Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Saturday, 7 February 2009

Revolusi Tekstil

Sebelum Revolusi Perindustrian di Eropah, perusahaan kain bulu lebih penting daripada kain kapas. Eksport kain bulu merupakan satu aktiviti penting ekonomi Britain sehingga tahun 1746. Perusahaan kain bulu walaupun bernilai, tetapi telah dikendalikan secara kecil-kecilan di rumah.

Dalam aktiviti ini, golongan pemodal atau kapitalis akan membeli bulu binatang yang belum diproses daripada penternak untuk dihantar kepada beberapa orang pemintal dan penenun bulu yang bekerja di rumah masing-masing. Hasil tenunan seperti baju, stoking dan skarf kemudiannya dijual terus kepada para pemborong.

Apabila mesin penenunan dan pemintalan mula diperkenalkan, para pengusaha kain kapas telah memberikan respons yang amat menggalakkan. Akibatnya, perusahaan kain bulu semakin ketinggalan dan tidak mampu berkembang.

Antara alat-alat tenun dan pemintal kain kapas yang berjaya direkacipta termasuklah 'Flying Shuttle' yang dicipta oleh John Kay, 'Spinning Jenny' oleh James Hangreaves, 'Water Frame' oleh Sir Richard Arkwright dan 'Mule' oleh Samuel Crompton.

Flying Shuttle


Walaupun mesin-mesin tersebut telah meningkatkan pengeluaran, tetapi masih dikendalikan oleh tenaga manusia dan ditempatkan di rumah.

Apabila mesin besar yang menggunakan tenaga hidraulik digunakan, saudagar kain yang kaya telah mendirikan kilang di tepi sungai untuk menempatkan mesin tersebut. Dengan itu penghasilan tekstil bertambah lebih banyak dan berlaku dengan sangat pesat.

Maka, tidak hairanlah sekiranya pada peringkat awal Revolusi Perindustrian ia lebih dikenali sebagai Revolusi Tekstil.

Rasulullah Saw: Model Usahawan Muslim Terbaik

Salam sejarah buat semua. Pada petang Jumaat lepas, penulis diberi kesempatan oleh Allah Swt mengikuti satu lawatan sambil belajar Kelab Usahawan Muda SMIAA ke ekspo Gerak Usahawan Nasional 2009, bertempat di PWTC, K.Lumpur.

Rombongan lawatan seramai 43 orang murid dan 5 orang guru pengiring merupakan satu pengalaman yang cukup bersejarah kepada penulis setelah sekian lama menyimpan hasrat ke ekspo perniagaan besar seperti ini.

Penulis dimaklumkan terdapat lebih 500 gerai syarikat terlibat dalam ekspo kali ini meliputi syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS), agensi-agensi kerajaan persekutuan dan negeri, syarikat perkongsian, koperasi, syarikat korporat dan konglomerat dan banyak lagi.

Penulis agak terpukau bercampur bangga kerana ekspo ini menjadi platform penting untuk penulis dan ahli kelab Usahawan Muda lebih mengenali syarikat-syarikat perniagaan dan koperasi yang kebanyakannya berstatus 'Bumiputera'. Dalam hati penulis, kita sebenarnya tidak kurang berbanding kemampuan bangsa-bangsa lain jika diberi peluang dan bantuan sokongan terbaik.

Ini penulis sendiri rasa dan sedari kerana selama ini kita lebih banyak berperanan sebagai 'pengguna' berbanding bertindak sebagai 'pembekal'. Mentaliti usahawan sebagaimana yang digagas dan diinspirasikan oleh baginda besar junjungan kita, Nabi Muhammad Saw yang pernah menjadi pedagang seakan tidak kita teladani. Bukankah Rasulullah Saw telah bersabda bahawa 9/10 sumber rezeki itu datang dari perniagaan. Sama-samalah kita fikir-fikirkan...

Selepas melawat hampir tiga jam, kami berkumpul semula untuk bertolak menaiki bas ke sekolah. Sepanjang perjalanan pulang, penulis menanam azam dan menyemat tekad untuk berusaha dan berikhtiar sebaik mungkin menjadi seorang 'Usahawan Muslim' yang berjaya pada suatu hari nanti..seperti Rasulullah Saw.InsyaAllah.

Tinta Strategis: Muslihat 'Doolittle' dalam Krisis Politik di Perak?

Salam Sejarah2u buat semua pengunjung yang dikasihi. Ketika artikel ini ditulis, suhu politik negara, khususnya di negeri Perak agak sedikit tegang akibat krisis politik yang berlaku antara dua 'musuh tradisi', iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Sejarah2u tidak berminat untuk memperincikan secara mendalam isu panas ini, tetapi ingin mengajak pengunjung yang dihormati sekalian untuk merungkai isu ini dari perspektif sejarah berdasarkan satu peristiwa penting dalam sejarah Perang Dunia Kedua.

Pertembungan antara Amerika Syarikat dan tentera bersekutu dengan Jepun di Pasifik yang ditandai dua pertempuran berprofil besar dan penuh dengan muslihat perang peringkat tertinggi: Pertempuran Pearl Harbor dan Pertempuran Midway.

Kapal pengangkut USS Hornet

Pernahkah anda menonton cerita 'Doolittle'? Menurut sesetengah orang yang biasa dengan "strategi politik" BN, cerita "Doolittle" itu telah membantu memberi sedikit pemahaman mengenai bagaimana BN berupaya untuk menangkis serangan politik daripada Pakatan Rakyat di Perak selepas pilihan raya umum tahun lepas dan seterusnya mengubah keadaan menjadi sebaliknya ke atas pembangkang.

Persoalannya, adakah benar Barisan Nasional (BN) mendapat inspirasi dari cerita "Doolittle" yang membantu parti itu mencatat 'kemenangan politik' di Perak?

Cerita "Doolittle" adalah kisah benar mengenai serangan udara pertama Amerika Syarikat ke atas kepulauan Jepun di Honshu pada 18 April 1942 semasa Perang Dunia Kedua.

Serangan itu menunjukkan bahawa Jepun sendiri mudah terdedah kepada serangan udara pihak bersekutu dan menyediakan tindakan yang wajar untuk Amerika membalas balik sebagai respons terhadap serangan awal Jepun ke atas Pearl Harbour di Hawaii pada 7 Disember 1941.

Serangan itu dirancang dan diketuai oleh Left Kolonel James "Jimmy" Doolittle, yang kemudian menulis di dalam autobiografinya yang berjudul, 'I Could Never Be So Lucky Again' yang diterbitkan pada 1991 bahawa serangan itu bertujuan untuk menyebabkan Jepun sangsi dengan kepimpinan mereka dan bagi meningkatkan semangat yang amat diperlukan rakyat Amerika.

"The Japanese had been told they were invulnerable. An attack on the Japanese homeland would cause confusion in the minds of the Japanese people and sow doubt about the reliability of their leaders.

There was a second, equally important, psychological reason for this attack...Americans badly needed a morale boost." (James Doolittle, WW2)

Sehingga itu, rakyat Jepun diberitahu bahawa mereka tidak terdedah kepada bahaya tetapi serangan ke atas bumi Jepun menimbulkan kekeliruan di fikiran mereka sehingga ramai yang berasa sangsi dengan kemampuan pucuk pimpinan mereka.

Seorang pakar strategi politik yang enggan dikenali berkata bahawa pasukan pemikir BN mungkin telah memutuskan untuk bertindak pantas selepas senario politik semakin buruk bagi BN di Perak apabila Datuk Nasaruddin Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bota, yang pada mulanya menyertai PKR.

"Apabila sesetengah ADUN Pakatan Rakyat (PR) di Perak kelihatan tidak suka dengan kerajaan negeri PR atau pemimpin tertentu, mereka (BN) nampak mereka patut merebut peluang yang ada.

"Dengan menawan kerajaan negeri Perak, BN berupaya meniup semangat di peringkat ahli akar umbi dan pada masa sama menghantar isyarat kuat kepada pesaingnya bahawa BN masih kukuh dan boleh membalas balik."

"Selain itu, kemunculan Najib yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO/BN Perak yang baru menggantikan Tajol Rosli agak terdesak menjernihkan harapannya selaku bakal Perdana Menteri berwibawa dan sebagai 'ole-ole' istimewa untuk disajikan kepada para perwakilan menjelang Perhimpunan Agong UMNO pada Mac depan, menyebabkan 'tindakan ini' perlu disegerakan".

"Sebab itu, saya percaya, idea itu datang dari cerita "Doolittle" apabila BN akhirnya mampu melahirkan tindakan politik drastik sehingga dapat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Perak," katanya.

Tindakan pertama kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah memperoleh laba politik apabila Nasarudin secara mengejut berpaling tadah kepada PKR sehari sebelum Tahun Baru Cina yang mencetuskan tanggapan bahawa BN akan terus kecundang.

Tindakan itu adalah sama dengan serangan mengejut Jepun ke atas Pearl Harbour yang memerangkap ahli politik dan pegawai tertinggi tentera Amerika yang membawa kesan ke atas kekuatan ketenteraan Amerika di Lautan Pasifik.

Bagaimanapun, Amerika masih mampu menghasilkan pelan serangan balas dengan mengumpulkan pasukan pejuang nekad mereka dalam satu misi rahsia melintasi Pasifik bagi serangan pengeboman jarak jauh ke atas Tokyo lima bulan kemudian.

Krew udara Amerika dipaksa melancarkan misi lebih awal selepas pesawat pengangkut mereka dikesan kapal Jepun, yang sudah sedia maklum bahawa mereka mungkin tidak mempunyai bekalan minyak yang mencukupi untuk membantu mereka mendarat di zon yang ditentukan di China selepas misi pengeboman.

Rancangan itu selari dengan tindakan BN yang memaksa parti itu melancarkan pelan pengambilan alih kerajaan negeri Perak selepas seorang dari wakil rakyatnya melompat parti menyertai PR dan ini terlaksana selepas tiga wakil rakyat PR meninggalkan parti mereka dan menjadi wakil rakyat Bebas dan berikrar menyokong BN.

Setakat ini, BN dan PR masing-masing mempunyai 28 kerusi dan BN mempunyai kelebihan apabila tiga wakil rakyat Bebas itu berikrar untuk menyokong BN maka ia membantu menumbangkan kerajaan negeri pimpinan PR yang memerintah selama 11 bulan.

Daripada latihan itu, BN mahu membuktikan kepada PR bahawa pakatan itu juga terdedah kepada bahaya dan dalam kes ini, mungkin dapat menghantar isyarat yang jelas bahawa kerajaan negeri lain di bawah pakatan itu juga boleh bergoyang.

Selepas kekalahan BN pada 8 Mac 2008 dan pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, pengambilan alih kerajaan negeri Perak walaupun apa jua asas dan rasional perdebatan seseorang itu mungkin ada, merupakan satu perangsang psikologi yang amat diperlukan BN ketika ini.

Sila baca juga:
1) Jimmy Doolittle
2) Midway: Doolittle's Raid
3) Pertempuran Midway
4) Jimmy Doolittle Biography

Wednesday, 4 February 2009

Minda Sejarah: Kad Tema

Salam Sejarah buat semua pengunjung yang dikasihi lagi penulis hormati. Apa khabar kalian? Diharap agar kalian sihat-sihat sahaja dalam kerangka memartabatkan subjek sejarah sebagaimana satu ungkapan daripada sekian banyak ungkapan motivasi yang sangat penulis suka gunakan dalam pembelajaran dan pengajaran sejarah iaitu, "History: Prepare Students For the Future by Teaching About the Past!."

Pada kali ini penulis akan berkongsi tentang satu lagi tip paduan belajar sejarah iaitu dengan menggunakan kad tema. Untuk catatan, kaedah ini adalah pengalaman penulis sendiri semasa zaman persekolahan menengah dahulu dan lebih penting ia adalah sangat membantu pencapaian subjek sejarah penulis.

Bagaimana membuatnya?

Langkah pertama, dapatkan kad manila atau apa-apa sahaja yang boleh dipotong seperti separuh kad perniagaan atau lebih kecil mengikut kesesuaian anda.

Langkah kedua, tulis tema-tema penting topik-topik yang anda pelajari di dalam kelas atau yang anda telah baca. Untuk tujuan menulis tema ini, sila dapatkan pandangan dan nasihat guru tentang apa yang dimaksudkan tema atau konsep penting terlebih dahulu. Ingat! satu kad hanya ditulis satu tema sahaja.

Langkah ketiga, gunakan formula 5W+H untuk mengulangkaji setiap kad tema dalam koleksi anda. (Nota: '5W' merujuk kepada persoalan Who, When, Where, Why, What dan 'H' merujuk kepada How)

Contoh penggunaan kad tema: 'Perjanjian Pangkor'
Persoalan - Siapakah yang terlibat dalam perjanjian ini?
- Mengapakah diadakan perjanjian ini?
- Bilakah perjanjian ini diadakan?
- Di manakah perjanjian ini berlangsung?
- Apakah faktor-faktor kepada berlakunya? / Apakah isi-isi kandungan perjanjian?
- Bagaimanakah perjanjian ini mengukuhkan kuasa British di Perak dan negeri-negeri Melayu?

Bila anda boleh menggunakan kad tema?

Anda boleh menggunakannya bila-bila masa dan di mana-mana sahaja samada sedang menunggu bas, menunggu giliran mengambil makanan, selepas solat, menunggu guru masuk ke kelas, ketika masa senggang mahupun ketika sedang berehat santai.

Dalam erti kata lain, penggunaan kad tema adalah sangat praktikal dan memanfaatkan ruang masa yang ada. Ingat! 'Masa adalah Kehidupan.'

Cadangan tambah nilai

Selain mengulangkaji bersendirian menggunakan kad tema yang anda hasilkan, untuk menjadikan ia lebih menarik ialah dengan anda berkongsi penggunaannya dalam kumpulan studi anda bersama kawan-kawan yang lain. Ini akan mengukuhkan lagi pemahaman di samping menguatkan ingatan anda untuk jangka panjang.

Selain subjek sejarah, kad tema juga praktikal untuk diimplementasikan dalam subjek-subjek lain khususnya yang melibatkan banyak aktiviti pembacaan.

Semoga perkongsian tidak seberapa ini dapat diambil manfaatnya. Sehingga bertemu lagi dalam Minda Sejarah yang akan datang untuk kaedah dan tip belajar sejarah secara lebih efektif. InsyaAllah.

"Ingat Sejarah....Ingat Sejarah2u :p"

Negara Warisan Dunia: Turkmenistan


1) Ibu negara - Ashgabat

2) Penduduk asal Turkmenistan dengan etnik Russia, Armenia dan Azerbaijan sebagai golongan minoriti.

3) Hanya berada 250 km dari Mashhad iaitu bandar kedua terbesar di Iran.

4) Letaknya di antara padang pasir Kara Kum dan banjaran pergunungan Kopet Dag.

5) Sebelum 1991, bandar raya itu dieja Ashkhabad dalam bahasa Inggeris, perkataan yang diterjemah daripada bahasa Russia. Ia juga dieja Ashkhabat dan Ashgabad.

6) Nama itu dipercayai diambil daripada bahasa Parsi iaitu Ashk-abad yang bermakna `bandar raya Arsaces'.

7) Satu lagi versi mengatakan nama itu diambil daripada bahasa Arab iaitu perkataan 'eshg' yang bermakna cinta dan abad, bermakna `tempat yang bertamadun' atau bandar raya yang mana jika diterjemah menjadi 'bandar raya cinta'.

8) Negara ke-52 terbesar dunia, yang kecil sedikit berbanding Sepanyol tetapi lebih besar dari California.

Monday, 2 February 2009

Serikandi Bahasa Melayu

" Untuk mendidik pelajar-pelajar memahami bahasa Inggeris bukan dengan menukar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Banyak lagi cara lain untuk menguasainya. Menukar bahasa dalam subjek Sains dan Matematik hanya akan menyusahkan pelajar-pelajar terutamanya di luar bandar " - Prof Datuk Dr Nik Safiah Karim

Baca juga Serikandi Bahasa Melayu

Skor A Siri 3/09

Arahan: Jawab soalan-soalan struktur di bawah dengan jawapan yang munasabah. Selamat menjawab.

[1] a) Apakah matlamat pendidikan di Athens? (2 m)
b) Jelaskan matlamat pendidikan di Sparta. (2 m)
c) Nyatakan kemahiran yang diberi penakanan dalam sistem pendidikan Tamadun China pada peringkat tinggi. (1 m)
d) Jelaskan tiga falsafah yang terdapat dalam Tamadun India. (3 m)
e) Mengapakah masyarakat dalam tamadun China sangat menghargai pendidikan? (2 m)

[2] a) Apakah peranan Chandragupta Maurya dalam pembentukan empayar Maurya? (2 m)
b) Jelaskan usaha Asoka dalam mengukuhkan empayar Maurya. (3 m)
c) Apakah perjuangan Shih Huang Ti untuk membentuk empayar Dinasti Chin? (2 m)
d) Apakah peranan Alexander The Great kepada Tamadun Yunani. (2 m)
e) Berikan satu perubahan kesan perluasan kuasa. (1 m)

Jawapan anda boleh juga diemelkan kepada saya untuk disemak di isharsmiaa@gmail.com

" Sesungguhnya Allah Swt tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, sehinggalah kaum itu sendiri yang akan mengubah nasib dirinya" - Al-Ayat