma mungkin berasal dari timur Arab dalam 6,000 tahun Sebelum Masihi. Buah ini kemudian dibawa pedagang Arab ke Asia Selatan, Asia Tenggara, utara Afrika dan Sepanyol yang mana orang Sepanyol memperkenalkan buah ini ke Mexico dan California pada 1765.
Tarikh sebenar kurma dibawa ke Malaysia tidak diketahui tetapi ia dipercayai diperkenalkan pedagang Arab yang datang berniaga dan berdakwah ketika zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.
Kurma atau nama botani Phoenix dactylifera mengandungi zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, kalsium, vitamin B1, vitamin B2, beta karotena serta niasin.
Buah kurma amat sesuai untuk dijadikan hidangan berbuka puasa kerana kandungan tenaganya yang tinggi dapat mengembalikan paras gula yang rendah dalam darah kepada paras yang normal.
Amalan berbuka puasa yang baik ialah dengan mengambil tiga biji kurma yang kaya dengan tenaga, serat, vitamin dan mineral. Kemudian diikuti dengan setengah cawan jus buah-buahan. Selepas itu bolehlah mengambil satu mangkuk kecil sup sayur berserta dengan satu atau dua keping roti.
Bagi mereka yang menghidapi kencing manis, buah kurma boleh diambil sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa. Namun begitu, mereka perlu mengawal pengambilannya. Mereka boleh mengambil tiga biji kurma tetapi perlu mengehadkan pengambilan makanan serta minuman manis yang lain.
Kurma baik untuk diet pemakanan, malah, kandungan zatnya dapat membantu dalam perubatan (mempunyai tenaga pembersihan) dan estringen pada masalah usus yang dapat mengatasi masalah sembelit dan gangguan usus kronik.
Ia juga dapat digunakan dalam masalah sakit kerongkong, selesema dan demam, juga dikatakan penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia, selain mempunyai pelbagai khasiat lain. Oleh kerana kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium, ia sesuai untuk wanita sama ada ketika hamil atau selepas bersalin.
Jus kurma dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi. Kandungan zat besi yang terkandung pada buah berkenaan juga menyebabkan wanita berpantang sesuai mengambilnya sebagai hidangan tanpa keraguan. Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, ia dapat diatasi dengan memakan buah kurma sekali gus menggalakkan pertambahan kandungan susu.
Kurma juga membantu melancarkan perjalanan darah, menghindari barah, merawat buah pinggang, mencuci hati dan membantu mengurangkan pengaliran darah ketika kelahiran. Berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, pembentukan darah dan sum-sum tulang.
Antara kajian lain dijalankan membuktikan kurma antara makanan paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga, selain berkhasiat membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda kanak-kanak.
Justeru, ia sangat sesuai untuk perut kosong, memberikan tenaga dan menyegarkan kisaran penghadaman. Dilaporkan 100 gram kurma segar mengandungi sumber vitamin C yang diperlukan badan dan membekalkan 230 kalori untuk tenaga (960 kJ).
Oleh kerana kurma mengandungi sedikit air, ia masih pekat walaupun sudah kering. Bermakna dengan memakan kurma, badan mendapat tenaga mencukupi walaupun hanya dimakan sebiji dan segelas air. Oleh sebab itulah ada individu yang memilih berbuka puasa dengan hanya sebiji kurma dan badan sudah berupaya mendapat tenaga kembali selepas sehari suntuk berpuasa.
Kini, kurma bukan hanya dimakan umat Islam tetapi menjadi pilihan pelbagai masyarakat dunia yang hidangkan dalam pelbagai resipi serta juadah. Dengan ada reka cipta dalam dunia masakan, kurma boleh dinikmati pelbagai cara dan tidak lagi hanya dimakan sebagai buah semata-mata. Pakar masakan mula menjadikan kurma sebagai bahan pilihan dalam resipi yang dicipta.
Selain digabungkan dengan coklat, manisan dan agar-agar, kurma menjadi ramuan dalam kek, biskut dan jem yang menjadi menu tidak kira bagi sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Peniaga juga memberi wajah baru kepada kurma dengan membuang biji dan digantikan dengan badam, dipakej dengan cara yang menarik dan kemas.
Malah, kini kurma menjadi bahan utama dalam hamper yang dihadiahkan kepada kawan-kawan, kenalan, saudara mara serta rakan niaga terutama menjelang Ramadan.
Kota Purba Inca
Menurut kajian arkeologi, kawasan yang dibina daripada susunan batu-batu asah itu suatu ketika dahulu pernah menjadi penempatan kepada sekurang-kurangnya 1,200 orang.
Struktur Machu Picchu dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu pertanian, bandar dan keagamaan yang dibina bertepatan mengikut keadaan sekelilingnya.
Kawasan lereng bukitnya dibangunkan sebagai teres-teres pertanian yang dilengkapi dengan sistem saliran air yang ditakung dari puncak bukit.
Bahagian bawah pula menempatkan penginapan para petani dan golongan pengajar manakala pentas keagamaan dibina bertentangan dengan pergunungan Andes, mengadap Lembah Urabamba di bawah kaki gunung berkenaan.
Pemandangan di kawasan pergunungan dan lembah di Machu Picchu sering digambarkan pelawat sebagai pengalaman alam fantasi yang dikelilingi unsur mistik.
Tuesday, 17 November 2009
Soalan-Soalan Jangkaan SPM 2009 Sejarah2U
oleh Sejarah2U (17/11/09)
Tingkatan 4
1) Tamadun Indus, Hwang Ho [Bab1]
2) Kerajaan Umayyah, Abbasiyah [Bab 6]
3) Teori2 Kedatangan Islam ke AT [Bab 7]
4) Pengaruh Islam – ekonomi, sosiobudaya [Bab 8]
5) Zaman Gelap, Renaissance, Penjelajahan [Bab 9]
6) Undang2 Tanah, Perbandaran [Bab 10]
Tingkatan 5
7) Nasionalisme di AT [Bab1,2]
8) Warisan Kesultanan Melayu [Bab 3]
9) Pakatan Murni, Perjanjian PTM 1957 [Bab 5]
10) Raja Berperlembagaan, Kuasa Pemerintahan [Bab 7]
11) Perpaduan Kaum di Malaysia [Bab 8]
12) Dasar2 Luar Malaysia [Bab 9]
Tambahan Soalan Jangkaan (Dikemaskini:18/11/09)
13) Kerajaan Agraria [T4, Bab 3 ]
14) Buruh Luar, Masyarakat Majmuk [T4, Bab 10]
15) Globalisasi, ICT, K-Masyarakat [T5, Bab 9]
_________________________________________________
Analisis Soalan Jangkaan Sejarah SPM ’09 Mengikut Tema
Tingkatan 4:
Tema 1: Soalan No. 1 & 13
Tema 2: Soalan No. 2, 3 & 4
Tema 3: Soalan No. 5 & 14
Tingkatan 5:
Tema 4: Soalan No. 7
Tema 5: Soalan No. 8, 9, 10 & 11
Tema 6: Soalan No. 12 & 15
”Berusaha, Berdoa, Bertawakkal...Kejayaan ’A’. InsyaAllah.”
Tuesday, 10 November 2009
Analisis Mutakhir Soalan Percubaan SEJARAH SPM Negeri/SBP/MRSM 2009
Buat semua calon yang bakal menduduki kertas SEJARAH pada 18 dan 19 November ini pastinya semakin sibuk dan giat mengulangkaji bagi memperoleh gred A dalam peperiksaan ini.
Memang diakui, begitu banyak pertanyaan dan permintaan agar penulis membantu menyediakan soalan-soalan khusus berdasarkan beberapa analisis terdahulu. Tak kurang juga yang meminta soalan-soalan ramalan buat persediaan akhir sebelum peperiksaan. Hakikatnya, penulis bukanlah seorang ahli nujum seperti 'pak belalang'.
Penulis tetap berpendirian bahawa dengan kerajinan dan ketekunan membuat latih tubi, keampuhan strategi mengulangkaji dan kemahiran menguasai analisis soalan bakal memberikan natijah yang pastinya menghadirkan kegembiraan dan kejayaan di kemudian hari.
Maka, sebagai usaha dan ikhtiar di penghujung 'tarikh keramat' menjawab nanti, penulis berusaha sedaya mungkin untuk menyediakan analisis mutakhir ini dengan harapan sedikit sebanyak membantu persiapan akhir para calon membuat ulangkaji secara terpandu dan fokus. Semoga berjaya dengan izin-Nya jua. Ameen.
Sila klik di sini untuk mendapatkan analisis mutakhir ini.
"Ingat Sejarah..Ingat Sejarah2u" :)
Sistem Merit ke IPTA mulai Sesi 2010/2011
Friday, 6 November 2009
Bicara Salam Berjuang
Penulis merafa'kan setinggi kesyukuran pada-Nya kerana memberi kekuatan kepada penulis untuk melaksanakan amanah sepanjang hampir dua bulan PUI berlangsung untuk memberikan hanya yang terbaik kepada anak-anak didik yang penulis sayangi.
Semakin menghampiri Spm, dapat penulis rasakan bahawa hati ini semakin dekat dengan setiap denyutan mereka sementelah banyak berkongsi perasaan dan masalah mereka dalam memastikan mereka tenang dan berkeyakinan tinggi dalam satu saf yang kukuh demi membuat persediaan terbaik untuk menghadapi Spm kelak.
Jauh di hati kecil ini, penulis sentiasa mendoakan kejayaan mereka dalam Spm dan yang lebih penting kejayaan mereka dalam segala lapangan samada di dunia mahupun di akhirat.
Harapan penulis, agar anak-anak didik asuhan penulis ini terus fokus dengan misi kecemerlangan demi mengharapkan redho-Nya di samping abaikanlah pujukan hati dan nafsu yang selalu merayu ke arah 'kegelinciran' dalam melakukan sesuatu yang sia-sia dan tidak bermanfaat demi masa depan mereka.
Bersabarlah dengan segala susah payah dalam usaha menekuni ilmu, kerana ilmu yang diperoleh dengan sabar dan tekun itulah yang lebih berkat. Betulkanlah niat menuntut ilmu bukan semata-mata lulus dan skor peperiksaan semata (exam orientation) tapi tuntutlah ilmu demi menggapai keredhoan Allah Swt, seterusnya berjaya mengembalikan 'izzah Islam dan tradisi gemilang umat khayr ummah ini.
Akhir bicara, medan peperiksaan itu ibarat sebuah medan perang yang maha dahsyatnya, segala apa latihan yang diberi dan panduan sepanjang PUI ibarat 'senjata' dan kemahiran untuk berperang. Manfaat dan gunakanlah semua kemahiran dan 'senjata' tersebut dengan tangkas dan penuh semangat keperwiraan tulen hingga tercapai matlamat yang dicita. 'Biar putih tulang, jangan berputih mata' 'Pantang perwira berundur, pantang maut sebelum ajal'. Allahu a'lam
Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN)
Ia merupakan satu pertubuhan yang lebih luas lagi bagi menggantikan ASA (Association of Southeast Asia) dan MAPHILINDO (Malaysia, Filipina, Indonesia).
ASEAN bukanlah satu pakatan tentera tetapi merupakan satu persetujuan bagi menjalin hubungan antara negara anggota yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Brunei, Vietnam, Myanmar, Laos, dan Kemboja.
Hubungan dalam ASEAN meliputi kerjasama dalam bidang politik, sosial dan ekonomi.
Pada tahun 1971, dengan cadangan Malaysia, ASEAN telah bersetuju untuk berpegang kepada dasar berkecuali dengan mawujudkan 'Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali' atau dikenali dengan ZOPFAN.
Ini bermakna Asia Tenggara terutamanya ASEAN menjadi kawasan yang bebas daripada pengaruh dan penglibatan negara-negara kuasa besar dunia.
Sepanjang penubuhan ASEAN, ia telah banyak menerima cabaran yang mengganggu gugat kestabilan ikatannya. Antaranya, termasuklah pencerobohan Vietnam terhadap Kemboja dan pertikaian merebut kekayaan di Laut China Selatan seperti isu Spratly, berikutan pengisytiharan kawasan ekonomi lanjutan (Extended Economic Zone atau EEZ).
Walaubagaimanapun, ASEAN secara keseluruhannya telah berjaya dan mampu mewujudkan satu kerjasama ekonomi dan politik yang baik dan harmoni demi memelihara kepentingan bersama antara negara anggotanya.
Tuesday, 3 November 2009
Tahukah Anda? - Lurah Bilut
Ia mula dibuka pada tahun 1958 dan merupakan rancangan pembangunan tanah secara berkelompok untuk pertanian yang pertama ditubuhkan seumpamanya di Malaysia dan dunia.
Felda Lurah Bilut adalah merupakan kawasan FELDA yang pertama ditubuhkan di Malaysia.
Penempatan penduduk dibahagikan mengikut kawasan asal penduduk datang. Contohnya penduduk berasal dari Pulau Pinang dikumpulkan penempatan mereka di Jalan Pulau Pinang.
Kegiatan pertanian utama adalah penanaman Getah dan Kelapa Sawit.
Penduduk terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.
Sistem pemusatan pentadbiran sekolah rendah di FELDA Lurah Bilut adalah merupakan Sekolah Wawasan pertama dan model dalam pembentukan sekolah wawasan di seluruh Malaysia.
Nota: Untuk sebuah filem bertajuk Bilut, sila klik sinopsisnya di sini.