Wednesday, 19 November 2008

Asal Usul Nama Negeri Pahang Darul Makmur



Dalam catatan sejarah pengembara zaman dahulu, pelbagai nama telah diberikan kepada Pahang.Daripada unsur Arab dan Eropah, Pahang pernah disebut sebagai ‘Pam’, ‘Pan’, ‘Paam’, ‘Paon’, ‘Phaan’, ‘Phang’, ‘Pahan’, ‘Phaun’ atau ‘Pahangh’. Dalam catatan Cina pula, mereka menyebut Pahang sebagai ‘Pan-Pan’, ‘Peng Keng’, ‘Peng-Feng’, ‘Pang Hang’ atau ‘Fong-Fong’. Dalam bahasa Khmer perkataan Pahang disebut ‘timah’. Dalam Hikayat Hang Tuah dan lain-lain catatan lama, Pahang dirujuk sebagai ‘Indera Pura’ dan ibu negerinya ialah Pekan.

Menurut cerita rakyat tempatan, asal usul nama Pahang diperolehi daripada nama sebatang pokok mahang yang amat besar, dikatakan tumbuh di tebing Sungai Pahang. Oleh kerana pokok itu amat besar sehingga nampak dari Laut China Selatan dan menjadi pedoman kepada lanun-lanun di laut untuk merompak penduduk negeri itu.Bagi tujuan keselamatan pemerintah Pahang ketika itu telah mengarahkan pokok itu ditebang. Akhirnya seramai tujuh orang batin Orang Asli telah sanggup untuk menebang pokok itu. Setelah pokok itu tumbang, ketujuh-tujuh orang batin tersebut meninggal dunia.

Menurut cerita, ketujuh-tujuh orang batin itu mengambil masa tujuh hari tujuh malam untuk menumbangkan pokok raksasa itu. Setelah tumbang, pangkal pokok mahang itu dikatakan dapat memuatkan sebanyak 40 hidangan. Daripada peristiwa itu, sungai yang mengalir berhampiran dengan pokok itu dinamakan Sungai Mahang dan negerinya pula dinamakan Mahang. Tetapi lama-kelamaan sebutan itu bertukar menjadi Pahang dan kekal sehingga hari ini.

Rujukan
1.Mohamed Roselan Abdul Malek. Negeri Pahang Darul Makmur. Petaling Jaya:Oscar Book International, 1998.
2.http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Negeri_Pahang

1 comment: