Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Saturday, 1 November 2008

Pemilihan Presiden AS ke-44. Bakal Terciptakah SEJARAH?

OBAMA tenang mendengar serangan peribadi McCain pada debat 15 Oktober lalu. Kematangan berpolitik rakyat AS masih dihantui isu warna kulit dan tuduhan tidak berasas.

TINGGAL kurang empat hari lagi sebelum pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 4 November depan, saingan di antara calon Demokrat, Barack Hussein Obama dengan John Sydney McCain dari Republikan memasuki fasa kempen peringkat akhir yang semakin sengit, selepas perdebatan ketiga dan terakhir mereka pada 15 Oktober lalu.

Pilihan raya Presiden kali ini bukan saja menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah, calon kulit hitam hampir mendiami Rumah Putih, tetapi ia berlaku ketika AS menghadapi krisis ekonomi paling buruk selepas 1930-an.

Kerana itu, sejak menerima pencalonan, mulanya untuk mewakili Demokrat menentang Hillary Rodham Clinton dan kemudian menghadapi saingan sebenar McCain, seluruh dunia memerhatikan dengan penuh minat bolehkah Obama, 47, yang tinjauan terbaru menunjukkan beliau mendahului McCain, 72, kira-kira lima mata, menjadi Presiden AS ke-44?

Malah, berdasarkan debat terakhir mereka Rabu lalu, tinjauan yang dijalankan rangkaian televisyen mendapati pengundi melihat Obama sebagai pemenang apabila McCain mempertahankan diri dengan cara negatif dan menyerang peribadi lawannya.

Walaupun debat itu sepatutnya membicarakan bagaimana calon Presiden bakal menangani kemelut ekonomi yang menjadi kebimbangan rakyat AS sekarang, apabila masuk ke Rumah Putih nanti, McCain tidak menjelaskannya dengan terperinci. Sebaliknya, McCain banyak membuat serangan peribadi termasuk menimbulkan kisah lama hubungan Obama dengan William Ayers, profesor dari Chicago yang membantu menubuhkan kumpulan radikal, Weather Underground, 40 tahun lalu.

Ternyata persaingan politik, walau di negara mana ia berlaku, tidak sunyi daripada taktik kotor dan serangan peribadi. Apabila sesebuah parti atau seseorang calon itu berasakan hujahan lawan lebih meyakinkan, jalan paling mudah untuk mengalih perhatian pengundi ialah serangan peribadi. Tuduhan kem McCain bahawa Obama seorang pengganas dan dilabelkan sebagai 'a potential killer' adalah yang terbaru untuk mengurangkan sokongan kepadanya.

"Kawan-kawan Barack Obama cuba membunuh keluarga saya," kata McCain dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini ketika mengimbau semula penubuhan Weather Underground pada 1970 ketika calon Demokrat itu berusia 8 tahun. Malah, nama tengah calon Demokrat itu – Hussein – dijadikan modal apabila McCain dan regunya, Sarah Palin menyebut nama itu ketika merujuk Obama dalam ucapan mereka di rapat umum Republikan. Itu belum termasuk kempen Republikan melalui televisyen dan internet untuk mencemarkan calon Demokrat itu.

Obama, yang sudah berpengalaman dengan taktik seumpama itu sepanjang 16 bulan menghadapi kempen untuk menjadi calon Demokrat menentang Clinton, bagaimanapun tidak terikut-ikut dengan cara McCain.

Sepanjang 90 minit debatnya dengan McCain pada Rabu lalu, beliau tetap tenang dan menumpukan hujahnya kepada soal ekonomi. "Ayers bukan anggota pasukan kempen saya dan beliau juga tidak akan menasihati saya di Rumah Putih," jelas Obama.

Cara Obama menghadapi serangan McCain pada debat Rabu lalu memberikan kelebihan kepadanya apabila akhbar The Washington Post, dalam ruangan editorial sehari selepas itu, menyifatkannya sebagai mempunyai potensi menjadi pemimpin 'hebat' di sebalik kekurangan pengalaman.

Akhbar berpengaruh itu memberikan sokongan 'tidak berbelah bagi' dan memuji kebijaksanaan serta skil politik Obama dan pada masa yang sama membidas McCain dan Palin.

"Pilihan menjadi lebih mudah, sebahagiannya disebabkan kempen McCain yang mengecewakan, keseluruhannya kerana pilihan tidak bertanggungjawab regunya yang tidak bersedia menjadi presiden," kata akhbar itu sambil menggambarkan Obama sebagai 'lelaki bijak, dengan genggaman berbeza mengenai isu kompleks serta skil yang terbukti terhadap perdamaian'.

Bagaimanapun, sokongan terbuka Washington Post itu tidak semestinya menjamin kemenangan Obama pada 4 November ini. Akhbar berkenaan turut menyokong dua calon Demokrat, Al Gore dan John Kerry dalam dua pemilihan presiden terdahulu tetapi ia akhirnya dimenangi oleh Presiden George W Bush.

Majoriti rakyat AS terutama di luar bandar masih lagi konservatif dan mudah termakan dengan dakyah Republikan terutama apabila ia dikaitkan dengan keganasan dan perkauman.

Lebih daripada itu, impian Obama dan mungkin juga jutaan manusia kulit berwarna di seluruh dunia untuk melihatnya ke Rumah Putih hanya boleh menjadi kenyataan jika pengundi kulit putih atas pagar sudah buta warna dan pengundi kulit hitam memberikan sokongan padu kepadanya.

AS boleh mendakwa memberi peluang sama rata kepada rakyatnya tanpa mengira warna kulit tetapi hakikatnya, isu perkauman khususnya antara warga kulit putih dengan kulit berwarna, masih tebal di negara itu.

Malah, satu kajian oleh Universiti Stanford menunjukkan prejudis kaum menyebabkan sokongan terhadap Obama berkurangan kira-kira enam peratus. Malah, kajian itu meramalkan perkauman kulit putih bakal menjadi satu-satunya sebab jika Obama tewas dalam pilihan raya Presiden kali ini.

Satu kajian New York Times Julai lalu pula menunjukkan kira-kira enam peratus responden kulit hitam tidak akan mengundi calon kulit hitam berbanding hanya lima peratus responden kulit putih. Faktor segelintir masyarakat kulit hitam enggan menyokong Obama pula berbeza – daripada tidak yakin dengan kemampuannya memimpin, rasa rendah diri kerana warna kulit sehinggalah kepada kebimbangan Obama akan mati dibunuh seperti berlaku terhadap Martin Luther King dan Malcom X.

Walaupun sejak dibenarkan mengundi pada 1960-an, antara 80 hingga 90 rakyat kulit hitam AS mengundi calon Demokrat, sejumlah lagi walaupun peratusannya kecil, tetap menyokong Republikan sekalipun parti itu tidak pernah dilihat bersimpati dengan mereka. Bagaimanapun, peratusan yang kecil ini amat penting dalam menentukan kemenangan Obama November ini. Ternyata, warna kulit masih menghantui politik AS dan menyukarkan laluan Obama ke Rumah Putih.

Thursday, 23 October 2008

Bacalah Dengan Nama Tuhanmu..


Studi Set Soalan Percubaan Negeri-negeri '08


Salam Ukhuwwah buat semua pengunjung Sejarah2u yg dikasihi sekalian. Untuk makluman, set soalan percubaan 2008 Sejarah negeri2 telah ditambah untuk mempersiap dan memantapkan lagi usaha para calon yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Diharap segala usaha yg tidak seberapa ini dapat diambil manfaat oleh semua dan hanya kpd Allah Swt kita berserah impian (dream) kecemerlangan ini. Ameen..

Thursday, 16 October 2008

PM: Wajibkan Subjek Sejarah di Peringkat Sekolah Rendah

PM cadang pendedahan kepada murid di sekolah rendah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan mata pelajaran sejarah diwajibkan di semua sekolah rendah di seluruh negara bagi mendedahkan pelajar kepada sejarah pembangunan negara bermula daripada peringkat umur rendah.

Perdana Menteri berkata, kaedah pengajaran mata pelajaran itu juga perlu dilakukan secara lebih menarik untuk menanam minat pelajar, manakala kurikulum mata pelajaran diperkasakan.

"Sejarah bangsa dan negara kita amat bernilai untuk difahami... kata orang, kita perlu belajar daripada sejarah, jika tidak kita mungkin mengulangi kesilapan lampau.

"Sejarah adalah elemen penting dalam peradaban bangsa. Generasi muda perlu mendalami pengetahuan mengenai sejarah bangsa dan pembangunan negara," katanya ketika berucap merasmikan Wisma Sejarah di Jalan Tun Razak di sini, semalam.

Bangunan milik Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) yang dibina dengan kos RM20 juta siap dibina pada 2003. Turut hadir pada majlis itu Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.

Abdullah yang juga Presiden PSM berkata, pembelajaran sejarah di sekolah rendah perlu kerana lazimnya pelajar yang mengikuti aliran sains di sekolah menengah sehingga ke peringkat pengajian tinggi dan seterusnya memasuki alam pekerjaan, tidak terdedah kepada mata pelajaran sejarah.

"Apabila mereka ikuti sains, maka sains yang diikuti sehingga ke universiti dan bekerja... tak terdedah kepada yang lain," katanya.

Hishammuddin yang ditemui kemudian bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri, dan berkata pengenalan mata pelajaran sejarah di sekolah rendah adalah sebahagian transformasi pendidikan yang sedang dirintis kementerian menjelang 2010 melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

"Cara bagaimana mata pelajaran itu disuntik pada peringkat kurikulum sedang dirintis, termasuk perbincangan dengan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, dengan mengambil kira kekangan termasuk guru," katanya.

Sumber: Berita Harian, 14 Okt 2008


Berita Mutakhir:

Subjek Sejarah dimasukkan dalam UPSR

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran Sejarah akan dimasukkan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) apabila subjek itu diajar secara khusus bermula pada Tahun 3 pada 2010.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, berkata perkara itu sedang dikaji dalam Transformasi Kurikulum Sekolah Rendah yang dijangka akan beroperasi, dua tahun lagi.

Sumber: Berita Harian, 16 Okt 2008

Monday, 13 October 2008

Undang-undang Syariah VS Common Law

Mengecapi negara Malaysia yang merdeka mencapai usia 51 tahun, adalah satu perkara yang patut kita raikan dan banggakan kerana pelbagai kemajuan telah dapat kita capai dan nikmati bersama. Kini, Malaysia merupakan sebuah negara yang disegani di dunia. Namun, melihat institusi kehakiman kita yang masih di dalam paradigma lapuk kerana merujuk Common Law Inggeris menggambarkan kita seolah-olah masih lagi terjajah walaupun kita sebenarnya sudah lama bebas daripada cengkaman mereka.

Benarlah seperti apa yang dinyatakan oleh seorang bekas Ketua Hakim negara kita iaitu untuk kita memansuhkan rujukan kepada Common Law Inggeris daripada undang-undang sivil kerana ia menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah. Begitu juga kita melihat semua penganut agama lain di Malaysia dapat melaksanakan ajaran agama mereka dengan sepenuhnya, berbanding dengan umat Islam di Malaysia yang belum boleh melaksanakan sepenuhnya ajaran Islam kerana salah satu yang menjadi lompong adalah Undang-undang Syariah yang masih lagi berada di taraf yang rendah.

Alternatif terbaik bagi mendapat keadilan adalah dengan kembali merujuk kepada undang-undang syariah yang telah lama bertapak di negara kita semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka adalah dua dokumen bertulis yang menunjukkan bahawa Undang-undang syariah termaktub dalam sistem perundangan Melaka dan jajahan takluknya serta dikuatkuasakan berdasarkan kepada fakta sejarah.

Melaka menjadi tumpuan dan masyhur kerana ia adalah pusat penyebaran Islam, pusat pengembangan intelektual umat Islam serantau dan sistem pentadbiran yang diasaskan di atas peraturan dan perundangan Islam. Inilah yang menjadikan Melaka tumpuan pedagang,misi- misi diplomatik negara lain dan para ulama.

Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka adalah ‘legacy’ peninggalan Kerajaan Melaka yang tak ternilai dan boleh dijadikan asas dalam perlaksanaan syariat Islam di Malaysia masa kini. Ia adalah asas yang kukuh untuk menyemak semula undang-undang barat yang kini dilaksanakan sebagai undang-undang utama di Malaysia. Oleh kerana undang undang syariat telah dikanunkan dalam Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka, maka syariat Islamlah yang menjadi landasan kepada sistem perundangan yang pertama jauh sebelum Inggeris mengambil alih pentadbiran Tanah Melayu pada akhir kurun ke 19M.

Ini juga bermakna Perlembagaan Malaysia yang dibentuk pada tahun 1957 harus dilihat semula kerana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mana-mana Undang-undang yang bertulis yang bertentangan yang digubal sebelum hari kemerdekaan dengan sendirinya terbatal.
Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka adalah undang-undang bertulis yang wujud lima kurun dahulu, sekaligus memberi justifikasi yang cukup untuk menyemak Perlembagaan Malaysia dengan mengambilkira peruntukan-peruntukan syariat yang pernah dikanun dan digunapakai di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Hukum Kanun Melaka memperuntukan undang-undang yang berkaitan dengan tanggungjawab pemerintah dan pegawai kerajaan,larangan ke atas orang ramai,hukuman keatas kesalahan sivil dan jenayah, undang-undang keluarga, isu-isu berkaitan ibadat dan muamalat yang dijelaskan dengan terperinci dan peraturan yang berkaitan dengan pertanian. Undang-undang Laut Melaka pula memperuntukkan perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan perlayaran dan perkapalan serta tanggungjawab Laksamana, peraturan pelayaran dan perdagangan, hukuman ke atas kesalahan jenyah atau pelanggaran undang-undang Islam dan juga perkara-perkara berkaitan dengan tindak tanduk ketua-ketua perkapalan.

Dari sudut lain pula peruntukan undang-undang setempat memberi ruang kepada hakim berdasarkan budi bicara untuk memutuskan samada mengikut hukum syara’ atau hukum adat. Dengan ini, hakim akan mengambil kira kesan-kesan sosial yang mungkin timbul jika hukum syariat dilaksanakan sepenuhnya. Penggubal Hukum Kanun Melaka mengambil pendirian berkecuali dengan harapan para hakim menjatuhkan hukuman setimpal berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.

Apabila Islam datang ke Nusantara, tradisi dan adat mengalami satu proses rasionalisasi dan turut diguna pakai dalam perlaksanaan hukum dan undang-undang. Ungkapan ini jelas tergambar kepada perbilangan di bawah:

Adat bersendi hukum,
Hukum bersendi syarak,
Syarak bersendi Kitabullah
.

Jika Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka ditulis pada zaman Sultan Muzaffar Shah (1424-1444) dan terdapat dalam bentuk manuskrip, ada satu lagi teks undang-undang yang lebih tua iaitu Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303M. Ia wujud sebagai bukti tunggal tanpa sokongan manuskrip.

Bukti sejarah dari Melaka dan Kuala Berang,Terengganu membawa kepada beberapa kesimpulan. Pertama, pemerintahan Islam berdiri bersama dengan Undang-undang Syariah. Samada Undang-undang itu dilaksanakan sebahagian atau bercampur-campur dengan Undang-undang adat, ia tetap membuktikan bahawa hukum-hakam syara’ merupakan aspek perundangan negeri yang penting.

Kedua, peruntukan-peruntukan Undang-undang Islam yang turut meliputi kesalhan jenyah menunjukkan Negeri-negeri di Tanah Melayu telah mencapai tahap kemajuan yang membanggakan apabila syariat di daulatkan lebih dari 500 tahun lalu. Kini setelah Tanah Melayu melepasi fasa penjajahan, Undang-undang Syariah dipinggirkan dan diganti dengan Undang-undang Sivil yang diwarisi dari penjajah British. Ketiga, perlaksanaan Undang-undang Islam berlaku dalam sebuah negeri kosmopolitan. Melaka adalah Pelabuhan Utama dan Pusat Perdagangan Antarabangsa yang dikunjungi oleh pelbagai bangsa dan agama. Namun, hanya satu Undang-undang yang digunapakai untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan pedagang asing. Kuala Berang juga dikenalpasti sebagai pelabuhan penting yang dikunjungi oleh pedagang asing dari China dan Barat.

Ini adalah hujah yang penting bagi menyokong perlaksanaan Undang-undang Syariah di Malaysia. Masyarakat majmuk dan kepelbagaian kaum sama sekali bukan alasan untuk tidak melaksanakan Undang-undang Islam,bahkan ia menjadi sebab yang cukup baik untuk melaksanakannya.

Gombak, Selangor

Baca juga:

#
Mansuh Common Law
#
ISA - Perspektif Islam & Demokrasi

Selamat Menjawab Peperiksaan PMR 2008

Wednesday, 8 October 2008

Selamat Hari Raya Ei'dulfitri 1429H

Syukur ke hadrat Allah Swt di atas segala limpahan nikmat dan rahmatnya yang tidak putus-putus ke atas kita. Berlalu Ramadhan, kini menjelma Syawal mendatangi kita. Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan salam ei'dulfitri buat semua pengunjung sejarah2u yang dikasihi.

Tidak lupa juga buat sesiapa sahaja yang telah menyambut raya selepas berpuasa enam di bulan Syawal yang banyak kelebihannya dalam membentuk diri menjadi insan yang lebih muttaqin, wara', soleh dan musleh selepas berlalunya sesi tarbiyyah di madrasah Ramadhan yang lalu.

Saya juga mengambil kesempatan ini sesuai dengan sambutan hari raya peringkat sekolah di bumi SMIAAG yang akan diadakan pada hari jumaat ini bersamaan 10 Syawal. Kepada semua warga SMIAAG, ibu bapa dan warga alumni walau di mana berada..dengan ingatan tulus ikhlas, sejarah2u mengucapkan Selamat Hari Raya Ei'dulfitri. Semoga sambutan kali ini disambut dengan penuh kesyukuran diiringi perasaan penuh keinsafan dalam menagih redhoNya. InsyaAllah.