Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Monday, 27 April 2009

Ujian dan Dugaan

Salam Sejarah buat semua pengunjung dan anak-anak murid yang ustaz kasihi lagi diingati. Apa khabar kalian semua? Moga sentiasa sihat dan ceria hendaknya la yer :)

Lama sungguh rasanya tak mengemaskini weblog ini. Lebih kurang seminggu lebih lamanya. Ini disebabkan masalah pada sistem internet yang ustaz terpaksa lalui dengan pasrah.

Selain itu, sedikit sebanyak kesibukan yang tidak berpenghujung, malah bersilih ganti pada minggu lepas dari bermulanya latihan bola tampar sekolah, Majlis Takrim 2008, bengkel menjawab Sejarah SPM dan yang paling mencabar adalah menanda kertas ujian bulanan yang memerlukan keazaman dan disiplin diri yang cukup tinggi.

Rasanya masih belum terlambat lagi untuk ustaz mengucapkan TAHNIAH buat anak-anak SMIAAG yang naik ke pentas bagi menerima anugerah masing-masing. Tahniah juga buat semua rakan guru yang bertungkus lumus menjadikan hari tersebut sangat istimewa. Persembahan pelajar juga hebat dan penuh keunikan tersendiri. Percayalah bahawa kalian semua telah mengukir kejayaan SEJARAH cemerlang pada hari tersebut.

Bagi anak-anak murid yang kurang berjaya..berusahalah kerana kalian punya potensi besar untuk terus mencipta kecemerlangan pada masa depan. Moga kita bertemu pula dalam Majlis Takrim 2009 kelak.

Ayat-ayat Cinta:
Bersabarlah menerima segala ujian dan dugaan Allah Swt dengan penuh pasrah dan keimanan yang tinggi kpd-Nya, kerana itu bermakna DIA sangat sayang kepada anda.

Hari Ini Dalam Sejarah: Kembali Dari Congo


Pada tarikh hari ini iaitu bersamaan 28 April tahun 1963, kumpulan terakhir tentera Malaya yang bertugas di Congo selamat pulang ke tanah air.

Mereka terdiri daripada 28 pegawai dan 718 perajurit, disambut meriah di Port Swettenham (kini Pelabuhan Klang).

Penghantaran tentera ke Congo adalah untuk mengawal kekacauan yang timbul akibat perang saudara di bumi Congo. Negara Congo kini lebih dikenali dengan nama Zaire.

Misi pengaman di Congo ini merupakan penglibatan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang pertama di bawah Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. United Nations Operations In Congo atau lebih dikenali sebagai UNOC melibatkan 3,000 anggota Tentera Darat Malaysia dari pelbagai peringkat anggota.

Angkatan Tentera Malaysia telah menghantar Pasukan Khas Malaya (MSF) yang terdiri daripada 4 kontinjen yang ditempatkan di Congo mulai Oktober 1960 hingga April 1963. Kontinjen TDM yang berkhidmat sebagai pasukan pengaman di Congo ialah Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Kedua Pasukan Peninjau (31 Oktober 1960 - Mac 1961).

Seterusnya TDM menghantar 6 RAMD dan A Skuadron 1 Peninjau (Julai 1961 - April 1962), 7 RAMD (Februari 1962 - Disember 1962) dan 2 RAMD (Jun 1962 - April 1963). Markas MSF telah diperintah oleh Brig Jen Hamid Bidin selama 2 tahun sehingga Januari 1963.

Tugas MSF di Congo adalah untuk menentukan ketenteraman dan memelihara undang-undang bagi membantu kerajaan yang baru ditubuhkan.

Tugas-tugas lain adalah:
  • Memelihara keutuhan wilayah dan kebebasan politik Congo.
  • Mencegah berlakunya perang saudara.
  • Memastikan penarikan keluar dari Congo semua tentera asing, separa tentera dan anggota penasihat asing yang bukan di bawah pemerintahan PBB.
  • Memastikan penarikan keluar semua askar upahan.

Tuesday, 14 April 2009

Rahsia Kejayaan

"Teknik pembelajaran yang saya amalkan amat mudah, iaitu merangkumi aspek menjaga 'hubungan dengan Allah' dan juga 'sesama manusia' iaitu sentiasa menghormati orang tua, guru dan rakan-rakan".

"Di samping itu, saya juga memberi sepenuh tumpuan semasa belajar di dalam kelas dan sentiasa berhubung dengan guru dalam menyelesaikan pelbagai masalah pelajaran".

"Saya tidak pernah mengikuti kelas tuisyen di luar, namun semangat dan minat mestilah berada di hadapan kita dalam mengejar cita-cita dan ingatlah kejayaan kita tidak akan datang bergolek, melainkan kita berusaha dalam apa cara pun".

Nota: Ucapan adik Siti Nur Madhiah Nik Omar (20A) semasa Seminar Motivasi Bijak Belajar anjuran Kerajaan Negeri Kelantan di Pengkalan Chepa pada 14 April 2009.

Sunday, 12 April 2009

Raja Putih Sarawak

James Brooke adalah merupakan seorang bekas tentera yang pernah berkhidmat dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI).

Selepas bersara daripada SHTI, beliau bergiat aktif dalam aktiviti perdagangan di Singapura.

Beliau telah diarahkan oleh Gabenor Singapura untuk menghantar sepucuk surat kepada Pengeran Muda Hashim di Kuching pada 1840.

Namun, keadaan di Kuching agak gawat pada ketika itu dengan pemberontakan oleh pembesar dan penduduk tempatan yang diketuai oleh Datu Patinggi Ali terhadap ketidakpuasan hati kekuasaan Kesultanan Brunei ke atas wilayah Sarawak ketika itu.

Pangeran Muda Hashim telah meminta bantuan James Brooke untuk mengekang pemberontakan tersebut dengan janji bahawa beliau akan ditawarkan jawatan gabenor jika berjaya.

James Brooke akhirnya berjaya menghapuskan pemberontakan dan dilantik sebagai Gabenor Sarawak pada tahun 1841. Beliau kemudiannya menjadi Raja Putih Sarawak sehingga 1868 yang kemudiannya digantikan oleh waris keluarganya iaitu Charles Brooke dan Charles Vyner Brooke.

Dinasti pemerintahan keluarga Brooke berakhir sebaik Sarawak diserahkan kepada British sebagai sebuah tanah jajahan sebaik tamat Perang Dunia Kedua pada tahun 1946.

Thursday, 9 April 2009

Hari Ini Dalam Sejarah


Raja Sir Chulan ibni Almarhum Sultan Abdullah meninggal dunia pada usia 17 tahun.

Baginda adalah putera Melayu pertama yang menyertai perkhidmatan sebagai pekerja di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 10 April 1933.

Wednesday, 8 April 2009

Suara Rakyat..

Salam ukhuwwah dan sejahtera buat semua pengunjung setia Sejarah2u.

Semalam, bersamaan 7 April telah mencipta sejarah bila negara kita mengadakan tiga pilihan raya kecil secara serentak pada hari yang sama.

Pilihan raya kecil ini disebabkan oleh kematian penyandang (Batang Ai , Bukit Gantang) dan perletakan jawatan ADUN Bukit Selambau, V Arumugam. Mengikut perlembagaan, Suruhanjaya Pilihan Raya mesti mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari sebaik disahkan kerusi-kerusi tersebut kosong.

Secara zahirnya, kelihatan dua parti komponen telah 'berpencak' dengan hebatnya iaitu antara parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), namun hakikatnya ia adalah manifestasi suara rakyat yang menjunjung perlembagaan dengan menggunakan 'kuasa undi' mereka dalam pilihan raya tersebut.

Keputusannya, PR mengalahkan BN dengan 2-1. BN berjaya menewaskan PR di kerusi DUN Batang Ai, Sarawak bila calonnya Malcom Mussen Lamoh mendapat 3907 undi, sementara lawannya, Jawah Gerang sekadar mendapat 2053 undi dengan undi majoriti yang diperolehi sebanyak 1854.

Bagi keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pula, calon PR dari parti PKR, S. Manikumar telah memperoleh 12632 undi mengatasi lawannya dari BN, Datuk S. Ganesan yang hanya memperolehi 10229 undi. Sementara semua 13 calon bebas lain telah hilang wang deposit, RM5000 seorang serta wang kempen RM3000 seorang kerana mendapat undi yang sangat sedikit marginnya berbanding yang diperolehi oleh kedua-dua calon di atas.

Sementara bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang, calon PR dari PAS iaitu Dato' Seri Ir. Nizar Jamaludin telah berjaya mengalahkan lawannya dari BN, Ismail Saffian dengan mendapat undi sebanyak 21860 berbanding 19071. Undi majoriti yang diperolehi Nizar ialah sebanyak 2789 undi. Calon bebas iaitu Kamarul Ramizu sekadar mendapat 62 undi sahaja dan kehilangan wang deposit.

" Demokrasi itu boleh difahami sebagai..dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat" (Abraham Lincoln)