Menu Ekspres:
Saturday, 4 August 2012
Karya Pendeta Za'ba
Tuesday, 24 July 2012
Ferdinand Magellan
Tuesday, 10 July 2012
Sunday, 1 July 2012
Tan Sri Dato' Dr. Awang Had Bin Salleh
Tuesday, 3 May 2011
Kemala Dinobat Sasterawan Negara ke-11
PUTRAJAYA: Penyair Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah dinobatkan sebagai penerima Augerah Sastera Negara ke-11 yang membawa gelaran Sasterawan Negara. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan penganugerahan berprestij itu kepada Ahmad Kamal atau nama penanya, Kemala di sini pada Selasa berkata, karya-karya tokoh tu bermutu tinggi, dalam daya renungnya, tinggi daya cipta dan daya rekanya serta mempunyai nilai estetika yang mengagumkan.
"Karya-karyanya terutama puisi bukan sahaja diminati dan menjadi ikutan kepada generasi baru malah diminati sama oleh sarjana dalam dan luar negara.
"Sekretariat Anugerah Sastera Negara telah menerima sebanyak 14 pencalonan iaitu lima pencalonan baru sehingga tarikh tutup pencalonan pada 31 Mei tahun lalu.
"Sembilan calon daripada pencalonan terdahulu juga telah dipertimbangkan oleh panel penilai. Panel Penilai Anugerah Sastera Negara Ke-11 dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan telah bermesyuarat sebanyak tiga kali," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir Anugerah Sastera Negara Ke-11, di sini.
Anugerah itu diberikan kepada tokoh sasterawan yang menulis dalam bahasa Malaysia dan memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.
Sasterawan Negara itu akan menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000 dan penerbitan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan dengan luas ke sekolah-sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, Kemala dilahirkan di Gombak, Selangor mempunyai latar belakang kegiatan sastera yang luas, mula menulis sejak di sekolah rendah lagi dan kini merupakan Sarjana Tamu di Universiti Putra Malaysia.
Katanya, tokoh berkenaan telah menghasilkan sebanyak 11 buah buku kumpulan puisi, antologi puisi (25), buku kajian sastera (10), buku kumpulan (4), drama (4), buku cerita kanak-kanak (3) dan lebih 50 esei serta kritikan sastera.
Tambah beliau, karya-karyanya terutama puisi telah diterjemahkan dalam banyak bahasa China, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatian.
"Gaya, sebutan dan rentak suara pembacaannya menjadi ikon dan ikutan generasi muda. Tokoh ini juga aktif membentangkan kertas kerja di dalam dan luar negara," katanya.
Tambah Muhyiddin, tokoh itu mendapat banyak anugerah dan penghargaan dari dalam dan luar negara antaranya Anugerah S.E.A Write Awards (1986) daripada kerajaan Thailand, Anugerah Pujangga daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (2002) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
"Tokoh ini telah mengasaskan Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (1993) dan tradisi baca puisi di Malaysia yang dimulakan dengan Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (1986)," ujarnya.
Sumber: mStar Online

Saturday, 19 March 2011
Panglima Salleh
Kiai Salleh atau Panglima Salleh, nama sebenarnya Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim dilahirkan di Muar, Johor pada tahun 1916.Masa mudanya banyak dihabiskan dengan menimba ilmu agama dan mempertahankan diri daripada beberapa orang guru termasuklah guru di kampung isterinya, Hajah Esah Haji Abdul Rashid, di Ara Pasung, Pontian, Johor. Antara guru-guru Haji Mohd Salleh ialah Haji Hussein (belajar agama dan al quran), Haji Alias, Haji Adam dan Haji Ahmad.
Beliau juga turut belajar daripada Haji Abdul Fadhil bin Abu Bakar Banten yang membawa ajaran Wirid Khaujakan di Johor selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim dan telah dilantik sebagai ketua kumpulan Wirid Khaujakan di Batu Pahat, Johor.
Haji Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Panglima Salleh atau "Kiai Salleh" atau "Panglima Salleh Selempang Merah" merupakan seorang pahlawan Melayu keturunan Banjar yang bangkit menentang kekejaman komunis semasa selepas kekalahan Jepun semasa Perang Dunia II.
Kepimpinan Haji Mohd Salleh terserlah semasa kekalahan pihak Tentera Jepun di tangan pihak Tentera Berikat pada pertengahan bulan Ogos 1945. Di Semenanjung Tanah Melayu, peristiwa tersebut menimbulkan apa yang dinamakan tempoh Kekosongan Kuasa. Tempoh tersebut berlangsung selama dua minggu sehingga ketibaan Askar British yang menandakan permulaan Pentadbiran British Baru di Tanah Melayu.
Sebelum ketibaan pihak British, pihak komunis yang dikenali sebagai Askar Bintang Tiga yang sebelum itu berjuang menentang Jepun di bawah payung Malayan People Anti-Japanese Army atau MPAJA telah mengambil kesempatan untuk berkuasa dan bertindak kejam terhadap orang-orang yang dianggap bekerjasama dengan Jepun.
Mereka tidak mengenal mangsa dan menghukum sesiapa sahaja yang dianggap bersalah tanpa mengikuti proses undang-undang yang betul. Lazimnya mereka yang di dapati bersalah akan dikenakan hukuman mati.
Kekejaman Askar Bintang Tiga berleluasa di Tanah Melayu termasuk di kawasan Batu Pahat dan Muar di Johor. Masyarakat Melayu di kawasan Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, yang pada ketika itu tidak mempunyai kelengkapan senjatapi untuk mempertahankan diri telah memilih Haji Mohd Salleh untuk memimpin pakatan untuk mempertahankan diri dari kekejaman Askar Bintang Tiga.
Dengan hanya bersenjatakan parang panjang dan amalan Ayat Empat, Haji Mohd Salleh telah memimpin masyarakat Batu Pahat untuk menggempur kubu-kubu Askar Bintang Tiga di Bukit Berdiri dan Bukit Alam, Parit Sulong, di Parit Lubok, Semerah, di Kangkar Senanga, dan di Air Kuning, Bakri, Muar.
Pasukan pejuang di bawah pimpinan Haji Mohd Salleh terkenal dengan gelaran tentera parang panjang dan 'Selempang Merah iaitu sejenis kain selendang berwarna merah yang dibekalkan kepada setiap orang ketika menghadapi atau berhadapan dengan musuh.
Terdapat pelbagai kisah mengenai kehebatan ilmu kebatinan Haji Mohd Salleh dan pengkutnya mendakwa ramai Askar Bintang Tiga melihat beribu-ribu pejuang yang tinggi menggalah menuju ke arah mereka untuk mencabut nyawa mereka, sedangkan yang datang itu hanyalah Panglima Salleh dan pasukanya yang dianggarkan berjumlah seratus orang sahaja.
Walau apapun yang sebenarnya berlaku, yang jelas adalah Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim berjaya menyekat kegiatan Askar Bintang Tiga pada masa itu secara berkesan sehinggalah pihak British kembali menjajah Tanah Melayu.
Kegagahan dan keberanian, Haji Mohd Salleh diiktiraf oleh Kebawah Duli Sultan Johor Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar yang bertitah pada 26hb Disember 1945 bahawa Haji Mohd Salleh adalah Panglima Melayu. Sejak itu Haji Mohd Salleh mendapat gelaran Panglima. Bagi mengenang jasa Haji Mohd Salleh, DYMM Sultan Johor telah mengurniakan beliau Pingat Ibrahim Sultan (PIS)pada 17hb September 1955.
Haji Mohd Salleh menghembuskan nafas yang terakhir kerana diserang penyakit radang paru-paru di Hospital Besar Johor Bahru pada 21hb April 1959.
Rujukan: Pusat Rujukan Persuratan Melayu
Tuesday, 15 March 2011
Tun Sri Lanang
Beliau terlibat dalam perancangan menawan semula Melaka pada tahun 1586, 1587, dan tahun 1606. Beliau menyusun pertahanan Johor bagi menghadapi serangan Portugis dan Acheh.
Beliau menjadi utusan Johor ke Goa untuk berunding dengan Portugis pada tahun 1583.
Beliau telah menyusun kitab Sejarah Melayu pada tahun 1612.
Beliau juga telah mengatur perjanjian dengan Admiral Matelief pada 23 September 1606 untuk mempertahankan Johor daripada serangan Acheh.
Saturday, 30 October 2010
Perang Kalinga
Perang Kalinga berlaku pada tahun 261 S.M dalam usaha Asoka mewujudkan sebuah empayar yang agung.Dalam peperangan ini lebih 100,000 telah terkorban sementara 150,000 telah tercedera.
Peperangan ini telah menyedarkan Asoka tentang akibat peperangan yang membawa kepada penderitaan dan kematian.
Perang ini diingati dalam sejarah dan tamadun India kerana menjadi permulaan penting yang menyebabkan Asoka memeluk agam Buddha dan mengembangkan ajaran agama tersebut.
Wednesday, 12 May 2010
13 Mei Sebelum Dan Selepas
Judul: 13 Mei Sebelum Dan SelepasPengarang : Tunku Abdul
Penerbit: Utusan Publications & Distributions
Genre : Esei
Mukasurat: 195 halaman
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9789676120731
13 Mei merupakan satu pengalaman dan pengajaran yang tidak dapat kita semua lupakan buat selama-lamanya. Kerana kejadian itu dapat menunjukkan kepada kita semua tentang bahaya-bahaya yang boleh timbul sekiranya kita terlampau lalai atau cuai.
Kita seharusnya bangga dengan apa yang telah kita capai. Dengan semangat perpaduan dan keharmonian serta kerjasama dan rasa muhibah, maka kita telah mengatasi segala kesulitan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran yang tidak ada tolok bandingnya.
Oleh itu, amatlah mustahak bagi kita semua untuk cuba sedaya upaya hidup bersama-sama dan cuba memahami antara satu sama lain dengan semangat persefahaman, hormat-menghormati agar kita dapat memelihara keharmonian dan keamanan.
- Tunku Abdul Rahman, 1969 -
Rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 adalah peristiwa tragis yang terburuk dialami oleh Malaysia. Peristiwa itu hampir-hampir memusnah-kan negara ini.
Alhamdulillah, dengan kebijaksanaan pemimpin dan semangat setia kawan rakyat, bencana itu telah dapat ditangani dan negara kembali pulih seperti sediakala.
Banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada bencana itu. Antara yang terpenting ialah peri mustahaknya memperkukuhkan perasaan muhibah dan ikatan perpaduan antara kaum demi kestabilan politik dan keselamatan Malaysia yang berbilang kaum ini.
Penerbitan buku ini adalah tepat pada waktunya memandangkan pada akhir-akhir ini terdapat usaha oleh pihak-pihak tertentu yang cuba memutarbelitkan fakta dan menimbulkan kekeliruan tentang peristiwa berdarah 13 Mei itu.
Pertengahan Mei yang lalu sebuah buku yang memperkatakan tentang peristiwa 13 Mei juga telah diterbitkan. Namun pendekatan yang digunakan jelas menolak bingkai kepercayaan lama bahawa kekacauan 1969 berpunca daripada ketidakseimbangan dalam sioekonomi kaum di negara ini, sebaliknya penulis buku tersebut mengemukakan tesis baharu iaitu kapitalis Melayu yang diketuai Tun Abdul Razak yang cuba untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman menjadi punca utama kepada tercetusnya peristiwa itu.
Walaupun sukar untuk mencari motif sebenar penulis buku itu membangkitkan sejarah berdarah 13 Mei, namun trend semasa menunjukkan wujud usaha untuk memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin negara, khususnya Tun Abdul Razak, Datuk Harun, Tun Mohammad Ghazali Shafie dan lain-lain, termasuk juga anggota-anggota keselamatan.
Pandangan serong tersebut jelas sekali bersifat prejudis dan olahan perbincangannya, kiranya dibiar tidak dijawab, ditakuti akan dianggap sebagai satu dokumen yang sah untuk melegitimasikan dakwaan bahawa peristiwa 13 Mei itu adalah dirancang oleh 'kapitalis Melayu'.
Buku ini adalah hasil renungan Tunku tentang peristiwa 13 Mei. Beliau terpanggil untuk menulis buku ini bagi menjelaskan 'hal-hal sebenar yang telah berlaku menurut pandangan saya, sekalipun ia amat dahsyat'.Dalam penelitiannya, Tunku merumuskan bahawa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 itu adalah angkara golongan pelampau dan golongan komunis. Kedua-dua golongan ini, tegas Tunku, sejak sebelum merdeka lagi berusaha untuk mencetuskan kekacauan di negara.
Golongan ini telah terlibat dalam mencetuskan ketegangan dalam peristiwa hartal (1967), hukuman gantung (1968) dan pemulauan pilihan raya (1969), perarakan mayat pada 9 Mei dan perarakan kemenangan oleh parti-parti pembangkang pada 12 Mei 1969.
Akibat provokasi golongan ini ketegangan kaum terjadi dan rusuhan kaum berlaku.
Dakwaan kononnya rusuhan kaum dirancang oleh 'kapitalis Melayu' adalah tidak benar sama sekali. Dalam penulisannya Tunku tidak pernah menganggap peristiwa itu sebagai satu rampasan kuasa.
Memang benar Tunku mengakui bahawa akibat peristiwa berdarah itu ada segelintir ahli UMNO yang beliau labelkan sebagai 'pelampau' ataupun 'bijak pandai' yang tidak menyenangi beliau kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi perasaan tidak puas hati bukan menjadi penyebab kepada berlakunyal rusuhan.
Hal ini telah diperjelaskan oleh Tunku dalam Bab 15 bertajuk 'Sepucuk Surat' dan Bab 16 bertajuk 'Perebutan Kuasa dalam UMNO'.
Buku ini ditulis oleh Tunku berasaskan pengalamannya yang lama sebelum dan semasa menjadi Perdana Menteri serta bersandarkan sumber sahih yang telah diberikan oleh Polis Diraja Malaysia. Keadaan ini ber-beza dengan buku yang diterbitkan sebelum ini yang menyandarkan penulisannya semata-mata kepada sumber diplomat dan wartawan asing yang kesahihan sumbernya adalah diragui.
PROF. DR. NIK ANUAR NIK MAHMUD
Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan MalaysiaBangi
25 Ogos 2007
KANDUNGAN
Dedikasi
Penghargaan
Senarai Gambar
Kata Pengantar
Prakata
Bab 1 Ilham dari Hospital
Bab 2 Bayangan Masa
Bab 3 Pilihan Raya Umum
Bab 4 Kongsi Gelap dan Orang Cina
Bab 5 Tipu Helah dalam Kempen
Bab 6 Sidang Islam yang Bersejarah
Bab 7 Upacara Pengebumian "Pahlawan" Merah
Bab 8 Pengundi Membuang Undi
Bab 9 Hasil-hasil yang Mengejutkan
Bab 10 Mabuk "Kemenangan"
Bab 11 Api Menyala Malam
Bab 12 Tindakan-tindakan dan Kejadian-kejadian
Bab 13 Keadaan Darurat
Bab 14 Pulih Kembali
Bab 15 Sepucuk Surat
Bab 16 Rebutan Kuasa dalam UMNO
Bab 17 Perlembagaan dan Hak Asasi Melayu
Bab 18 Pemerintahan Beraja atau Republik?
Bab 19 Khidmat Bakti dan Pengorbanan
Bab 20 Falsafah Hidup
Bab 21 Peranan Akhbar dan Rusuhan
Bab 22 Pengajaran daripada Baling
bab 23 Mimpi dan Alamat
Indeks
Monday, 19 April 2010
Kod Undang-Undang Hammurabi
Hammurabi (1792-1750 S.M) merupakan pemerintah Babylon yang terkenal.Beliau telah berjaya menyatukan seluruh Lembah Tigris -Euphrates di bawah satu empayar.
Hammurabi menjadi masyhur kerana kod undang-undang komprehensif yang telah diperkenalkannya. Undang-undangnya ini menjadi asas perkembangan tamadun Mesopotamia.
Terdapat kira-kira 280 penghakiman (judgements) yang meliputi undang-undang sivil dan jenayah. Undang-undang tersebut diukir di tiang yang tinggi untuk makluman semua rakyat tentang hak mereka.
Kod Undang-undang Hammurabi adalah berasaskan tiga prinsip utama iaitu:
a) Prinsip Pembalasan (law of retaliation in kind) bagi mereka yang mempunyai status sosial yang sama
b) Hukuman yang dikenakan tertakluk kepada status sosial mangsa dan pesalah
c) Orang perseorangan perlu membuat aduan sendiri kepada mahkamah kerana tiada terdapat pendakwa raya.
Antara contoh-contoh prinsip pembalasan adalah seperti berikut:
1] Sekiranya seorang anak memukul ayahnya, tangannya akan dipotong.
2] Semasa pembedahan jikalau pesakit mati, pakar bedah boleh dihukum mati.
Antara contoh hukuman yang dikenakan berasaskan status sosial adalah seperti berikut:
1] Sekiranya seorang bangsawan mematahkan tulang seorang bangsawan lain, tulangnya akan dipatahkan.
2] Sekiranya seorang bangsawan mematahkan tulang seorang rakyat biasa, bangsawan itu akan didenda satu mina perak.
Monday, 5 April 2010
Marco Polo
Marco Polo ialah seorang pengembara yang termasyhur dari Venice.
Bersama dengan ayah dan bapa saudaranya, Marco Polo meninggalkan Venice pada tahun 1271, dan tiba di Peking (sekarang, Beijing) setelah mengembara dengan mengalami kesukaran yang mengerikan melalui Asia Tengah.
Maharaja China ketika itu, Kublai Khan sangat tertarik hati kepada Marco Polo yang telah berusaha gigih mempelajari bahasa Cina.
Lalu, baginda menghantarnya sebagai utusan China ke Mongolia, Karakorum, dan Burma.
Setelah 17 tahun menetap di China, beliau dibenarkan pulang ke negerinya dan dalam masa yang sama juga diminta mengiringi seorang puteri China yang hendak dikahwinkan dengan Raja Parsi.
Dalam pelayaran pulang ke negerinya, Marco Polo sampai di Perlak, Sumatera pada tahun 1292 sementara menunggu perubahan dalam tiupan angin untuk kembali belayar. Kemudiaannya bertolak ke Ceylon dan selepas itu ke Ormuz.
Tiga tahun selepas beliau tiba di Venice, Marco Polo telah ditawan dalam konflik peperangan antara Venice dan Genoa. Semasa di dalam tawananlah Marco Polo menceritakan dan mencatat kisah pengembaraannya yang hebat itu.
Bapa Kesusasteraan Melayu Moden
Selain daripada kitab Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang, ada juga disebut dan dikaitkan sejarah Tanah Melayu hasil daripada karya Abdullah Munsyi.
Di bawah pengaruh dan didikan ayahnya Abdul Kadir, Abdullah mulai belajar bahasa Tamil, Melayu dan Arab.
Pada masa umurnya baru 11 tahun dia menjadi guru agama kepada beberapa orang askar India.
Mereka menggelarkan beliau sebagai “Munsyi” yang bermaksud guru, dan nama itu terus terlekat kepadanya sehingga sekarang.
Membicarakan kaitan antara Abdullah Munsyi dan Stanford Raffles, pengasas Singapura, beliau menganggap Raffles sebagai seorang bapa, dan mengikut nasihatnya dan belajar bahasa Inggeris.
Dalam masa yang singkat sahaja Abdullah menjadi seorang penulis yang berpengalaman.
Abdullah telah tinggal di Singapura dan di sana beliau bekerja sebagai seorang penulis yang ternama. Karangannya ‘Hikayat Abdullah’ menceritakan kejadian-kejadian sejarah yang berlaku dalam masa hayat Raffles dan sesudahnya.
Oleh sebab karya-karyanya dalam jurusan sastera, beliau digelar “Bapa Kesusasteraan Melayu Moden” dan kepada ahli sejarah pula beliau adalah penulis riwayat hidup Raffles yang terkemuka.
Sultan Megat Iskandar Syah (1414 – 1424)
Apabila Parameswara mangkat dalam tahun 1414, baginda telah digantikan oleh Sultan Megat Iskandar Syah yang memerintah Melaka sehingga 1424.
Pada peringkat ini perlulah dijelaskan bahawa sebelum ini ramai sarjana sejarah berpendapat Parameswara dan Megat Iskandar Syah adalah orang yang sama. Megat Iskandar Syah telah dikatakan ialah nama Parameswara setelah baginda memeluk agama Islam.
Akan tetapi, kajian lanjutan yang telah dijalankan dengan berpaut kepada sumber-sumber sejarah China membuktikan bahawa Megat Iskandar Syah ialah putera kepada Parameswara.
Rekod catatan China mencatatkan bahawa dalam tahun 1414, Megat Iskandar Syah melakukan lawatan ke negara China dan memaklumkan Maharaja China bahawa ayahadanya Parameswara telah mangkat. Maharaja China pun lalu mengiktiraf Megat Iskandar Syah sebagai Sultan Melaka dan menghadiahkan emas, perak dan sutera kepadanya.
Namun, apabila Melaka menjadi makmur, ancaman daripada Siam mula menjadi ancaman besar. Megat Iskandar Syah berangkat ke negara China sekali lagi dalam tahun 1419 dan menggesa Maharaja China memerintahkan Siam supaya berhenti daripada mengancam kedaulatan Melaka. Dan selepas itu Siam tidak lagi menjadi ancaman kepada Melaka.

