"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam". (al-Anbiya': 107)
Secara umumnya memang Baginda Saw diutus ke seluruh alam ini untuk membawa rahmat yang besar bagi kesejahteraan umat manusia di dunia dan akhirat.
Pun begitu, 'rahmat' itu sebenarnya turut meliputi kepimpinan Baginda Saw sebagai pakar strategi dan perisikan.
Dalam ruangan yang terbatas ini, memadailah jika diambil peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah pada 622M.
Ini kerana ia merupakan satu momentum dan titik tolak kepada kejayaan penyebaran Islam di seluruh tanah Arab dan seluruh dunia kemudiannya. Dalam peristiwa tersebut jelas betapa genius dan pintarnya baginda Saw dalam mengatur strategi dan membuat perisikan sebelum tugas hijrah yang suci itu dilaksanakan.
Perkataan 'strategi' berasal daripada perkataan Greek strategos, iaitu istilah ketenteraan untuk menerangkan kemahiran seorang panglima perang.
Ia merujuk kepada perancangan seorang panglima perang mengatur pasukannya dengan matlamat menewaskan pihak musuh. Carl von Clausewitz, ahli teori seni perang di abad ke-19, menyatakan 'strategi sebagai usaha merangka perancangan perang dan membentuk kempen individu termasuklah membuat keputusan penglibatan individu' (The Essentials of Strategy, 2006: xiii).
Dalam lain perkataan, jika hijrah ke Madinah menjadi objektif, maka di sini strategi ialah cara mana Rasulullah Saw boleh melakukannya dengan jaya.
'Perisikan' pula bermaksud hasil maklumat yang telah diproses dan boleh digunakan untuk sesuatu tujuan. Ia berbeza dengan 'maklumat' yang merupakan bahan mentah yang belum diproses bagi menghasilkan perisikan.
Ia mempunyai lima peringkat iaitu perancangan, pengumpulan data dan maklumat, pemprosesan bahan tersebut, penganalisisan dan akhirnya penyebaran hasil perisikan tersebut kepada pihak yang memerlukannya.
Apakah benar elemen-elemen strategi dan perisikan wujud dalam peristiwa hijrah tersebut?
Dari segi strategi, ia boleh dikesan menerusi analisis SWOT iaitu kekuatan (strength), kelemahan (weakness), peluang (opportunity) dan ancaman (threat).
Faktor kekuatan di sini ialah kesediaan penduduk Madinah (ketika itu masih bernama Yathrib) menyambut kedatangan Baginda Saw. Ini berikutan beberapa rombongan dari kota tersebut yang telah menemui Baginda Saw di Aqabah, Mina pada 621M terdiri daripada 12 lelaki daripada suku Aus dan Khazraj. Ia dikenali sebagai Baiah Al-'Aqabah Pertama.
Ini diikuti oleh Baiah Al-'Aqabah Kedua pada Jun 622M di mana melibatkan kira-kira 70 orang Madinah yang menunaikan ibadah haji (Safiyyu Al- Rahman Al- Mubarakfuri, Sirah Nabawiyyah, 2008: 207 dan 211). Mereka berjanji tidak mempersekutukan Allah, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak mereka dan tidak menentang Baginda.
Kekuatan yang lain ialah kebijaksanaan Rasulullah Saw Gua Thur sebagai tempat persembunyian semasa berhijrah. Ini kerana posisi gua tersebut terletak di Selatan Mekah, bukan jalan menuju Madinah dan ia boleh mengelirukan pihak musuh. Lebih-lebih lagi gua tersebut agak tinggi, mempunyai jalan yang bengkang bengkok dan sukar didaki. Baginda Saw juga menuju Madinah menggunakan jalan yang jarang dilalui oleh penduduk Mekah.
Dari aspek kelemahan hijrah ke Madinah ini ialah Rasulullah Saw dan Saidina Abu Bakar akan menempuh jalan yang sulit dan banyak rintangan. Ia bukan sahaja sukar dilalui, tetapi terdedah kepada risiko lapar dan dahaga serta penuh kegelapan. Mereka juga mudah terdedah kepada ancaman suku kaum yang tidak dikenali di sepanjang perjalanan.
Dari aspek peluang pula, Rasulullah Saw telah menjangkakan Madinah adalah lokasi yang terbaik untuk memantapkan penyebaran agama Islam. Di situ, Baginda dan golongan Muhajirin akan kurang diganggu dan ditindas oleh kaum Quraisy Mekah.
Aspek ancaman semasa berhijrah datangnya daripada bangsa Yahudi di Madinah. Ini kerana mereka menganggap menjadi bangsa terpilih oleh Allah SWT. Sebaliknya Nabi Muhammad Saw, daripada bangsa Arab. Ini menyebabkan mereka merasa iri hati. Mereka mengadakan konspirasi dengan golongan munafik dan Quraisy Mekah.
Bagaimanapun ancaman tersebut dapat ditangani apabila Rasulullah Saw mengadakan perjanjian dengan mereka. Baginda Saw bertindak tegas apabila berlaku perlanggaran syarat perjanjian. Peralatan perang mereka dirampas dan ini melemahkan kekuatan ketenteraan mereka.
Bagaimana pula dari aspek perisikan? Rasulullah Saw sememangnya telah merancang hijrah ke Madinah secara teratur, walaupun tidak dinafikan ia memang merupakan perintah Allah. Baginda Saw mempunyai fakta bahawa Madinah mempunyai keistimewaan dari segi geografi, politik, ekonomi, mahupun sosial.
Madinah terletak dalam kawasan perjalanan kabilah dari Sham dan Yaman. Dari arah timur, Madinah bercantum dengan padang pasir Najd sehingga ke Iraq. Dari arah barat pula, kota tersebut bercantum dengan Laut Merah. Ia dikelilingi oleh pokok-pokok dan tanaman yang rendang, dengan ini boleh menjadi pertahanan perang semula jadi. Kota itu juga mempunyai tanah yang subur dan mempunyai dua lembah yang dilimpahi air.
Rasulullah Saw juga mempunyai sumber perisikan dan pembantu yang dapat melicinkan lagi pelaksanaan hijrah ke Madinah. Dalam istilah perisikan ia dikenali sebagai HUMINT (human intelligence).
Antaranya ialah Abu Bakar As-Siddiq r.a. yang menemani Baginda Saw sepenuh masa sewaktu berhijrah. Begitu juga Ali bin Abi Talib r.a. yang menggantikan Baginda Saw di tempat tidur pada malam hijrah. Pembantu lain ialah Asma' anak perempuan Abu Bakar yang menguruskan bekalan makanan.
Ini diikuti Abdullah anak lelaki Abu Bakar yang mencari maklumat perisikan. Pada sebelah siang beliau keluar mencari maklumat yang menjadi isu percakapan orang ramai, kemudian melaporkan kepada Baginda Saw dan bapanya pada sebelah malam.
Ini dimantapkan lagi oleh Amir bin Fuhairah, hamba kepada Abu Bakar yang menjadi gembala ternakan. Beliau membantu persembunyian di Gua Thur, di samping mengelirukan pihak musuh. Pada sebelah siang beliau menggembala ternakan di Mekah tetapi pada sebelah petang membawa kambing ke tempat persembunyian untuk membekalkan susu kepada mereka.
Seterusnya mendapat perkhidmatan seorang penunjuk jalan yang mahir dengan situasi kawasan dan jalan untuk berhijrah. Walaupun Abdullah bin Uraiqit seorang musyrik, tetapi amanah dan taat menyimpan rahsia.
Rasulullah Saw juga sentiasa menganalisis maklumat perisikan yang diterima. Baginda Saw tidak mahu terbuai dengan kuantiti pengikut, padahal yang lebih penting ialah kualiti mereka. Bagi mempastikan pengikutnya berhijrah ke Madinah dengan niat yang ikhlas, bukannya disebabkan agenda tertentu sama ada tujuan keduniaan atau untuk menikahi seseorang perempuan.
Ini jelas daripada hadis Baginda Saw, "Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia diniatkan. Barang siapa hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya. Dan barang siapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu". (riwayat Bukhari dan Muslim).
Wanita yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah Ummi Qais yang memberi syarat kepada seorang sahabat bahawa beliau bersedia menjadi isteri sekiranya lelaki itu berhijrah ke Madinah.
Baginda Saw juga sentiasa membuat tindakan follow-up dan follow-through terhadap sokongan yang telah dijanjikan. Contohnya, baginda mengutus seorang sahabat, Mush'ab bin Omar kepada rombongan dari Yathrib (Madinah) yang berjanji setia dengan Baginda, di samping mengajarkan al-Quran dan agama Islam.
Baginda Saw sentiasa memantau pergerakan orang yang memeluk Islam bukan kerana ikhlas tetapi kerana muslihat tertentu. Golongan munafik ini diketuai oleh Abdullah bin Ubai.
Sebagai contoh Baginda Saw mengetahui sepucuk surat sulit yang dihantar kaum Quraisy Mekah kepada Abdullah supaya memerangi Baginda dan golongan Muhajirin. Baginda berjaya mengagalkan konspirasi itu, hasil maklumat perisikan yang diterima.
Berdasarkan kepada perbincangan di atas adalah jelas bahawa Nabi Saw menggunakan strategi dan perisikan semasa berhijrah ke Madinah.
Memang tepat kata Sun Tzu dalam buku The Art of War, "Raja dan panglima yang bijak boleh menewaskan musuh jika mereka bergerak dan mencapai kejayaan melebihi orang biasa kerana mempunyai maklumat awal. Maklumat tersebut tidak dapat diperoleh daripada makhluk halus, dewa atau pengalaman mahupun telekan nujum. Ia mesti diperoleh daripada orang yang mengetahui situasi musuh."
Tuntasnya, sewajarnya-lah umat Islam mencontohi Baginda Saw menjadi umat kelas pertama yang menguasai bukan sahaja kedua-dua bidang tersebut. Bahkan merangkumi bidang lain seperti informasi, teknologi, politik dan ekonomi dalam dunia yang sentiasa bersaing dan mencabar ini.
Sumber: Zainal A. Jalil, Utusan Malaysia Online
bentuk interpretasi dlm penulisan ustaz ni..mmg byk fakta yg dikemukan..tp (bg ana) mcm terlalu umum..dan terlalu byknyer fakta yang ustaz kemukakan tu sampai bersepah2..maksudnyer..susah btul nak menjiwainyer..kn best klo ustaz buat style kronologi skit ker..so br ar nmpk mcm movie kt dlm blog ni..hehe..
ReplyDeletesekadar memberi pendapat jer..sape jelah ana ni..pembantu makmal jer..