Monday, 18 January 2010

Mara Perluas MRSM Berteras Konsep Ulul Al-Bab

KOTA BHARU - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memperluas sistem pendidikan berteraskan konsep ulul al-bab di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah itu bertujuan melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam bidang pendidikan, malah mempunyai sahsiah diri yang tinggi untuk dunia dan akhirat.

Beliau berkata, setakat ini sistem pendidikan berteraskan konsep itu sudah diperkenalkan di MRSM Kota Putra, Besut, Terengganu dan MRSM di Gemencheh, Negeri Sembilan.

“Konsep pendidikan ulul al-bab ini lebih merupakan sistem tambah nilai kepada sistem pendidikan yang sedia ada di MRSM di seluruh negara, bagi melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga memiliki sahsiah diri yang tinggi,” katanya kepada media selepas majlis kesyukuran MRSM Pasir Tumboh yang muncul sebagai MRSM terbaik di seluruh negara dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

Idris berkata, sebuah lagi MRSM akan diwujudkan di utara negara, tempatnya belum diputuskan lagi.

Menurutnya, setakat ini Mara mempunyai 42 MRSM seluruh negara, tidak termasuk empat hingga lima buah yang masih dalam pembinaan.

“Kami akan menambah beberapa lagi MRSM, termasuk di Malaysia Timur bagi menampung keperluan pelajar yang kian meningkat setiap tahun,” katanya. - Bernama

Sila baca juga:
1) Program Ulul Albab di MRSM dilancar
2) Pengenalan Program Ulul Albab
3) Mara Perkenal Konsep Ulul Albab Di MRSM

Nota: Menurut sumber, kelas pengajian tahfiz al-Qur'an di MRSM Ulul Albab ini berjalan setiap hari mulai jam 7.45 pg - 9.00 pg. Sasaran juzu' dihafaz ialah 10 juzu' dalam setahun. Selain itu, setiap pelajar juga akan dibekalkan dengan makanan tambahan seperti susu, kurma, madu dan kismis pada setiap pagi sebelum mula menghafaz al-Qur'an.

No comments:

Post a Comment