Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Saturday, 4 August 2012

Karya Pendeta Za'ba

Za'ba (Tan Sri, 1895-1973) ialah tokoh bahasa dan pemikir Melayu. Nama sebenarnya ialah Zainal Abidin bin Ahmad. Dia lahir pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Jempol, batu Kikir, Negeri Sembilan. Za'ba muncul sebagai cendekiawan Melayu yang dihormati sejak tahun 1920-an lagi. Sepanjang kerjayanya selama hampir 40 tahun, Za'ba bergiat secara aktif dalam bidang penulisan dan berbagai-bagai kegiatan sosial serta politik tanah air. Za'ba merupakan penulis rencana dan esei yang berbakat istimewa dan gigih, sama ada  dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Penulisannya yang begitu prolifik mencakupi bidang bahasa, sastera, agama, pendidikan, ekonomi dan politik. Beberapa buah buku penting tentang tatabahasa telah dihasilkannya yang digunakan di maktab dan institusi pengajian pada masa itu, bagi mengisi kekosongan yang wujud. Antara karyanya yang penting ialah Ilmu Bahasa Melayu (1926), Rahsia Ejaan  Jawi (1929), Pelita MengarangIlmu Mengarang Melayu (1934), Daftar Ejaan Melayu: Jawi-Rumi  (1938), dan tiga jilid dalam siri Pelita bahasa Melayu(1940, 1946 dan 1949).

Manuskrip Sejarah Melayu

Karya agung ini dihasilkan pada 1612 Masihi. Genre sastera sejarah ini mengisahkan salasilah dan keagungan raja-raja dan kerajaan Melayu Melaka dalam abad ke 14 hingga awal abad ke 16 daripada zaman permulaan kerajaan Melayu di Palembang sehingga perkembangan, kegemilangan dan kejatuhan Melaka serta kemunculan kerajaan Melayu Johor. Ia mengisahkan hubungan Melaka dengan raja China, dengan benua India (benua Keling), dengan Siam, Kemboja, negeri Arab dan seluruh kawasan Nusantara. Ia tercipta daripada titah raja.  Penulisnya Bendahara Paduka Raja Tun Seri Lanang, Bendahara Kerajaan Johor (Lama). Episod-episod yang dipaparkan dalam karya ini memberikan maklumat penting tentang keturunan raja-raja Melayu dan adat istiadatnya serta peristiwa-peristiwa bersejarah dalam perjalanan kerajaan Melayu Melaka dan tanah jajahannya.

Selangor Chinese Association Hall

Bangunan ini dibina hasil usaha seorang jutawan Kuala Lumpur iaitu Loke Yew yang telah menyumbang sebanyak $50 000 British Dollar untuk membina bangunan ini  pada tahun 1910. Anak kepada Loke Yew, Alan Loke juga telah menyumbangkan sebanyak $20 000 British Dollar. Dewan Perhimpunan Cina Selangor ini siap sepenuhnya pada tahun 1923 dengan Chong Yoke Choy dipilih sebagai presidennya yang pertama, sementara setiausahanya pula disandang oleh Choo Peng Kai.

Tujuan bangunan ini didirikan adalah sebagai pusat kebajikan kaum Cina di Malaysia terutama sekali di dalam sektor ekonomi dan budaya. Jalinan antara suku Hainan, Hokkien, Kantonese, Teochew yang ramai mendiami Kuala Lumpur pada masa itu dapat menyatukan kaum Cina ketika itu sebagai kaum minoriti di Tanah Melayu.

Bangunan ini telah mencatatkan sejarah terpenting negara kerana telah menjadi tempat pertemuan yang paling penting dan bersejarah antara parti UMNO yang mewakili kaum Melayu dan parti MCA yang mewakili kaum Cina untuk perbincangan pembentukan Parti Perikatan pada 1952  yang merupakan parti terbesar negara sehingga mempelopori kemerdekaan negara. 

Kini bangunan ini dikenali sebagai Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor. Ia telah diistiharkan sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan pada tahun 2007. Jabatan Warisan Negara telah memperuntukkan sejumlah RM500,000.00 untuk kerja-kerja pemuliharaan bangunan ini pada tahun 2008.

Penyelidikan & Ekskavasi Tembok Kota Melaka, Bandar Hilir, Melaka


Kota Melaka Purba telah wujud sejak abad ke-15 masehi lagi di bawah institusi kesultanan Melayu Melaka yang diasaskan oleh Parameswara. Percaturan politik, ekonomi, sosial dan keagamaan menjadikan kota ini semakin maju malah berkembang sebagai sebuah pelabuhan 'entrepot' tersohor ketika itu. Implikasinya ialah berlaku konflik bersenjata secara besar-besaran antara kuasa timur dan Eropah.

Serangan dan penaklukan oleh armada Portugis yang dipimpin oleh Alfonso d' Albuquerque dalam tahun 1511 membuka lembaran baru era penjajahan asing di Melaka. Penaklukan ke atas laluan pedagangan utama ini kemudiannya saling berganti diikuti Belanda dan Inggeris. Portugis dan Belanda telah meninggalkan arkitek tembok Kota Melaka tetapi Inggeris telah memusnahkannya.

Tinggalan penjajahan yang dapat dilihat hingga kini seperti tembok Kota Melaka, bangunan kediaman dan pentadbiran, gereja dan sebagainya merupakan bentuk arkitek eropah. Adalah menjadi tanggungjawab sebagaimana yang tercatat dalam fungsi dan peranan Jabatan Warisan Negara untuk memulihara dan memelihara Warisan Negara ini.

Penyelidikan ekskavasi arkeologi penyelamatan tembok Kota Melaka Sektor I yang telah dilaksanakan pada November 2006 hingga September 2007 telah berjaya membongkarkan dan mendedahkan struktur tembok. Pembinaan semula Bastion Middelburg telah dimulai pada penghujung 2007 dan telah siap pada akhir tahun 2008. Kegemilangan Kota Melaka sebagai elemen pertahanan perlu dibuktikan secara fizikal untuk tatapan generasi kini dan masa hadapan.

Objektif utama penyelidikan adalah untuk mendedahkan struktur dan jajaran tembok Kota Melaka dan seterusnya mendokumenkan sejarah kegemilangan Kota Melaka.

Oleh yang demikian penyelidikan ini boleh dijustifikasikan sebagai satu usaha yang berkesinambungan dalam rangka kerja mengembalikan kegemilangan sejarah Negara kepada zaman Melaka sewaktu ia dikenali sebagai pelabuhan antara tersibuk di dunia melalui penyelidikan ekskavasi arkeologi.

Dengan cara ini kita dapat menyelamat warisan negara melalui penyelidikan ekskavasi bagi mendedah, memulihara dan memelihara tembok Kota Melaka sekaligus menggumpulkan bukti-bukti penting warisan tersebut.

 
Pelan Kota Melaka 1744 berdasarkan sumber Belanda
 
Gambaran kedudukan Kubu Pertahanan Tembok Kota Melaka berdasarkan pelan lama bandar MelakaPembahagian empat sektor ditentukan bagi tujuan penyelidikan dan cadangan pembangunan semula yang boleh dilaksanakan berdasarkan bukti arkeologi

Pembinaan Semula Bastion Middleburg

Struktur Bastion Middelburg selepas ekskavasiBastion Middelburg yang telah siap dibina semula berdasarkan jumpaan arkeologi dan laporan awal melalui sumber Portugis dan Belanda
 
Bastion Middelburg pandangan dari arah Sungai MelakaKedududan tapak Bastion Frederick Hendrick hanya dibatasi dengan Jalan Quayside berhadapan Bastion Middelburg

Glimpses of Our Merdeka


                    Glimpses of Our Merdeka
Penerbit : Persatuan Sejarah Malaysia
Editor : Dato’ Nik Mohamed Nik Mohd Salleh
Harga senaskah : RM25.00

Buku ini mengandungi 14 artikel dan esei berkenaan kemerdekaan Malaysia.Artikel-artikel dan esei yang ditulis memperlihatkan perjuangan panjang dan sukar untuk mencapai kemerdekaan negara pada tahun 1957.Penulisan artikel-artikel dan esei ini mungkin ringkas tetapi mampu mendedahkan pengalaman yang dilalui juga mengingati kenangan saat-saat yang bersejarah.

Pertandingan Menulis Esei Sejarah Malaysia 2012


Pertandingan saban tahun ini mempelawa pelbagai golongan dalam meningkatkan hasil karya dan bahan penyelidikan ilmiah berkaitan sejarah dan warisan yang terdapat di negara kita.


Terbahagi kepada 4 kategori penyertaan iaitu; menengah rendah, menengah atas, tingkatan 6/matrikulasi dan kategori universiti dan orang awam.


Hadiah wang tunai yang agak lumayan disediakan kepada para pemenang dan penerima hadiah sagu hati.


Tarikh tutup pertandingan adalah pada 29hb Oktober 2012.
Untuk mengetahui butiran lanjut pertandingan ini, sila klik di sini.

Wednesday, 1 August 2012

Kekuatan Mental Positif


APAKAH agaknya yang sedang anda fikirkan. Jika anda fikir tentang keletihan maka sudah tentu anda akan terus berehat atau tidur. Jika anda fikirkan tentang lapar anda akan terus meluru ke dapur untuk mendapatkan makanan. Jika anda fikir tentang kejayaan yang akan diperoleh, sudah tentu anda akan lebih bersemangat untuk belajar tanpa apa-apa halangan.
Begitulah tindakan kita yang kebiasaannya dipengaruhi oleh fikiran. Samuel A. Cypert, (2002)  dalam bukunya “17 Prinsip Kejayaan”  telah meletakkan sikap mental positif sebagai urutan yang pertama dalam prinsip menuju kejayaan.
Prinsip ini merupakan suatu proses yang boleh membuat diri anda berubah kepada sesuatu yang lebih baik.  Perubahan ini hanya boleh dilakukan oleh anda sendiri kerana sikap anda dikuasai oleh anda sendiri.  Orang lain hanya boleh membantu dan membimbing anda tetapi andalah orangnya yang dapat mengendalikan fikiran anda sama ada menerima yang baik atau yang jahat.
Sikap mental positif mengikut Samuel,2002 merupakan suatu usaha secara sedar untuk mengganti fikiran-fikiran lain yang negatif yang mampu merosak diri anda sendiri kerana ia hanyalah untuk tujuan melayani nafsu semata-mata. 
Sebagai contoh fikiran yang tertumpu untuk melakukan kejahatan seperti mencuri dan menipu akan terhasil untuk memenuhi kehendak dalaman yang penuh dengan sifat kesyaitanan.  Setelah kehendak dalaman dipenuhi maka dalam keadaan tertentu barulah timbul rasa kekesalan yang mungkin tidak berguna lagi kerana nasi telah menjadi bubur.
Dalam hal ini kekuatan mental perlu diperkasa dengan memasukkan unsur-unsur positif. Ia memerlukan latihan dan kesabaran dalam proses  membuat perubahan. Kawalan diri merupakan mekanisme yang paling utama untuk menangani segala bentuk gejala fikiran negatif.
Diri boleh dikawal dengan cara melambatkan tindakan yang bercorak negatif itu.  Hal ini  bertujuan  memberi ruang dan peluang bagi diri anda untuk berfikir dan membuat pertimbangan sebelum sesuatu keputusan diambil.  
Misalnya, jika anda terniat untuk ponteng kelas, jangan terus ponteng tetapi fikir dahulu risikonya seperti kesan terhadap pelajaran, kesan terhadap imej diri, kesan terhadap nama baik ibu bapa dan seturusnya kesan terhadap masa depan anda. 
Insyaallah jika anda berfikir masak-masak anda akan membuat pilihan yang tepat yang akan menguntungkan diri sendiri.

Mari Belajar Cara Belajar Yang Betul

Pelajar yang mengamalkan cara belajar yang betul akan lebih mudah mencapai kejayaan berbanding dengan pelajar yang belajar tanpa mengikut tatacara yang bersistem. Berikut ini disenaraikan dua puluh kaedah belajar yang berkesan untuk membantu pelajar berhadapan dunia peperiksaan.

Pertama  - Tidak mensia-siakan biar pun seminit

Seorang pelajar yang cemerlang menggunakan masa yang teruang, masa pertukaran kelas, masa menunggu kereta sewa, masa sebelum hidangan makanan.  Mereka boleh membaca satu atau dua soalan objektif atau ulangkaji pelajaran yang telah mereka baca.

Kedua  - Membawa buku ke mana sahaja mereka pergi

Amalkan sikap membawa buku setiap ketika.  Sikap ini bukan bermaksud kita mesti membaca buku tersebut.  Kemungkinan diri anda tidak membaca apa-apa , tetapi ia memupuk jiwa bersungguh-sungguh dengan kewajipan terhadap pelajaran.  Sikap ini membolehkan anda menyemai budaya belajar yang positif dan sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran.

Ketiga  - Gunakan masa awal pagi

Gunakan sepenuhnya masa awal pagi untuk mengulangkaji pelajaran yang anda lemah. Pupukan semangat belajar pada awal pagi biar pun anda tidak terasa mahu membaca.  Usaha ini akan menyemai semangat yang kental terhadap pelajaran dan membolehkan anda mulakan hari tersebut dengan azam untuk berjaya.




Keempat  - Buat nota ringkas
Pelajar yang cemerlang sentiasa membuat nota ringkas.  Nota tersebut adalah untuk membolehkan anda merujuk kembali apa yang telah anda baca.  Ia tidak menjamin ingatan anda tetapi ia meningkatkan kuasa ingatan anda.  Dengan adanya nota ringkas, ulangkaji sehari sebelum peperiksaan menjadi lebih mudah.

Kelima  - Mengikut jadual sepenuhnya

Aturkan masa untuk setiap aktiviti yang anda hendak lakukan pada hari tersebut.  Patuhi jadual belajar anda tanpa syarat.  Jangan ikut perasaan.  Biar pun anda tidak suka belajar pada sesuatu masa, buka sahaj buku dan membacanya.  Jika anda mempunyai disiplin yang kuat terhadap hidup, anda tidak akan lalai terhadap tanggung-jawab belajar.  Pastikan anda peruntukkan masa untuk setiap mata pelajaran pada setiap hari jika anda mahu mencapai kegemilangan dalam semua mata pelajaran.

Keenam  - Mencuba soalan tahun lalu

Pelajar cemerlang memperuntukkan masa untuk menjawa contoh soalan setiap hari.  Ini akan membiasakan dirinya dengan corak soalan yang sering keluar dalam peperiksaan dan bagaimana menjawabnya. Pelajar yang hanya begitu kepada buku teks tidak akan lulus dengan cemerlang kerana mereka tidak biasa dengan corak soalan peperiksaan.

Ketujuh - Ulang sebanyak kali yang boleh

Setiap fakta yang dibaca akan terus diulang sebanyak yang mampu.  Tidak ada had ulangan yang akn dilakukan, Selagi ada masa, anda boleh mengulangi apa yang telah dibaca biar pun anda sudah faham atau sudah mengingatinya.  Semakin banyak anda membaca, semakin tinggi keyakinan diri anda untuk lulus dengan cemerlang.

Kelapan  - Sentiasa menanya kalau tidak faham

Dekatkan diri dengan guru dan guna setiap kesempatan yang ada untuk menjawab kemusykilan anda.  Biar pun anda sudah faham , anda masih boleh menanya.  Ini akan menguatkan kefahaman dan ingatan anda.  Anggapkan guru anda, kakak atau abang anda, kawan-kawan anda sebagai orang yang boleh membantu anda dalam hal ini.

Kesembilan : Berikan penumpuan pada pelajaran yang lemah

Jika anda lemah dalam bahasa Inggeris atau matematik, peruntukkan masa yang lebih untuk ulangkaji.  Elakkan memilih mata pelajaran yang disukai dan abaikan mata pelajaran yang anda kurang suka. Buat tanda pada bahagian yang anda rasa perlu penumpuan lebih. Gunakan simbol dan lorekkan bahagian yang anda anggap penting. Jangan jadikan tidak faham, tidak ingat atau  tidak pandai sebagai alasan untuk berhenti ulangkaji.

Ke sepuluh : Mengunjungi perpustakaan

Rapatkan dengan kawan yang mahu belajar.  Perhatikan bagaimana mereka belajar dan semarakkan jiwa yang kuat seperti mereka.  Tukar pendapat antara satu sama lain.  Berikan penemuan dan berkongsi soalan yang anda buat dengan mereka. Ini akan mengaktifan suasana tolong menolong dalam haluan memajukan pelajaran masing-masing.

Ke sebelas : Menjadi model dalam rumah

Jadikan diri anda sebagai contoh kepada adik-adik lain.  Beritahu mereka “Jangan membuang masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak menyumbang kepada masa depan.” Semakin anda memberi galakan untuk mereka , semakin tinggi semangat anda untuk menjadi contoh kepada mereka.  Apa yang anda serukan akan menjadi panduan dalam hidup anda sendiri.

Ke dua belas : Imbangkan masa kokorikulum dan akademik

Jika anda berada dalam tahun peperiksaan , jangan terlalu menumpukan perhatian pada kokorikulum kerana ini akan melalaikan diri dalam bidang akademik.  Jika anda mahu berjaya dalam akademik, anda perlu mempunyai masa ulangkaji yang cukup di rumah.  Masa ulangkaji untuk SPM ialah dalam lingkungan 5 jam ke  6 jam sehari. Jika masa minima tersebut tidak dipenuhi, anda mungkin perlu berjaga malam atau bangun pagi.

Ke tiga belas : Belajar mengikut rentak sendiri

Jangan membandingkan diri dengan pelajar yang mantap dalam prestasi peperiksaan.  Anda perlu mebgenal rentak sendiri dan pastikan anda mematuhi rentak tersebut.  Jika anda seorang pelupa, pastikan anda mengatur masa ulangkaji kedua atau ketiga pada minggu-minggu yang akan datang.  Jika anda perlukan bimbingan tambahan , dapatkan tuisyen. 

Ke empat belas : Persiapan minda sebelum ulangkaji

Lelapkan mata untuk beberapa minit dan wawasankan hidup anda kelak.  Apa yang anda hendak capai.  Apakah corak hidup yang anda hajatkan.  Apakah yang hendak anda berikan kepada ahli keluarga serta ibu bapa anda sebagai tanda kasih sayang dan terima kasih.  Adakah anda berhajat hendak mengharumkan nama keluarga dan negara anda ? Apakah kejayaan peringkat remaja yang membanggakan diri anda dan keluarga anda?  Bila anda membaca buku, kaitkan dengan hidup anda.  Anda bukan sekadar mahu lulus cemerlang dalam peperiksaan , anda mahukan hidup yang baik dan berkualiti.

Ke lima belas : Elakkan gangguan emosi

Semua perkara yang merunsingkan dan mengganggu konsentrasi waktu belajar perlu diketepikan.  Beritahu diri anda , “saya tidak relakan masa depan saya tergadai oleh okr yang remeh-temeh ini.” Sebaik pemikiran atau perasaan negatif timbul, tuliskan pada kertas .  Layankan semua gangguan ini selepas peperiksaan.  Anda boleh gunakan musik latar yang lembut untuk menjadikan suasana belajar lebih menyelerakan (jika sesuai).

Ke enam belas : Kurangkan kerja rumah tangga

Jika anda pada tahun peperiksaan , maklumkan hajat anda untuk berjaya  dan minta adik-adik anda menolong anda dalam beberapa aspek kerja rumah tangga.  Amalkan sikap tolong menolong dalam keluarga.  Bila masanya mereka yang menduduki peperiksaan SPM, sama-sama menolong dirinya.  Budaya berkongsi beban kerja rumah tangga seperti mencuci kasut, menyapu lantai dan lain-lain akan memberi lebih masa untuk anda belajar.

Ke tujuh belas : Rancangkan jadual ulangkaji setahun

Tetapkan ulangkaji anda sehingga bulan September.  Sebulan sebelum peperiksaan , anda perlu siap ulangkaji. Pastikan setiap mukasurat dibaca, dan setiap soalan dijawab.  Ini boleh dilakukan dengan membahagikan bilangan mukasurat buku dengan bilangan hari yang ada. Jika  anda gagal mengulangkaji mukasurat berkenaan pada hari yang ditetapkanm pangkahkan dengan besar menggunakan pensil.  Pastikan anda membaca mukasurat ini sebelum peperiksaan tiba.  Tapi, sebelum anda membaca mukasurat yang terhutang, pastikan anda telah siap ulangkaji mukasurat yang ditetapkan untuk hari tersebut.

Ke lapan belas : Belajar menyesuikan diri dengan semua keadaan

Biar pun rumah anda bising, panas atau kurang selesa; ia tidak menjadi penghalang untuk anda mengulangkaji.  Kadang-kadang , kita perlu belajar menyesuikan diri dengan kekurangan yang ada.  Semakin mencabar keadaan anda , semakin besar ujian ketahanan diri anda.  Beritahu diri anda , “biar apa yang berlaku, saya tetap dapat menjalankan tugas saya kerana saya seorang yang tahan lasak.”

Ke sembilan belas : Berhati-hati dengan kawan yang tidak sehaluan dengan anda

Jika anda mahu belajar tetapi rakan-rakan anda tidak suka belajar.  Mereka cuba mempengaruhi anda dengan seribu satu jenis kegiatan yang hanya membuangkan masa anda.  Berani berkata “tidak” dan menolak mereka dengan lembut.  Jangan sekali-kali menjadi mangsa kepada mereka kononnya anda tidak mahu melukakan hati mereka.  Jika anda mengikut rentak mereka, anda akan melukakan masa depan sendiri.

Ke dua puluh : Terus belajar biar pun tidak menampakkan kemajuan

Jangan mengukur prestasi anda kerana tidak menampakkan kemajuan yang nyata dalam keputusan peperiksaan sekolah.  Setelah berbulan-bulan anda bertungkus-lumus, anda mungkin mahu kemajuan dalam keputusan sekolah.  Sebenarnya, penilaian sekolah tidak menggambarkan anda pasti akan lulus atau gagal dalam peperiksaan akhir tahun. Teruskan usaha dan jangan berhenti. 

Ke dua puluh satu : Terokai bakat dan minat anda

Sambil anda berjuang untuk peperiksaan SPM, peruntukkan masa juga untuk bidang yang anda hendak ceburi.  Mungkin anda minat dengan bidang kedoktoran, baca majalah dan bahan rujukan am yang berkaitan dengan cita-cita anda tersebut.  Gunakan bakat anda untuk berbakti kepada keluarga atau sekolah anda.  Jika anda minat dalam bidang kejuruteraan, peruntukkan masa untuk belajar membaiki kereta atau anda juga boleh menolong kawan anda membaiki kereta mereka.  Kegiatan sedemikian menjadikan makna pembelajaran lebih nyata.  Anda tahu mengapa anda belajar kerana anda mempunyai hala tujuan yang nyata.

Kesimpulan

Belajar adalah suatu seni.  Jika anda tahu menguasai seni tersebut , anda boleh berjaya biar pun diri anda mempunyai beberapa kekurangan.  Semoga lembaran ini menguatkan ikhtizam anda untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam pelajaran.

Cita-cita Penggerak Usaha

KEBIASAANNYA apabila anda ditanya tentang cita-cita anda, jawapannya mungkin dirujukkan pada sesuatu kerjaya yang memberi faedah, berjawatan tinggi serta menarik minat anda. Terdapat juga segelintir murid yang tidak memberi apa-apa jawapan ataupun sekadar mengatakan “tidak tahu”.

Pada golongan ini mereka menganggapkan cita-cita itu mungkin terlalu jauh untuk dicapai ataupun masih tidak dapat menentukan apakah cita-cita yang sebenarnya yang perlu dimiliki.

Sebenarnya cita-cita itu ialah sebahagian daripada matlamat dalam kehidupan. Walaupun seseorang itu tidak dapat menjangka apakah yang akan terjadi pada kehidupannya dalam masa sepuluh atau dua puluh tahun yang akan datang, tetapi sekurang-kurangnya mampu membentuk satu gambaran di hati dan di mindanya di peringkat awalan. Gambaran inilah yang menjadi penyuluh serta menyinari kehidupannya pada masa akan datang.

Dalam erti kata yang lain, cita-cita yang tertanam di jiwa murid-murid mampu memberi bimbingan dan panduan hidup dalam proses penentuan ke arah mencapai kejayaan. Mereka yang tidak mempunyai cita-cita boleh dianggapkan sebagai satu perjalanan di waktu malam tanpa sinaran cahaya yang mungkin terpaksa menanggung risiko di sepanjang perjalananya.

Apakah setiap cita-cita itu akan tercapai? Ramai juga murid-murid yang berkata, “Buat apa saya bercita-cita, ia tidak semestinya tercapai”! Memang betul setiap cita-cita itu tidak semestinya berjaya, dicapai tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi daya penggerak untuk berusaha. 

Sebagai contoh anda mungkin bercita-cita untuk menjadi doktor perubatan iaitu satu bentuk cita-cita yang memerlukan usaha yang gigih serta komitmen yang sepenuhnya dalam memberi tumpuan ke arah pembelajaran. 

Dalam hal ini cita-cita yang begitu tinggi yang anda telah letakkan pada diri anda akan menyebabkan anda mampu mendisplinkan diri untuk belajar tanpa dipaksa. Walaupun anda gagal untuk menjadi doktor perubatan tetapi pastinya anda akan beroleh kejayaan lain yang setimpal dengan usaha yang anda lakukan.

Ini menunjukkan bahawa setiap cita-cita itu akan menjadi daya penggerak kepada diri anda untuk terus belajar serta mampu menghadapi cabaran demi mengejar cita-cita tersebut.  

sebaliknya jika anda tidak mempunyai sebarang cita-cita atau hanya sekadar bercita-cita untuk mendapat bidang pekerjaan yang rendah dan mudah, maka usaha anda juga tidak dimaksimumkan, justeru kemungkinan besar anda akan berakhir dengan kegagalan.

Bentukkan satu gambaran cita-cita yang mampu menggerak daya usaha anda sekarang. Pastinya kehidupan anda akan lebih terkawal dan diri anda lebih bermotivasi untuk belajar demi mencapai kejayaan.