Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Showing posts with label Kurikulum Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Kurikulum Sejarah. Show all posts

Monday, 24 October 2011

Teknik Rantaian

- Fakta-fakta sejarah (buat kata kunci)
- kata kunci dirantaikan menjadi sebuah cerita.
- cerita biarlah yang melucukan / tidak logik/ keterlaluan – akan mudah ingat
- kita berusaha membayangkannya (imaginasi) – mesti nampak

Contoh:
Zaman Paleolitik [Ting. 1]
Kata kunci:
pindah-randah, batu, berburu, hasil hutan, ikan, Bukit Jawa, Gua Niah, Tingkayu

Cerita:
Pada suatu hari Abu ni duduk di Kuala Besut, tapi kena pindah sebab keluarga dia suka berpindah randah, setiap kali berpindah Abu suka kutip anak batu. Ayah Abu pula suka benar pergi berburu, emak dia pula kutip hasil hutan, masa tengah kutip hasil hutan, tiba-tiba emak si Abu terjumpa ikan atas bukit, masa si emak nak gi ambik ikan tu, terjumpa pula asam jawa atas bukit .Tepi bukit tu pula ada gua, emak diapun masuk dalam gua lalu terjumpa dengan budak nama ANiah dalam gua dok bertapa. Niah tu petik jari lalu berbunyi ‘ting’ maka terbukalah pintu kayu tepi gua tu.’tingkayu’…..

Sumber: Cikgu Anna, SMK Permaisuri Nur Zahirah

Saturday, 23 October 2010

Sejarah Subjek Wajib Lulus Peperiksaan SPM Mulai 2013

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Buat masa sekarang mata pelajaran itu adalah subjek teras yang wajib diambil, tetapi bukan wajib lulus.

Kata Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri bermula tahun 2014, di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mata pelajaran Sejarah akan dijadikan sebagai mata pelajaran teras di peringkat sekolah rendah.

“Kita perlukan masa untuk melatih guru-guru,” kata beliau.

" Di peringkat sekolah rendah, pada masa ini, elemen Sejarah diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan.”

“Dalam hal ini, kementerian akan membuat penambahbaikan kandungan mata pelajaran Sejarah dengan memberi penekanan terhadap aspek-aspek berkaitan perlembagaan negara, dengan tujuan untuk membentuk kefahaman yang mendalam terhadap pembentukan negara bangsa yang kita cintai ini,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin juga berkata, pentaksiran berasaskan sekolah bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang sebelum ini diumumkan mulai 2016, akan dipercepatkan ke tahun 2014.
“PMR tidak akan kita teruskan lagi tapi digantikan dengan sistem yang berasaskan sekolah dan ianya akan kita mulakan pada tahun 2014 iaitu dua tahun lebih awal daripada asalnya.

“UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) pula akan dikekalkan tapi ditambah baikkan dengan cara-cara lebih sesuai mengikut perkembangan masa dan kehendak perkembangan ekonomi kita. Tetapi kita masih perlu ada tempoh masa untuk menyiapkan usaha-usaha untuk melatih semula guru-guru dan sebagainya,” katanya.

Muhyiddin berkata kementerian itu juga akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membiayai aktiviti-aktiviti Yayasan Guru Malaysia Berhad, yang ditubuhkan untuk kebajikan guru-guru.

Sumber:
The Malaysian Insider, 23 Oktober 2010

Friday, 22 October 2010

Pindaan Perlembagaan Persekutuan

KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Persekutuan khususnya membabitkan kedudukan Melayu hanya boleh dibuat dengan kelulusan Majlis Raja-Raja walaupun memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Pakar Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz (kanan), berkata sebarang pindaan membabitkan kedudukan Melayu, termasuk Perkara 153 yang menyentuh kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, perlu melalui Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan dua pertiga majoriti pada bacaan kali kedua dan ketiga

“Selepas itu, pindaan berkenaan perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja berdasarkan peruntukan Perkara 38 (Majlis Raja-Raja) Fasal 4 dan Fasal 5 dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Fasal 4, Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan menyebut: “Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja”.

Fasal 5, Perkara 38 pula menyebut: “Majlis Raja-Raja perlu dirujuk sebelum membuat apa-apa perubahan mengenai dasar mengenai tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153”.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menyentuh perizaban kuota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu.

Beliau mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengenai kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera hanya boleh dipinda selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja yang dianggotai sembilan Raja Melayu walaupun mendapat dua pertiga majoriti di Parlimen.

Shamrahayu menjelaskan pindaan kepada undang-undang dan perlembagaan di Parlimen boleh dilakukan melalui empat cara iaitu dengan mendapat majoriti mudah di Parlimen, majoriti dua pertiga, majoriti dua pertiga dengan persetujuan Yang Dipertua Negeri/Gabenor Sabah dan Sarawak (pindaan membabitkan negeri terbabit) dan majoriti dua pertiga dengan kelulusan Majlis Raja-Raja bagi pindaan membabitkan kedudukan Melayu.

Sumber: Berita Harian Online, Jumaat, 22 Oktober 2010

Sunday, 25 April 2010

5 Great Ways to Study History

HISTORY is a fascinating subject that can challenge students to question everything that has happened before their existence.

It opens up doors to times long ago and lets students know that while there are differences across eras in human history there are also many similarities.

Many students roll their eyes when it comes to history class but with the proper perspective this can be their favorite subject.

Untuk membaca lanjut sila klik di sini..

Sunday, 30 August 2009

Soalan Bentuk KKBK

Salam Sejarah buat semua pengunjung Sejarah2u, khususnya buat para calon yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini.

Kali ini Sejarah2u akan memfokuskan tajuk penting berkaitan soalan dalam kertas 2 iaitu soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis atau lebih dikenali dengan soalan KBKK.

Soalan bentuk ini dilihat semakin relevan dan makin ketara ditonjolkan dalam kertas 2 (terutama dalam peperiksaan SPM 2008) agar para calon tidak terikat kepada soalan berasaskan fakta dan maklumat terfokus sahaja tetapi mampu memecahkan butir persoalan berdasarkan pengamatan, pengetahuan sedia ada dan pengalaman peribadi murid dan suasana semasa setempat/negara secara lebih rasional dan bijaksana.

Lazimnya, soalan bentuk KKBK boleh dikenali dengan frasa ayat seperti; 'Berdasarkan pengetahuan sejarah anda...', 'Jelaskan iktibar/peranan...', 'pada pandangan anda...' dan 'sekiranya anda dilantik..'. Soalan bentuk ini tidak mampu dijawab secara sempurna jika para calon memfokuskan kepada sesuatu fakta atau peristiwa sejarah sahaja, tetapi perlu dijawab dengan melihat skop yang berkaitan dengan lebih menyeluruh dan analitikal.

Namun, perlu diambil kira bahawa soalan bentuk KBKK tidaklah bermakna para calon diberi 'lesen besar' untuk 'menggoreng' dan 'menenyeh' jawapan sesedap rasa dan selera, tapi mestilah dijawab secara objektif, logik dan terpandu mengikut silibus pembelajaran Sejarah KBSM yang bersumberkan buku teks Sejarah SPM (tingkatan 4 dan 5).

Sebagai panduan, di bawah adalah beberapa contoh soalan berbentuk KBKK yang pernah keluar dalam peperiksaan SPM yang lepas:-

Soalan SPM 2005

1.d) Berikan pendapat anda tentang kepentingan undang-undang kepada sesebuah negara [4 markah]

3.d) Berdasarkan pengetahuan sejarah anda, mengapakahtanaman komersil lebih tertumpu di kawasan pantai barat semasa penjajahan British? [4 markah]

9.b) Berdasarkan pengetahuan anda, bagaimanakah kedua-dua blok kuasa Komunis dan Kapitalis tersebut memperkukuhkan pengaruh masing-masing? [ 8 markah]

Soalan SPM 2006

4.d) Bagaimanakah anda boleh merealisasikan kejayaan k-ekonomi? [3 markah]

7.c) Berdasarkan pengetahuan sejarah anda, apakah akan berlaku sekiranya Malayan Union terus dilaksanakan di Tanah Melayu? [8 markah]

9.c) Berdasarkan pengetahuan sejarah anda, bagaimanakah sesebuah negara dapat mengelakkan berlakunya peperangan? [6 markah]

Soalan SPM 2007

1.e) Senaraikan tiga iktibar yang boleh diambil oleh generasi hari ini daripada masyarakat kerajaan maritim. [3 markah]

2.d) Sekiranya anda dilantik menjadi pemimpin Malaysia, bagaimanakah anda mengamalkan ciri-ciri kepimpinan Islam dalam pentadbiran anda? [3 markah]

7.c) Negara kita Malaysia dibentuk tanpa pertumpahan darah. Jelaskan pernyataan di atas berdasarkan pengetahuan sejarah anda. [4 markah]

8.c) Dasar luar Malaysia yang mengutamakan kesejahteraan serta keamanan serantau dan dunia telah memberi kebaikan kepada negara kita. Jelaskan pernyataan di atas berdasarkan pengetahuan sejarah anda. [6 markah]

Soalan SPM 2008

1.d) Sekiranya anda dilantik sebagai pemimpin di sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi, apakah ciri-ciri yang akan anda amalkan? [2 markah]

1.e) Pada pandangan anda, apakah kebaikan sistem pemerintahan demokrasi kepada sesebuah negara? [2 markah]

2.c) Berdasarkan pengetahuan anda, apakah kepentingan Perjanjian Hudaibiyah kepada perkembangan Islam? [3 markah]

2.d) Jelaskan iktibar yang boleh diambil daripada Perjanjian Hudaibiyah demi memperkukuhkan perpaduan dan keamanan negara kita Malaysia. [3 markah]

3.e) Pada pandangan anda, mengapakah penentangan penyerahan Sarawak kepada British gagal? [2 markah]

4.d) Pada pandangan anda, adakah PBB berjaya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai badan pengaman dunia? Berikan alasan anda. [2 markah]

5.a) Pada pandangan anda, apakah keistimewaan masyarakat Mesir Purba yang menyumbang kepada kemunculan Mesir sebagai pusat tamadun awal dunia? [8 markah]

5.c) Berdasarkan pemerhatian anda, apakah pencapaian Malaysia kini yang boleh menjadi kebanggan generasi akan datang? [6 markah]

7.c) Berikan empat cadangan kepada generasi muda hari ini supaya mereka menjadi warganegara Malaysia yang berupaya mempertahankan kedaulatan negara. [4 markah]

8.b) Berdasarkan pengetahuan sejarah anda, mengapakah pembesar Melayu tidak dapat meneruskan penguasaan mereka terhadap perusahaan perlombongan bijih timah? [8 markah]

8.c) Apakah tindakan yang sepatutnya diambil oleh pembesar Melayu untuk memastikan mereka terus menguasai perusahaan perlombongan bijih timah pada masa itu? [8 markah]

9.b) Berdasarkan pengetahuan anda, jelaskan kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan melalui dasar-dasar tersebut. [4 markah]

9.c) Jelaskan peranan generasi muda Malaysia dalam memajukan ekonomi negara. [4 markah]

SELAMAT MENJAWAB!!! :)

Tuesday, 28 July 2009

Minda Sejarah: Ciri-ciri Guru Sejarah Cemerlang

Salam perjuangan buat semua guru Sejarah yang dihormati lagi disegani meski di manapun kalian semua sedang berkhidmat kini demi membangun jiwa anak bangsa agar menjadi insan terpimpin dan memimpin peradaban ke mercu kegemilangan.

Pada kali ini Minda Sejarah akan berkongsi satu tajuk penting ke arah merealisasikan matlamat melahirkan ciri-ciri guru sejarah yang berkesan.

Apakah rasionalnya guru sejarah perlu mempunyai ciri-ciri cemerlang? Jawapannya adalah sangat mudah iaitu seorang murid akan lebih cemerlang jika dibimbing oleh seorang guru yang cemerlang.

Tidaklah bermakna penulis merupakan pencinta dan pembimbing sejarah yang berkesan apatah lagi cemerlang, namun sekadar berkongsi serba sedikit pengalaman diri dan rakan-rakan guru sejarah lain yang telah mencipta kecemerlangan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka.

Guru sejarah berkesan memiliki ciri-ciri personal, profesional, sosial dan interpersonal yang unggul. Selain daripada mendapat latihan yang baik dan berpengalaman dalam mata pelajaran sejarah, guru sejarah berkesan juga mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam merancang kurikulum, mengurus kurikulum dan melaksanakan kurikulum sejarah dengan berkesan dalam pelan tindakan organisasi pembelajaran di sekolah. Pada umumnya seorang guru sejarah berkesan mempunyai ciri-ciri berikut :

(1) Dapat mengembangkan stail, kaedah, pendekatan, strategi pengajaran yang berkesan bagi mencorakkan pembelajaran yang bermakna, memupuk minat dan mengembangkan potensi murid-murid.

(2) Dapat menyusun dan merancang pembelajaran yang mencabar kebolehan murid ke arah pengembangan pemikiran dan menggalakkan murid berfikir secara kritis, analitikal dan kreatif.

(3) Dapat mencorakkan situasi pembelajaran yang menarik dan menjadikan mata pelajaran sejarah relevan, penting dan berguna kepada pembangunan dan perkembangan diri murid.

(4) Mempunyai kebolehan istimewa seperti kebolehan bercerita, berlakon, daya imaginasi, kemahiran berkomunikasi, berjenaka, daya intelektual yang tinggi, disegani dan dihormati murid.

(5) Mempunyai personaliti yang disenangi oleh murid, menjadi pendorong dan 'role model' kepada para pelajar.

(6) Mengamalkan pembelajaran aktif (active learning), mendorong penglibatan aktif murid dan memberi peluang yang luas kepada murid mengembangkan kebolehan dan potensi mereka.

(7) Kreatif dan inovatif, khususnya dari segi pengajaran, pembelajaran, personaliti dan penggunaan pelbagai inivasi media dan teknologi pembelajaran.

(8) Patriotik dan 'Cinta Tuhan', iaitu satu kualiti kebolehan guru sejarah membangkitkan semangat, memupuk kesedaran, menyuburkan idealisme, dan membina wawasan bersama dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah di bilik darjah.

(9) Mempunyai kewibawaan dan karisma sebagai guru dan pemimpin pendidikan yang berkesan dalam pengajaran mata pelajaran sejarah.

(10) Menonjolkan ciri-ciri personal yang berkesan seperti ikhlas, mesra, penyayang, ceria, tenang, berfikiran positif dan terbuka, bijak, bertimbang rasa, bermotivasi tinggi, mempunyai wawasan dan inspirasi serta berkebolehan menjana perubahan dan kemajuan diri murid.

(11) Mempunyai kebolehan berhujjah, kemampuan menjana dan mencetuskan pemikiran aras tinggi, berpengetahuan yang luas, dedikasi terhadap tugas pengajaran, minat dan dorongan profesional bagi memaju dan meningkatkan kualiti pengajaran, semangat berusaha menjadikan diri cemerlang dan pakar bidang yang diajar serta sentiasa berusaha memajukan diri dalam profesion perguruan yang diceburi.

Tuntasnya, kegagalan dan keengganan guru sejarah mengekalkan sifat-sifat guru sejarah yang berkesan, cemerlang dan bermotivasi tinggi boleh memberi impak yang buruk kepada kemajuan dan perubahan pendidikan yang perlu berlaku di peringkat sekolah.

Perlaksanaan kurikulum sejarah di sekolah mungkin tidak berlaku secara dinamik dan progresif sekiranya kurang kesediaan dalam kalangan guru sejarah bagi melaksanakan pembaharuan, selaras dengan perkembangan arus pendidikan semasa.

Faktor-faktor penentu seperti perubahan sikap guru, penguasaan aplikasi inovasi dan teknologi maklumat, latihan dalam pengurusan dan perlaksanaan, memperkenalkan teknik dan strategi baru yang efektif dan mampu dilaksanakan, pemberian insentif kepada guru, pembentukan 'teamwork' dalam organisasi sekolah dan sebagainya perlu diambilkira dalam perlaksanaan pembaharuan dan perubahan ke arah merealisaikan lebih ramai guru sejarah yang mempunyai ciri-ciri guru sejarah cemerlang.

Monday, 1 June 2009

4 subjek teras SPM?

MUAR 31 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan muktamad untuk mengurangkan bilangan subjek teras dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada enam kepada empat subjek akan diumumkan pada waktu terdekat ini.

Menteri Pelajaran itu menegaskan, pengurangan bilangan subjek teras berkenaan akan membolehkan calon-calon SPM mempunyai lebih banyak pilihan untuk subjek elektif dalam peperiksaan tersebut.

Beliau berkata, langkah tersebut diyakini dapat melegakan kebimbangan sesetengah pihak yang berasa khuatir dengan keputusan kerajaan baru-baru ini untuk mengehadkan pengambilan tidak melebihi 10 mata pelajaran dalam SPM.

‘‘Kalau hendak diikutkan yang sedia ada sekarang ini, ada enam subjek teras, jadi mungkin kita akan kurangkan kepada empat sahaja subjek teras.

‘‘Kalau empat subjek teras bermakna ada enam lagi subjek (untuk elektif), jadi dia boleh memilih subjek bahasa Tamil, Mandarin atau agama, masih ada ruang untuk dia buat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran UMNO Bahagian Pagoh di Dewan Kompleks Seri Pekembar, Pagoh di sini hari ini.

Enam mata pelajaran teras bagi pelajar yang menduduki SPM pada masa ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam/Moral, Sejarah, Matematik dan Sains.

Semalam, Muhyiddin berkata, keputusan kerajaan mengehadkan pengambilan tidak lebih 10 mata pelajaran di kalangan calon SPM mulai tahun depan adalah hasil kajian mendalam pelbagai pihak.

Beliau berkata, kajian itu menunjukkan fokus tidak harus terhadap bidang akademik semata-mata sebaliknya penekanan yang sama perlu diberikan perkara lain.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pihaknya sedia maklum keputusan berkenaan menimbulkan rasa bimbang di kalangan sesetengah pihak termasuk dibantah oleh MIC baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun kebimbangan itu wujud namun beliau yakin ia tidak menjejaskan pencapaian calon-calon SPM.

‘‘Saya tak bimbang tentang perkara itu tapi penjelasan muktamad akan dibuat dalam terdekat ini untuk beritahu kedudukan yang terakhir sekali,’’ katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Sila baca juga:
1) Subjek Sejarah Tahun 1, 2 bermula 2012?

Wednesday, 20 May 2009

Kata Tugas Dalam Soalan Sejarah

Di bawah adalah senarai Kata-kata Tugas yang lazim ditemui dalam soalan-soalan matapelajaran Sejarah:

1) Apakah: Memberi maklumat yang khusus atau spesifik
2) Andaikan: Membuat andaian.
3) Bagaimanakah: Memerihalkan/memberi penerangan tentang
cara/keadaan/langkah/kejadian.
4) Bandingkan: Menyatakan persamaan dan perbezaan antara dua atau
lebih perkara.
5) Bincangkan: Memberi penerangan daripada pelbagai aspek
6) Buktikan: Menyatakan kebenaran dengan dalil/contoh/fakta.
7) Huraikan: Memerihalkan/ menceritakan sesuatu dengan panjang
lebar/terperinci secara teratur
8) Jelaskan: Memberi penerangan tentang sesuatu supaya mudah
difahami
9) Mengapakah: Memberi sebab
10) Nyatakan: Memberikan jawapan yang spesifik tanpa memerlukan
penerangan lanjut/huraian/sokongan.
11) Siapakah: Mengenalpasti individu dalam konteks tertentu
12) Terangkan: Menyatakan fakta dengan huraian atau menjelaskan
sesuatu dengan sebab.

Thursday, 16 October 2008

PM: Wajibkan Subjek Sejarah di Peringkat Sekolah Rendah

PM cadang pendedahan kepada murid di sekolah rendah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan mata pelajaran sejarah diwajibkan di semua sekolah rendah di seluruh negara bagi mendedahkan pelajar kepada sejarah pembangunan negara bermula daripada peringkat umur rendah.

Perdana Menteri berkata, kaedah pengajaran mata pelajaran itu juga perlu dilakukan secara lebih menarik untuk menanam minat pelajar, manakala kurikulum mata pelajaran diperkasakan.

"Sejarah bangsa dan negara kita amat bernilai untuk difahami... kata orang, kita perlu belajar daripada sejarah, jika tidak kita mungkin mengulangi kesilapan lampau.

"Sejarah adalah elemen penting dalam peradaban bangsa. Generasi muda perlu mendalami pengetahuan mengenai sejarah bangsa dan pembangunan negara," katanya ketika berucap merasmikan Wisma Sejarah di Jalan Tun Razak di sini, semalam.

Bangunan milik Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) yang dibina dengan kos RM20 juta siap dibina pada 2003. Turut hadir pada majlis itu Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.

Abdullah yang juga Presiden PSM berkata, pembelajaran sejarah di sekolah rendah perlu kerana lazimnya pelajar yang mengikuti aliran sains di sekolah menengah sehingga ke peringkat pengajian tinggi dan seterusnya memasuki alam pekerjaan, tidak terdedah kepada mata pelajaran sejarah.

"Apabila mereka ikuti sains, maka sains yang diikuti sehingga ke universiti dan bekerja... tak terdedah kepada yang lain," katanya.

Hishammuddin yang ditemui kemudian bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri, dan berkata pengenalan mata pelajaran sejarah di sekolah rendah adalah sebahagian transformasi pendidikan yang sedang dirintis kementerian menjelang 2010 melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

"Cara bagaimana mata pelajaran itu disuntik pada peringkat kurikulum sedang dirintis, termasuk perbincangan dengan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, dengan mengambil kira kekangan termasuk guru," katanya.

Sumber: Berita Harian, 14 Okt 2008


Berita Mutakhir:

Subjek Sejarah dimasukkan dalam UPSR

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran Sejarah akan dimasukkan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) apabila subjek itu diajar secara khusus bermula pada Tahun 3 pada 2010.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, berkata perkara itu sedang dikaji dalam Transformasi Kurikulum Sekolah Rendah yang dijangka akan beroperasi, dua tahun lagi.

Sumber: Berita Harian, 16 Okt 2008