Tuesday, 25 November 2008

Fenomena 'Ayat-Ayat Cinta' : Biarkan Sejarah Terus Bercerita..


Salam Sejarah buat semua pengunjung setia Sejarah2u. Didoakan semuanya berada dalam nikmat kemanisan Iman dan kekuatan 'amal demi mengharap mardhotillah dariNya. InsyaAllah.

Pada kesempatan kali ini, Sejarah2u berbesar hati berkongsi tentang sebuah novel yang telah menimbulkan fenomena baru, khususnya buat para remaja dan anak-anak muda mudi Islam di Indonesia, Malaysia dan seantero dunia dalam melihat satu perspektif garapan Islam dalam konteks perhubungan sebuah mu'amalah berpaksi Islami yang membangun jiwa dan segar sifatnya.

Mengenali penulisnya, Habiburrahman El-Shirazy atau lebih mesra dengan panggilan Kang Abik, novel Ayat-Ayat Cinta (AAC) yang meletup itu adalah aset utama untuknya berdakwah dengan lebih meluas.

"Malu sama Rasulullah s.a.w. Baginda berdakwah ke Taif, hingga berlumuran darah dilempar batu. Saya dijemput menyampaikan dakwah. Bukannya kita cari, orang yang datang jumpa kita dan minta kita berceramah. Adakah kita patut menolak?".

Ucapan 'malu sama Rasulullah' yang disebutkan Kang Abik itu kerap bergema dan berlegar-legar di dalam fikiran. Ia mengingatkan saya ke atas watak Fahri Abdullah yang sedang mempertahan seorang wartawati Amerika yang sedang memapah ibunya yang keletihan di atas LRT. Ketika warga Amerika itu diserang, Fahri dengan pantas mengucapkan sebuah sabda Rasulullah.

"Kalian telah menyakiti Rasulullah," demikian kata Fahri. Apakah watak Fahri adalah belahan daripada jiwa beliau sendiri? Atau, apakah watak utama itu sebahagian besarnya datang daripada kesan, cetusan ilham melalui kisah rakan-rakannya?

Melihat perawakannya, sosok yang kental spiritual, kukuh pendirian dengan iltizam dakwah ini ternyata masih muda. Usianya sekitar 30-an.

Baginya, AAC yang terus bangkit sebagai suatu fenomena secara tiba-tiba itu telah menjadi landasannya untuk makin kukuh dan giat bekerja dalam landasan dakwah. Dan padanya, lulusan al-Azhari tidak sepatutnya berada dalam pesantren (pondok) dan berterusan menjadi santri-santri (lulusan pondok) sahaja.

Apa takrif Sastera Islam?

Itu merupakan salah satu kes di mana penangan AAC menyebabkan beliau mula kerap diundang menyampaikan ceramah agama. Tapi, beliau kerap merendah diri. Dia tidak banyak mendabik dada ketika membicarakan AAC itu.

Saya tak meletakkan novel itu sebagai sastera Islami. Saya hanya letakkan novel itu sebagai novel pembangun jiwa. Tapi, khalayak ramai kemudiannya meletakkan karya itu sebagai sastera Islam.
"Saya tidak melihat Sastera Islam itu mestilah ciri-cirinya berlatarbelakangkan masjid, Makkah dan Madinah. Ini satu tanggapan yang mesti dibetulkan," katanya lagi

Baginya, penafsiran yang melihat sastera Islam itu cuma terhad kepada latarbelakang Makkah, Madinah, masjid itu akan menyebabkan sastera Islam akan menjadi makin sempit, walhal Islam itu luas dan rahmatnya melimpah ke serata alam. Islam ada pada setiap bangsa dan ia hadir di semua negara.

"Malah sastera Islam itu masuk mengalir ke Indonesia itu serentak dengan kehadiran Islam itu sendiri," kata beliau lagi sambil merujuk kepada tradisi dakwah Wali Songo yang menggunakan elemen, tradisi hiburan.

Mengarang dari hati

"Mungkin kerana AAC berlatarbelakang al-Azhar, maka ia diangkat sebagai sastera Islam. Tetapi, saya ingin katakan bahawa jika saya tak belajar di al-Azhar dan di Timur Tengah sekali pun, saya tetap akan mengarang Ayat-Ayat Cinta."

Dalam usaha cuba mencungkil rahsia resipi Kang Abik dalam menyediakan ramuan novel sebagai hidangan jiwa, santapan rohani dan kini ia menjadi juadah pembuka selera bicara bagi penggemar sastera kini.

"Biasa saja, sesuaikan tema novel dengan judulnya. Malah AAC itu sudah ada berapa buah judulnya dalam fikiran saya sebelum ini," kemudian dia terdiam sebentar.

"Ya, selain itu ada juga kita bertafakur, bermenung sendirian.."

Benarlah seperti kata Prof. Hamka dalam salah satu catatannya, "orang yang mengarang dari hatinya, tulisan mereka itu akan terpancar cahaya dan kesannya terus masuk ke dalam hati manusia lain." Allahu a'lam.

Untuk mendapatkan sinopsis AAC dan versi elektroniknya, sila klik di sini.

No comments:

Post a Comment