Friday, 30 January 2009

Pengertian Sejarah

Sejarah ditakrif sebagai peristiwa-peristiwa masa lalu yang berlaku dalam kehidupan manusia. Segala kejadian masa lalu penting untuk dijadikan iktibar dan suluh panduan hidup kita pada hari ini.

Istilah sejarah dikatakan berasal daripada perkataan Arab, iaitu syajaratun. Ia bermaksud pohon atau pokok. Syajaratun juga merujuk kepada salasilah, riwayat, asal usul dan keturunan.

Mempelajari sejarah adalah penting kerana Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya berbunyi,"umat islam yang baik adalah mereka yang tidak akan jatuh ke lubang yang sama untuk kali keduanya". Maka semestinya sejarah mampu menjadikan kita ummat terbaik (khayr ummah) jika kita faham dan menghayatinya dalam kehidupan.

Pengkajian terhadap ilmu sejarah juga adalah selaras dengan ruh dan mukjizat turunnya Al-Qur'an oleh Allah Swt. Ini dibuktikan dengan Surah Al-Qasas (cerita-cerita) yang diletakkan dalam susunan surah sebagai surah yang ke 28.

"Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata: Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami. Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: 'Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu." (Al-Qasas:25)

Selain pentakrifan di atas, beberapa tokoh sejarawan turut memberi pelbagai definisi kepada sejarah:

"Sejarah membicarakan tentang masyarakat manusia, atau peradaban manusia, tentang perubahan-perubahan yang berlaku pada sifat-sifat masyarakat itu."
- Ibnu Khaldun -

"Penceritaan tentang tindakan manusia dan sebab-sebab mereka melakukannya."
- Herodotus -

"Sejarah merupakan catatan ataupun rekod tentang sesuatu peristiwa yang berlaku pada suatu masa yang lalu."
- Muhd Yusof Ibrahim -

Sebagai penutup bicara, percayalah bahawa setiap hari masa berlalu kita sebenarnya telah dan sedang mencipta sejarah untuk diri kita sendiri, samada kita sedar mahupun tanpa kita sedari. Setiap rekod sejarah amalan kita di dunia yang fana' ini akan dipaparkan Allah Swt di akhirat kelak, hatta ia melibatkan sebesar zarah sekalipun.

Pilihan sekarang di tangan kita..dan ianya adalah untuk kita terus mencipta sejarah gemilang demi kebahagiaan dan kesejahteraan bukan sahaja di dunia, malah yang lebih penting untuk bekalan di akhirat yang kekal abadi.

"Ingat sejarah...Ingat sejarah2u" :p

No comments:

Post a Comment