Monday, 30 November 2009

Memori Natrah: Antara Cinta dan Air Mata


KALAU disebut kepada generasi muda hari ini tentang kisah hidup Natrah, percayalah pasti akan ada yang mengerutkan dahi dan menggelengkan kepala.

Tetapi bagi mereka yang hidup di zaman penuh tragedi dan provokasi serta mereka yang mengikuti kisah itu, pastinya ia merupakan satu sejarah yang tidak mungkin akan luput sehingga bila-bila.

Biarpun sudah lebih lima dekad tragedi berdarah sehingga tercetusnya Rusuhan Natrah itu, tetapi implikasi yang berlaku daripada tragedi itu sebenarnya cukup relevan dengan apa yang berlaku hari ini.

Malah Natrah, atau nama sebenarnya, Maria Huberdina Hertogh juga sudah pergi meninggalkan kita semua pada usia 72 tahun di tanah kelahirannya, Belanda.

Jika ada yang mempersoalkan kenapa isu Natrah masih lagi mahu dipanjangkan dan dibincangkan, jawapannya cukup mudah.

Kisah itu sebenarnya telah meninggalkan impak yang cukup besar dalam sejarah terutama sekali apabila ia membabitkan soal agama, budaya dan latar belakang.

Natrah dilahirkan pada 24 Mac 1937 di Tjimahi, Jawa, Indonesia. lima tahun kemudian, beliau diserahkan kepada seorang wanita bernama Che Aminah Ahmad untuk dijadikan sebagai anak angkat.

Natrah yang juga dikenali sebagai Bertha Hertogh diserahkan kepada Che Aminah oleh ibunya, Adeline dan neneknya, Nor Louisenya tanpa pengetahuan bapa Natrah, Sarjan Hertogh yang telah ditawan oleh tentera Jepun.

Bermula detik itu, Natrah dididik, dibelai dan dicurahkan dengan penuh kasih sayang oleh Che Aminah dalam suasana yang cukup harmoni sehingga Natrah dilihat sebagai orang Melayu.

Hidupnya, tuturnya, gayanya dan peribadinya sudah seperti orang Melayu dan mereka yang berada di sekelilingnya juga tidak melihat Natrah sebagai orang Barat.

Mereka menerima Natrah dengan tangan terbuka dan menjadikannya sebahagian daripada komuniti mereka sewaktu Natrah tinggal di Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu.

Malah, Natrah sendiri dalam satu temuramah satu ketika dahulu menyifatkan kehidupan sewaktu zaman kanak-kanaknya merupakan momen yang cukup indah dan bahagia sekali.

Malangnya, kebahagiaan yang dikecapi Natrah tidak kekal lama dan semuanya direntap apabila polemik mula tercetus sebaik sahaja bapanya dibebaskan dan menjalankan misi mencarinya.

Kemuncaknya adalah pada tahun 1950 apabila detik demi detik yang mencemaskan lagi mendebarkan mula tercetus.

Muslihat

Semuanya bermula apabila Natrah dibawa ke Singapura oleh Che Aminah untuk bertemu dengan bapa kandungnya tanpa disedari semuanya adalah muslihat yang mahu memisahkan Natrah dan ibu angkatnya itu.

Tanggal 22 Mei 1950, Ketua Hakim Mahkamah telah mengarahkan Natrah untuk diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Singapura dan kemudiannya dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura.

Tidak sanggup untuk berpisah dengan Natrah yang sudah dianggap sebagai anak kandungnya itu, Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah.

Che Aminah menang kes rayuannya itu dan dengan pantas, Natrah dikeluarkan daripada York Hill.

Bimbang peristiwa yang sama berulang lagi, Che Aminah menyegerakan perkahwinan di antara Natrah dan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung.

Mungkin dengan pernikahan itu akan akan menyelamatkan Natrah daripada 'dirampas' oleh Belanda tetapi ia bukan satu jaminan yang kuat.

Sebaik sahaja hakim menjatuhkan hukuman bahawa Natrah mesti dipulangkan semula kepada ibu bapa kandungnya dan harus ditukar agamanya kepada Katolik, di sinilah amarah orang Melayu dan Islam semakin memuncak.

Ternyata, keputusan itu langsung tidak boleh diterima oleh orang Melayu ketika itu yang kuat dan tebal pendirian dan pegangan mereka terhadap Islam.

Bagi mereka, soal agama dan budaya adalah perkara yang tidak langsung boleh dikompromi terutama sekali isu murtad dan ia seharusnya dipelihara sehingga ke liang lahad.

Kerana Natrah, sebuah peristiwa berdarah yang diberi nama Rusuhan Natrah telah tercetus lantas dimaktubkan dalam sejarah sebagai salah satu peristiwa penting.

Akibat daripada Rusuhan Natrah yang berlaku pada 12 Disember 1950 itu, 18 orang telah kehilangan nyawa manakala 200 orang lagi cedera parah hanya mahu membela dan tidak sanggup untuk melihat agama mereka dipermainkan sebegitu rupa.

Begitulah impak yang terhasil daripada kehidupan seorang wanita biasa namun istimewa bernama Natrah ini.

Kerana Natrah juga, ramai yang tidak tahu beberapa individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung ketika itu telah menjadi tokoh serta negarawan terbilang dan tersohor.

Sampai bila-bila pun, kisah ini akan terus bersemadi dalam hidup dan ingatan sebahagian daripada.

Cuma, adakah insiden Natrah ini akan membuka mata kita terutama kepada generasi muda hari ini untuk dijadikan iktibar agar ia tidak akan berulang lagi?

No comments:

Post a Comment