Thursday, 26 March 2009

Transformasi Islam di Alam Melayu

Menurut sarjana ilmuan kenamaan tempatan, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972), bahawa masyarakat dan alam Melayu telah mendapat sesuatu yang baharu dan "moden" dalam maksud dan erti yang sebenarnya dengan kehadiran Islam.

Menurutnya lagi Islam-lah yang mencetuskan era dan zaman baru di alam Melayu secara menyeluruh yang mencakup perubahan "jiwa" dan "rupa" masyarakat Melayu, seperti yang ditegaskannya sebagai;

".....kedatangan Islam di Kepulauan Melayu-Indonesia harus kita lihat sebagai mencirikan zaman baru dalam pensejarahannya, sebagai semboyan tegas menegaskan satu sistem masyarakat yang berdasarkan beberapa kebebsan orang perseorangan, keadilan dan kemuliaan keperibadian insan". (al-Attas, 1972:20)

Perubahan yang paling asasi ialah dari sudut kepercayaan yang mana masyarakat Melayu telah diperkenalkan dan diyakinkan dengan keyakinan yang berteraskan faham tauhid.

Dengan mantapnya faham tauhid ini, maka world view masyarakat Melayu telah berubah, meninggalkan "zaman lama" seperti yang digambarkan oleh MuhammadUthman (1977), sebagai;

" Zaman Hindu-Buddha dengan metodologinya, penyembahan rajanya, ciri tertentu dan masyarakatnya, dengan alam khayalannya, penyembahan berhalanya, dengan menitik penting kepada keseniannya". (Muhammad Uthman, 1977:185)

Nyatanya faham tauhid yang dibawa oleh Islam telah menghapuskan kepercayaan sebelum Islam yang bersifat syirik dan berjaya menjawab persoalan-persoalan ketuhanan, persoalan manusia, dan persoalan alam. Dan jawapan pasti islam terhadap segala persoalan ini berdasarkan faham tauhid, telah memantapkan keyakinan masyarakat Melayu terhadap Islam.

Untuk menyimpulkan proses transformasi Islam di alam Melayu ini, dirasakan kenyataan Dr. Siddiq Fadil mempunyai kebenarannya;

" Perkembangan dan kemantapan Islam di rantau ini tidak dihasilkan hanya dengan usaha sambil lewa para pedagang, dan tidak juga semata-mata kerana sikap pak turut orang-orang Melayu, tetapi berkait usaha gigih dan bijaksana para da'ie yang komited, para da'ie yang terdiri dalam kalangan pedagang, mubaligh, ulama', kaum Sufi, sultan dan bala tenteranya".

Rujukan:
1) Al-Attas, Syed Muhammad al-Naquib, "Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu", (Kuala Lumpur, UKM 1972)
2) El-Muhammady, Muhammad 'Uthman, "Peranan Islam Dalam Pembentukan Kebudayaan Melayu" dalam Seminar Islam dan Kebudayaan Melayu, (PKPIM, 25-28 Julai, 1976)
3) Siddiq Fadil, "Gerakan Islam di Dunia Melayu, tuntutan Zaman dan Cabaran Lingkungan", (Kuala Lumpur, 1989)

No comments:

Post a Comment