Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Thursday, 26 March 2009

Minda Sejarah: Belajar Efektif dengan Peta Minda

Peta minda merupakan kaedah yang berkesan untuk mendapatkan semula maklumat daripada ingatan untuk ditukarkan menjadi bentuk yang boleh dilihat.

Peta minda boleh membantu anda untuk meningkatkan kecerdasan dan kemahiran anda untuk mengukuhkan daya ingatan dan pemahaman.

Peta minda merangsang pelbagai keupayaan yang ada dalam diri anda.Antaranya, anda perlu memikirkan tentang maklumat yang diperlukan dan membuat pemilihan mengikut keinginan anda.

Secara langsung, anda berhubung secara aktif dengan maklumat yang ada dalam ingatan anda.Bolehlah anda sifatkan anda sebenarnya sedang berbicara dengan daya ingatan sendiri.

Peta minda itu juga boleh merangsang beberapa anggota anda yang mempunyai peranan tersendiri.

Antaranya, anda perlu berfikir, memerhati, memilih, melukis dan menentukan anda memahami apa yang anda inginkan.Tangan anda ikut serta dalam kerja-kerja tersebut.

Hal ini dapat memahirkan diri dengan disiplin yang penting dalam pembelajaran.Menggunakan peta minda bermakna anda harus menggunakan kemahiran menyusun maklumat yang betul dan tepat dan mudah difahami.

Peta minda juga membolehkan anda membuat perkaitan dengan lebih mudah dan cepat.Apa yang anda ingat akan dapat diperkukuh melalui gambaran dan tulisan yang anda lakukan.Kemudian anda mengaitkan pula dengan beberapa isi kecil yang lain.

Cabang dan Ranting

Lama kelamaan akan membentuk idea keseluruhan mengenai apa yang anda inginkan daripada daya ingatan anda.Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa penggunaan peta minda akan menambahkan keseimbangan otak kiri dan otak kanan.

Apa yang menarik mengenai peta minda ialah ia merangkumkan semua aspek bahasa, analitis, reka bentuk, matematik, deria dan sebagainya dalam usaha keseluruhannya.

Kelebihan lain yang terdapat pada peta minda ialah ia mudah digunakan serta sesuai untuk semua tujuan.Peta minda amat sesuai untuk tujuan menelaah pelajaran, mengambil nota yang diajar oleh guru, membaca buku, persediaan sebelum berbahas, untuk bermesyuarat, malah untuk persediaan membeli-belah.

Anda tidak perlu menuliskan semuanya pada sekeping atau lebih kertas.Anda tidak akan sukar untuk memikirkan secara mendalam kerana ingatan anda dibantu oleh hasil lukisan dan tulisan mata dan tangan anda.

Peta minda boleh disediakan dengan mudah. Pada buku tulis atau sekeping kertas, tulis topik utama yang menjadi perhatian anda. Topik tersebut, misalnya pembelajaran, eloklah dituliskan di bahagian tengah.

Dari sini, pelbagai perkara lain yang berkaitan dengan topik pembelajaran akan dihasilkan dalam bentuk cabang atau cawangan daripada pembelajaran tadi.Daripada cabang-cabang tadi, anda boleh menghasilkan pelbagai fakta isi kecil yang lain bentuk ranting. Di samping itu, anda boleh juga menggunakan pelbagai imej lain yang boleh mencorakkan peta minda dengan lebih menarik.

Selamat mencuba :)

Tinta Strategis: Rasulullah SAW Pakar Risik dan Strategi

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam". (al-Anbiya': 107)

Secara umumnya memang Baginda Saw diutus ke seluruh alam ini untuk membawa rahmat yang besar bagi kesejahteraan umat manusia di dunia dan akhirat.

Pun begitu, 'rahmat' itu sebenarnya turut meliputi kepimpinan Baginda Saw sebagai pakar strategi dan perisikan.

Dalam ruangan yang terbatas ini, memadailah jika diambil peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah pada 622M.

Ini kerana ia merupakan satu momentum dan titik tolak kepada kejayaan penyebaran Islam di seluruh tanah Arab dan seluruh dunia kemudiannya. Dalam peristiwa tersebut jelas betapa genius dan pintarnya baginda Saw dalam mengatur strategi dan membuat perisikan sebelum tugas hijrah yang suci itu dilaksanakan.

Perkataan 'strategi' berasal daripada perkataan Greek strategos, iaitu istilah ketenteraan untuk menerangkan kemahiran seorang panglima perang.

Ia merujuk kepada perancangan seorang panglima perang mengatur pasukannya dengan matlamat menewaskan pihak musuh. Carl von Clausewitz, ahli teori seni perang di abad ke-19, menyatakan 'strategi sebagai usaha merangka perancangan perang dan membentuk kempen individu termasuklah membuat keputusan penglibatan individu' (The Essentials of Strategy, 2006: xiii).

Dalam lain perkataan, jika hijrah ke Madinah menjadi objektif, maka di sini strategi ialah cara mana Rasulullah Saw boleh melakukannya dengan jaya.

'Perisikan' pula bermaksud hasil maklumat yang telah diproses dan boleh digunakan untuk sesuatu tujuan. Ia berbeza dengan 'maklumat' yang merupakan bahan mentah yang belum diproses bagi menghasilkan perisikan.

Ia mempunyai lima peringkat iaitu perancangan, pengumpulan data dan maklumat, pemprosesan bahan tersebut, penganalisisan dan akhirnya penyebaran hasil perisikan tersebut kepada pihak yang memerlukannya.

Apakah benar elemen-elemen strategi dan perisikan wujud dalam peristiwa hijrah tersebut?

Dari segi strategi, ia boleh dikesan menerusi analisis SWOT iaitu kekuatan (strength), kelemahan (weakness), peluang (opportunity) dan ancaman (threat).

Faktor kekuatan di sini ialah kesediaan penduduk Madinah (ketika itu masih bernama Yathrib) menyambut kedatangan Baginda Saw. Ini berikutan beberapa rombongan dari kota tersebut yang telah menemui Baginda Saw di Aqabah, Mina pada 621M terdiri daripada 12 lelaki daripada suku Aus dan Khazraj. Ia dikenali sebagai Baiah Al-'Aqabah Pertama.

Ini diikuti oleh Baiah Al-'Aqabah Kedua pada Jun 622M di mana melibatkan kira-kira 70 orang Madinah yang menunaikan ibadah haji (Safiyyu Al- Rahman Al- Mubarakfuri, Sirah Nabawiyyah, 2008: 207 dan 211). Mereka berjanji tidak mempersekutukan Allah, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak mereka dan tidak menentang Baginda.

Kekuatan yang lain ialah kebijaksanaan Rasulullah Saw Gua Thur sebagai tempat persembunyian semasa berhijrah. Ini kerana posisi gua tersebut terletak di Selatan Mekah, bukan jalan menuju Madinah dan ia boleh mengelirukan pihak musuh. Lebih-lebih lagi gua tersebut agak tinggi, mempunyai jalan yang bengkang bengkok dan sukar didaki. Baginda Saw juga menuju Madinah menggunakan jalan yang jarang dilalui oleh penduduk Mekah.

Dari aspek kelemahan hijrah ke Madinah ini ialah Rasulullah Saw dan Saidina Abu Bakar akan menempuh jalan yang sulit dan banyak rintangan. Ia bukan sahaja sukar dilalui, tetapi terdedah kepada risiko lapar dan dahaga serta penuh kegelapan. Mereka juga mudah terdedah kepada ancaman suku kaum yang tidak dikenali di sepanjang perjalanan.

Dari aspek peluang pula, Rasulullah Saw telah menjangkakan Madinah adalah lokasi yang terbaik untuk memantapkan penyebaran agama Islam. Di situ, Baginda dan golongan Muhajirin akan kurang diganggu dan ditindas oleh kaum Quraisy Mekah.

Aspek ancaman semasa berhijrah datangnya daripada bangsa Yahudi di Madinah. Ini kerana mereka menganggap menjadi bangsa terpilih oleh Allah SWT. Sebaliknya Nabi Muhammad Saw, daripada bangsa Arab. Ini menyebabkan mereka merasa iri hati. Mereka mengadakan konspirasi dengan golongan munafik dan Quraisy Mekah.

Bagaimanapun ancaman tersebut dapat ditangani apabila Rasulullah Saw mengadakan perjanjian dengan mereka. Baginda Saw bertindak tegas apabila berlaku perlanggaran syarat perjanjian. Peralatan perang mereka dirampas dan ini melemahkan kekuatan ketenteraan mereka.

Bagaimana pula dari aspek perisikan? Rasulullah Saw sememangnya telah merancang hijrah ke Madinah secara teratur, walaupun tidak dinafikan ia memang merupakan perintah Allah. Baginda Saw mempunyai fakta bahawa Madinah mempunyai keistimewaan dari segi geografi, politik, ekonomi, mahupun sosial.

Madinah terletak dalam kawasan perjalanan kabilah dari Sham dan Yaman. Dari arah timur, Madinah bercantum dengan padang pasir Najd sehingga ke Iraq. Dari arah barat pula, kota tersebut bercantum dengan Laut Merah. Ia dikelilingi oleh pokok-pokok dan tanaman yang rendang, dengan ini boleh menjadi pertahanan perang semula jadi. Kota itu juga mempunyai tanah yang subur dan mempunyai dua lembah yang dilimpahi air.

Rasulullah Saw juga mempunyai sumber perisikan dan pembantu yang dapat melicinkan lagi pelaksanaan hijrah ke Madinah. Dalam istilah perisikan ia dikenali sebagai HUMINT (human intelligence).

Antaranya ialah Abu Bakar As-Siddiq r.a. yang menemani Baginda Saw sepenuh masa sewaktu berhijrah. Begitu juga Ali bin Abi Talib r.a. yang menggantikan Baginda Saw di tempat tidur pada malam hijrah. Pembantu lain ialah Asma' anak perempuan Abu Bakar yang menguruskan bekalan makanan.

Ini diikuti Abdullah anak lelaki Abu Bakar yang mencari maklumat perisikan. Pada sebelah siang beliau keluar mencari maklumat yang menjadi isu percakapan orang ramai, kemudian melaporkan kepada Baginda Saw dan bapanya pada sebelah malam.

Ini dimantapkan lagi oleh Amir bin Fuhairah, hamba kepada Abu Bakar yang menjadi gembala ternakan. Beliau membantu persembunyian di Gua Thur, di samping mengelirukan pihak musuh. Pada sebelah siang beliau menggembala ternakan di Mekah tetapi pada sebelah petang membawa kambing ke tempat persembunyian untuk membekalkan susu kepada mereka.

Seterusnya mendapat perkhidmatan seorang penunjuk jalan yang mahir dengan situasi kawasan dan jalan untuk berhijrah. Walaupun Abdullah bin Uraiqit seorang musyrik, tetapi amanah dan taat menyimpan rahsia.

Rasulullah Saw juga sentiasa menganalisis maklumat perisikan yang diterima. Baginda Saw tidak mahu terbuai dengan kuantiti pengikut, padahal yang lebih penting ialah kualiti mereka. Bagi mempastikan pengikutnya berhijrah ke Madinah dengan niat yang ikhlas, bukannya disebabkan agenda tertentu sama ada tujuan keduniaan atau untuk menikahi seseorang perempuan.

Ini jelas daripada hadis Baginda Saw, "Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia diniatkan. Barang siapa hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya. Dan barang siapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu". (riwayat Bukhari dan Muslim).

Wanita yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah Ummi Qais yang memberi syarat kepada seorang sahabat bahawa beliau bersedia menjadi isteri sekiranya lelaki itu berhijrah ke Madinah.
Baginda Saw juga sentiasa membuat tindakan follow-up dan follow-through terhadap sokongan yang telah dijanjikan. Contohnya, baginda mengutus seorang sahabat, Mush'ab bin Omar kepada rombongan dari Yathrib (Madinah) yang berjanji setia dengan Baginda, di samping mengajarkan al-Quran dan agama Islam.

Baginda Saw sentiasa memantau pergerakan orang yang memeluk Islam bukan kerana ikhlas tetapi kerana muslihat tertentu. Golongan munafik ini diketuai oleh Abdullah bin Ubai.

Sebagai contoh Baginda Saw mengetahui sepucuk surat sulit yang dihantar kaum Quraisy Mekah kepada Abdullah supaya memerangi Baginda dan golongan Muhajirin. Baginda berjaya mengagalkan konspirasi itu, hasil maklumat perisikan yang diterima.

Berdasarkan kepada perbincangan di atas adalah jelas bahawa Nabi Saw menggunakan strategi dan perisikan semasa berhijrah ke Madinah.

Memang tepat kata Sun Tzu dalam buku The Art of War, "Raja dan panglima yang bijak boleh menewaskan musuh jika mereka bergerak dan mencapai kejayaan melebihi orang biasa kerana mempunyai maklumat awal. Maklumat tersebut tidak dapat diperoleh daripada makhluk halus, dewa atau pengalaman mahupun telekan nujum. Ia mesti diperoleh daripada orang yang mengetahui situasi musuh."

Tuntasnya, sewajarnya-lah umat Islam mencontohi Baginda Saw menjadi umat kelas pertama yang menguasai bukan sahaja kedua-dua bidang tersebut. Bahkan merangkumi bidang lain seperti informasi, teknologi, politik dan ekonomi dalam dunia yang sentiasa bersaing dan mencabar ini.

Sumber: Zainal A. Jalil, Utusan Malaysia Online

Transformasi Islam di Alam Melayu

Menurut sarjana ilmuan kenamaan tempatan, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972), bahawa masyarakat dan alam Melayu telah mendapat sesuatu yang baharu dan "moden" dalam maksud dan erti yang sebenarnya dengan kehadiran Islam.

Menurutnya lagi Islam-lah yang mencetuskan era dan zaman baru di alam Melayu secara menyeluruh yang mencakup perubahan "jiwa" dan "rupa" masyarakat Melayu, seperti yang ditegaskannya sebagai;

".....kedatangan Islam di Kepulauan Melayu-Indonesia harus kita lihat sebagai mencirikan zaman baru dalam pensejarahannya, sebagai semboyan tegas menegaskan satu sistem masyarakat yang berdasarkan beberapa kebebsan orang perseorangan, keadilan dan kemuliaan keperibadian insan". (al-Attas, 1972:20)

Perubahan yang paling asasi ialah dari sudut kepercayaan yang mana masyarakat Melayu telah diperkenalkan dan diyakinkan dengan keyakinan yang berteraskan faham tauhid.

Dengan mantapnya faham tauhid ini, maka world view masyarakat Melayu telah berubah, meninggalkan "zaman lama" seperti yang digambarkan oleh MuhammadUthman (1977), sebagai;

" Zaman Hindu-Buddha dengan metodologinya, penyembahan rajanya, ciri tertentu dan masyarakatnya, dengan alam khayalannya, penyembahan berhalanya, dengan menitik penting kepada keseniannya". (Muhammad Uthman, 1977:185)

Nyatanya faham tauhid yang dibawa oleh Islam telah menghapuskan kepercayaan sebelum Islam yang bersifat syirik dan berjaya menjawab persoalan-persoalan ketuhanan, persoalan manusia, dan persoalan alam. Dan jawapan pasti islam terhadap segala persoalan ini berdasarkan faham tauhid, telah memantapkan keyakinan masyarakat Melayu terhadap Islam.

Untuk menyimpulkan proses transformasi Islam di alam Melayu ini, dirasakan kenyataan Dr. Siddiq Fadil mempunyai kebenarannya;

" Perkembangan dan kemantapan Islam di rantau ini tidak dihasilkan hanya dengan usaha sambil lewa para pedagang, dan tidak juga semata-mata kerana sikap pak turut orang-orang Melayu, tetapi berkait usaha gigih dan bijaksana para da'ie yang komited, para da'ie yang terdiri dalam kalangan pedagang, mubaligh, ulama', kaum Sufi, sultan dan bala tenteranya".

Rujukan:
1) Al-Attas, Syed Muhammad al-Naquib, "Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu", (Kuala Lumpur, UKM 1972)
2) El-Muhammady, Muhammad 'Uthman, "Peranan Islam Dalam Pembentukan Kebudayaan Melayu" dalam Seminar Islam dan Kebudayaan Melayu, (PKPIM, 25-28 Julai, 1976)
3) Siddiq Fadil, "Gerakan Islam di Dunia Melayu, tuntutan Zaman dan Cabaran Lingkungan", (Kuala Lumpur, 1989)

Saturday, 21 March 2009

Peristiwa Penting 1

1963 : Perlembagaan Malaysia dibentuk

10 Mei 1969 : Pilihan Raya Malaysia yang kedua

13 Mei 1969 : Berlaku tragedi 13 Mei yang mengakibatkan kehilangan jiwa rakyat dan kerosakan harta benda.

16 Mei 1969 : Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan perintah darurat di seluruh negara. Sistem kerajaan berparlimen digantung.

17 Mei 1969 : Kerajaan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai Tun Abdul Razak telah diwartakan.

Julai 1969 : Jabatan Perpaduan Negara ditubuhkan

29 Januari 1970 : Majlis Perundingan Negara diwartakan.

31 Ogos 1970: Rukun Negara sebagai ideologi negara diisytiharkan.

23 Februari 1971 : Kerajaan berparlimen Malaysia dipilih semula.

Thursday, 19 March 2009

Makam Laksamana Bentan

Batu Asas Pengenalan Makam

Makam Laksamana Bentan terletak di Kampung Kelantan dan berhampiran dengan Tebing Sungai Kemang di Daerah Kota Tinggi.

Perjalanan ke Makam ini hanya sejauh dua km dari bandar Kota Tinggi. Dipercayai di sinilah telah disemadikan Megat Seri Rama yang juga dikenali sebagai Laksamana Bentan, pahlawan Melayu terbilang dan isterinya Dang Anum.

Nama sebenar Laksamana Bentan ialah Megat Seri Rama berasal dari Bentan Sumatera dan bertugas sebagai Panglima angkatan laut Sultan Mahmud Shah II (1685-1699). Megat Seri Rama telah menikam Sultan Mahmud sewaktu dijulang ketika dalam perjalanan menuju ke masjid untuk solat Jumaat.

Ini disebabkan dendamnya terhadap tindakan Sultan yang telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas isterinya sewaktu ketiadaan beliau mempertahankan negeri daripada serangan musuh. Dang Anum yang sedang mengandung telah dijatuhkan hukuman bunuh kerana dituduh memakan seulas nangka yang diambil dari kawasan larangan Diraja.

Makam Laksamana Bentan dan Isterinya Dang Anum

Namun demikian, Sultan sempat menikam balas Megat Seri Rama dan melafazkan sumpah bahawa "Orang-orang Bentan akan muntah darah jika berkunjung ke bumi Kota Tinggi selama tujuh keturunan". Peristiwa ini terkenal dengan 'Sultan Mahmud Mangkat Dijulang'.

Susunan batu bata bersaiz besar yang digunakan untuk membina tembok makam ini dipercayai adalah sebuah kota pertahanan pada zaman kesultanan melayu silam. Kedudukan di atas tebing tinggi Sungai Johor ini sangat sesuai digunakan sebagai tempat beristirehat dan meninjau kedatangan musuh.

Sumber: Jabatan Muzium Kota Tinggi

Saturday, 14 March 2009

Soekarno: Antara Kejayaan dan Kegagalan

" Soekarno was the best example I know of a revolutionary leader who could tear down a system experttly but could not focus hid attention on rebuilding it". (Richard Nixon)

Thursday, 12 March 2009

Salam Kejayaan, Teruskan Perjuangan

Tahniah! dan syabas diucapkan buat semua anak didik tercinta lagi dikasihi yang telah berjaya mencipta SEJARAH dalam keputusan peperiksaan SPM 2008 yang lalu.

Kejayaan gilang gemilang hari ini merupakan hadiah termahal dan sangat bermakna buat semua warga Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak dan para pendokongnya, samada secara langsung mahupun tidak langsung.

Buat anak-anak didik di kelas 5 Salman al-Farisi dan kelas 5 Suhaib ar-Rumi sesi 2008..tiada ungkapan terindah mampu dilafazkan melainkan ustaz sangat gembira kerana telah diberi kesempatan untuk mengenali dan mendidik kalian sehingga dapat berkongsi kegembiraan kecemerlangan ini.

Semoga kejayaan gemilang hari ini dapat diteruskan momentumnya hingga ke peringkat menara gading kelak. InsyaAllah.

Doa dan harapan ustaz agar kalian dapat memanfaatkan segala ilmu yang telah dibekalkan dengan sewajarnya buat umat. Semoga kalian terus berjaya dalam segala lapangan kehidupan..di dunia juga di akhirat. Ameen.

Kalam guru Sejarah:

"Sejarah bukan sekadar dibaca, tetapi difahami dan dihayati bagi membentuk jati diri mulia insani"

"Kegagalan dan ketertewasan anda bukanlah persoalan utama, tetapi kemampuan dan kesungguhan anda merancang untuk mencipta kecemerlangan adalah pokok pangkal segalanya".