Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Friday, 30 July 2010

Selamat Hari Pahlawan

Hari Pahlawan merupakan satu hari khusus untuk memperingati jasa pahlawan-pahlawan mempertahankan tanah air di beberapa negara. Ia biasanya disambut sempena hari kelahiran seseorang pahlawan, atau hari kepahlawanannya.

Hari Pahlawan di Malaysia disambut setiap 31 Julai. Pelbagai acara diadakan sempena Hari Pahlawan ini bagi mengenang jasa semua pasukan keselamatan tidak kira tentera atau polis sebelum dan selepas Malaysia merdeka. Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Mulai tahun 2010 ini, kerajaan telah memutuskan lokasi sambutan Hari Pahlawan yang sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai akan dipindahkan ke Putrajaya, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pemindahan lokasi itu adalah sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bersama antara Kementerian Pertahanan dan Jabatan Perdana Menteri hari ini.

"Pada tahun ini kita akan adakan sambutan di satu tempat yang tertakluk kepada Perdana Menteri tetapi dataran tetap akan dibuat atas persetujuan bersama antara Kementerian Pertahanan, Polis Diraja Malaysia dan Jakim.

"Elemen-elemen perayaan kali ini akan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jakim dan disahkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Zahid berkata, perkara itu turut dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malah beliau meminta permbinaan dataran yang berkeluasan dua hingga tiga ekar itu disegerakan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata pihaknya akan menimbang cadangan bagi menjadikan dataran itu sebagai tempat perhimpunan yang menepati kehendak Majlis Fatwa Kebangsaan dan pada masa yang sama dapat memberi gambaran kepada masyarakat tentang pengorbanan dan jasa pahlawan negara.

Menurut laman portal Majlis Fatwa Malaysia (http://e-fatwa.intranetportal.my), telah diwartakan dua fatwa mengenai Hari Pahlawan iaitu amalan seperti tiupan "Last Post", bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan "Rouse" yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

Selain itu bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak.

Sumber: Bernama

Thursday, 29 July 2010

PUI Kembali Lagi...

Mulai tarikh 19 Julai, Program Ulangkaji Intensif (PUI) kembali lagi ke bumi SMIAAG sebagaimana lazim tahun-tahun sebelumnya.

Saban tahun, pelbagai agenda dirancang bagi mencapai tahap akademik terbaik dalam peperiksaan PMR dan SPM, tidak terkecuali subjek Sejarah.

Dengan silibus kebanyakan subjek telah berjaya ditamatkan, maka proses ulangkaji menjadi sesuatu yang agak agresif dalam gerak kerjanya.

Sesi pembentangan tajuk, latih tubi menjawab latihan topikal dan modul, perbincangan dalam kumpulan, bengkel menjawab, menjawab soalan pra/ pasca percubaan, sesi kaunseling dan klinik adalah sebahagian agenda penting yang mewarnai proses PUI pada setiap tahun.

Buat anak-anak didikku di Al-Amin, banyakkanlah bersabar menempuh badai 'ganas' PUI dengan tenang dan keyakinan yang tinggi kepada Allah Swt, kerana di akhirnya nanti bibit-bibit kejayaan menanti, demi sebuah kemenangan yang penuh gilang-gemilang. InsyaAllah.

Eksplorasi Sejarah Spm 2010

Pada hari khamis lalu bersamaan 22 Julai 2010, satu kumpulan terpilih 12 orang pelajar SMI Al-Amin telah mengikuti satu program bengkel menjawab Sejarah SPM anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Maktab Tentera diRaja (MTD).

Program yang lebih dikenali dengan Eksplorasi Sejarah SPM 2010 dikendalikan oleh dua orang pembentang yang cukup berpengalaman iaitu Guru Cemerlang (GC) Puan Masariah Mispari dan Cikgu Mahendran. Program diadakan sepenuhnya di Dewan Pendekar, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang bersebelahan dengan MTD.

Program yang berlangsung mulai jam 9.00 pagi sehingga jam 2.30 ptg itu sarat dengan pelbagai input berguna seperti analisis soalan, gaya belajar sejarah dan membuat nota efektif. Kaedah fasilitator 1+1 yang digunapakai dilihat banyak membantu dengan konsep 'teach other' menjadi landasan dominan membantu penguasaan pelajar dalam topik-topik penting.

Adalah diharap program ini dapat membantu mengukuhkan penguasaan Sejarah para palajar di samping meningkatkan pencapaian gred 'A' Sejarah Spm SMIAAG pada tahun ini. InsyaAllah.

Sunday, 25 July 2010

Rihlah Ibn Battutah: Ayam Betina Negeri China

"Ayam jantan dan betina di negeri China adalah sangat besar dan lebih besar daripada angsa di negeri kita, Maghribi. Begitu juga telur ayam betina mereka adalah lebih besar daripada telur angsa kita.

Walau bagaimanapun, angsa di negeri mereka tidaklah begitu besar. Kami telah membeli seekor ayam dan mahu memasaknya, tetapi dagingnya tidak muat untuk dimasukkan ke dalam sebiji periuk lalu kami memasukkannya ke dalam dua biji periuk.

Ayam jantan di negeri China adalah sebesar seekor burung kasuari. Adakalanya seekor ayam jantan akan tercabut bulunya dan yang tinggal hanyalah tubuhnya yang merah.

Ayam jantan China pertama yang kulihat adalah di kota Kaulam. Aku menyangka bahawa ayam tersebut ialah burung kasuari dan berasa takjub melihatnya. Akan tetapi pemiliknya memberitahuku, "Di negeri China, ada yang lebih besar daripada itu."

Apabila aku sampai di negeri China, aku mendapati bahawa apa dikatakan oleh pemilik ayam jantan tersebut adalah benar."

Sumber: Pengembaraan Ibn Battutah, terbitan IKIM. Halaman 745

Cipta Sejarah: Komputer Riba Termurah di Dunia

India berjaya menghasilkan komputer riba dengan teknologi skrin sentuh yang bakal dijual pada harga sekitar AS$35 (RM111) seunit.

Komputer riba itu dihasilkan melalui kerjasama Institut Teknologi India dan Institut Sains India untuk kegunaan mahasiswa bermula tahun hadapan, sebelum dijual kepada golongan murid dan pelajar.

Jurucakap Kementerian Pelajaran, Mamta Verma berkata, kerajaan juga bercadang memasang kemudahan jalur lebar di kesemua 22,000 kolej seluruh negara untuk memenuhi keperluan dan perkembangan semasa dunia pendidikan.

Antara aplikasi yang tersedia dalam komputer riba edisi khas ini adalah pelayar Internet dan kemudahan sidang video. Kos menghasilkan komputer riba berkenaan akan disubsidikan kerajaan supaya mampu dibeli pelajar dan mahasiswa.

"Usaha juga sedang diambil untuk mengurangkan kos pembuatan dengan cara menggunakan teknologi tempatan supaya komputer riba ini boleh dijual pada harga serendah AS$10 (RM32)," kata Menteri Pembangunan Sumber Manusia, Kapil Sibal semasa melancarkan komputer riba berkenaan di New Delhi pada 22 Julai lalu.