Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Monday, 12 January 2009

Masa Itu Adalah Kehidupan


"Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah. Menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa. Menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan. Menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan. Menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda sentiasa, dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadah kepada Allah Swt itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa".


16 Fakta Tentang Kebiadaban Israel!!

Salam Ukhuwwah dan sejahtera kepada para pengunjung sejarah2u yang dirahmati dan dimuliakan Alllah swt. Didoakan agar kalian dikurniakan kemanisan Iman dan kekuatan untuk beramal demi redho-Nya. InsyaAllah

Kali ini, penulis ingin berkongsi tentang beberapa fakta tentang negara haram Israel yang bersangkut paut dengan kebiadabannya dalam era sejarah moden pada hari ini.

1) Tahukah anda bahawa setiap bangsa Yahudi yang ada di setiap negara di seluruh dunia menjadi warga negara Israel secara automatik? Sementara warga Palestin yang lahir di tanah negaranya sendiri sejak puluhan dekad yang lalu terus diusir keluar dari Palestin.

2) Tahukah anda bahawa penduduk Palestin yang menetap di kawasan Israel harus menggunakan kenderaan dengan cat dan warna khusus untuk membezakan antara bangsa Yahudi dan bukan Yahudi?

3) Tahukah anda bahawa Jerusalem (Baitulmaqdis) bahagian timur, bahagian barat di Gaza dan Dataran Tinggi Bukit Golan dianggap oleh masyarakat antarabangsa khususnya Barat dan Amerika sebagai kawasan yang dijajah Israel dan bukan merupakan sebahagian daripada wilayah kedaulatan Syria?

4) Tahukah anda bahawa Israel menempatkan 85 peratus bekalan air bersih hanya untuk bangsa Yahudi dan membahagikan 15 peratus bakinya untuk seluruh penduduk Palestin yang menetap di kawasan Israel? Tegasnya, Israel menempatkan 85 peratus air bersih hanya untuk 400 penduduk Yahudi di Hebron, sementara 15 peratus bakinya diberikan kepada 120,000 penduduk Palestin di daerah itu.

5) Tahukah anda bahawa Amerika menempatkan AS$5 bilion daripada penghasilan pajaknya setiap tahun untuk menyumbang kepada Israel?

6) Tahukah anda bahawa Amerika terus memberikan bantuan ketenteraan kepada Israel sejumlah AS$188 bilion setiap tahun? Dan tahukah anda bahawa jumlah sebesar itu sama dengan sumbangan Amerika kepada seluruh negara di benua Afrika?

7) Tahukah anda bahawa Israel sedang menanti bantuan perang tambahan sebesar AS$4 bilion daripada Amerika yang terdiri daripada pesawat tempur F16, Apache dan Blackhawk? Dan kerana Amerika merupakan negara utama bagi Israel, maka ia wajib memberikan semua kemudahan tambahan yang diminta Israel untuk menjamin kekuatannya.

8) Tahukah anda bahawa pemerintah Amerika telah menekan Kongres tentang pelanggaran Israel dalam penggunaan senjata yang mereka sumbangkan khususnya pada tahun 1978, 1979 dan tahun 1982 dalam perang di Lubnan dan penggunaan senjata kimia dan nuklear pada tahun 1981.

9) Tahukah anda bahawa Israel adalah satu-satunya negara di Timur Tengah yang menolak untuk menandatangani larangan pengembangan senjata nuklear dan menolak Pasukan Pemeriksa PBB untuk memeriksa tempat persembunyian nuklearnya?

10) Tahukah anda bahawa sebelum terdirinya Israel pada 1948, ia sudah memiliki gudang pengembangan senjata nuklear?

11) Tahukah anda bahawa panglima tinggi Israel di Jabatan perang mengakui terang-terangan bahawa tentera Israel pernah dan telah membunuh semua tahanan perang Palestin tanpa proses pengadilan?

12) Tahukah anda bahawa Israel pernah meledakkan tempat kediaman diplomat Amerika dan menyerang kapal perang Liberty di perairan antarabangsa pada tahun 1967?

Walaupun serangan itu mengorbankan 33 tentera Amerika dan mencederakan 177 yang lain, tetapi Amerika tidak mengambil sebarang tindakan dengan alasan bahawa tentera Israel 'telah tersalah sasaran'. Bayangkan kalau serangan itu dilakukan oleh negara umat Islam?

13) Tahukah anda bahawa Israel merupakan negara yang paling banyak melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB? Jumlah resolusi yang yang dilanggar oleh Israel mencapai 69 resolusi. Bayangkan seandainya satu daripada negara Islam melanggar satu sahaja resolusi PBB, apa yang akan dilakukan oleh Amerika dan Barat?

14) Tahukah anda pemerintah Israel menggunakan sistem politik kuno terhadap identiti bangsa Yahudi agar mereka tetap menjadi warga negara itu?

15) Tahukah anda bahawa Mahkamah Agung Israel telah menetapkan Perdana Menteri Ariel Sharon sebagai 'tidak sengaja' dalam kes pembunuhan beramai-ramai Shabra dan Syatilla pada 16 September 1982 di Lubnan yang mengorbankan lebih 1500 orang pelarian Palestin yang terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua?

16) Tahukah anda bahawa Perdana Mentari Israel pertama, David Ben Gorion sepakat dengan langkah pengusiran secara paksa seluruh bangsa Arab dari Israel?

p/s: Gaza masih teru menangis air mata dan darah. Apakah tindakan konstruktif yang saudara/i telah ambil untuk merasa kebersamaan dengan saudara kita di sana?

Sunday, 11 January 2009

Shabra dan Shatila Dalam Kenangan

Salam Sejarah buat semua pengunjung Sejarah2u yang dikasihi. Penulis masih cukup terkesan dengan apa yang berlaku di bumi Gaza ketika ini. Terkesan dengan kata-kata Presiden Mercy Malaysia, Dr Jemilah bahawa negara-negara dan pertubuhan dunia tidak berdaya membantu Gaza, apatah lagi untuk menelanjangi kebiadapan Israel meski atas nama kemanusiaan.

Sikap 'double standard' Barat, khususnya US yang kononnya 'polis dunia' amat menjengkelkan. Ketika berita ini ditulis, dikatakan US sedang menyewa kapal-kapal asing untuk menghantar bekalan bantuan 3ooo tan senjata dan peluru ke Israel. (Sumber: Bernama)

Sebagaimana Gaza, penulis acapkali terhimbau dengan peristiwa tragis yang berlaku 27 tahun lalu ke atas kem pelarian Palestin di Lebanon, iaitu Shabra dan Shatila. Ramai berpendapat bahawa apa yang berlaku kepada Gaza sekarang sama dengan apa yang telah berlaku di Shabra dan Shatila iaitu 'Pembersihan etnik beramai-ramai' (ethnic cleansing). Justeru tak hairan bila kanak-kanak, perempuan dan orang tua tidak terkecuali sebagai sasaran mudah untuk dibunuh.

Shabra dan Shatila – dua kem pelarian Palestin ini terkenal bukan kerana ia ditempatkan di selatan ibu kota Lebanon ini, tetapi kerana sejarah berdarah kekejaman Israel yang membunuh lebih dua ribu rakyat Palestin di situ tanpa belas ihsan.

Walaupun peristiwa berdarah itu telah berlalu 27 tahun lepas, ia tidak pernah terlupa sebegitu sahaja malahan terus tertancap kukuh dalam ingatan setiap warga dunia khususnya umat Islam.
Kejadian 20 Sept 1982 itu adalah hari paling hitam dan menyayat hati dalam sejarah kewujudan manusia di dunia pada era moden ini. Pada hari itu, manusia bernama lelaki beruniform zionis Israel dan sekutunya membunuh rakus ribuan lelaki, wanita dan kanak-kanak, serta tidak ketinggalan bayi.

Peristiwa kejam itu dikenangi kembali pada saban tahun agar manusia tidak mudah melupakan kezaliman dan kesanggupan manusia sendiri membunuh sesama manusia. Dan ia tidak terkecuali untuk dikenangi dan diingati dengan penuh kesal dan kebencian pada Zionis.

Tapak perkuburan Shabra dan Shatila yang dibunuh secara beramai-ramai itu adalah sebesar separuh padang bola sepak. Ia pagari tembok batu. Sunyi. Terdapat pepohon ditanam melatari kawasan itu. Sekelilingnya (di luar tembok) deretan rumah (umpama kekotak batu) setinggi dua hingga tiga tingkat menghiasi pandangan.

Rumah-rumah yang kelihatan tidak terurus dan tidak mempunyai kemudahan sewajarnya. Dikatakan puluhan manusia Palestin berhimpit-himpit menghuni sesebuah rumah yang kadar pencahayaannya juga terbatas.

Ketika itu, Israel telah menceroboh masuk ke Lebanon dan menawan Beirut. Selepas saki baki tentera Palestin diusir keluar dari Lebonan, tentera Israel mengepong Shabra dan Shatila di bawah arahan Menteri Pertahanan Israel Ariel Sharon.

Maka berlakulah kekejaman berdarah itu sehingga tidak tergambar untuk dideskripsikan secara bertulis mahupun diadaptasikan melalui gambar.

Seorang wartawan Amerika yang melawat tempat itu sehari selepas tragedy menyayat hati itu antaranya menulis: … kanak-kanak disembelih, wanita mengandung dibelah perutnya, manakala kanak-kanak dan bayi dibunuh dan dibuang ke dalam tong-tong sampah.

Mayat bergelimpangan. Wanita dirogol dan dibunuh. Tidak tergambar KEAIBAN DAN KEZALIMAN DILAKUKAN JIKA DILIHAT PADA keadaan mayat mereka yang begitu menyayatkan.

Ariel Sharon kemudian dipilih menjadi Perdana Menteri Israel dan yang aneh serta kelakarnya ialah, pada 2005, Presiden Bush menyifatkan manusia terkejam ini sebagai “tokoh kedamaian.”

Setahun kemudian, Allah swt melumpuhkan Ariel Sharon apabila dia diserang angin ahmar yang serius. "Semoga kelumpuhan yang ditanggungi dan dideritai sampai mati itu akan mendamai abadikan hatinya" sebagaimana derita ditanggung umat Islam di Shabra dan Shatila hasil kezalimannya. end/ii

Friday, 9 January 2009

Dinasti Ming adalah Dinasti Islam?


Salam Sejarah buat semua. Kali ini kita akan melihat beberapa catatan para sejarawan tentang kebenaran bahawa sekian banyak dinasti di China, Dinasti Ming telah dikenalpasti sebagai sebuah Dinasti Islam. Adakah ia benar?

Sejarah keIslaman Dinasti Ming ini amat jarang sekali disentuh oleh para orientalis yang mengkajinya mahupun dalam kalangan sejarawan-sejarawan China yang bukan Islam.

Misalnya dalam buku 'The Cambridge History of China' tidak ada langsung menyebut peranan orang Islam dalam menegakkan kerajaan itu, bahkan peristiwa kebangkitan kumpulan Islam seperti Kebangkitan Serban Merah hanya dikaitkan dengan pengikut agama Buddha sahaja.

Dalam bukunya 'Sejarah Islam di China, Jing Chee Tang telah memberikan beberapa alasan yang jelas menunjukkan bahawa Chu Yuan Chang, pengasas kerajaan Ming itu ialah seorang Islam. Ibrahim T.Y.Ma juga telah membuktikan perkara yang sama.

Yusuf Chang dalam sebuah artikelnya menyatakan bahawa Chu Yuan Chang (baginda menggunakan gelaran Maharaja Hung Wu) seorang Islam dari keturunan Semu (semitik) yang telah datang ke China dalam zaman Yuan. Seorang lagi sejarawan China seperti Muhammad Pai Shou Yi juga menyatakan bahawa selain Chu Yuan Chang, permaisurinya iaitu Ratu Ma Hou jelas beragama Islam kerana baginda berasal daripada keluarga Ma di An Hui.

Dikisahkan juga setelah menawan Nanking, Chu Yuan Chang telah mendirikan sebuah masjid jami'. Masjid ini dinamakan Masjid Chin Juieh yang bermaksud 'Pencerahan Murni'. Bahkan baginda sendiri telah menulis sebuah sajak untuk diabadikan pada dinding masjid yang dibinanya itu. (Ibrahim T.Y.Ma, 1979:126)

Ibrahim Tien Ying Ma, bekas mufti Peking (Beijing) dan salah seorang pegawai Republik China sebelum China jatuh ke tangan Komunis pada tahun 1949, telah menyatakan bahawa Dinasti Ming itu memang sebuah kerajaan Islam.

Beliau menjelaskan bahawa 'Ming' bermaksud 'gilang-gemilang atau terang-benderang'. Perkara ini mengingatkan kita kepada tindakan Rasulullah Saw ketika mula-mula sampai ke Yathrib pada tahun 622M. Baginda telah menukarkan nama kota itu kepada Madinah al-Munawarah atau 'Kota yang gilang-gemilang dan bercahaya'. Perkara ini bukanlah satu kebetulan. Ia memang disengajakan kerana pengasas kerajaan Ming adalah seorang Islam (1979:134).

Sumber:
1) Ma, Ibrahim T.Y., Perkembangan Islam di Tiongkok, Bulan Bintang, Jakarta, 1979.
2) Chang, Yusuf, 'The Ming Empire: Patron of Islam in China and Southeast and West Asia', dlm. JMBRAS, Jilid 61, Bahagian 2, 1988.
3) Mote, F.W., Twitchett, D., (ed), The Cambridge History of China, Jilid 7, Cambridge University Press, Cambridge, 1988.

Khutbah Jumaat - Tangisan Gaza

PROTES... Kanak-kanak Palestin mengadakan perarakan membantah di Ramallah
terhadap kekejaman Israel di Gaza.

Khutbah Jumaat seragam seluruh negara pada 9/1/09, tekan lima perkara :

PETALING JAYA: Semua masjid di seluruh negara hari ini menggunakan teks khutbah Jumaat yang seragam yang antara lain menekankan lima perkara bagi membela nasib rakyat Palestin daripada kekejaman Israel.

Antara lima perkara tersebut adalah menyalurkan bantuan kewangan melalui badan-badan diiktiraf kerajaan, memboikot dan memulau perkhidmatan Israel, menghentikan dan mengelak daripada terus menggunakan wang dolar dalam sebarang urusan perniagaan.

Selain itu, khutbah itu juga meminta umat Islam menginsafi akan bahaya perpecahan kepada umah dan memastikan penjenayah perang Gaza di bawa ke muka pengadilan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika dihubungi mStar Online berkata, masjid-masjid di seluruh negara juga akan mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat negara itu yang kini menderita akibat pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza.

"Mesyuarat kabinet Rabu lalu telah memutuskan supaya solat hajat diadakan selepas solat Jumaat di seluruh negara pada hari ini bagi mendoakan saudara-saudara kita di Palestin dan kita telah memaklumkannya kepada jabatan agama di semua negeri.

"Selain itu, khutbah Jumaat yang akan dibacakan pada hari ini juga adalah seragam yang dikeluarkan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) yang menyeru seluruh umat Islam negara ini membela nasib rakyat Palestin," katanya.

Zahid berkata, solat hajat yang akan diadakan juga akan disertai dengan bacaan qunut nazilah.

Beliau berkata, serentak dengan itu juga, kutipan derma akan dijalankan setiap Jumaat selama tiga minggu berturut-turut bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin.

Sila klik di sini untuk mendapatkan teks penuh khutbah Jumaat bertajuk 'Tangisan Gaza'

Monday, 5 January 2009

Syeikh Mohd Idris Abdul Rauf Al-Marbawi


Syeikh Mohd Idris bin Abdul Rauf Al-Marbawi seorang ulama besar yang tidak asing di Nusantara, di Timur Tengah terutamanya di Mesir dan Makkah. Apa yang menarik mengenai ulama ini ialah perkaitan tempat kelahirannya dengan perkembangan dirinya sesudah itu. Beliau dilahirkan di Makkahtul-Mukarramah pada 28 Zulkaedah 113 H, bersamaan 1893 M. Pada tahun 1913 beliau pulang ke tanahair bersama keluarganya. Ketika berusia 10 tahun, beliau mampu menghafaz 10 juzuk al-Quran di samping beberapa kitab lain.

Syeikh Mohd Idris memasuki Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. Pendidikan awal yang diperolehi seterusnya ialah di Sekolah Pondok Seikh Wan Muhammad di bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak; Pondok Tuan Husain Al-Mas’udi Kedah; Pondok Syeikh Ahmad Fatani, Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan.

Berasaskan kepada pendidikan yang diterima beliau merupakan seorang pemburu ilmu agama yang serius. Hampir semua pondok dimana beliau pernah menuntut ilmu merupakan tempat tumpuan pelajar agama dari seluruh pelosok Nusantara. Sesudah memperolehi pelbagai ilmu dan pengetahuan di merata tempat, barulah Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi bertugas sebagai guru agama di negeri Perak.

Pada tahun 1924, Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi mengambil keputusan melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir dan berjaya mendapat ijazah ‘Aliayah. Ketika di universiti itu, beliau menyusun kamus Arab-Melayu yang pertama bagi kegunaan orang Melayu yang ingin mempelajari bahasa al-Quran (Bahasa Arab).Kamus yang tebal itu dinamakan Kamus Al-Marbawi diterbitkan pada tahun 1920-an.

Sehingga sekarang, kamus itu sudah diulang cetak tidak kurang daripada 24 kali. Kamus Al-Marbawi ini digunakan secara meluas oleh penuntut-penuntut di Pengajian Islam di Nusantara. Kamus ini dilengkapi dengan ilustrasi bagi memudahkan keterangan dan penjelasan mengenai seuatu istilah Arab dan masih belum ada lagi kamus Melayu-Arab yang dapat mengatasi Kamus Al-Marbawi sehingga kini. Bermula dengan karya pertamanya itu Kamus Al-Marbawi, Syeikh Mohd idris mula menerokai bidang penulisan secara lebih serius dan menghasilkan banyak hasil karya agama.

Antara kitab hasil karya beliau ialah Kitab Bahrul Mazi yang membicarakan 8200 permasalahan agama dan hal ehwal dunia akhirat. Kitab yang dalam tuliasan Jawi itu diterbitkan dalam 22 jilid, iaitu terjemahan dan ulasan lengkap daripada sebuah kitab Arab. Kitab itu dikatakan sebagai satu daripada kitab hadis yang terawal di negara ini.

Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi juga telah menghasilkan beberapa tafsir al-Quran dalam Bahasa Melayu. Antaranya ialah Tafsir Quran Marbawi, Tafsir Quran Nurul-Yaqin dan Tafsir Surah Yasin. Di samping itu, beliau menghasilkan sebuah lagi kitab berbentuk kamus aneka (Ensiklopedia), lengkap dengan keterangan bergambar. Kamus aneka itu diterbitkan dalam empat jilid. Beberapa karyanya yang lain ialah Tafsir Fathul Qadir, Kitab Bulughul Maram, Kitab Jami'ul Ulam, Usul Al-Islam, Nizamul Hayah, Mu’jam Al-Ka’inat (4 jilid) dan beberapa buah kitab lagi.

Berasaskan jasa beliau, pelbagai institusi termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kerajaan Malaysia, memberikan penghormatan tertinggi kepada Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi dengan mengisytiharkan beliau sebagai tokoh ulama negara terulung. Pada 5 Julai 1980, UKM menganugerahkan ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi. Anugerah berkenaan dikurniakan oleh Canselor universiti itu, Tunku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman sempena konvokesyennya. Pada waktu itu, beliau berusia 86 tahun dan dicatatkan sebagai ulama yang sudah menghasilkan 21 buah karya Islam dalam pelbagai aspek.

Manakala pada 1 Muharram 1408 H, bersamaan 1987 M, Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah yang pertama pada usia 95 tahun, dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM40,000 serta sebuah pingat dan sijil. Hadiah itu telah disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa sambutan Maal Hijrah di Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Masjid Tengkera

Masjid ini merupakan masjid lama yang terletak di Jalan Tengkera yang berdekatan dekat Jalan Gajah Berang. Masjid ini telah dibina pada tahun 1728 dan merupakan masjid bersejarah pertama kerana dibina pada zaman pemerintahan Belanda. Masjid ini juga merupakan masjid kedua tertua di Melaka selepas Masjid Peringgit.

Bangunan masjid ini bersegi empat dan ditutup oleh bumbung berlapis tiga. Bentuk seni bina masjid ini hampir menyerupai Masjid Kampung Laut di Kelantan dan Masjid Demak di Pulau Jawa, Indonesia. Perkara yang ganjil tentang masjid ini ialah terdapat sebuah menara yang mempunyai seni bina yang sama dengan pagoda. Menaranya diperbuat daripada batu dan reka bentuknya jelas memperlihatkan kombinasi seni bina Cina dan India.

Pada asalnya, Masjid Tengkera ini diperbuat daripada kayu dengan atapnya daripada daun nipah dan tiangnya daripada kayu berlian atau ulin yang diimport dari Kalimantan, Sumatera. Masjid ini telah diperbaharui beberapa kali iaitu pada tahun 1890 dan 1910.

Di dalam kawasan masjid ini terdapat makam Sultan Hussein Muhammad Shah dari Johor yang telah mengiktiraf perjanjian awal penyerahan Singapura kepada Sir Stamford Raffles dengan Temenggung Abdul Rahman pada 6 Februari 1819. Selepas penyerahan Singapura, baginda meninggalkan Singapura dan berpindah ke Melaka. Sultan Hussein Muhammad Shah mangkat pada 5 September 1835 dan dimakamkan di perkarangan masjid ini.


Sumber:
(a) Fauziah Abd. Ralip, (2002). Tanah Bersejarah. Selangor: Pustaka Cita Tinggi
(b) Mohamed Rosean Abdul Malek, (1998). Kesan Sejarah dan Tempat-Tempat Menarik Negeri Melada Bandar Raya Bersejarah. Petaling Jaya: Oscar Book International.
(c) Suraya, (1995). Melaka Bandaraya Bersejarah. Kuala Lumpur: Penerbitan Hartamas.
(d) Shahidah Sulaiman, (1997). Melaka Bandar Raya Bersejarah. Petaling Jaya: Penerbit Setiamas.