Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Showing posts with label minda sejarah. Show all posts
Showing posts with label minda sejarah. Show all posts

Friday, 4 November 2016

Belajar Daripada SEJARAH Untuk Elak Ulangi Kesilapan Lalu

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah agar semua pihak sentiasa belajar daripada sejarah bagi mengelak daripada mengulangi sebarang kesilapan lampau.
Baginda bertitah sejarah bukannya ramalan tetapi ia catatan peristiwa yang telah berlaku secara faktual, satu rekod yang tepat, konsisten dan tidak berubah untuk dijadikan rujukan, teladan serta panduan.
"Mereka yang lupa akan sejarah, akan didera dengan mengulangi kesilapan yang sama berulang kali dan sikap tidak belajar daripada sejarah, adalah sebesar-besar pengajaran sejarah," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerah Darjah Kebesaran Negeri Perak bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-60 baginda di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, anakanda baginda Raja Azlan Muzaffar Shah yang juga Raja Kechil Besar serta Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Antara yang hadir sama ialah Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta para exco kerajaan negeri.
Sultan Nazrin yang dimahsyurkan sebagai Sultan Perak pada 2014 bertitah kebijaksanaan seseorang sultan dan raja menitahkan hukum serta melaksanakan keadilan dipengaruhi oleh maklumat sebenar yang sampai kepada pendengaran baginda.
"Beta amat hargai kata panduan dan kata pedoman yang disembah maklumkan oleh ahli-ahli Dewan Negara, para ulama dan para umarak.
"Beta hargai lafaz taat setia yang dizahirkan Raja Muda, demikian juga ikrar taat setia yang dipersembahkan oleh Menteri Besar, beta amat insaf akan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas beta," titah Sultan Nazrin.
Titah Sultan Nazrin kesempurnaan dalam menyempurnakan amanah sebagai Sultan Perak bukan sahaja diperhatikan oleh rakyat, tetapi merupakan ujian besar daripada Allah, yang akan dinilai pada hari kebangkitan kelak.
"Semoga dalam memenuhi amanah, ketika bersemayam di atas takhta kerajaan ini beta dijauhkan daripada hanyut dengan kata-kata pujian yang boleh melalikan hingga mengakibatkan beta terkabur penglihatan," titah baginda.
Dikenali sebagai sultan berjiwa rakyat, Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan terhadap persepakatan yang baginda peroleh daripada semua pihak termasuk kerabat diraja Perak, polis dan tentera yang membantu dalam melaksanakan tanggungjawab.
"Masing-masing telah menyempurnakan amanah untuk membantu supaya negeri ini terus dapat dibangunkan dalam suasana aman dan warga berada dalam sejahtera.
"Demikian jua penghargaan beta kepada pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan-pertubuhan belia, badan-badan sukan, serta warga keseluruhannya yang telah memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh kerajaan beta," titah baginda.
Pada istiadat hari ini, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat-pingat negeri kepada 33 daripada keseluruhan 333 penerima, manakala bakinya akan menerima darjah kebesaran masing-masing pada istiadat 12 Nov depan.

Thursday, 26 March 2009

Minda Sejarah: Belajar Efektif dengan Peta Minda

Peta minda merupakan kaedah yang berkesan untuk mendapatkan semula maklumat daripada ingatan untuk ditukarkan menjadi bentuk yang boleh dilihat.

Peta minda boleh membantu anda untuk meningkatkan kecerdasan dan kemahiran anda untuk mengukuhkan daya ingatan dan pemahaman.

Peta minda merangsang pelbagai keupayaan yang ada dalam diri anda.Antaranya, anda perlu memikirkan tentang maklumat yang diperlukan dan membuat pemilihan mengikut keinginan anda.

Secara langsung, anda berhubung secara aktif dengan maklumat yang ada dalam ingatan anda.Bolehlah anda sifatkan anda sebenarnya sedang berbicara dengan daya ingatan sendiri.

Peta minda itu juga boleh merangsang beberapa anggota anda yang mempunyai peranan tersendiri.

Antaranya, anda perlu berfikir, memerhati, memilih, melukis dan menentukan anda memahami apa yang anda inginkan.Tangan anda ikut serta dalam kerja-kerja tersebut.

Hal ini dapat memahirkan diri dengan disiplin yang penting dalam pembelajaran.Menggunakan peta minda bermakna anda harus menggunakan kemahiran menyusun maklumat yang betul dan tepat dan mudah difahami.

Peta minda juga membolehkan anda membuat perkaitan dengan lebih mudah dan cepat.Apa yang anda ingat akan dapat diperkukuh melalui gambaran dan tulisan yang anda lakukan.Kemudian anda mengaitkan pula dengan beberapa isi kecil yang lain.

Cabang dan Ranting

Lama kelamaan akan membentuk idea keseluruhan mengenai apa yang anda inginkan daripada daya ingatan anda.Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa penggunaan peta minda akan menambahkan keseimbangan otak kiri dan otak kanan.

Apa yang menarik mengenai peta minda ialah ia merangkumkan semua aspek bahasa, analitis, reka bentuk, matematik, deria dan sebagainya dalam usaha keseluruhannya.

Kelebihan lain yang terdapat pada peta minda ialah ia mudah digunakan serta sesuai untuk semua tujuan.Peta minda amat sesuai untuk tujuan menelaah pelajaran, mengambil nota yang diajar oleh guru, membaca buku, persediaan sebelum berbahas, untuk bermesyuarat, malah untuk persediaan membeli-belah.

Anda tidak perlu menuliskan semuanya pada sekeping atau lebih kertas.Anda tidak akan sukar untuk memikirkan secara mendalam kerana ingatan anda dibantu oleh hasil lukisan dan tulisan mata dan tangan anda.

Peta minda boleh disediakan dengan mudah. Pada buku tulis atau sekeping kertas, tulis topik utama yang menjadi perhatian anda. Topik tersebut, misalnya pembelajaran, eloklah dituliskan di bahagian tengah.

Dari sini, pelbagai perkara lain yang berkaitan dengan topik pembelajaran akan dihasilkan dalam bentuk cabang atau cawangan daripada pembelajaran tadi.Daripada cabang-cabang tadi, anda boleh menghasilkan pelbagai fakta isi kecil yang lain bentuk ranting. Di samping itu, anda boleh juga menggunakan pelbagai imej lain yang boleh mencorakkan peta minda dengan lebih menarik.

Selamat mencuba :)

Wednesday, 4 February 2009

Minda Sejarah: Kad Tema

Salam Sejarah buat semua pengunjung yang dikasihi lagi penulis hormati. Apa khabar kalian? Diharap agar kalian sihat-sihat sahaja dalam kerangka memartabatkan subjek sejarah sebagaimana satu ungkapan daripada sekian banyak ungkapan motivasi yang sangat penulis suka gunakan dalam pembelajaran dan pengajaran sejarah iaitu, "History: Prepare Students For the Future by Teaching About the Past!."

Pada kali ini penulis akan berkongsi tentang satu lagi tip paduan belajar sejarah iaitu dengan menggunakan kad tema. Untuk catatan, kaedah ini adalah pengalaman penulis sendiri semasa zaman persekolahan menengah dahulu dan lebih penting ia adalah sangat membantu pencapaian subjek sejarah penulis.

Bagaimana membuatnya?

Langkah pertama, dapatkan kad manila atau apa-apa sahaja yang boleh dipotong seperti separuh kad perniagaan atau lebih kecil mengikut kesesuaian anda.

Langkah kedua, tulis tema-tema penting topik-topik yang anda pelajari di dalam kelas atau yang anda telah baca. Untuk tujuan menulis tema ini, sila dapatkan pandangan dan nasihat guru tentang apa yang dimaksudkan tema atau konsep penting terlebih dahulu. Ingat! satu kad hanya ditulis satu tema sahaja.

Langkah ketiga, gunakan formula 5W+H untuk mengulangkaji setiap kad tema dalam koleksi anda. (Nota: '5W' merujuk kepada persoalan Who, When, Where, Why, What dan 'H' merujuk kepada How)

Contoh penggunaan kad tema: 'Perjanjian Pangkor'
Persoalan - Siapakah yang terlibat dalam perjanjian ini?
- Mengapakah diadakan perjanjian ini?
- Bilakah perjanjian ini diadakan?
- Di manakah perjanjian ini berlangsung?
- Apakah faktor-faktor kepada berlakunya? / Apakah isi-isi kandungan perjanjian?
- Bagaimanakah perjanjian ini mengukuhkan kuasa British di Perak dan negeri-negeri Melayu?

Bila anda boleh menggunakan kad tema?

Anda boleh menggunakannya bila-bila masa dan di mana-mana sahaja samada sedang menunggu bas, menunggu giliran mengambil makanan, selepas solat, menunggu guru masuk ke kelas, ketika masa senggang mahupun ketika sedang berehat santai.

Dalam erti kata lain, penggunaan kad tema adalah sangat praktikal dan memanfaatkan ruang masa yang ada. Ingat! 'Masa adalah Kehidupan.'

Cadangan tambah nilai

Selain mengulangkaji bersendirian menggunakan kad tema yang anda hasilkan, untuk menjadikan ia lebih menarik ialah dengan anda berkongsi penggunaannya dalam kumpulan studi anda bersama kawan-kawan yang lain. Ini akan mengukuhkan lagi pemahaman di samping menguatkan ingatan anda untuk jangka panjang.

Selain subjek sejarah, kad tema juga praktikal untuk diimplementasikan dalam subjek-subjek lain khususnya yang melibatkan banyak aktiviti pembacaan.

Semoga perkongsian tidak seberapa ini dapat diambil manfaatnya. Sehingga bertemu lagi dalam Minda Sejarah yang akan datang untuk kaedah dan tip belajar sejarah secara lebih efektif. InsyaAllah.

"Ingat Sejarah....Ingat Sejarah2u :p"

Friday, 16 January 2009

Minda Sejarah: Senyum Itu Sedekah!

Salam mahabbah buat semua pengunjung Sejarah2u yang dimuliakan Allah swt. Diharap sinar 2009 terus menjadikan kalian ceria dan sentiasa terus tersenyum menikmati kehidupan yang serba mencabar dan bersifat sementara ini.

Buat anak-anak didikku di bumi Al-Amin, harap masih belum terlambat untuk penulis menghulur salam perkenalan dan persaudaraan buat kalian. Penulis berbangga untuk terus membimbing kalian. Semoga sesi 2009 mampu merealisasikan kejayaan lebih gemilang buat kita semua. InsyaAllah.

Sebagaimana sesi terdahulu ketika kelas dibuka, penulis akan selalu mengingatkan para pelajar akan kaedah dan tip mudah mempelajari ilmu Sejarah.

Antara sekian banyak panduan tersebut, 'sentiasa perbanyakkan senyuman' ketika belajar sejarah sentiasa penulis tekankan kerana ia melibatkan permainan minda dan mampu menggerakkan perubahan emosi kepada yang lebih positif. Dengan senyuman juga akan menjadikan segala perkara yang susah dan sukar menjadi lebih senang dan mudah.

Apatah lagi ramai menganggap sejarah sebagai satu subjek yang non-kemersial, kena banyak baca, kena hafal tarikh dan 1001 alasan lagi, malah tidak keterlaluan juga ada yang menganggap sejarah sebagai ubat tidur paling mujarab untuk melelapkan mata.

Selain itu, faktor suasana persekitaran serta pendekatan guru sejarah yang statik dan membosankan turut menyumbang kepada 'penguncupan' minat murid terhadap mata pelajaran sejarah.

Maka, untuk merungkai sebahagian daripada cabaran tersebut, amat wajar kiranya para guru dan pelajar yang belajar sejarah terus membina minda positif terhadap subjek sejarah dengan teknik senyuman yang betul, di samping menganggap sejarah adalah subjek yang palinnnggg senang untuk dipelajari dan skor cemerlang dalam peperiksaan.

Semoga perkongsian tidak seberapa ini dapat diambil manfaatnya. Sehingga bertemu lagi dalam Minda Sejarah yang akan datang untuk kaedah dan tip belajar sejarah secara lebih efektif. InsyaAllah.

"Ingat Sejarah....Ingat Sejarah2u :p"