Britain tidak dapat bertangguh lagi untuk menguasai seluruh Tanah Melayu kerana negeri-negeri ini kaya dengan biji timah dan sesuai ditanam dengan getah. Tambahan pula negeri-negeri Melayu ini amat sesuai disatukan kerana mempunyai ciri-ciri yang sama iaitu sama dari segi bahasa, agama, bangsa, cara hidup, kebudayaan dan lain-lain.
Untuk mempengaruhi Siam agar bersetuju untuk berunding, Inggeris dan Perancis telah bersedia menamatkan hak wilayah asing yang diperolehi sejak tahun 1855 dan 1856. Siam sedar bahawa Inggeris begitu serius terhadap perkara mengenai Negeri-negeri Melayu Utara lalu bersetuju untuk mengadakan perundingan. Rundingan telah diadakan dan akhirnya Perjanjian Bangkok telah ditandatangani pada 9 Julai 1909.
Faktor-faktor yang membawa kepada perjanjian:
Pakatan Inggeris-Perancis 1904
Selepas ditandatangani Pengisytiharaan Inggeris-Siam, sikap Inggeris terhadap Siam mulai berubah. Hal ini adalah disebabkan Inggeris dan Perancis telah menamatkan permusuhan mereka di Eropah dengan termeterainya Pakatan Inggeris-Perancis pada 8 April 1904.
Pakatan ini telah manamatkan ancaman peluasan kuasa Perancis di Siam dan dasar kemaraan di Negeri-negeri Melayu Utara. Perjanjian ini meletakkan Siam dalam bahaya.
Kemungkinan besar Inggeris tidak akan menolong Siam sekiranya Perancis melanggarnya dari Indo-China. Kebimbangan Siam menjadi nyata apabila Perancis merampas Battambang dan Siem Reap, iaitu jajahan-jajahan takluk Siam di sempadan Siam-Kampuchea.
Inggeris tidak membantu Siam malah ia bersikap berkecuali. Hal ini merugikan Siam.
Kebimbangan campur tangan kuasa asing yang lain
Perancis, Rusia dan Jerman berminat untuk membina terusan di Segenting Kra sebab tertarik dengan kepesatan perdagangan Asia-Eropah kesan daripada pembukaan Terusan Suez. Pada tahun 1906, Jerman pula mendapat persetujuan Siam untuk membina jalan keretapi di Negeri-negeri Melayu Utara. Tindakan ini dianggap oleh Inggeris sebagai satu helah untuk menguasai Negeri-negeri Melayu Utara.
Siam cuba mendapatkan bantuan modal dan buruh dari Jerman untuk membina jalan keretapi yang akan menghubungkan Bangkok dengan sempadannya di Kedah. Inggeris berasa bimbang bahawa langkah Siam akan membawa kepada kemungkinan besar Jerman campur tangan di Kedah dan mengancam kepentingan Inggeris di situ.
Pembatalan hak-hak wilayah asing
Siam tidak senang hati dengan pemberian hak-hak istimewa kepada Inggeris sejak tahun 1855. Siam kini ingin membatalkan perjanjian-perjanjian berat sebelah seperti Perjanjian Bowring (1855) dan Perjanjian Sulit (1897).
Sudah tentu Inggeris tidak akan memansuhkan hak-hak tersebut dengan rela tanpa sebarang ganti rugi. Oleh itu, Siam mengambil keputusan untuk menyerahkan Negeri-negeri Melayu Utara yang sebenarnya tidak menguntungkan kepada Inggeris. Sebagai balasan, Inggeris akan memansuhkan segala-gala hak wilayah asing di Siam.
Masalah kewangan Siam
Sementara itu, Kelantan dan Terengganu menaruh dendam dan tidak pernah mengakui pertuanan Siam. Kedah pula menghadapi masalah kewangan yang teruk selepas tahun 1904 kerana sikap Sultan Kedah yang boros. Siam terpaksa memberikan pinjaman sejumlah $2 juta kepada Kedah.
Syarat-syarat perjanjian:
1. Siam memindahkan segala haknya ke atas keempat-empat buah Negeri-negeri Melayu Utara di bawah pemerintahannya iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, termasuk semua pulau yang dimiliki oleh negeri-negeri itu kepada Inggeris.
2. Siam bersetuju tidak akan menyewakan mana-mana wilayahnya kepada kuasa-kuasa asing tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran dari Inggeris.
3. Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan menanggung segala hutang keempat-empat buah negeri yang diperolehinya. Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu juga akan memberi pinjaman wang sebanyak £4 juta kepada Siam untuk membina jalan keretapi di Selatan Siam.
4. Inggeris menyerahkan hak wilayah asing yang diperolehinya dari Persetiaan Persahabatan dan Perdagangan pada tahun 1855.
5. Inggeris berjanji tidak akan campur tangan di wilayah-wilayah Siam yang lain.
6. Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897 dibatalkan.
Kesan-kesan perjanjian:
1. Negeri-negeri Melayu Utara berpindah tangan dari Siam kepada Inggeris dan negeri-negeri itu menerima seorang Penasihat British yang tugasnya seperti Residen di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
2. Selanjutnya Penasihat British dilantik untuk berkhidmat di Perlis, Kelantan dan Kedah. Terengganu menerima Penasihat Inggeris pada tahun 1919.
3. Perjanjian ini telah menetapkan sempadan di antara Siam dengan Tanah Melayu.
4. Perjanjian ini menjamin Inggeris agar dapat menjalankan dasar monopoli perdagangannya di Semenanjung Tanah Melayu.
No comments:
Post a Comment