Tuesday, 30 December 2008

Watak Kucing dalam Kehidupan Masyarakat Mesir Purba


Agama dan kepercayaan sangat sebati dengan kehidupan orang Mesir purba. Mereka mempercayai bahawa seluruh alam dikuasai oleh tuhan atau dewa-dewi yang menentukan hidup atau matinya sesuatu kehidupan di alam semesta.

Dewa-dewi dianggap mendatangkan kebahagiaan kepada orang Mesir purba. Oleh sebab itulah mereka memuja semangat tanaman dan binatang seperti kucing.


Orang Mesir purba telah menubuhkan satu kumpulan agama yang bertuhankan kucing yang dikenali sebagai Bast.

Kepentingan watak seekor kucing dalam kehidupan orang Mesir purba dijelaskan oleh Herodotus, seorang sejarawan Greek. Beliau menyatakan bahawa apabila kucing peliharaan mereka mati, mereka sekeluarga akan berkabung dan mencukur bulu kening bagi menandakan kesedihan mereka.

Komentar: Kucing juga merupakan binatang kesayangan Rasulullah Saw. Kasih Rasulullah Saw kepada kucing menyebabkan para sahabat juga menyayangi kucing sehingga seorang sahabat besar Nabi Muhammad Saw terkenal dengan jolokan Abu Hurairah yang bermaksud 'bapa kucing'.

Sunday, 28 December 2008

Salam Ma'al Hijrah 1430H


Muharam adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah SAW memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Doa Akhir Tahun hendaklah dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.

Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata:"Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun".

Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram.

Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata: "Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan".

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1430H daripada Sejarah2u buat semua pengunjung yang dirahmati Allah Swt. Hijrah menuju Allah dan RasulNya. Ameen

Thursday, 25 December 2008

Tahukah Anda? - Terusan Suez


Salam Sejarah buat semua...

Dalam pembelajaran teks Sejarah peringkat Menengah, khususnya dalam silibus tingkatan 4 dan 5, kita telah didedahkan tentang usaha penjelajahan dan penjajahan oleh Imperialis Barat pasca era Renaissance. Kemajuan pengangkutan dan perhubungan menjadi antara 'kunci terpenting' yang mendorong kepada usaha-usaha tersebut.

Tahukah anda bahawa pembinaan Terusan Suez telah menjadi pemangkin kepada pelaksanaan dasar Imperialisme Barat ke Timur? Justeru, marilah sama-sama kita mengamati sejarah pembinaan Terusan Suez yang peranannya cukup relevan dan signifikan hinggalah ke hari ini.

Terusan Suez, 1869

Ia dibina oleh Perancis dengan pimpinan juruteranya yang bernama Ferdinand de Lesseps. Sebaik dibuka, terusan ini dikendalikan oleh syarikat awam yang kebanyakan sahamnya dimiliki oleh Khedif, Gabenor Mesir dan pedagang Perancis yang berpengaruh.

British sangat berminat menguasai Terusan Suez kerana ia menjadi laluan utama sebilangan besar kapal dagangnya serta jalan singkat ke India, Asia Tenggara, China dan Australia.

Pada tahun 1875, akibat banyak berhutang dan hampir muflis telah menyebabkan Khedif terpaksa menjual sahamnya dalam Kompeni Terusan Suez. Kesempatan ini diambil oleh Disraeli, Perdana Menteri British ketika itu untuk membeli 45 peratus jumlah saham dalam kompeni tersebut yang bernilai 4 juta paun sterling (modal besar pada masa itu).

Dengan bantuan pinjaman daripada Rothschilds, iaitu sebuah firma bank antarabangsa yang terkenal, Disraeli mempunyai cukup wang tunai untuk membeli saham tersebut, seterusnya menguasai kompeni dan terusan Suez.

Berikutan dengan ini, Mesir juga telah jatuh ke tangan British dan kemaraan imperialisme Barat tidak dapat dibendung lagi pada kurun ke-19.

Musafir Qurban 2: Empangan Beris


Salam ukhuwwah dan selamat sejahtera kepada semua pengunjung Sejarah2u yang penulis kasihi dan dirahmati Allah Swt.

Syukur kerana sekali lagi kita dipertemukan dalam posting Musafir Qurban ke2 dan terakhir ini. Diharap semangat berkorban yang diinspirasikan oleh Allah Swt melalui kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail ini menjadikan kita lebih beriman dan bertaqwa di sisiNya. InsyaAllah.


Sambungan dari kisah yang lalu, penulis ingin mengajak kalian ke kampung ayah penulis di Sik iaitu Kampung Telaga Batu. Seronoknya ialah ia kini terletak betul-betul di pinggir empangan Beris yang siap dibina pada tahun 2003. Apalagi, sebaik selesai proses sembelihan dan sempat menikmati sup daging lembu segar, penulis dan keluarga berkesempatan bersantai di kaki bukit empangan Beris.

Jika dulu sekitar kampung penulis dikelilingi pokok getah dan hutan, kini ia diliputi panorama luas empangan buatan manusia yang berfungsi untuk membekalkan air bersih buat kawasan selatan Kedah dan Pulau Pinang. Pemandangan dari atas bukit menghadap empangan begitu memukau lagi mempersonakan penulis. Subhanallah hanya kepadaNya. Maka di sini penulis ingin berkongsi sedikit fakta tambahan berkenaan sejarah pembinaan empangan Beris :-)

1) Terletak di daerah Sik, Kedah. Berhampiran dengan Tasik Pedu.
2) Jauhnya tasik ini dari Pekan Sik adalah lebih kurang 24 km atau dari Alor Setar iaitu 90 km dan kira-kira 1.6 km dari pertemuan antara
Sungai Beris dan Sungai Muda.
3) Ketika Tasik Beris dalam proses pembinaan lebih seribu kubur telah dipindahkan pada tahun 2002.

4) Kampung yang telibat ialah Kampung Batu Seketol, Kampung Sungai Batang (Kampung Kuala, Kampung Baru, Kampung Tengah, Kampung Paya dan Kampung Besar), Kampung Ternas dan sebahagian Kampung Telaga Batu.

5) Penduduk-penduduk kampung tersebut sekarang ditempatkan di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) kira-kira 10 kilometer dari Pekan Sik dan 5 kilometer dari Pekan Jeniang


Sekian sahaja untuk catatan perjalanan kali ini. Sehingga bertemu kembali dengan izin Allah Swt dalam catatan perjalanan Musafir Qurban pada tahun Hijrah 1430 kelak.

Salam pengorbanan fillah...

Tuesday, 16 December 2008

Konvensyen Majlis Guru Islah (MGI) ke-4


Salam Sejarah buat semua pengunjung Sejarah2u yang dirahmati Allah Swt.

Pada 13 Disember (Sabtu) tempohari, penulis telah dijemput untuk menyampaikan satu slot perkongsian pengalaman yang bertajuk, "Aplikasi Blog dalam P&P". Konvensyen diadakan di dewan Kejuruteraan UIAM. Seramai hampir 70 guru-guru MGI dari seluruh negara berkampung di UIAM sehingga lewat petang hari tersebut.

Jutaan terima kasih juga kepada pihak urusetia Majlis Guru Islah (MGI) yang sudi menjemput penulis untuk berkongsi serba sedikit ilmu dengan rakan-rakan guru MGI yang lain. Diharap perkongsian pintar ini akan terus diadakan serta menjadikan pihak seketariat MGI terus unggul dalam menjulang profesionalisme para guru selaras dengan tema konvensyen kali ini iaitu, "GURU: KERJAYA CEMERLANG, DAKWAH DIJULANG".

Monday, 15 December 2008

Skema Kertas 1 Sejarah SPM 2008

Salam Sejarah buat semua pelajar yang telah berjaya menduduki peperiksaan SPM 2008. Didoakan semoga kalian beroleh kecemerlangan di dunia dan di akhirat hendaknya. InsyaAllah.

Suka diingatkan bahawa untuk skor Sejarah A1 dengan lebih mudah, kalian sewajarnya betul lebih 30 soalan untuk kertas objektif (K1). Tapi, kalian tidak perlu khuatir jika gagal mendapat betul lebih 30 soalan sekiranya kalian yakin soalan K2 telah dijawab dengan sebaiknya.

Jika kalian telah bersedia untuk membuat semakan bagi kertas 1
,
sila klik di sini dengan penuh keyakinan. Dan selebihnya sama-samalah kita serahkan kepada Allah Swt yang maha Kuasa.

Salam perjuangan...

Wednesday, 10 December 2008

Sang Murabbi: Catatan Sejarah Seorang Dai'e Teladan


Salam Ukhuwwah buat semua pengunjung Sejarah2u. Pada kali ini penulis berkesempatan untuk berkongsi tentang sebuah filem bernuansakan Islam yang hangat diperkatakan kini. Seperti biasa, kehangatannya datang dari negara penduduk terbesar ummat Islam, iaitu Indonesia.

Filem yang penulis maksudkan bertajuk 'Sang Murabbi'. Filem ini berkaitan kekayaan spiritual, pengalaman dakwah, dan humanisme para ulama pejuang Indonesia. Ia berkisah tentang kisah benar mengenai perjalanan dakwah almarhum Ustadz Rahmat Abdullah.

Bagi yang masih belum berkesempatan menonton, di sini penulis catatkan sedikit ulasan ceritanya. Tapi, langkah yang terbaik adalah dengan kalian sendiri menonton perjalanan filem tersebut. Selamat menonton!

Ulasan filem Sang Murabbi:

Almarhum Ustadz Rahmat, menimba ilmu di pesantren Asy Syafiiyah di bawah asuhan KH Abdullah Syafii. Bakat besar dan pemikirannya yang genius, menjadikan Ustadz Rahmat dikagumi oleh setiap orang, terutama gurunya, KH Abdullah Syafii, yang menjadikan Ustadz Rahmat sebagai murid kesayangannya.

Ustadz Rahmat mulai merintis kariernya sebagai guru setelah lulus dari Asy Syafiiyah. Selain di almamaternya, ia juga mengajar di sekolah dasar Islam lainnya di kawasan Kuningan, Jakarta Selatan. Perjalanan karier yang dipilihnya itu kemudian mempertemukannya dengan guru keduanya, Ustadz Bakir Said Abduh yang mengelola Rumah Pendidikan Islam (RPI). Melalui ustadz lulusan pergurusan tinggi di Mesir itu, Ustadz Rahmat banyak membaca buku-buku karya ulama Ikhwanul Muslimin, salah satunya adalah buku Da'watuna (Hasan Al-Bana) yang kemudian ia terjemahankan menjadi Dakwah Kami Kemarin dan Hari Ini (Pustaka Amanah).

Ustadz Rahmat menggunakan pendekatan yang masih sangat asing di kalangan da'i, yaitu dengan grup teater yang didirikannya. Para pemuda itu diasuhnya dalam organisasi bernama Pemuda Raudhatul Falah (PARAF) yang menghidupkan masjid Raudhatul Falah di kawasan Kuningan dengan kegiatan-kegiatan keIslaman.

Ustadz Rahmat yang juga aktif dalam Partai Keadilan Sejahtera (PKS), terpilih sebagai wakil rakyat di Dewan Perawakilan Rakyat (DPR) Pusat. Namun, ia kerap dilihat menaiki bas kota untuk mendatangi sebuah undangan. Ia kerap terlihat jalan kaki untuk jarak yang cukup jauh. Tak ada yang berubah, karena ia sedar bahwa langkah itulah yang dimulainya dulu sebagai permulaan di jalan dakwah.

Hingga akhirnya, suatu hari , Ustadz Rahmat merasakah tanda-tanda kesihatannya terganggu. Namun, rasa tanggung jawabnya yang besar terhadap amanah dakwah, membuat ia tak begitu mempedulikan tanda-tanda itu.Ia masih terlibat dalam sebuah syura penting. Lalu, saat adzan berkumandang dan ia beranjak untuk memenuhi panggilan suci itu, ia berjalan ke tempat wudhu. Saat berwudhu, tanda-tanda itu makin kuat terasa dipembuluh darah di bahagian lehernya.

Disaksikan oleh Ustadz Mahfudzi, salah seorang muridnya, Ustadz Rahmat nyaris terjatuh. Ustadz Mahfudzi cepat memapahnya, lalu mencuba menyelamatkan situasi. Tetapi Allah lebih sayang kepada Ustadz Rahmat Abdullah. Innalillahi wa innailaihi raaji'uun...Syaikhut Tarbiyah itu meninggalkan kita dengan senyum yang amat tulus...hujan air mata dari seluruh pelosok tempat mengiringi kepulangan beliau.

Ada kelainan yang dibawa filem baru ini. Memuntahkan kembali ingatan pada sisi terpuji sosok seorang pendakwah bukanlah hal yang mudah. Semuanya harus kelihatan sempurna tanpa cela. Walaupun tidak semua manusia mengakui bahawa Tuhan itu Esa, sisi mulia Rahmat Abdullah bagi saya layak untuk diteladani meski ia tidak dilihat daripada sudut pandang agama. Ia menyantuni segenap masyarakat.

Bermula dengan sapaan lembut terhadap jiran-jirannya sehinggalah ia terpilih ke Dewan Permesyuaratan Rakyat, almarhum Rahmat Abdullah merupakan lambang konsistensi dan membawa contoh keazaman yang sangat tinggi. Risalah Islam yang disebarkannya tiada lain untuk mengangkat martabat umat.

Pengajarannya pelbagai. Catatan ringkas seperti ini tidak mungkin mampu mengungkap makna yang tersirat dan berselirat dalam perjalanan panjang Syaikh Tarbiyah ini. Bagaikan hujan yang juga sebenarnya sedang turun saat itu, pemergian selamanya Rahmat Abdullah ditangisi dan dengan berat dibiarkan pergi. Ya. Semuanya kerana ia adalah Sang Murabbi. Seorang guru, juga sahabat yang tidak pernah membiarkan hidupnya kosong tanpa isi untuk mendidik umat ke arah agama yang ia cintai.

"Mereka yang keruh nurani, selalu melihat dengan angan-angan panjang. Seakan kematian hanya berlaku atas orang lain. Orang-orang seperti itu harus kerap diajak menurunkan jenazah ke liang lahat, melepas kerabat di akhir nafas, atau berbiduk di lautan dan gelombang yang ganas. Bila tak mempan, takbirkan empat kali bagi kematian hati nuraninya" - K.H. Rahmat Abdullah, Beternak Mimpi

Musafir Qurban 1: Terowong Menora

Salam Sejarah buat semua pengunjung Sejarah2u yang dimuliakan AllahSwt.

Apa khabar semua?. Hari ini penulis sekadar ingin menukilkan sedikit catatan perjalanan hasil pengalaman balik beraya qurban ke kampung ayah penulis di Kedah.

Perjalanan berkonvoi bersama keluarga besar penulis melibatkan lima kenderaan memang menyeronokkan, meski di corong radio penulis dimaklumkan keadaan kesesakan di lebuh raya telah menjadi semakin teruk pada pagi Sabtu ni.

Namun, semua berita tersebut tidak mematahkan semangat kami sekeluarga untuk pulang beraya korban bersama atok dan wan di Sik. Rindu benar rasanya kepada mereka.

Keadaan kesesakan semakin pulih sebaik kami melepasi tol Jelapang dan memasuki lebuh raya Changkat Jering - Ipoh. Di sinilah keseronokan semakin mengujakan bila penulis melalui sebuah terowong membelah bukit di bawah banjaran Keledang.

Bagi yang biasa menuju ke utara melalui lebuh raya, terowong ini pasti akan kalian lalui. Tahukah kalian nama terowong tersebut? Pasti ramai yang tidak tahu kan bahawa itulah terowong Menora yang terkenal itu.
Sambil penulis memandu menelusuri terowong tersebut, terdetik akan kebesaran Allah Swt yang mengilhamkan manusia akan teknologi pembinaan terowong tersebut.

Maka, di sini penulis ingin berkongsi sedikit fakta berkenaan Sejarah terowong Menora tersebut:

1) Terowong ini terletak di bawah banjaran Keledang, negeri Perak
Darul Ridzuan.
2) Terowong ini 622 meter panjangnya.
3) merupakan sebahagian daripada Lebuhraya Utara-Selatan, antara
Plaza Tol Jelapang dengan Kuala Kangsar dan Changkat Jering di
KM 260 atau 2 km di utara Plaza Tol Jelapang.
4) Terowong Menora ini dibuka secara rasmi pada tahun 1986.
5) Ada dua terowong sebelah menyebelah. Selepas terowong ini ke
arah selatan, keadaan lebuh raya agak curam dan berselekoh dan
banyak kenderaan berat seperti lori dan bas tersasar
atau terbabas hingga ke kaunter tol di Plaza Tol Jelapang.

Sekian saja untuk catatan perjalanan kali ini.Sehingga bertemu kembali dengan izin Allah Swt dalam Musafir Qurban 2.

Juruterbang kudung cipta SEJARAH!

ARIZONA - Jessica Cox mencatat sejarah sebagai individu pertama di dunia yang berjaya memperoleh lesen juruterbang walaupun dia kudung di bahagian tangan.

Wanita berumur 25 tahun dari Tucson, Arizona itu mengambil masa selama tiga tahun untuk mendapatkan lesen dengan bantuan tunjuk ajar daripada gurunya, Parrish Traweek.

Usaha gigih Parrish dan ketekunan Jessica akhirnya membolehkan wanita itu berjaya mengawal pesawat Ercoupe 415 menggunakan kakinya dengan begitu sempurna.

“Menerbangkan pesawat adalah sesuatu yang menakjubkan dan juga perasaan paling hebat di dunia” kata Jessica.

Akhbar tabloid Jerman, Bild melaporkan bahawa Jessica dibantu oleh organisasi Able Flight yang bertanggungjawab membantu golongan kurang upaya meningkatkan keyakinan diri mereka dengan melakukan penerbangan.

Jessica dilahirkan tanpa lengan dan mula menanggalkan tangan palsunya ketika berusia 13 tahun untuk menikmati kebebasan hidup.

Biarpun kurang sempurna, Jessica masih mampu berhias, berenang, menaip di komputer dan memiliki tali pinggang hitam dalam seni bela diri taekwondo.

Sumber: Akhbar Sinar Harian

Moral:

Setiap hari Allah Swt memberi kita peluang dalam kesempurnaan penciptaan kita untuk kita mencipta Sejarah buat diri sendiri dan ummat. Ketahuilah bahawa kita adalah 'JUARA' hakikatnya. Buktinya daripada jutaan telur-telur senyawaan yang ingin lahir ke dunia ini, Allah Swt telah memilih kita untuk diberi amanah kehambaan dan khalifah di sisiNya.

Adakah kita bersyukur dengan kesempurnaan ini? Justeru, malanglah jika kita merosakkan diri dan mensia-siakan peluang yang telah sedia terhidang ini. Nah, inilah masanya untuk kita terus mengorak langkah sebagai ummah terbilang dan terbaik demi mencipta sebuah Sejarah yang akan memartabatkan nasib ummah ini di kemudian hari. Allahu A'lam

Friday, 5 December 2008

Salam Aidil Adha 1429H

Salam Sejarah buat semua pengunjung Sejarah2u yang dikasihi,

Di kesempatan ini sejarah2u ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha dan selamat berkorban kepada semua. Sambutan hari raya ini yang diilhamkan hasil pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s menuntut keikhlasan kita berkorban semata-mata mengharapkan redho Allah Swt.

Bagi mereka yang akan balik beraya ke kampung halaman, Sejarah2u mendoakan agar selamat sepanjang perjalanan pergi dan balik, serta pandulah dengan berhati-hati..dan ingatlah insan yang tersayang.

Sehingga bertemu kembali selepas raya kelak. InsyaAllah.

Wednesday, 3 December 2008

Talqin Terakhir untuk Bahasa Melayu??

Menurut satu teori sejarah yang kuat, bahasa Melayu dikatakan berpunca daripada bahasa Austronesia, yakni asal usul bangsa Melayu yang berasal dari daerah Yunnan (bermaksud awan selatan) di China. Kemudiannya, bangsa Melayu yang datang dari Yunnan ini digelar sebagai Melayu Proto setelah berhijrah ke Asia Tenggara ketika zaman batu sehingga terbentuknya masyarakat Melayu Asli di Semenanjung Malaysia, dayak di Sarawak, Batak dan Komering di Sumatera.


Kata nama Austronesia itu sendiri membawa maksud ‘Kepulauan Selatan’, diterjemahkan daripada Bahasa Latin, ‘australis’ yang bermaksud ‘selatan’ dan bahasa Yunani, ‘nesos’ yang bermaksud ‘pulau’. Bahasa bangsa Austronesia itu dikatakan tersebar luas ke merata dunia, dari Taiwan dan Hawaii di hujung utara sehinggalah ke Selandia Baru (Aotearoa) di hujung selatan dan dari Madagaskar di hujung barat sehinggalah ke Pulau Paskah (Rapanui) di hujung timur.

Menurut tokoh bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam kategori atau filum bahasa Austris yang diletakkan bersama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China. Bahasa Melayu termasuk di dalam bahasa-bahasa golongan Sumatera bersama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.

Justeru itu, status Bahasa Melayu di Malaysia sepatutnya dipertahankan dan diangkat oleh semua bangsa yang mengaku dirinya warganegara Malaysia kerana citra bangsa dan nilai ketamadunan tanah airnya.

Hujah pihak-pihak tertentu yang cuba mempertikaikan hak Bahasa Melayu dengan alasan ia milik bangsa Melayu sahaja dan cuba menenggelamkan hak bahasa etnik lain adalah tidak dapat diterima sama sekali.

Pemikiran cetek golongan yang mengatakan ketidakupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu serta penyatuan bangsa adalah pendapat individu yang tidak sedar di mana tempatnya berdiri. Semasa kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dahulu, Bahasa Melayu berkembang kerana kekuatan dan keyakinan penutur-penuturnya bereksperimen dan berpencak dalam memperkayakan perbendaharaan bahasa itu sendiri. Ketika itu Bahasa Melayu seakan air, ia mengalir laju tanpa disekat. Bahasa Melayu dipertuturkan dengan penuh yakin, mesra dan tanpa prasangka oleh semua bangsa sehingga dimartabatkan sebagai 'lingua franca'.

Realitinya, ketika Bahasa Melayu diinjak dan dihumban, ia cuma dibela oleh pejuang-pejuang bahasa kebangsaan, melaung-laung apa yang termaktub dalam perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, ‘bahasa kebangsaan (Malaysia) ialah bahasa Melayu’ yang terdiri di kalangan bangsa Melayu semata-mata.

Bahasa Melayu kita di mana sekarang? Yang boleh berbahasa Melayu semakin tergeliat lidah menuturkannya, bahkan lebih berbangga bila dapat bertutur selain bahasa Melayu. Lebih ironi lagi, bila Bahasa ibunda sendiri dikatakan tidak mampu menyerap istilah-istilah sains dan teknologi. Sudahnya, ia dinisankan di tanah airnya sendiri. Apakah pemimpin-pemimpin negara tidak sedar bahawa bahasa merupakan medium utama mengeratkan integrasi kaum?

Bahasa Melayu di tanah airnya sendiri bagaikan pendekar tua yang ditujah keris, tombak dan parang oleh warganya dan dibiarkan mati perlahan-lahan untuk talqin terakhir.

Teringat penulis kepada satu ungkapan ayat yang bukanlah lahir daripada cendekiawan Melayu, tetapi daripada seorang lelaki asing, Sir Frank A Swettenham, Residen-Jeneral British pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu, dipetik dari bukunya, ‘Malay Sketches’ yang berbunyi:

“Jika kita ingin memahami orang Melayu, kita perlu tinggal di negerinya, bertutur bahasanya, menghormati agamanya, meminati apa yang diminatinya, melayan apa yang disukai dan tidak disukainya, bersimpati dengannya dan menolongnya dalam kesusahan, sama-sama merasai keseronokan dan mungkin juga menanggung kerugiannya. Hanya dengan kepercayaannya inilah kita dapat memahami jiwanya dan pengetahuan seperti ini hanya boleh didapati oleh orang yang diberikan peluang tersebut dan menggunakannya dengan sebaik-baiknya.”

Sama-samalah kita fikir-fikirkan...

Tuesday, 2 December 2008

Salam Putrajaya

Salam Ukhuwwah fillah kepada semua pengunjung weblog Sejarah2u.

Apa khabar kalian semua? Didoakan agar kalian terus dirahmati dalam kemanisan Iman dan Islam serta kekuatan 'amal hanya kepadaNya. Salam sejahtera kepada rakan-rakan pengunjung non-Muslim yang dihormati.

Perkongsian hari ni adalah sekadar pengalaman penulis yang diberi kesempatan oleh Allah Swt untuk mengunjungi pusat pentadbiran gah negara tercinta kita iaitu Putrajaya pada 18 November lalu. Pemilihan tajuk posting ini sedikit sebanyak kerana penulis agak terkesan dari satu slot drama Melayu sekitar tahun 90-an iaitu 'Salam Taj Mahal' lakonan Sifu M.Nasir dan Aida Rahim.

Percayakah anda bahawa inilah kali pertama penulis ke Putrajaya? Anda bagaimana pula? Sekurang-kurangnya sekali seumur hidup kan..:).

Kedatangan penulis adalah untuk menziarahi adik yang sedang mengendalikan kem tahfiz cuti sekolah di masjid Putrajaya. Sebaik ziarah singkat, penulis bersama famili menjenguk bazar-bazar berhampiran tasik di samping sempat menjamu selera di restoran mamak di situ. Agak ramai dan sesak..penulis dimaklumkan pada tarikh tersebut ada konvokesyen untuk guru-guru J-Qaf seluruh negara sedang berlangsung di Putrajaya.

Sebaik kaki menjejaki dataran masjid Putrajaya. Rasa syukur dan bangga menyelubungi diri kerana akhirnya berjaya juga berada di sini. Dengan kedudukan bandar dan perumahannya yang begitu terancang (teringat Mohenjo daro dan Harappa dalam tamadun Indus yang diiktiraf tamadun terawal memiliki bandar terancang), dengan seni bina bangunannya yang disaduri campuran kesenian Islam, Parsi, Inggeris dan Graeco Roman agak begitu memukau, jajaran jambatan indah yang menyeberangi tasik Putrajaya dan ribuan pengunjung dalam dan luar yang tidak putus-putus menjadikan panorama di Putrajaya agak sukar dilupakan sampai bila-bila.

Putrajaya yang tersergam gah menggamit ingatan penulis kepada kota-kota hebat Islam suatu waktu dulu seperti Istanbul (Constantinople), Baghdad, Damsyik, Andalusia, Bukhara, Taj Mahal dan banyak lagi yang menunjukkan betapa 'ketuanan Islam' sangat dominan dalam pentadbiran dan sangat diraikan dalam aspek bernegara. Meskipun sebahagian besar kota-kota tersebut kini hanya tinggal kenangan, namun segala iktibar kesan daripada jatuh bangunnya perlu diperhalusi agar 'pisang tidak kan berbuah dua kali'.

Harapan penulis agar Putrajaya menerusi barisan pimpinan negara akan terus gemilang dalam memacu haluan negara dan rakyat agar sejahtera dan berkebajikan, selaras dengan slogan 'Baldatun Thoyyibatun Warabbun al-Ghafuur'.

Menjelang petang, penulis dengan berat hati terpaksa meninggalkan Putrajaya dengan niat akan kembali lagi jika diizinkan Allah Swt. Ada satu catatan yang penulis terlupa sumbernya berbunyi 'megah negara bukan semata hebat dan gah binaannya, tapi megah negara kerana rakyat yang dibangun minda dan jiwanya'. Mengamati Putrajaya dalam perjalanan pulang, terhimbau penulis akan tujuan pembinaan Taj Mahal kerana kasih seorang suami kepada isteri tercintanya, maka artikel 'Salam Putrajaya' tercerna hasil tumpah kasih mendalam dan dedikasi penulis kepada negara yang tercinta ini. Dirgahayu Malaysiaku!