Menu Ekspres:
Saturday, 4 August 2012
Selangor Chinese Association Hall
Tujuan bangunan ini didirikan adalah sebagai pusat kebajikan kaum Cina di Malaysia terutama sekali di dalam sektor ekonomi dan budaya. Jalinan antara suku Hainan, Hokkien, Kantonese, Teochew yang ramai mendiami Kuala Lumpur pada masa itu dapat menyatukan kaum Cina ketika itu sebagai kaum minoriti di Tanah Melayu.
Bangunan ini telah mencatatkan sejarah terpenting negara kerana telah menjadi tempat pertemuan yang paling penting dan bersejarah antara parti UMNO yang mewakili kaum Melayu dan parti MCA yang mewakili kaum Cina untuk perbincangan pembentukan Parti Perikatan pada 1952 yang merupakan parti terbesar negara sehingga mempelopori kemerdekaan negara.
Kini bangunan ini dikenali sebagai Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor. Ia telah diistiharkan sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan pada tahun 2007. Jabatan Warisan Negara telah memperuntukkan sejumlah RM500,000.00 untuk kerja-kerja pemuliharaan bangunan ini pada tahun 2008.
Pembinaan Semula Bastion Middleburg
![]() | ![]() |
| Struktur Bastion Middelburg selepas ekskavasi | Bastion Middelburg yang telah siap dibina semula berdasarkan jumpaan arkeologi dan laporan awal melalui sumber Portugis dan Belanda |
![]() | ![]() |
| Bastion Middelburg pandangan dari arah Sungai Melaka | Kedududan tapak Bastion Frederick Hendrick hanya dibatasi dengan Jalan Quayside berhadapan Bastion Middelburg |
Monday, 19 April 2010
Tahukah Anda? - Lembah Bujang
Tahukah anda bila peninggalan arkeologi di Lembah Bujang dijumpai? Tapak arkeologi di Lembah Bujang dijumpai pada tahun 1840-an oleh James Low, iaitu Superintenden di Seberang Prai (Province Wellesly). Semenjak penemuan tersebut hingga ke hari ini lebih daripada 70 buah tapak arkeologi telah dikenal pasti. Walaubagaimanapun, melalui kajian arkeologi hanya sembilan buah tapak yang dapat dibina semula struktur lantainya. Antaranya candi yang dapat dilihat di Estet Sungai Batu, di Bukit Batu Pahat dan di Pangkalan Bujang.
Keluasan Lembah Bujang adalah sekitar 400 kilometer persegi. Kawasannya meliputi kawasan tanah tinggi seperti Gunung Jerai, Bukit Choras dan Bukit Batu Pahat.
Lembah Bujang kaya dengan pertanian dan bijih timah. Nama Lembah Bujang berasal daripada Bhujangga yang bermaksud ular tedung atau cobra, dan perkataan ini berasal daripada perkataan Phujangga yang bermaksud cerdik pandai.
Lembah ini diairi oleh dua sungai utama, iaitu Sungai merbok dan Sungai Muda.
Oleh sebab Lembah Bujang banyak mewariskan tinggalan seperti tembikar tanah, tembikar China, barangan kaca, manik, patung agamaHindu dan Buddha, serta pelbagai jenis bahan binaan dan struktur binaan, Jabatan Muzium dan Antikuiti telah membina sebuah muzium pada tahun 1980.
Muzium yang terletak di Bukit Batu Pahat ini lebih dikenali sebagai Muzium Arkeologi Lembah Bujang.
Saturday, 17 April 2010
Kesultanan Melayu Melaka Diasaskan Pada Tahun 1278 ?
MELAKA: Sepasukan penyelidik yang dilantik kerajaan Melaka mendapati kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada tahun 1278 dan bukannya pada 1400 sebagaimana diketahui umum selama ini.Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata tahun 1278 itu dipilih berdasarkan kepada Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu, salah seorang kerabat diraja Johor ketika itu yang ditugaskan menyalin naskah itu, yang menjadi asas rujukan dan sumber oleh kumpulan penyelidik berkenaan.
"Jawatankuasa Penyelidik bersetuju Melaka bermula sebagai satu entiti politik yang dikenali sebagai Kesultanan Melayu Melaka di alam Melayu pada tahun 1278," katanya.
Bercakap kepada pemberita di sini, Mohd Ali berkata hasil penyelidikan itu dibentangkan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di pejabatnya di Ayer Keroh di sini, semalam.
Jawatankuasa penyelidik dengan 15 anggota itu dipengerusikan Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff Hashim manakala ketua penyelidik Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya.
Jawatankuasa itu diberi tugas membuat kajian dan penyelidikan bagi mengenalpasti tahun penubuhan kerajaan Melayu Melaka sebagai satu entiti politik di alam Melayu dan memulakan penyelidikan pada Jun tahun lepas.
Mohd Ali berkata kumpulan penyelidik berkenaan menolak tahun 1400 sebagai tahun kerajaan Melayu Melaka diasaskan kerana ia hanya berdasarkan kepada kesepakatan sarjana barat, bukan berdasarkan kepada fakta sejarah.
"Suma Oriental (dunia Timur) yang ditulis oleh Tome Pires pada 1512-1515 hanya berdasarkan pengumpulan maklumat menggunakan kaedah dengar cakap, bukan dokumen bertulis, dan menyatakan bahawa Melaka bermula sebagai satu entiti politik pada 1400," katanya.
Diketahui umum, Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara antara tahun 1400 dan 1403.
Berikutan penemuan baru itu, Mohd Ali berkata satu seminar akan diadakan pada tahun ini bagi membincangkan lebih lanjut perkara berkenaan.
Sementara itu, Dr Abdullah Zakaria berkata mereka menjalankan penyelidikan dan kerja lapangan di negara ini dan Indonesia.
Beliau berkata tahun penubuhan kerajaan Melayu Melaka adalah berasaskan tempoh pemerintahan Raja-raja Melaka seperti yang dikisahkan dalam Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu.
Katanya mereka juga mempunyai bukti lain yang dapat mengesahkan kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada 1278. - BERNAMA
Tuesday, 6 April 2010
Bangunan Sultan Abdul Samad
Bangunan Sultan Abdul Samad adalah merupakan di antara bangunan lama yang terdapat di bandaraya Kuala Lumpur yang merupakan bangunan warisan dan masih dilindungi keaslian rekabentuknya. Bangunan Sultan Abdul Samad ini dibina pada tahun 1893. Walau bagaimana pun perletakan batu asas bagi bangunan ini hanya dibuat pada 6 Oktober 1894 oleh Sir Charles B.H. Mitchell yang merupakan Gabenor Negeri-negeri Selat ketika itu.
Bangunan ini siap sepenuhnya untuk digunakan pada tahun 1897. Bangunan Sultan Abdul Samad ini mengambil sempena nama Sultan Selangor yang memerintah pada ketika itu, iaitu dalam tahun 1896. Bangunan ini merupakan suatu mercu tanda di Kuala Lumpur yang gah pada ketika itu.
Kedudukan lokasinya yang terletak pada satu tapak di antara pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak begitu terkenal kerana merupakan satu tapak yang strategik, iaitu di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur.
Kawasan tersebut meliputi keluasan 10,200 meter persegi dan di bahagian belakangnya terdapat Jalan Belanda yang kini dikenali sebagai Jalan Mahkamah Persekutuan.
Bangunan Sultan Abdul Samad ini juga dikatakan strategik kerana terletak berhampiran dengan Dataran Merdeka, Kelab Diraja Selangor dan Masjid Jamek yang kesemuanya terletak berhampiran Sungai Gombak.
Sebelum merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan sebuah Pusat Pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Pejabat Residen- General dan Pejabat Besar Pos.
Selepas kemerdekaan pula, ia dijadikan sebagai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Negeri dan Perbendaharaan Kerajaan. Bangunan ini juga menempatkan Mahkamah Agung Malaysia dan sebahagian daripada Mahkamah-mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1978.
Rekabentuk pelan bangunan ini dibuat oleh arkitek dari British bernama A.C. Norman (yang bekerja di Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur) dan dibantu oleh seorang jurutera juga berasal dari British, iaitu C.E. Spooner.
Senibina Bangunan Sultan Abdul Samad ini sangat unik dan merupakan di antara bangunan yang tersohor pada ketika itu. Ia mempunyai dua tingkat setinggi 57 kaki berbentuk ladam di mana di tengah-tengahnya terdapat satu dataran tinggi segi empat yang dipagari oleh batas-batas pokok bunga yang cantik.
Bangunan ini juga mempunyai tiga kubah, satu menara jam besar dan sebuah arked. Ia juga terdapat satu serambi besar tertutup yang merupakan suatu elemen penting dalam rekabentuk bangunan ini.
Senibinanya yang berbentuk ‘saracenic’ merupakan satu ciri senibina Moorish dan Moghul yang berunsurkan Islam. Ini terbukti melalui terdapatnya tiga buah kubah yang menghiasi bangunan ini.
Di peringkat awalnya ia diperbuat daripada kayu dan batu bata yang dicat berwarna hitam, namun kini ianya telah digantikan dengan kubah yang bersalut dengan tembaga. Kos pembinaannya sebanyak RM 152,000 dan merupakan bangunan yang termahal di rantau ini pada ketika ianya didirikan.
Sekitar tahun 1978, kerja-kerja pengubahsuaian telah dibuat dan siap sepenuhnya dalam tahun 1984 dengan anggaran belanja sebanyak RM 17.2 juta. Pada waktu itu kerajaan Australia telah menyumbang sebanyak RM 200,000 sebagai kos menyadur tembaga bagi ketiga-tiga kubah pada tahun 1982.
Pengubahsuaian ini dilakukan hanya pada bahagian dalam bangunan tanpa menjejaskan bahagian luarnya dan kedudukan asal bangunan tersebut. Selepas siap sepenuhnya, Bangunan Sultan Abdul Samad ini sekali lagi dirasmikan pada tahun 1984.
Saturday, 13 February 2010
Permainan Tradisional; Masih Ingatkah Kita?
SECARA asas, permainan tradisional masa lapang boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu yang menggunakan peralatan, berteraskan alam semula jadi dan bermain sambil menyanyi atau berdialog. Wau, congkak, gasing, tarik upih pinang dan ting ting adalah antara permainan menggunakan peralatan paling popular di kalangan kanak-kanak dan dewasa, manakala laga ikan, main sorok-sorok dan helang dengan ibu ayam antara permainan berunsurkan alam semula jadi paling kerap dimainkan.
Sementara permainan yang memerlukan nyanyian atau dialog untuk menyempurnakan keseronokan termasuk mencari cucu, enjit-enjit semut dan tom tom bak.
Biarpun cuma sekadar permainan mengisi masa lapang, ia masih mempunyai peraturan untuk dipatuhi dan pemain yang melanggarnya berdepan risiko disingkirkan atau lebih buruk dipulaukan untuk beberapa ketika.
Tiada perkataan dapat diucapkan untuk menggambarkan keseronokan bermain tarik upih pinang yang menggunakan pelepah pinang sebagai satu-satunya asas menjayakan permainan itu. Ia memerlukan seorang pemain duduk di pangkal pelepah pinang, manakala rakan sepasukannya akan menarik pelepah itu sehingga ke garisan penamat yang dipersetujui kedua-dua pasukan.
Sesampai di garisan penamat, kedudukan akan bertukar dan si penarik upih kini mengambil giliran duduk di pangkal pelepah dan ditarik ke garisan mula. Pasukan yang sampai dulu dikira pemenang.
Bagi permainan yang menjadikan alam semula jadi sebagai latarnya, kisah helang dengan ibu ayam antara yang kerap dimainkan kanak-kanak perempuan.
Ia memerlukan seorang kanak-kanak menjadi helang dan beberapa lagi menjadi ibu dan anak ayam. Dalam permainan ini, helang akan cuba menyentuh anak ayam yang berada di belakang ibu ayam yang sedaya upaya melindungi anak-anaknya dengan mendepakan tangan. Anak ayam akan memeluk pinggan pemain di depan dan bergerak mengikut pergerakan si ibu untuk menyelamatkan diri.

Sekiranya helang berjaya menangkap anak ayam, kanak-kanak itu berkenaan akan bertukar peranan menjadi helang.
Permainan tom tom bak yang diangkat menjadi tajuk rancangan popular kanak-kanak di stesen televisyen berbayar dijayakan dengan sebilangan kecil kanak-kanak yang duduk membentuk satu bulatan kecil.
Masing-masing menggenggam kedua-dua tangan dan menyusunnya berselang seli secara menegak diikuti dengan nyanyian tom tom bak.
Tangan pemain di bawah sekali akan dibuka setiap kali lagu habis dinyanyikan dan begitulah seterusnya sehingga semua pemain membuka genggaman masing-masing.
Selepas itu mereka meneruskan permainan dengan menggerakkan tangan beramai-ramai dalam satu pusingan kecil sambil bernyanyi. Selesai menyanyi, semua pemain mengangkat tangan dan berdiam diri kerana pemain yang bersuara akan dicubit oleh rakan-rakan sepermainan yang lain.
Tuesday, 9 February 2010
Tradisi Usung Rumah
APABILA Ramli Ismail mahu memindahkan rumah papannya, beliau menghebahkan hasratnya kepada penduduk Wang Belimbing.Jumaat lepas, beliau memaklumkan hasratnya di masjid dan memberitahu rakannya di penduduk itu apabila menemui mereka termasuk berkunjung dari rumah ke rumah.
Hari ini, lebih daripada 250 penduduk kampung berkumpul seawal 7 pagi bagi memindahkan rumahnya yang terletak di pinggir bukit secara mengusungnya beramai-ramai ke lokasi baru sejauh kira-kira 10 meter dari tapak asal.
Kegiatan usung rumah secara tradisional ini masih dipraktikkan di Perlis.
Ramli, 44, yang ditemui Bernama berkata, rumah berusia lebih 40 tahun itu dibeli daripada seorang penduduk tempatan dengan harga RM600 untuk diduduki salah seorang anaknya.
Ramli yang bekerja sendiri itu bersyukur kerana kegiatan seumpama itu telah merapatkan hubungan penduduk tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
Selepas selesai kerja mengusung rumah, orang ramai disajikan dengan jamuan yang disediakan secara gotong royong oleh penduduk.
Katanya, kegiatan gotong royong dan mengusung rumah di Wang Belimbing sentiasa segar dan Jumaat lalu, sebuah rumah penduduk kampung itu telah diusung secara bergotong-royong.
Selain rumah, mereka turut mengusung sebuah jelapang padi secara bergotong royong di lokasi yang sama.
Sumber: Mstar Online, Isnin, 8/2/2010
Friday, 30 October 2009
Kegemilangan Istiadat Pertabalan Yamtuan: Sejarah Tercipta Selepas 42 Tahun
Negeri Sembilan menyaksikan pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, yang telah berlangsung penuh istiadat di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti pada 26 Okt yang lalu.Istiadat pertabalan ini berlangsung di Bandar Diraja Seri Menanti dari 22 hingga 28 Okt 2009.
Istiadat ini mengulangi sejarah lebih 42 tahun lalu, upacara pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman pada 18 April 1967.
Istiadat pertabalan pada 26 Okt lalu merupakan istiadat kemuncak selepas hampir setahun bermula dengan pemasyhuran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 29 Dis 2008 berikutan kemangkatan Tuanku Ja'afar dua hari sebelumnya.
Proses pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan merupakan suatu yang unik kerana dilakukan oleh Undang Yang Empat -- Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau -- setelah dilantik daripada putera-putera yang layak dicalonkan.
PERJALANAN PERTABALAN
Istiadat pertabalan dimulakan dengan istiadat mengeluarkan dan memasang alat-alat kebesaran di halaman Istana Besar Seri Menanti pada 22 Okt oleh Pegawai 99 yang diketuai Datuk Seri Amar Diraja.
Alat-alat kebesaran ini terdiri daripada lapan kaki payung kuning, lapan bilah tombak berambu, lapan bilah keris panjang, lapan bilah pedang panjang dan lapan tonggol kuning, hitam dan merah.
Alat-alat ini akan kekal terpasang di halaman Istana selama tujuh hari sehingga istiadat menyimpan dilakukan pada 28 Okt.
Ini diikuti dengan tembakan dua das meriam.Istiadat seterusnya ialah istiadat bersiram pada 25 Okt lalu melibatkan Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku BEsar Mahmud.
Baginda berdua seterusnya bersemayam di atas Takhta Rencana dan diarak dari Istana Besar Seri Menanti ke Panca Persada, disusuli dengan lapan das tembakan meriam.
Orang Empat Istana menyempurnakan istiadat bersiram dengan menyembahkan bedak limau setelah mengelilingi baginda berdua sebanyak tujuh kali.
Baginda berdua kemudiannya bersemayam semula di atas Takhta Rencana dan diarak kembali ke Istana Besar Seri Menanti dengan disusuli lapan das tembakan meriam lagi.
ISTIADAT PERTABALAN
Istiadat pertabalan berlangsung pada 26 Okt di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti. Istiadat tersebut bermula dengan ketibaan Menteri Besar Negeri Sembilan dan Tunku Besar Tampin di sebelah pagi di perkarangan Istana.
Setelah bermalam di rumah telapak (rumah persinggahan) masing-masing, Undang Yang Empat berehat di balai-balai sementara yang disediakan khas di luar perkarangan Istana Besar Seri Menanti sebelum berjalan kaki memasuki perkarangan Istana Besar Seri Menanti diiringi oleh Datuk-Datuk Lembaga masing-masing. Lima belas das tembakan meriam akan dilepaskan.
Undang Luak Sungai Ujong akan berjalan dari Balai Melintang, Undang Luak Jelebu dari Balai Serong, Undang Luak Johol dari Balai Bertingkat manakala Undang Luak Rembau dari Balai Panjang.
Untuk membaca lanjut, sila klik di sini.
"Tegak Rumah Kerana Sendi, Runtuh Sendi Rumah Binasa, Sendi Bangsa Adalah Budi, Runtuh Budi Runtuhlah Bangsa. Adat Bersaudara, Saudara Dipertahankan, Adat Berkampung, Kampung Dipertahankan, Adat Bernegeri, Negeri Dipertahankan, Adat Berbangsa, Bangsa Dipertahankan, Adat Beragama, Agama Dipertahankan".
Wednesday, 10 June 2009
PPSMI wajib dimansuh!
KUALA LUMPUR 10 Jun - Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) wajib dimansuhkan mengikut Islam kerana ia mendatangkan kemudaratan kepada anak bangsa.Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Abdul Ghani Samsuddin berkata, lebih 800 ulama di negara ini bersetuju bahawa dasar itu wajib dihapuskan secepat mungkin berdasarkan nas-nas naqli serta dalil-dalil agama.
Jelasnya, kanak-kanak golongan miskin yang berada di luar bandar kebanyakannya tidak mampu menguasai bahasa Inggeris bagi memahami ilmu sains dan matematik.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengetuai penyerahan memorandum 'Muafakat Ulama Mansuhkan PPSMI' kepada Majlis Raja-Raja Melayu melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah di pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di sini hari ini.

Memorandum setebal lima muka surat itu mengandungi 11 tuntutan yang didakwa diperakui lebih 40 persatuan ulama dan disokong oleh beberapa persatuan lain.
Turut menyertai rombongan itu adalah Presiden Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid serta Timbalan Pengerusi Gerakan Memansuhkan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP), Prof, Shaharir Mohamad Zain.
Antara tuntutan yang terkandung dalam memorandum itu adalah:
1) Menolak pelaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan negara.
2) Mendesak agar tulisan jawi kembali diperkasakan dalam sistem pendidikan negara termasuk menggalakkan urusan rasmi menggunakan tulisan jawi sebagai identiti negara.
3) Menegaskan kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran tidak boleh berdalih dengan alasan pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijadikan asas bagi meneruskan atau memberhentikan pelaksanaan PPSMI.
Sumber: Utusan Malaysia Online
Friday, 5 June 2009
Dinar Emas Mampu Jana Pertambahan Nilai Rezab Negara
Malaysia mampu memperoleh pertambahan nilai rezab jika Bank Negara Malaysia (BNM) menukar Rezab Antarabangsa kepada Dinar Emas berbanding mata wang asing."Malaysia mampu memperoleh sehingga RM162.6 bilion tahun ini jika menyimpan dalam bentuk Dinar Emas ekoran peningkatan harga emas global, berdasarkan nilai semasa, 1 dinar emas bernilai RM518 dengan nilai terendah 1 Dirham (RM5)," kata anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Dinar Emas 2009, di Universiti Malaya (UM) hari ini.
"Harga dinar emas tahun ini meningkat kepada 11.07 peratus kepada RM512.20 berbanding RM461.15 (satu dinar) tahun lepas," katanya.
Husam berkata ekonomi dunia kini terlalu bergantung kepada sistem mata wang semasa dan laporan menunjukkan Rezab Antarabangsa BNM yang disimpan dalam bentuk emas hanya 0.4 peratus berbanding dalam bentuk mata wang asing (dollar Amerika Syarikat - USD) tahun lepas.
"Oleh itu, penggunaan dinar emas boleh dijadikan sebagai penyelesaian alternatif kepada krisis ekonomi berikutan sifatnya yang lebih stabil berbanding penggunaan mata wang untuk perdagangan antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon ketika merasmikan seminar ini berkata penggunaan dinar emas perlu didedahkan di peringkat awal kepada penuntut universiti supaya masyarakat tahu bahawa ia boleh dijadikan alternatif kepada mata wang dan alat pertukaran semasa dalam kegiatan ekonomi.
"Bagaimanapun, banyak perkara yang perlu dilakukan agar masyarakat seluruh dunia faham tentang penggunaannya yang boleh dijadikan sebagai alternatif yang mampu mengembalikan semula kestabilan ekonomi akibat krisis kewangan global," katanya.
Kerajaan Kelantan memperkenalkan syiling emas yang dinamakan sebagai Emas Dinar Kelantan (EDK) pada September 2006.Pelbagai dominasi dikeluarkan, termasuk 1 dinar (4.25gram), setengah dinar dan suku dinar.
Sumber: BERNAMA.com, 21 Februari 2009
Catatan: Dinar emas juga telah digunakan sejak zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lagi khususnya pada zaman pemerintahan Sultan Muzafar Syah dan Sultan Mansor Syah. Penggunaannya menyebabkan ekonomi kerajaan Melaka dan empayar di bawah naungannya stabil dan makmur serta menggalakkan lagi kepesatan perkembangan kegiatan ekonomi di pelabuhan Melaka sebagai antara sebuah pelabuhan terbaik di dunia pada ketika itu.
Thursday, 26 March 2009
Transformasi Islam di Alam Melayu
Menurut sarjana ilmuan kenamaan tempatan, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972), bahawa masyarakat dan alam Melayu telah mendapat sesuatu yang baharu dan "moden" dalam maksud dan erti yang sebenarnya dengan kehadiran Islam.Menurutnya lagi Islam-lah yang mencetuskan era dan zaman baru di alam Melayu secara menyeluruh yang mencakup perubahan "jiwa" dan "rupa" masyarakat Melayu, seperti yang ditegaskannya sebagai;
".....kedatangan Islam di Kepulauan Melayu-Indonesia harus kita lihat sebagai mencirikan zaman baru dalam pensejarahannya, sebagai semboyan tegas menegaskan satu sistem masyarakat yang berdasarkan beberapa kebebsan orang perseorangan, keadilan dan kemuliaan keperibadian insan". (al-Attas, 1972:20)
Perubahan yang paling asasi ialah dari sudut kepercayaan yang mana masyarakat Melayu telah diperkenalkan dan diyakinkan dengan keyakinan yang berteraskan faham tauhid.
Dengan mantapnya faham tauhid ini, maka world view masyarakat Melayu telah berubah, meninggalkan "zaman lama" seperti yang digambarkan oleh MuhammadUthman (1977), sebagai;
" Zaman Hindu-Buddha dengan metodologinya, penyembahan rajanya, ciri tertentu dan masyarakatnya, dengan alam khayalannya, penyembahan berhalanya, dengan menitik penting kepada keseniannya". (Muhammad Uthman, 1977:185)
Nyatanya faham tauhid yang dibawa oleh Islam telah menghapuskan kepercayaan sebelum Islam yang bersifat syirik dan berjaya menjawab persoalan-persoalan ketuhanan, persoalan manusia, dan persoalan alam. Dan jawapan pasti islam terhadap segala persoalan ini berdasarkan faham tauhid, telah memantapkan keyakinan masyarakat Melayu terhadap Islam.
Untuk menyimpulkan proses transformasi Islam di alam Melayu ini, dirasakan kenyataan Dr. Siddiq Fadil mempunyai kebenarannya;
" Perkembangan dan kemantapan Islam di rantau ini tidak dihasilkan hanya dengan usaha sambil lewa para pedagang, dan tidak juga semata-mata kerana sikap pak turut orang-orang Melayu, tetapi berkait usaha gigih dan bijaksana para da'ie yang komited, para da'ie yang terdiri dalam kalangan pedagang, mubaligh, ulama', kaum Sufi, sultan dan bala tenteranya".
Rujukan:
1) Al-Attas, Syed Muhammad al-Naquib, "Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu", (Kuala Lumpur, UKM 1972)
2) El-Muhammady, Muhammad 'Uthman, "Peranan Islam Dalam Pembentukan Kebudayaan Melayu" dalam Seminar Islam dan Kebudayaan Melayu, (PKPIM, 25-28 Julai, 1976)
3) Siddiq Fadil, "Gerakan Islam di Dunia Melayu, tuntutan Zaman dan Cabaran Lingkungan", (Kuala Lumpur, 1989)
Thursday, 19 February 2009
Penemuan Kendi: Kuatkan Teori Melayu dari Champa?
PENEMUAN kendi berusia ribuan tahun tertanam di kawasan bukit berdekatan sungai di Mentakab, Pahang baru-baru ini menguatkan teori asal usul masyarakat Melayu zaman logam, sekitar 2,000 tahun lalu yang dikatakan dari Vietnam Utara dan Champa.Kendi atau istilahnya dalam perkataan Sanskrit kundika adalah tempat menyimpan air yang biasanya diperbuat daripada logam seperti gangsa dan tembaga atau seramik.
Selain menjadi tempat menyimpan air, kendi yang mempunyai signifikan tersendiri berdasarkan reka bentuk dan lakarannya yang unik turut digunakan bagi menyimpan wangi-wangian, mereneh ubat, upacara keagamaan dan perkahwinan.
Lazimnya, kendi yang diperbuat daripada logam digunakan golongan bangsawan yang dikenali sebagai 'Kendi Diraja' untuk dijadikan tempat mereka meludah dan sebagai tepak sirih yang mesti ada berdekatan.
Dalam konteks zaman moden selepas kedatangan Islam, kendi dijadikan tempat menyimpan air suci iaitu air zam-zam dan ketika ini kendi yang diperbuat daripada logam sukar diperoleh berbanding jenis seramik.
Pembuat kendi selalunya menjadikan haiwan mengkarung, cicak, buaya sebagai identiti ukiran hiasan kendi yang dihasilkan selain imej burung, kerbau, muka manusia, rebung dan buluh.
Keistimewaan dan keunikan sesebuah kendi itu selalu berdasarkan ukiran serta material yang digunakan dan kedua-dua faktor itu juga melambangkan kemewahan kepada pemiliknya.Penemuan dua lagi artifak sama di Port Dickson dan Terengganu, juga berdekatan kawasan sungai selepas itu mengukuhkan lagi teori kewujudan peradaban Kerajaan Melayu Maritim sezaman dengan Kerajaan Langkasuka, Champa dan Funan.
Pengkaji sejarah tamadun alam Melayu, Wan Ahmad Arshad, yang menemui dan memiliki ketiga-tiga artifak itu berkata, zaman logam mula berpengaruh di Nusantara Melayu berdasarkan teori penghijrahan dari Vietnam Utara dan Champa.
Kebanyakan institusi peradaban purba mempunyai akar umbi 'riverine maritime' yang kukuh serta strategik dan peradaban awal ini dipercayai berevolusi daripada masyarakat pra sejarah yang hidup secara nomad atau masyarakat pertanian yang terpimpin.
"Berdasarkan sumber bertulis China, seawal milenium pertama sebelum masihi dan selewat-lewatnya kurun ke-2 masihi sudah muncul kerajaan awal di alam Melayu seperti Dong Son, Vietnam Utara; Fu-Nan, Lembah Sungai Mekong; Champa, Vietnam Tengah; dan Langkasuka, Selatan Thailand-Kedah," katanya.
"Antara alasan perpindahan atau penghijrahan itu termasuk mencari tempat baru bagi putera raja atau mencari negeri baru untuk dibuka serta diterokai selepas kalah dalam peperangan.
"Komuniti yang berpindah ini umumnya dipimpin seorang raja dan disertai oleh kerabat, menteri, hulu balang, bala tentera dan rakyat. Gambaran ini terdapat dalam sejarah Melayu mengenai pembukaan negeri Melaka itu sendiri," katanya.
Sehubungan itu, katanya, beliau tidak menolak penemuan tiga artifak kendi itu menjadi bukti arkeologi yang kukuh mengenai kewujudan sebuah peradaban Melayu awal setidak-tidaknya pada kurun pertama masihi. "
Berdasarkan reka bentuk kendi yang ditemui di Mentakab yang unik, seperti seekor burung mahawangsa bersayap, berparuh dan berkaki empat, bahagian pemegangnya mempunyai imej haiwan mengkarung dan material gangsa yang digunakan untuk membuatnya, ia jelas menunjukkan ciri-ciri artifak purba zaman logam atau budaya Dong Son.
"Manakala reka bentuk burung mahawangsa berkaki dua dengan tandu di atas badannya yang ditemui di Pasir Panjang, Port Dickson banyak persamaan dengan artifak yang ditemui di Mentakab.
"Jadi, saya tidak menolak kemungkinan kedua-dua artifak itu adalah berpasangan sekali gus mengukuhkan lagi teori kewujudan peradaban Melayu zaman logam yang menjadikan kawasan pesisiran perairan sebagai tapak pentadbiran kerajaan," katanya.
Wan Ahmad yang juga pemilik Galeri Pusaka Moyang (GPM) di Senawang, Negeri Sembilan berkata reka bentuk ketiga-tiga artifak itu juga tidak melambangkan reka bentuk lazim artifak di zaman Kesultanan Melaka yang banyak dipengaruhi reka bentuk Arab, China, Indo-China dan Eropah.
"Ini membawa kepada andaian artifak ini berasal dari zaman logam, yang berlaku sekitar milenium pertama sebelum masihi. Zaman logam mula berpengaruh di nusantara Melayu berdasarkan teori penghijrahan dari Vietnam Utara dan Champa di mana lokasi asal artifak zaman logam banyak ditemui," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan artifak yang ditemui di Mentakab itu mempunyai kaitan dengan dakwaan penemuan kota purba - Kota Gelanggi, di Johor pada 2003.
Sumber: Berita Harian
Friday, 23 January 2009
Orang Perak
Orang Perak atau Perak Man merupakan rangka manusia tertua yang pernah dijumpai di Malaysia. Tulang rangka Perak Man telah dijumpai pada 1991 di dalam Gua Gunung Runtuh terletak di Bukit Kepala Gajah, di Lembah Lenggong, Ulu Perak pada ketinggian lebih kurang 105 meter dari paras laut.Melihat kepada kedudukan cara pengkebumiannya dan peralatan yang ditanam bersamanya, adalah dipercayai bahawa Orang Perak merupakan ahli penting bagi puaknya.
Gua Teluk Kelawar terletak di gunung batu kapur Kepala Gajah. Gua ini telah membentuk beberapa tempat berteduh yang didiami oleh beberapa keluarga sejak 10,000 tahun dahulu seperti yang didapati melalui penyelidikan yang dijalankan oleh Malaysian Archaeological Research Centre USM.
Lihat juga:
Thursday, 22 January 2009
Pohon Rakyat
Tun Seri Lanang dalam kitabnya yang mashyur, Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) telah mengumpamakan hubungan antara raja dan rakyat dengan ungkapan;Perumpamaan di atas menggambarkan betapa pentingnya rakyat kepada pemerintah. Tanpa sokongan padu daripada rakyat, seseorang pemerintah tidak akan dapat dan mampu untuk membangun dan memajukan negara.
Wednesday, 21 January 2009
Melayu Dari Titisan Iskandar Zulkarnain?
Pada 16 Januari lalu, TV2 telah menyiarkan sebuah filem epik tentang riwayat hidup Alexander The Great. Sesetengah pihak melihat watak ini sebagai Iskandar Zulkarnain. Filem itu menggambarkan raja agung itu sebagai watak biseksual, ghairahkan kuasa, penyembah dewa dan keputusannya di bawah dibawah telunjuk ibunya, Olivia (Angelina Jolie).Raja yang agung itu menurut kacamata Barat adalah anak Raja Philips II; pemerintah Macedonia. Bapanya terbunuh, lalu Alexander jadi raja. Baginda mula menakluk Parsi di bawah pemerintahan Darius I.
Setelah Parsi dijatuhkan, kembaranya diteruskan sehingga meliputi Asia Barat, Asia Tengah, dan Asia Selatan. Baginda dan ketumbukan tenteranya merentasi Hindu Kush iaitu kawasan banjaran gunung menuju ke India.
Bagaimanapun, Alexander gagal memasuki India setelah angkatannya musnah di tangan Raja Chola. Kemuncaknya, Alexander dibunuh para pengikutnya dengan racun. Usianya 33 tahun saat itu. Demikian tafsiran Barat ke atas raja itu melalui filem tersebut.
Sekurang-kurangnya, setakat ini, ada tiga rujukan yang boleh diangkat sebagai penilaian. Pertama, filem Alexander itu, kedua Sulalatus Salatin dan ketiga al-Quran sendiri.
Lewat filem tersebut, saya membuat beberapa rumusan begini. Menurut kacamata Barat, Alexander berasal dari Rom, tenteranya Galdiators dan mungkin baginda dan tenteranya pernah bergaul, berkahwin dengan kaum China sehingga ada kalangan warga China yang mendakwa mereka sendiri adalah daripada jurai keturunan Rom. Wallahu'alam..
Kisah-kisah lain
Dalam Sulalatus Salatin, turut disebutkan bahawa Iskandar Zulkarnain berasal daripada Rom. Tun Seri Lanang menyebutkan bahawa Raja Iskandar itu anak Raja Darab, Rom bangsanya, Makaduniah nama negerinya, Zulkarnain gelarannya.
Maka, sudah wujud perbezaan antara catatan Melayu dan catatan Barat, iaitu perbezaan daripada sudut nama ayahnya.
Tun Seri Lanang menyebutkan secara jelas bahawa catatan beliau itu diambil daripada Hikayat Raja Iskandar. Selain itu, watak-watak lain yang wujud dalam catatan beliau itu adalah Nabi Ibrahim Khalilullah sebagai imam Raja Iskandar. Bermaksud, syariat yang diamalkan oleh raja agung itu adalah syariat Nabi Ibrahim a.s.
Turut disebutkan watak Nabi Khidhir a.s yang muncul ketika mahu menikahkan Iskandar dengan Puteri Syahrul Bariyah, anak Raja Kida Hindi yang jatuh dalam taklukannya.
Demikian kata Nabi Khidir: "Ketahui olehmu hei Raja Kida Hindi, bahawa raja kami inilah yang diserahkan Allah Ta'ala kerajaan dunia ini kepadanya, dari daksina lalu ke paksina.
Adapun sekarang, bahawa tuan hamba ada beranak perempuan, terlalu baik parasnya; kehendaknya minta daripada tuan hamba, dan diambil Raja Kida Hindi kiranya akan menantu, supaya berhubunglah segala anak cucu Raja Iskandar, jangan lagi berputusan kiranya sehingga hari kiamat. Bagaimana, kabulkah? Atau tiadakah?"
Maka, di sini bermulanya perkahwinan Raja Iskandar dengan seorang puteri dari belahan dunia Timur. Ada kemungkinan juga Raja Iskandar memiliki isteri-isteri di jajahan yang telah ditaklukinya untuk meluaskan pemerintahannya itu.
Di dalam filem Alexander, raja agung itu memiliki dua orang isteri. Satu isteri daripada Parsi dan seorang lagi dari India. Kedua-duanya adalah hasil daripada penaklukannya. Hakikat yang sebenarnya berlaku, wallahu'alam..
Raja Iskandar berasal dari Parsi?
Sementara itu, ada riwayat lain menyatakan, Khurosh Komeni, raja Parsi adalah raja yang memenuhi ciri-ciri perwatakan Iskandar sebagai yang disebut dalam al-Quran. Baginda adalah raja kerajaan Myra yang bermusuhan dengan kerajaan Himyar.
Khurosh dikatakan berjaya menyatukan kedua-dua kerajaan ini menjadi sebuah empayar yang luas. Tapi, Khurosh juga dikatakan penganut Zoroaster atau Zarathushtra yang juga memulakan penaklukan dari Timur ke Barat dalam usahanya meluaskan kuasanya. Pada ketika inilah beliau bertempur dengan kaum barbar yang diancam Yakjuj, Makjuj.
Khurosh mengarahkan agar dibina tembok guna menghalang kemaraan kedua-dua bangsa ini. Ada riwayat menyatakan Khurosh menjadikan Nabi Daniel, sebagai penasihat.
Dalam filem Alexander, penasihatnya adalah seseorang pemuda kacak yang sangat intim dengannya sehinggakan pemuda itu menjadi kekasihnya. Hal ini tentu sekali tertolak jika mahu disamakan dengan Zulkarnain dalam al-Quran itu.
Bagaimanapun, catatan Melayu dan Parsi ada persamaan. Dua watak nabi diperkenalkan di sini, iaitu Nabi Khidhir dan Nabi Daniel.
Satu hal yang menarik juga diperhatikan, dari manakah nama Iskandar itu didapati? Saya beranggapan, nama Iskandar itu bukan namanya yang sebenar, tetapi dinamakan begitu di India atau di Parsi setelah baginda menetap seketika di sana.
Iskandar bukanlah nama Rom tapi ia adalah nama bangsa-bangsa yang ada kaitan dengan India atau Parsi. Dalam Hikayat Iskandar Zulkarnain, riwayat itu banyak mencatatkan hal peperangannya di India dan apakah yang telah dilakukannya di sana.
Zulkarnain adalah gelaran bermaksud; seseorang yang mempunyai dua kuasa; di Timur dan Barat. Hal gelaran seperti ini dianugerahkan kepada raja-raja seperti Zulkifli. Nama Zulkifli a.s, hakikatnya bukanlah nama, sebaliknya gelaran.
Menurut hemat saya, masing-masing kuasa di sebelah Timur dan Barat seperti Rom dan Parsi ini, sama-sama mendakwa bahawa sosok Iskandar itu adalah milik mereka. Namun dalam al-Quran, disebutkan baginda pergi menakluk ke arah matahari terbit dan matahari jatuh, ertinya baginda berasal dari kawasan yang berada antara Timur dan Barat.
Baginda bukan milik Timur dan Barat
Baginda bukan bukan milik belahan Timur dan Barat. Baginda bukan berasal dari Rom dan Parsi. Hanya, setelah melanggar Rom, maka Rom menyatakan baginda berasal dari Rom. Begitu juga setelah melanggar Parsi, baginda dianggap berasal dari Parsi.
Sebaliknya, baginda mungkin daripada bangsa yang kerdil dan akhirnya keluar menjadi raja yang agung, hasil daripada kesungguhannya mahu menyatukan belahan dunia Timur dan Barat untuk setia tunduk kepada perintah Allah.
Menurut hemat saya, memang ada kemungkinan baginda hidup sezaman atau hadir dalam suasana persekitaran Tauhid selepas Nabi Ibrahim a.s berhasil menumbangkan kekuasaan Raja Namrud dengan izin Allah s.w.t.
Pendek kata, Iskandar sebenarnya mucul selepas beberapa ketika setelah Dinasti Namrud telah tumbang. Jadi, di negara Babylon itulah berkemungkinan besar Iskandar dilahirkan. Sama ada baginda datang daripada Dinasti Namrud atau sebaliknya, wallahu'alam..
Maka selepas itulah Iskandar meneruskan penjelajahannya untuk mengembangkan ajaran Tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s. Baginda memulakan awal penaklukannya di Barat. Mungkin di sini beliau tinggal lama untuk menyatukan Rom di bawah Tauhid.
Iskandar kembali ke Timur untuk meluaskan empayarnya di sana; menaklukkan kerajaan Parsi, Asia (India) dan di sanalah baginda melaksanakan satu tugas berat, yang menjadi klimaks, puncak teragung kepada riwayat pemerintahannya, iaitu membina tembok yang memisahkan serangan Yakjuj dan Makjuj daripada sebuah kaum yang tertindas.
Kaum itu, seperti yang diriwayatkan di dalam al-Quran, adalah kaum yang tidak mengerti bahasa percakapan Iskandar. Ertinya, bahasa pertuturan kaum Iskandar itu telah tidak lagi dimengertikan oleh kaum tersebut. Wilayah tersebut terletak antara dua buah gunung dan kaum tertindas oleh Yakjuj, Makjuj itu belum pernah tersua dengan budaya Iskandar.
Saya mencadangkan bahawa bangsa yang tidak mengerti bahawa Iskandar dan Iskandar pula tidak mengerti bahasa percakapan mereka itu adalah bangsa Sanskrit yang mencipta bahasa Sanskrit. Wallahu'alam..
Ada kemungkinan Iskandar dan tenteranya tinggal dalam tempoh yang agak lama dengan kaum itu itu membangunkan tembok besi di kawasan antara dua gunung tersebut. Boleh jadi, hasil perkahwinan dengan bangsa tersebut, telah melahirkan jurai keturunan Melayu sepertimana yang wujud pada hari ini.
Jika usul ini boleh diterima, bermaksud, Melayu itu adalah hasil jurai keturunan sebangsa dengan Nabi Ibrahim a.s yang terlepas ke Nusantara dengan pernikahan campur hasil dari titisan darah Iskandar Zulkarnain bersama bala tenteranya dahulu.
Maka, sebab itulah dengan ketentuan Allah, bangsa Melayu lebih mudah menerima Islam berbanding kaum lain di Nusantara ini, kerana nenek moyang mereka memegang ajaran-ajaran Tauhid, warisan daripada Iskandar Zulkarnain. Wallahu'alam..
Mereka akhirnya diberikan perlindungan dalam bentuk sebuah negara. Seharusnya kaum Melayu itu bersyukur dengan sebab mereka terbebas daripada penjajahan Yakjuj, Makjuj sepertimana peristiwa gelap yang telah menimpa nenek-moyang mereka dahulu.
Sesungguhnya perdebatan siapakah Iskandar Zulkarnain tidak ada penghujungnya. Hanya Allah yang Maha mengetahui segala-galanya. Siapapun beliau, yang pasti Allah swt telah memberinya kuasa dan empayar pemerintahan yang luas. Hanya Allah yang mengetahui segala-galanya. Allahu 'alam
Rujukan tambahan:
1) Iskandar Zulkarnain: Fahri Abdullah al-Masri
2) Alexander vs Iskandar Zulkarnain: Kamarul PLF
Wednesday, 14 January 2009
Carcosa Seri Negara
Carcosa Seri Negara yang terletak di sebelah Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur telah dibina oleh Sir Frank Swettenham pada tahun 1896 dan merupakan kediaman rasmi beliau pada masa itu. Beliau telah berpindah masuk pada tahun 1904 dan telah menggelarkannya
"Carcosa", daripada perkataan Itali yang bermaksud "tempat yang amat disayangi".
Pada masa yang sama, Sir Frank Swettenham juga telah menyiapkan pembinaan bangunan "King House" di tepi bukit sebelah Carcosa. Tujuan pembinaan King's House, yang kini dikenali sebagai "Seri Negara" (bermaksud "negara indah"), adalah untuk melindungi Gabenor Negeri-negeri Selat serta tetamu-tetamu Persekutuan Tanah Melayu yang merupakan orang penting pada masa itu.
Sir Frank Swettenham, Penasihat British bagi Sultan Perak, telah mencadangkan penggabungan keempat-empat negeri menjadi sebuah persekutuan. Cadangannya diterima oleh sultan-sultan berkenaan dan Pejabat Luar Negeri British. Seterusnya, Sir Frank Swettenham telah dilantik sebagai Residen-Jeneral pertama bagi Negeri-negeri Melayu Persekutuan.

Kuala Lumpur pada masa itu merupakan sebuah kampung sederhana yang pada khususnya didiami oleh pelombong timah berbangsa Cina. Akan tetapi Sir Frank Swettenham mencintai tapak ini sejak 1888 sewaktu melawat kawasan hutan di pinggir barat. Beliau merasakan bahawa bandar itu iaitu Kuala Lumpur memerlukan sebidang kawasan awam, Sir Frank Swettenham telah mengempang sungai di tengah hutan. Sungai itu menjadi tasik dan hutannya pula menjadi apa yang kini dikenali sebagai Taman Tasik Perdana.
Dari tahun 1904 sehingga serangan Jepun pada tahun 1941, Carcosa merupakan kediaman rasmi wakil-wakil tertinggi British di negeri-negeri Melayu. Semasa Perang Dunia II, Carcosa menjadi Dewan Mes Pegawai Kanan Tentera Jepun. Pada Ogos 1945, Tentera British menggunakan tempat itu untuk kegunaan Pegawai-pegawai Kanannya sehingga Ketua Setiausaha dilantik.
Dengan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, Carcosa menjadi kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi British, sedangkan King's House merupakan rumah tetamu rasmi bagi tetamu Malaysia yang terpenting. Carcosa telah diserahkan kepada Kerajaan Malaysia pada tahun 1987. Pada tahun 1989, selepas Ratu Elizabeth II mendiami Carcosa semasa "Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel" (CHOGM), pentadbiran kedua-dua rumah agam digabung yang kini lebih dikenali sebagai "Carcosa Seri Negara".
Kini, Carcosa merupakan salah satu daripada hotel utama di Kuala Lumpur. Hotel ini mempunyai 13 suite yang dihiasi dengan gaya esklusif dengan kain broked, goresan lama dan objek karya seni. Kesemua suite dipasang dengan alat penyaman udara dan dilengkapi dengan bar mini, peti besi peribadi, televisyen satelit, meja tulis, pemain DVD/CD dan talian internet. Purata kadar suite adalah dari RM1,100 hingga RM3,500 sehari, tidak termasuk caj perkhidmatan sebanyak 10% dan cukai perkhidmatan sebanyak 5%.
Sumber rujukan:
(a) Laman Rasmi Carcosa Seri Negara (http://www.carcosa.com.my/)
(b) http://ms.wikipedia.org/wiki/Carcosa_Seri_Negara)
Tuesday, 13 January 2009
Sejarah Yang Dilupakan
SEPANJANG perjalanan dari Taiping ke Kuala Sepetang (Port Weld), yang jaraknya kira-kira 12 kilometer dari Bandar Taiping, Perak kelihatan banyak pokok besar di sepanjang jalan terutama di kawasan Matang yang mungkin usianya mencecah ratusan tahun.
Mungkin ramai yang tidak peduli atau tidak tahu, di situlah sebenarnya British menggantung sehingga mati tiga pejuang dan pemimpin Melayu yang disabitkan kesalahan bersubahat dan membunuh Residen Perak yang pertama, James Wheeler Woodford Birch atau JWW Birch di Pasir Salak.-Dato Maharaja Lela dan Pandak Indut dikebumikan di tebing Sungai Larut.
-Berlaku hakisan tebing menyebabkan kedua-dua kubur itu musnah.
-Kubur Pandak Indut, dibina semula di satu kawasan berhampiran Masjid Tengku Menteri, Matang, kira-kira 20 minit perjalanan dari kawasan pokok mempelam berkenaan.
-Di Perak, beliau adalah Ketua Orang Besar Delapan dan berkuasa menghukum pesalah serta bertanggungjawab mempertahankan raja.
-Mempunyai sumber penguasaan cukai wilayah penguasaannya di Pasir Salak hingga ke Sungai Dedap.
-Frank Swettenham dalam bukunya ‘Stories and Sketched’ mencatatkan Maharaja Lela seorang yang gagah dan berkedudukan tinggi.
-Berkedudukan tempat ketujuh dalam senarai kekananan daripada kedudukan Sultan Abdullah
-Mempunyai anak bernama Rasiah
-Dihukum mati kerana terbabit dalam pembunuhan Birch.
-Pahlawan Melayu aktif menentang British
-Menerima pedang daripada Dato Maharaja Lela untuk membunuh Birch yang mengarahkan menampal surat pengumuman di Pasir Salak.
-Beliau adalah orang pertama mengoyak surat ditampal Mat Arshad dan menikam suruhan Inggeris itu dengan lembing.
-Ditangkap di Kota Lama pada Julai 1876 atas tuduhan membunuh Birch.
-Diputerakan di Kampung Gajah tetapi berhijrah ke Larut pada usia muda mengusahakan lombong bersama Che Ngah Ibrahim.
-Mempunyai 9 anak iaitu, Long Mabu, Alang Siap, Uda Bidah, Itam Jailah, Anjang Abdullah, Teh -Nasa, Mat Dagang, Kulob Satar dan Alang Ismail.
-Keturunan Teh Nasa paling menonjol, anak keduanya melahirkan Hamzah, Ngah Mutalib, Hajjah Rahmah dan Mohd Abas.
-Mohd Abas pernah menyandang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama lima penggal.
-Anak saudaranya, Tan Sri Ramli Ngah Mutalib adalah bekas Menteri Besar Perak.
-JWW Birch dilantik sebagai residen pertama di Perak.
-Memperkenalkan pelbagai peraturan baru menekan pembesar serta penduduk termasuk cukai tinggi.
-Sultan Abdullah dipaksa menandatangani surat memberi hak kepada British memerintah Perak dengan ugutan akan dilucutkan takhta.
-Baginda bermesyuarat dengan pembesar negeri di Durian Sebatang pada 21 Julai 1875. Usul membunuh Birch dikemukakan dengan pelbagai cadangan antaranya meracun dan menikamnya.
-Sultan Abdullah terpaksa bersetuju menyerahkan Perak diperintah British pada 2 Oktober 1875.
-Pada 15 Oktober 1875, Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Sir William Jervois mengumumkan Perak akan diletakkan di bawah pentadbiran British diketuai seorang pesuruhjaya.
-pengisytiharan ditampal di seluruh Perak. Mulanya ditampal di kawasan kediaman Birch di Bandar Baharu dengan diikuti istiadat tembakan meriam 21 das sebelum ditampal di tempat lain.
-Datuk Maharaja Lela mengarahkan pengikutnya membina kubu di Pasir Salak kerana yakin Birch akan datang ke kawasannya untuk menampalkan surat pengumuman.
-Birch tiba di Pasir Salak menggunakan rumah rakit dan perahu pada malam 1 November 1875. -Esoknya, jurubahasa Birch, Mat Arshad diarah ke rumah Datuk Maharaja Lela meminta supaya menghadap Birch.
-Mat Arshad dan pengikutnya dilarang menampal surat cukai tetapi tetap berdegil menyebabkan penduduk berang dan mengoyak surat.
-Pandak Indut yang tercabar dengan tindakan Mat Ashad menikam suruhan Inggeris dan tindakan itu seolah-olah satu isyarat supaya orang Melayu bertindak.
-Penduduk Pasir Salak mengamuk dan menyerbu ke rumah rakit Birch sambil merejam lembing.
-Askar pengawal Birch ketakutan dan melarikan diri meninggalkan rumah rakit itu tanpa pengawal meninggalkan Birch yang sedang mandi.
-Rejaman lembing penduduk menembusi rumah rakit itu seterusnya menusuk jasad Birch dan beliau cuba menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam sungai.
-Ketika timbul tercungap-cungap di permukaan air, Si Puntung, pengikut Datuk Maharajalela menetak kepala lelaki asing itu menggunakan pedang.
Tuesday, 29 April 2008
Promosi PSM
Pihak Sejarah2u baru menyenaraikan capaian kepada laman web Persatuan Sejarah Malaysia (PSM)di bahagian hiperangkainya.
Dengan melawat ke laman web PSM para pengunjung boleh mengenali lebih dekat organisasi pengurusannya, kemudahan, perkhidmatan dan aktiviti-aktiviti terkini yang diusahakan oleh PSM bagi memartabatkan Sejarah Malaysia ke peringkat global.
Selain itu, kepada sesiapa yang berminat menjadi ahli serta menikmati banyak kemudahan sebagai ahli PSM juga boleh mendapatkan maklumat di lanjut di www.psm.org.my
Salam Sejarah





