Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Showing posts with label Salam Maulidur Rasul. Show all posts
Showing posts with label Salam Maulidur Rasul. Show all posts

Friday, 3 April 2009

Terapi Solat: Khazanah Amalan Rasulullah SAW

Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Terapi Otot dan Kecergasan Fizikal Tubuh Badan

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

Terapi Anti-Stres dan Kawalan Minda yang lebih Tenang & Fokus

Ng Siew Chok yang bertindak mengkaji isyarat otak semasa solat berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya.

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Terapi Imbangan Komposisi Tubuh yang lebih Stabil

Dr Fatimah Ibrahim yang mengkaji komposisi tubuh semasa solat berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Terapi Mengekalkan Kesihatan dan Memulihkan Tenaga yang Hilang

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Terapi Sakit Bahagian Pinggang

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.

Terapi Mati Pucuk

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit.

Terapi Pesakit Jantung

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari. Allahu 'alam

Monday, 9 March 2009

Tuntutan Mengingati Rasulullah Saw Sepanjang Masa

AKU kesayangan Allah (dan tidak bongkak). Aku membawa panji 'Pujian' pada hari kiamat, di bawahnya Adam dan yang sesudahnya (dan tidak bongkak). Aku yang pertama pemberi syafaat dan yang diterima syafaatnya pada hari kiamat (dan tidak bongkak). Aku yang pertama menggerakkan pintu syurga dan Allah membukanya untukku dan aku dimasukkan-Nya bersama-sama orang beriman yang fakir (dan tidak bongkak). Dan Akulah paling mulia dari kalangan terdahulu dan terkebelakang di sisi Allah (dan tidak bongkak)," maksud sabda Baginda SAW yang diriwayatkan Tirmizi.

Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik untuk kamu." (Surah al-Ahzab ayat 21)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud, "Adalah akhlaknya (Rasulullah SAW) sebagai akhlak al-Quran." (Hadis riwayat Muslim)

Ia menunjukkan akhlak Baginda SAW adalah sempurna kerana Baginda mengamalkan segala ajaran dalam al-Quran. Inilah salah satu sebab mengapa seluruh umat manusia diperintahkan supaya mencontohi Baginda.

Sesungguhnya Allah mengutuskan Rasulullah SAW kepada manusia untuk menjadi contoh terpilih. Baginda juga contoh, gambaran pelaksanaan yang sempurna lagi tinggi untuk kesempurnaan manusia sejagat.

Tidak syak lagi kepada umat Islam bahawa sekiranya mereka mengikuti keperibadian Rasulullah SAW yang mulia, sesungguhnya mereka adalah manusia yang mempunyai ciri kepemimpinan agung, yang sentiasa mendapat kasih dan restu daripada Allah.

Rabiulawal adalah bulan bersejarah bagi umat Islam kerana dalam bulan inilah junjungan kita Rasulullah SAW diputerakan. Hari keputeraan ini disambut oleh umat Islam untuk mensyukuri rahmat Allah yang menurunkan seorang pemimpin yang sudah mengubah suasana dan keadaan hidup manusia ke arah kejayaan. Di samping itu, ia sebagai satu saranan untuk mengenang serta mengimbas kembali perjuangan Baginda yang penuh dengan rintangan, bagi membetulkan akidah umat, serta untuk kemanusiaan dan keadilan sejagat.

Selaku Nabi dan Rasul, Baginda sudah menerima amanah daripada Allah dengan penuh tawakal dan ketaatan yang menjadikan Baginda itu sentiasa berjaya dan mendapat pertolongan.

Baginda SAW adalah seorang rasul yang mempunyai darjat kelebihan daripada nabi, rasul yang lain. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 253 yang bermaksud: "Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan tertentu) di antara mereka ada yang berkata-kata dengan Allah dan ditinggikan (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan."

Kita mencintai Rasulullah kerana Baginda mempunyai peribadi yang tinggi. Rasa cinta kita kepadanya tidak cukup jika kita lahirkan dengan kata-kata dan sambutan yang pelbagai cara, tetapi mesti dilahirkan dengan meniru sifat peribadi yang mulia. Kerana sifat-sifat peribadi yang mulia inilah Rasulullah SAW disanjung tinggi dan dapat memandu manusia dan mengubah suasana kehidupan manusia ke arah yang lebih cemerlang dan lebih bahagia bukan saja di dunia bahkan di akhirat.

Di antara sifat Rasulullah SAW yang patut kita hayati ialah Baginda sentiasa bersifat benar dalam semua keadaan. Baginda tidak pernah berdusta dan tidak pula menyeleweng dalam tingkah laku; Baginda bersifat amanah sejak kecil hingga diberikan gelaran al-Amin dan diberikan kepercayaan membawa dagangan Siti Khadijah seterusnya Allah melantiknya menjadi seorang Rasul akhir zaman; Baginda bersifat adil tidak memihak dalam membuat hukuman walaupun terhadap keluarganya sendiri. Ini telah ditegaskan dengan sabdanya yang bermaksud: "Demi Allah seandainya anakku Fatimah mencuri nescaya aku potong tangannya."

Di samping itu, Baginda mempunyai keyakinan diri. Dengan keyakinan dan ketabahan itu menyebabkan agama Islam tersebar hingga ke hari ini; Baginda juga berusaha dengan rajin dan tekun. Ini dapat dilihat daripada apa yang dilakukan olehnya dari sejak kecil dengan bekerja sebagai pengembala kambing dan ketika remaja berniaga dan akhirnya ia berdakwah menyeru manusia mengabdikan diri kepada Allah dan memperbaiki kepincangan masyarakat; dan Baginda adalah seorang yang cekal dan cekap menjalankan tugasnya di semua bidang seperti pengurusan rumah tangga, pentadbiran negara dan di medan perang; serta Baginda juga mempunyai sifat kesungguhan dalam usahanya menyebarkan agama Islam, menyatupadukan umat dan melakukan ibadah kepada Allah. Baginda tidak mudah putus asa walaupun menghadapi tekanan daripada puak Quraisy.

Perkara di atas adalah satu pegangan yang wajib dimiliki oleh setiap Muslim mengenai nabi mereka. Kecintaan kita kepada Junjungan adalah tanda wujudnya iman dalam diri kita. Sabda Baginda maksudnya: "Tidaklah seseorang itu dikatakan beriman hingga aku lebih dicintai daripada ayahnya, anaknya dan seluruh manusia." (Hadis riwayat Bukhari)

Umat Islam hari ini kurang memperhatikan hakikat di atas. Mereka menjadikan selain Muhammad SAW sebagai idola mereka. Mereka lebih mencontohi si polan dan si polan dari mencontohi Muhammad SAW. Mereka lebih sebati jiwa dan raga mereka dengan si anu dan si anu daripada sebati jiwa dan raga mereka dengan Muhammad SAW.

Sehingga akhirnya mereka lebih mengutamakan perkataan, perbuatan dan persetujuan yang dikeluarkan oleh manusia, selain Muhammad SAW. Mereka berkata bahawa mereka beriman kepada Muhammad SAW. Tapi ketika dianjurkan kepada mereka perkataan, perbuatan, dan persetujuan Baginda, mereka menutup mata.

Mereka berkata bahawa mereka pengikut Muhammad SAW. Tapi ketika ditunjukkan kepada mereka perkataan, perbuatan, dan persetujuan Baginda mereka menutup telinga.
Mereka berkata bahawa mereka mencintai Muhammad SAW. Tapi ketika dihadapkan kepada mereka perkataan, perbuatan, dan persetujuan Baginda mereka menutup mulut.

Itulah realiti yang dihadapi umat Islam masa kini. Mereka mengingati Muhammad SAW hanya apabila mereka sedang dalam surau, masjid dan majlis. Tapi ketika mereka keluar, yang mereka ingat adalah selain Muhammad SAW. Padahal perkataan, perbuatan dan persetujuan Muhammad SAW bersifat sederhana dan tidak menyusahkan dan memberatkan. Baginda bersabda maksudnya: "Apa saja yang aku larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka lakukanlah sesuai kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan berselisih faham dengan nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh)." (Muttafaq 'alaihi)

Betapa mulia dan tingginya Muhammad SAW seperti dalam hadis pada permulaan renungan ini dia ia sudah cukup untuk menjadi bukti kewajipan mengidolakan Baginda. Mahukah kita dekat dengan Baginda kerana mengidolakan Baginda? Jika mahu, Baginda pun memberikan satu jalan dalam sabda Baginda bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak membaca selawat kepadaku." (Hadis riwayat Tirmizi) Allahumma salli 'ala Muhammad.

Sumber: Berita Harian

Sila baca juga:
1) Sejarah Memperingati Maulidur Rasul