Saturday, 9 February 2008

Remaja Islam Wajar Menghindari Sambutan Hari Kekasih

AMALAN untuk meraikan sambutan Hari Kekasih (Valentine’s Day) setiap 14 Februari amat bercanggah dengan syara’ kerana ia mempunyai unsur kepercayaan agama Kristian dan menjurus kepada kebobrokkan akhlak.

Selain itu, sambutan yang tidak berfaedah ini dirai dengan penuh unsur maksiat seperti berdua-duaan, berpeleseran hatta membawa kepada perbuatan seks bebas.

Sesungguhnya budaya meniru budaya barat yang terpesong dan mencampurkan perkara aqidah mengikut kepercayaan agama lain adalah salah di sisi Islam.

Dalam erti lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agama Islam dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah Al-Kafirun ayat 1-6 )

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Para mufti di Malaysia juga telah bersepakat untuk memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam seperti yang dibincangkan dalam muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005.

Melalui sejarah Valentine, jelas ia dapat disabitkan dengan budaya Kristian yang menyatakan Valentine’s Day bermula dari kematian tragis seorang Paderi yang bernama St.Valentine yang dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang bernama Raja Claudius pada II (268-270M ).

Bermula dari kisah ini mereka telah mengabdikan St.Valentine sebagai seorang tokoh yang hebat dalam mempertahankan cinta dan dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup. Ia turut dianggap sebagai upacara keagamaan masyarakat Kristian.

Justeru, umat Islam khususnya remaja diminta agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih.

Berikut adalah amalan yang perlu dihindari oleh remaja Islam pada hari berkenaan:

1. Berfoya-foya sesama kekasih dan mengadakan majlis atau parti untuk menyambut hari tersebut.

2. Menghantar kad-kad ucapan dan pada kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap yang menjadi simbol kepercayaan agama Kristian.

3. Menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada kekasih untuk meluahkan rasa sayang sebagai tanda percaya akan “keajaiban” hari tersebut.

Adalah juga sangat mengecewakan kerana wujud segelintir pihak yang sanggup menaja majlis sambutan Hari Kekasih dan menjual barang-barang cenderahati untuk mempengaruhi remaja memperingati hari tersebut.

No comments:

Post a Comment