Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Showing posts with label seni bina Islam. Show all posts
Showing posts with label seni bina Islam. Show all posts

Monday, 4 January 2010

Masjid Beijing

Masjid Beijing atau nama sebenarnya, Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra kini menjadi produk terbaru bagi menarik pelancong bertandang ke Kelantan.

Masjid tersebut yang mula dibina pada 2004 kini hampir siap sepenuhnya dan telah digunakan mulai Ramadhan tahun lepas.

Bekas bendang padi seluas tiga ekar yang sudah lama terbengkalai hari ini menjadi tumpuan ramai selepas muncul masjid yang begitu unik.

Kedudukannya tidak jauh dari pekan Rantau Panjang dan juga menghala ke pintu masuk ke negara jiran, Thailand.

Masjid seumpama tokong Cina itu kelihatan unik kerana mempunyai bentuk atapnya yang melentik di bahagian hujung.

Terdapat tujuh bumbung melentik yang berwarna hijau tua. Warna merah pula dicatkan di bahagian bawah atap.

Kos keseluruhan bagi menyiapkan pembinaan masjid terbabit adalah sebanyak Rm8.8 juta yang disumbang kerajaan negeri dan hasil derma orang ramai.

Monday, 5 January 2009

Masjid Tengkera

Masjid ini merupakan masjid lama yang terletak di Jalan Tengkera yang berdekatan dekat Jalan Gajah Berang. Masjid ini telah dibina pada tahun 1728 dan merupakan masjid bersejarah pertama kerana dibina pada zaman pemerintahan Belanda. Masjid ini juga merupakan masjid kedua tertua di Melaka selepas Masjid Peringgit.

Bangunan masjid ini bersegi empat dan ditutup oleh bumbung berlapis tiga. Bentuk seni bina masjid ini hampir menyerupai Masjid Kampung Laut di Kelantan dan Masjid Demak di Pulau Jawa, Indonesia. Perkara yang ganjil tentang masjid ini ialah terdapat sebuah menara yang mempunyai seni bina yang sama dengan pagoda. Menaranya diperbuat daripada batu dan reka bentuknya jelas memperlihatkan kombinasi seni bina Cina dan India.

Pada asalnya, Masjid Tengkera ini diperbuat daripada kayu dengan atapnya daripada daun nipah dan tiangnya daripada kayu berlian atau ulin yang diimport dari Kalimantan, Sumatera. Masjid ini telah diperbaharui beberapa kali iaitu pada tahun 1890 dan 1910.

Di dalam kawasan masjid ini terdapat makam Sultan Hussein Muhammad Shah dari Johor yang telah mengiktiraf perjanjian awal penyerahan Singapura kepada Sir Stamford Raffles dengan Temenggung Abdul Rahman pada 6 Februari 1819. Selepas penyerahan Singapura, baginda meninggalkan Singapura dan berpindah ke Melaka. Sultan Hussein Muhammad Shah mangkat pada 5 September 1835 dan dimakamkan di perkarangan masjid ini.


Sumber:
(a) Fauziah Abd. Ralip, (2002). Tanah Bersejarah. Selangor: Pustaka Cita Tinggi
(b) Mohamed Rosean Abdul Malek, (1998). Kesan Sejarah dan Tempat-Tempat Menarik Negeri Melada Bandar Raya Bersejarah. Petaling Jaya: Oscar Book International.
(c) Suraya, (1995). Melaka Bandaraya Bersejarah. Kuala Lumpur: Penerbitan Hartamas.
(d) Shahidah Sulaiman, (1997). Melaka Bandar Raya Bersejarah. Petaling Jaya: Penerbit Setiamas.

Thursday, 24 April 2008

Keunikan Seni Bina Turki


Kehebatan reka bentuk bangunan, istana lama serta pemandangan indah tarikan luar biasa di Istanbul

ANDA pencinta seni bina dan suka melawat tempat bersejarah. Oleh itu, apa kata cari masa untuk mengunjungi Turki yang memang terkenal dengan keunikan seni bina bangunan yang indah.

Satu daripada wilayah yang menyimpan khazanah seni bina indah adalah Marmara, iaitu daerah menempatkan ibu kota Istanbul .

Istanbul bukan saja terkenal dengan seni bina mengagumkan di Turki, malah ia dikenali sebagai bandar dua benua yang mana sebahagian daripadanya terletak di benua Asia dan separuh lagi di Eropah. Tarikan utama Istanbul adalah Selat Bosphorus terletak di antara Laut Hitam dan Laut Marmara serta muara sungai dikenali sebagai Golden Horn (Tanduk Emas).

Istanbul yang dulunya adalah ibu negeri tiga empayar pemerintahan Roman, Byzantine dan Kerajaan Othmaniah kini menjadi destinasi pelancongan yang kaya dengan warisan masa lampaunya.

Istanbul mempunyai kepelbagaian tarikan pelancongan seperti istana lama, monumen bersejarah, muzium, gereja, masjid, bazar dan pemandangan indah alam yang tidak mungkin anda dapat dilihat di tempat lain di dunia.

Kelebihan berkenaan menjadikan Istanbul destinasi popular yang sering menjadi pilihan pelancong di seluruh dunia. Malah, kebanyakan pelancong menamakan Istanbul sebagai tempat paling mempesona di dunia.

Apabila anda berkunjung ke Istanbul jangan sesekali melepaskan peluang melawat istana sekitar bandar berkenaan terutama Istana Topkapi yang menjadi mercu utama Empayar Othmaniah pada kurun ke-15 dan 19.

Istana itu kini menempatkan dewan, perpustakaan Ahmet III dan ruang pameran pakaian keluarga Raja, batu permata terkenal simpanan keluarga Raja dan koleksi kecil manuskrip zaman pertengahan.

Di tengah istana berkenaan terletaknya Pavilion Holy Mantle yang mengabadikan peninggalan Nabi Muhammed SAW ketika zaman Othmaniah menjadi Khalifah Islam. Ia dibuka setiap hari kecuali Selasa.

Selain Topkapi anda juga boleh melawat Istana Dolmabahce yang dibina Sultan Abdulmecit I pada pertengahan kurun ke-19, mengunjur 600 meter menghadap selat Bosphorus.

Istana berkenaan mempunyai koleksi candelier kristal seberat empat setengah tan dengan 750 lampu yang sungguh mengagumkan. Malah, jika anda bertuah, akan dapat melihat burung dari seluruh dunia berkumpul di Astaka Burung di dalam istana ini. Istana ini dibuka setiap hari kecuali Isnin dan Khamis

Dalam abad ke-19 pula, Sultan Abdulaziz membina Istana Beylerbeyi, yang dilengkapi dengan batu marmar putih di serikan dengan taman magnolia di tengah-tengahnya mengunjur sehingga ke Selat Bosphorus sebelah Asia.

Malah, di sini terletaknya kediaman musim panas Sultan yang menjadi penginapan untuk pembesar asing yang melawat negara itu. Maharani Eugenie Perancis adalah antara penginap utama di sini, ketika itu. Ia dibuka setiap hari kecuali Isnin dan Khamis

Selain itu, kunjungilah State Pavilions di kompleks Istana Yildiz, yang turut menempatkan astaka dan sebuah masjid. Istana ini dibina Abdulhamit 11 pada akhir abad ke-19.

Di dalam istana ini terdapat bangunan di kenali sebagai The Sale, iaitu binaan terbesar dan paling indah yang menampilkan kehidupan mewah Sultan yang turut menjadi tempat berlibur golongan Raja, waktu itu.

Bangunan ini dilengkapi taman bunga yang besar dengan koleksi pelbagai jenis pokok dari seluruh dunia menjadikan istana ini antara yang tercantik di selat Bosphorus.



Namun, istana ini sedang dibaik pulih dan pengunjung hanya boleh melawat The Sale dan taman bunga saja yang di buka kepada orang ramai pada setiap hari kecuali Selasa.

Satu lagi istana yang perlu dikunjungi Istana Goksu atau lebih dikenali sebagai Kucuksu, mendapat namanya daripada nama anak sungai berhampiran Selat Bosphorus.

Istana ini dibina Abdulmecit I dalam pertengahan abad ke-19 yang digunakan sebagai istana hinggap musim panas yang dibuka kepada umum setiap hari kecuali Isnin dan Khamis.

Istana yang menampilkan ciri sebenar seni bina Turki pula dikenali sebagai Aynali Kavak Summer Pavilion terletak di Golden Horn. Ia dibuka kepada pelancong setiap hari kecuali Isnin dan Khamis.

Mengikut sejarah, istana ini di bina pada abad ke-18 dan menjadi kediaman rasmi beberapa Sultan yang kemudian dikenali Istana Mirrored Poplar, selepas cermin yang dihadiahkan kerajaan Venice dipasang di istana itu pada 1718.

Kunjungan ke Istanbul pastinya lebih menarik jika anda singgah ke Masjid Biru yang diiktiraf sebagai tinggalan seni bina agung dunia selain Hagia Sophia yang menjadi landskap kebanggaan Turki.

Hagia Sophia adalah lambang toleransi agama dan masyarakatnya yang dahulunya dibina penganut Kristian Ortodok sebagai gereja oleh Justinian I pada 537 Sebelum Masihi (SM). Kemudian ia dijadikan masjid ketika zaman pemerintahan Othmaniah.

Hagia Sophia sering diingati bukan kerana sejarahnya tetapi kubah utamanya yang besar dan cantik. Ia disokong oleh 40 tingkap yang membolehkan cahaya matahari menerobos masuk ke bahagian dalam. Dari jauh,kubah itu kelihatan `terapung'.

Banyak lagi monumen dan bangunan bersejarah yang menarik yang mempunyai keunikan tersendiri yang tidak dapat di tempat lain. Maka, apa kata anda dapatkan maklumat lanjut mengenai Turki di laman webnya di www.tourismturkey.org

INFO: Seni bina Istanbul

- Istana Topkapi menjadi mercu utama Empayar Othmaniah pada kurun ke-15 dan 19 di
Turki.

- Pengasas Turki Moden, Mustapa Kamal Ataturk, ditemui mati Istana Dolmabahce pada 10 November 1938.

- Sultan Abdulaziz membina Istana Beylerbeyi, dilengkapi dengan batu marmar putih di
serikan dengan taman magnolia di tengah-tengahnya mengunjur sehingga ke Selat
Bosphorus sebelah Asia pada abad ke-19.

- Istana Goksu atau lebih dikenali sebagai Kucuksu, mendapat namanya daripada nama
anak sungai berhampiran Selat Bosphorus.

- Istana yang menampilkan ciri sebenar seni bina Turki pula dikenali sebagai Aynali
Kavak Summer Pavilion terletak di Golden Horn

- Istana Yildiz dibina Abdulhamit 11 pada akhir abad ke-19 menempatkan astaka dan
sebuah masjid.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Destinasi/20080420101647/Article