Sunday, 1 July 2012

Ma'ahad Al-Ehya AsSyariff, Gunung Semanggol


Gunung Semanggol, namanya tidak asing lagi bagi mereka yang menatapi sejarah pendidikan Islam tanah air. Sebut sahaja nama Gunung Semanggol kita tentu tidak akan lupa pada sekolah agama yang terkemuka suatu masa dahulu iaitu Ma'ahad Al-Ehya Asshariff. Di Gunung Semanggol ini jugalah tempat bertunasnya sebuah gerakan Islam, Hizbul Muslimin yang digeruni oleh Inggeris ketika itu. Seperti Gunung Semanggol yang tidak dapat dipisahkan dengan Ma'ahad Al-Ehya Asshariff, begitulah juga hubungan sekolah ini dengan seorang tokoh pejuang Islam, iaitu As-Sheikh Abu Bakar Al-Baqir yang menjadi tunggak masyarakat dan perkembangan pelajaran Islam di Gunung Semanggol.
Rentetan Sejarah perkembangan pelajaran agama di sini bermula sejak tahun 1918 lagi dengan adanya pondok Ar-Rahmaniah pimpinan Tuan Haji Abd. Rahman Mahmud. Keperluan terhadap tempat belajar semakin dirasakan apabila pelajar-pelajar lepasan sekolah rendah tidak mempunyai tempat untuk meneruskan pelajaran. Di atas kesedaran tentang masalah ini di samping usaha-usaha menyebarkan ilmu secara lebih teratur dalam menyebarkan risalah Islam, maka masyarakat Gunung Semanggol telah berpadu tenaga mewujudkan sebuah sekolah agama.
Di atas tumpahan keringat masyarakat, terbangunlah sebuah sekolah pada 1 Muharram 1353 bersamaan 15 April 1934 yang diberi nama Madrasah Al-Ehya Asshariff. Di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Madrasah ini telah maju setapak demi setapak. Dengan terdirinya Madrasah ini juga, pondok Ar-Rahmaniah telah dibubarkan oleh Tuan Guru Haji Abd. Rahman yang turut sama memerah tenaga membangunkan Madrasah Al-Ehya Asshariff pimpinan menantunya Ustaz Abu Bakar al-Baqir itu. Pemimpin-pemimpin masyarakat seperti Tuan Guru Haji Abdullah Ibrahim, Tuan Haji Abd. Manaf dan lain-lain turut berkorban harta serta masa untuk menjayakan madrasah ini.
Di bawah mudir pertamanya, iaitu Ustaz Abu Bakar, Madrasah Al-Ehya Asshariff telah berkembang pesat dengan pelajar-pelajarnya semakin bertambah berbanding dengan hanya 144 orang pada waktu pembukaannya dalam tahun 1934 dahulu. Untuk menguruskan pertambahan pelajar ini, jawatankuasa pentadbiran dibentuk yang terdiri daripada Allahyarham Tuan Haji Abd. Rahman, Allahyarham Tuan Haji Abdul Manaf dan Allahyarham Ustaz Yahya Abdullah. Pada tahun 1936 dengan permuafakatan masyarakat setempat dan para pelajar sendiri, mereka telah bergotong royong membina sebuah bangunan bagi kelas-kelas tambahan. Sebuah bangunan sekolah kayu dibina dalam tahun 1940 hasil daripada sumbangan derma orang ramai. Pada tahun ini juga Madrasah Al-Ehya ini telah ditukar namanya kepada Ma'ahad Al-Ehya Asshariff.
Perkembangan pesat sekolah agama rakyat ini tentu sekali memerlukan sumber kewangan untuk perbelanjaannya. Untuk itu, sebuah badan ditubuhkan bagi menjaga kepentingan dan kebajikan Maahad ini, iaitu Persatuan Al-Ehya Asshariff yang didaftarkan pada 22 Febuari 1940 dibawah fasal 19, Undang-undang Kompeni Bab 58 dengan nombor pendaftaran 1016-A serta keahliannya terbuka kepada setiap Muslimin.
Hasil kerjasama orang ramai dan para dermawan persatuan ini dapat mengumpul sejumlah harta bagi membiayai perjalanan Ma'ahad Al-Ehya Assahariff. Di antara sumbangan yang diterima oleh persatuan ini ialah tanah, dusun dan lain-lain harta yang diwakafkan oleh para dermawan seperti Y.A.M Che Teh, Tengku Permaisuri Perak, Allahyarham Tuan Haji Abd. Manaf, Penghulu Gunung Semanggol, Tuan Haji Awang serta dermawan-dermawan yang lain.
Seperti kata pepatah, muafakat membawa berkat, begitulah dengan Ma'ahad ini. Hasil dari permuafakatan masyarakat sekitarnya yang kuat mendokong cita-cita Islam, mereka telah berjaya memajukan institusi pendidikan Islam ini walaupun tidak mendapat bantuan pemerintah. Pada tahun 1941, Ma'ahad ini mempunyai lebih 400 orang pelajar lelaki dan 100 orang pelajar wanita. Sebanyak 270 buah pondok asrama disediakan oleh jawatankuasa pentadbiran sekolah ini dan pada tahun yang sama juga institusi pendidikan agama ini mempunyai harta kira-kira 50 ekar kebun dan sawah.
Apabila meletus Perang Dunia Kedua, perjalanan Ma'ahad Al-Ehya Asshariff terbantut seketika, hanya sebilangan kecil para pelajar meneruskan pelajaran dalam suasana perang itu. Walau bagaimanapun selepas Perang Dunia Kedua tamat, Ma'ahad ini telah pulih dan semakin aktif menyebarkan pendidikan Islam.
Di antara tahun 1948 - 1952 Ma'ahad bagaikan anak yatim kehilangan ibu bila mana mudirnya Ustaz Abu Bakar Al-Baqir ditahan dan dipenjarakan oleh Pentadbiran Inggeris kerana keterlibatan beliau dalam Hizbul Muslimin, sebuah parti politik Islam yang memperjuang cita-cita kaum muslimin dalam menegakkan Daulah Islamiah di negara ini.
Setelah dibebaskan pada tahun 1952, beliau telah berusaha bersungguh-sungguh memajukan semula Ma'ahad ini. Malah di atas usaha gigihnya harta kepunyaan Persatuan Al-Ehya Asshariff yang menjaga kepentingan Ma'ahad telah bertambah dengan pembinaan dua buah kilang padi dan mewujudkan bekalan elektrik kepada penduduk sekitar Gunung Semanggol. Ia juga dapat menanam modal dalam beberapa buah syarikat.
Selepas merdeka, Ma'ahad Al-Ehya Asshariff semakin berkembang maju dan pihak pemerintah juga telah mula memberi perhatian dengan bantuan dua buah asrama baru yang telah dirasmikan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 1959. Selain itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak (JAIP) juga menghulurkan bantuan RM 500 sebulan pada Ma'ahad, sementara Kementerian Pelajaran memperuntukan sebanyak RM 5,300.00 setahun membantu sekolah agama ini. Pada tahun 1960 pelajar-pelajar Ma'ahad meningkat ke angka 722 orang, dan dalam tahun 1964 apabila peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) mula-mula diperkenalkan di sekolah ini, kejayaan yang dicapai oleh sekolah ini amat cemerlang sekali.
Pada masa ini Ma'ahad Al-Ehya Asshariff tetap meneruskan cita-cita perjuangannya ke arah melahirkan insan yang berilmu dan bertaqwa di samping berusaha menyebarkan risalah Islam kepada generasi muda agar mereka lebih memahami tuntutan fikrah Islamiah dan menghayati tasawwur Islam sebagai `Ad-Din' yang syumul seperti mana perjuangan yang telah didokong oleh bekas tokoh-tokoh pengajar Ma'ahad ini seperti Allahyarham Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan lain-lain lagi.
 Sumber: Arkib Negara Malaysia
  

No comments:

Post a Comment