Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Sunday, 18 January 2009

Asal Usul Nama Negeri Sabah Di Bawah Bayu

Nama Sabah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Bristish ke Pulau Borneo lagi. Pihak British menukarkannya sebagai Borneo Utara dan digunakan secara rasmi semenjak tahun 1881. Sabah telah digunakan semula pada tahun 1963 setelah Sabah masuk ke dalam Malaysia.

Terdapat banyak variasi bagaimana nama Sabah diperolehi. Sabah pernah dikenali sebagai ‘Sudang’ yang pernah tercatat dalam puisi Java Nagaraketagama yang ditulis oleh Prapancha pada tahun 1365. Nama Sabah pertama kali digunakan pada abad ke-15 oleh pedagang yang mengembara di antara Pulau Sulu dan Brunei.

juga nama Sabah diperolehi daripada tanaman pisang yang dipanggil ‘Pisang Saba’. Pada masa sekarang ‘Pisang Saba’ dikenali sebagai ‘Pisang Menurun’. Jenis pisang ini biasa tumbuh di sepanjang pantai barat Sabah. Dialek orang tempatan yang menyebut ‘saba’ seperti menyebut ‘Sabah’ telah menyebabkan nama Sabah diperolehi.

Sabah merupakan negeri yang kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak. Pentadbiran Sabah dibahagikan kepada lima bahagian iaitu Bahagian Pantai Barat, Bahagian Sandakan, Bahagian Tawau, Bahagian Pedalaman dan Bahagian Kudat.

Sumber: Perpustakaan Negara Malaysia

Friday, 16 January 2009

Minda Sejarah: Senyum Itu Sedekah!

Salam mahabbah buat semua pengunjung Sejarah2u yang dimuliakan Allah swt. Diharap sinar 2009 terus menjadikan kalian ceria dan sentiasa terus tersenyum menikmati kehidupan yang serba mencabar dan bersifat sementara ini.

Buat anak-anak didikku di bumi Al-Amin, harap masih belum terlambat untuk penulis menghulur salam perkenalan dan persaudaraan buat kalian. Penulis berbangga untuk terus membimbing kalian. Semoga sesi 2009 mampu merealisasikan kejayaan lebih gemilang buat kita semua. InsyaAllah.

Sebagaimana sesi terdahulu ketika kelas dibuka, penulis akan selalu mengingatkan para pelajar akan kaedah dan tip mudah mempelajari ilmu Sejarah.

Antara sekian banyak panduan tersebut, 'sentiasa perbanyakkan senyuman' ketika belajar sejarah sentiasa penulis tekankan kerana ia melibatkan permainan minda dan mampu menggerakkan perubahan emosi kepada yang lebih positif. Dengan senyuman juga akan menjadikan segala perkara yang susah dan sukar menjadi lebih senang dan mudah.

Apatah lagi ramai menganggap sejarah sebagai satu subjek yang non-kemersial, kena banyak baca, kena hafal tarikh dan 1001 alasan lagi, malah tidak keterlaluan juga ada yang menganggap sejarah sebagai ubat tidur paling mujarab untuk melelapkan mata.

Selain itu, faktor suasana persekitaran serta pendekatan guru sejarah yang statik dan membosankan turut menyumbang kepada 'penguncupan' minat murid terhadap mata pelajaran sejarah.

Maka, untuk merungkai sebahagian daripada cabaran tersebut, amat wajar kiranya para guru dan pelajar yang belajar sejarah terus membina minda positif terhadap subjek sejarah dengan teknik senyuman yang betul, di samping menganggap sejarah adalah subjek yang palinnnggg senang untuk dipelajari dan skor cemerlang dalam peperiksaan.

Semoga perkongsian tidak seberapa ini dapat diambil manfaatnya. Sehingga bertemu lagi dalam Minda Sejarah yang akan datang untuk kaedah dan tip belajar sejarah secara lebih efektif. InsyaAllah.

"Ingat Sejarah....Ingat Sejarah2u :p"

Thursday, 15 January 2009

Ibnu Khaldun (1332 - 1406M)

Salam Sejarah buat semua pengunjung setia Sejarah2u yang dikasihi.
Pada kali ini kita akan membicarakan seorang tokoh ilmuan Islam yang tidak asing lagi seantero dunia iaitu Ibnu Khaldun.

Dalam sesi kelas pengajian tamadun awal dunia di tingkatan 4, kita akan didedahkan dengan takrif tamadun. Ia meliputi pandangan para sejarawan dan sarjana dari Barat dan Islam. Antara mereka termasuklah Prof. Syed Naquib Al-Attas, Richard Sullivan, Gordon Childe, R.A Buchanan dan tidak terkecuali, Ibnu Khaldun.

Sejarah2u berbesar hati untuk berkongsi sedikit maklumat dan ilmu tentang tokoh besar ini yang hasil karyanya masih menjadi rujukan, bukan sahaja dunia Islam tapi juga Barat pada hari ini.

Ibnu Khaldun atau nama sebenarnya Abd Al-Rahman Ibn Muhammad. Ibnu Khaldun lahir di Tunisia. Beliau merupakan pemikir yang unggul, sejarawan dan pakar sosiologi Islam.

Ibnu Khaldun menganggap bahawa kehidupan bandar ialah kehidupan bertamadun. Kehidupan bandar terbentuk apabila lahir semangat assabiah atau kekitaan. Hasilnya, wujud semangat bekerjasama dan saling membantu.

Penulisannya banyak berasaskan pengalaman sebenar yang dilaluinya. Dalam karya ulungnya, iaitu Muqaddimah, beliau telah menggunakan istilah umran yang bermakna tanah yang didiami secara tetap, berkembang dan maju, dan istilah hadarah yang bermaksud hidup di bandar.

Hadarah yang dimaksudkan oleh Ibnu Khaldun ialah kehidupan di bandar yang penuh dengan tatasusila, kesopanan, dan moral yang tinggi.

Karya beliau ini telah menjadi rujukan sarjana Barat dalam bidang antropologi, sosiologi dan sejarah sehinggalah ke hari ini.

Secara umumnya, konsep tamadun yang diketengahkan Ibnu Khaldun dan para sarjana Islam tidak hanya mementingkan pencapaian berbentuk lahiriah seperti kesenian dan pembinaan kota semata-mata, tetapi juga mestilah diiringi dengan pencapaian dalam aspek rohaniah, tatasusila dan moral.

Wednesday, 14 January 2009

Carcosa Seri Negara

Carcosa Seri Negara yang terletak di sebelah Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur telah dibina oleh Sir Frank Swettenham pada tahun 1896 dan merupakan kediaman rasmi beliau pada masa itu.

Beliau telah berpindah masuk pada tahun 1904 dan telah menggelarkannya
"Carcosa", daripada perkataan Itali yang bermaksud "tempat yang amat disayangi".

Pada masa yang sama, Sir Frank Swettenham juga telah menyiapkan pembinaan bangunan "King House" di tepi bukit sebelah Carcosa. Tujuan pembinaan King's House, yang kini dikenali sebagai "Seri Negara" (bermaksud "negara indah"), adalah untuk melindungi Gabenor Negeri-negeri Selat serta tetamu-tetamu Persekutuan Tanah Melayu yang merupakan orang penting pada masa itu.

Sir Frank Swettenham, Penasihat British bagi Sultan Perak, telah mencadangkan penggabungan keempat-empat negeri menjadi sebuah persekutuan. Cadangannya diterima oleh sultan-sultan berkenaan dan Pejabat Luar Negeri British. Seterusnya, Sir Frank Swettenham telah dilantik sebagai Residen-Jeneral pertama bagi Negeri-negeri Melayu Persekutuan.


Kuala Lumpur pada masa itu merupakan sebuah kampung sederhana yang pada khususnya didiami oleh pelombong timah berbangsa Cina. Akan tetapi Sir Frank Swettenham mencintai tapak ini sejak 1888 sewaktu melawat kawasan hutan di pinggir barat. Beliau merasakan bahawa bandar itu iaitu Kuala Lumpur memerlukan sebidang kawasan awam, Sir Frank Swettenham telah mengempang sungai di tengah hutan. Sungai itu menjadi tasik dan hutannya pula menjadi apa yang kini dikenali sebagai Taman Tasik Perdana.

Dari tahun 1904 sehingga serangan Jepun pada tahun 1941, Carcosa merupakan kediaman rasmi wakil-wakil tertinggi British di negeri-negeri Melayu. Semasa Perang Dunia II, Carcosa menjadi Dewan Mes Pegawai Kanan Tentera Jepun. Pada Ogos 1945, Tentera British menggunakan tempat itu untuk kegunaan Pegawai-pegawai Kanannya sehingga Ketua Setiausaha dilantik.

Dengan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, Carcosa menjadi kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi British, sedangkan King's House merupakan rumah tetamu rasmi bagi tetamu Malaysia yang terpenting. Carcosa telah diserahkan kepada Kerajaan Malaysia pada tahun 1987. Pada tahun 1989, selepas Ratu Elizabeth II mendiami Carcosa semasa "Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel" (CHOGM), pentadbiran kedua-dua rumah agam digabung yang kini lebih dikenali sebagai "Carcosa Seri Negara".

Kini, Carcosa merupakan salah satu daripada hotel utama di Kuala Lumpur. Hotel ini mempunyai 13 suite yang dihiasi dengan gaya esklusif dengan kain broked, goresan lama dan objek karya seni. Kesemua suite dipasang dengan alat penyaman udara dan dilengkapi dengan bar mini, peti besi peribadi, televisyen satelit, meja tulis, pemain DVD/CD dan talian internet. Purata kadar suite adalah dari RM1,100 hingga RM3,500 sehari, tidak termasuk caj perkhidmatan sebanyak 10% dan cukai perkhidmatan sebanyak 5%.

Sumber rujukan:
(a) Laman Rasmi Carcosa Seri Negara (http://www.carcosa.com.my/)
(b) http://ms.wikipedia.org/wiki/Carcosa_Seri_Negara)

Tuesday, 13 January 2009

Rukun Negara



Prinsip Rukun Negara merupakan hasil pemikiran Majlis Perundingan Negara (MAPEN) yang dipengerusikan oleh Tun Abd Razak selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969. Tujuan – Menyatukan semua kaum di bawah satu ideologi kenegaraan yang sama dan bersepadu

Definisi:
Ideologi negara – seperti Pancasila di Indonesia dan ‘Declaration of Independence’ di Amerika Syarikat. Ia sebagai panduan untuk merencana program dan dasar negara.Nilai Murni – jamin kesejahteraan rakyat menerusi perpaduan kaum

Sebab diperkenal pada tahun 1970:

- Rusuhan kaum pada 13 Mei 1969
- Rakyat berbilang kaum – bertindak mengikut prinsip tertentu
- Kesan penjajahan British dan Jepun – dasar ‘Pecah & Perintah’
- Nilai menyeluruh ke arah perpaduan kaum
- Perpaduan & persefahaman antara kaum

Ciri-ciri Murni Rukun Negara:

Mewujudkan:-

Ø Masyarakat yang Bersatu padu – rakyat hidup aman damai
Ø Masyarakat yang Demokratik – kuasa dan kerajaan rakyat, pilihanraya yang bebas
Ø Masyarakat yang Adil – kemakmuran dan pengagihan kekayaan negara yang adil
Ø Masyarakat yang Progresif – Warganegara berbudaya Ilmu demi kemakmuran negara
Ø Masyarakat yang Liberal – Kebebasan mengamalkan budaya kaum; Kebudayaan
Kebangsaan.

Sejarah Yang Dilupakan

SEPANJANG perjalanan dari Taiping ke Kuala Sepetang (Port Weld), yang jaraknya kira-kira 12 kilometer dari Bandar Taiping, Perak kelihatan banyak pokok besar di sepanjang jalan terutama di kawasan Matang yang mungkin usianya mencecah ratusan tahun.

Pokok besar itu dikatakan ditanam oleh penjajah Inggeris dengan tujuan tertentu, ada yang mendakwa sebagai penanda kawasan laluan, penanda pendudukan kolonial dan ada juga yang mengatakan ia satu daripada kempen alam sekitar.

Laluan darat itu sebenarnya bersebelahan landasan kereta api bersejarah antara Taiping ke Port Weld sejauh 12 kilometer (km).

Di antara puluhan pokok besar itu, ada dua batang pokok besar, setinggi kira-kira 20 meter dan mungkin usianya mencecah hampir ratusan tahun yang terletak di arah bertentangan dengan pokok yang dikatakan ditanam oleh penjajah Inggeris.

Saiz ketinggiannya jika ditebang untuk dijadikan balak, ia boleh dipotong dua balak atau tual iaitu satu tual panjangnya bersamaan dengan saiz lori balak. Ukir lilit dianggarkan lebih satu pemeluk orang dewasa.

Dua pokok mempelam pauh itu terletak di satu selekoh. Kedudukannya agak terpinggir, kawasannya tidak dijaga, dipenuhi lalang manakala sebuah rumah lama di tepinya kelihatan usang dan terbiar. Jika diteliti, kedudukannya di sebelah kanan dari arah Taiping betul-betul berdepan dengan Kompleks Sejarah Matang.
Mungkin ramai yang tidak peduli atau tidak tahu, di situlah sebenarnya British menggantung sehingga mati tiga pejuang dan pemimpin Melayu yang disabitkan kesalahan bersubahat dan membunuh Residen Perak yang pertama, James Wheeler Woodford Birch atau JWW Birch di Pasir Salak.

Dato Seri Maharaja Lela, Dato Sagor dan Pandak Indut menghembuskan nafas terakhir di tali gantung yang diikat pada pokok induk mempelam pauh berkenaan.

Ketika berlakunya pembunuhan Birch, Pandak Indut adalah orang pertama yang merejam lembing kepada residen British itu disusuli libasan lembing oleh Si Puntung. Pandak Indut atau nama sebenarnya Ngah Kamdin dan menantunya, Dato Maharaja Lela disabitkan kesalahan bersubahat dalam serangan itu.

Pembunuhan pada 2 November 1875 itu banyak dicatatkan buku sejarah, jurnal, perbincangan tetapi yang pasti ia adalah kemuncak sejarah perjuangan Melayu menentang penjajah di Pasir Salak. Ia adalah sejarah agung yang dikenang sebagai bukti perjuangan demi cintakan bangsa, agama dan tanah air.

Info Pahlawan Melayu tulen

-Pandak Indut, Dato Maharaja Lela dan Dato Sagor digantung mati pada Januari 1877 di Matang.
-Dato Maharaja Lela dan Pandak Indut dikebumikan di tebing Sungai Larut.
-Berlaku hakisan tebing menyebabkan kedua-dua kubur itu musnah.
-Kubur Pandak Indut, dibina semula di satu kawasan berhampiran Masjid Tengku Menteri, Matang, kira-kira 20 minit perjalanan dari kawasan pokok mempelam berkenaan.

Dato Maharaja Lela

-Dato Seri Maharaja Lela adalah gelaran berasal dari Melaka.
-Di Perak, beliau adalah Ketua Orang Besar Delapan dan berkuasa menghukum pesalah serta bertanggungjawab mempertahankan raja.
-Mempunyai sumber penguasaan cukai wilayah penguasaannya di Pasir Salak hingga ke Sungai Dedap.
-Frank Swettenham dalam bukunya ‘Stories and Sketched’ mencatatkan Maharaja Lela seorang yang gagah dan berkedudukan tinggi.
-Berkedudukan tempat ketujuh dalam senarai kekananan daripada kedudukan Sultan Abdullah
-Mempunyai anak bernama Rasiah
-Dihukum mati kerana terbabit dalam pembunuhan Birch.

Pandak Indut

-Bapa mentua kepada Dato Maharaja Lela
-Pahlawan Melayu aktif menentang British
-Menerima pedang daripada Dato Maharaja Lela untuk membunuh Birch yang mengarahkan menampal surat pengumuman di Pasir Salak.
-Beliau adalah orang pertama mengoyak surat ditampal Mat Arshad dan menikam suruhan Inggeris itu dengan lembing.
-Ditangkap di Kota Lama pada Julai 1876 atas tuduhan membunuh Birch.

Dato Sagor

-Nama panggilan kepada Ngah Kamdin yang bergelar Datuk Seri Agar Diraja, Orang Besar Delapan, Perak
-Diputerakan di Kampung Gajah tetapi berhijrah ke Larut pada usia muda mengusahakan lombong bersama Che Ngah Ibrahim.
-Mempunyai 9 anak iaitu, Long Mabu, Alang Siap, Uda Bidah, Itam Jailah, Anjang Abdullah, Teh -Nasa, Mat Dagang, Kulob Satar dan Alang Ismail.
-Keturunan Teh Nasa paling menonjol, anak keduanya melahirkan Hamzah, Ngah Mutalib, Hajjah Rahmah dan Mohd Abas.
-Mohd Abas pernah menyandang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama lima penggal.
-Anak saudaranya, Tan Sri Ramli Ngah Mutalib adalah bekas Menteri Besar Perak.

Info pembunuhan Birch

-Raja Abdullah meminta sokongan British membolehkan dirinya merebut takhta menjadi sultan. -Perjanjian Pangkor dimeterai dengan British pada 20 Januari 1874 mengiktiraf Raja Abdullah menjadi Sultan Perak manakala sultan sedia ada iaitu Sultan Ismail diturunkan daripada takhta.
-JWW Birch dilantik sebagai residen pertama di Perak.
-Memperkenalkan pelbagai peraturan baru menekan pembesar serta penduduk termasuk cukai tinggi.
-Sultan Abdullah dipaksa menandatangani surat memberi hak kepada British memerintah Perak dengan ugutan akan dilucutkan takhta.
-Baginda bermesyuarat dengan pembesar negeri di Durian Sebatang pada 21 Julai 1875. Usul membunuh Birch dikemukakan dengan pelbagai cadangan antaranya meracun dan menikamnya.
-Sultan Abdullah terpaksa bersetuju menyerahkan Perak diperintah British pada 2 Oktober 1875.
-Pada 15 Oktober 1875, Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Sir William Jervois mengumumkan Perak akan diletakkan di bawah pentadbiran British diketuai seorang pesuruhjaya.
-pengisytiharan ditampal di seluruh Perak. Mulanya ditampal di kawasan kediaman Birch di Bandar Baharu dengan diikuti istiadat tembakan meriam 21 das sebelum ditampal di tempat lain.
-Datuk Maharaja Lela mengarahkan pengikutnya membina kubu di Pasir Salak kerana yakin Birch akan datang ke kawasannya untuk menampalkan surat pengumuman.
-Birch tiba di Pasir Salak menggunakan rumah rakit dan perahu pada malam 1 November 1875. -Esoknya, jurubahasa Birch, Mat Arshad diarah ke rumah Datuk Maharaja Lela meminta supaya menghadap Birch.
-Mat Arshad dan pengikutnya dilarang menampal surat cukai tetapi tetap berdegil menyebabkan penduduk berang dan mengoyak surat.
-Pandak Indut yang tercabar dengan tindakan Mat Ashad menikam suruhan Inggeris dan tindakan itu seolah-olah satu isyarat supaya orang Melayu bertindak.
-Penduduk Pasir Salak mengamuk dan menyerbu ke rumah rakit Birch sambil merejam lembing.
-Askar pengawal Birch ketakutan dan melarikan diri meninggalkan rumah rakit itu tanpa pengawal meninggalkan Birch yang sedang mandi.
-Rejaman lembing penduduk menembusi rumah rakit itu seterusnya menusuk jasad Birch dan beliau cuba menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam sungai.
-Ketika timbul tercungap-cungap di permukaan air, Si Puntung, pengikut Datuk Maharajalela menetak kepala lelaki asing itu menggunakan pedang.

Sumber: Muzium Kompleks Sejarah Matang, Perak Darul Ridzuan.

Monday, 12 January 2009

Aminuddin Baki

Aminuddin Baki dilahirkan pada 6 Januari 1926 di sebuah kampung dalam daerah kecil Chemor di Perak. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor dari tahun 1932 hingga 1936.

Selepas lulus peperiksaan darjah lima beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Anderson, Ipoh. Sekolah tersebut merupakan sekolah Inggeris terbaik dan mempunyai guru yang baik dan berpengalaman. Aminuddin belajar di sekolah tersebut dari tahun 1936 hingga 1941.

Sekitar tahun 1945 hingga 1946 beliau mula menunjukkan minat dengan persatuan pelajar. Beliau sangat kagum dengan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Victoria Institution, Kuala Lumpur.

Pada ketika itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudiannya menjadi Kesatuan Kesuratan Penuntut-penuntut Melayu yang ditubuhkan pada 11 Februari 1946. Kesatuan ini telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyatukan semua persatuan pelajar di negara ini dan Aminuddin telah dilantik sebagai setiausaha.

Pada masa yang sama beliau telah menubuhkan Persatuan Pelajar di Perak yang dikenali sebagai Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) pada bulan April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada bulan Oktober 1947 beliau diterima sebagai pelajar di Raffles College, sebuah kolej termasyhur.

Pada masa ini UMNO telah ditubuhkan bagi menentang penubuhan Malayan Union. Dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin persatuan pelajar digalakkan berusaha ke arah pencapaian matlamat mereka.

Oleh kerana itu, Aminuddin dan pemimpin pelajar lain mengambil keputusan untuk menubuhkan persatuan yang lebih kuat. Tujuh persatuan telah bersidang selama dua hari di Jalan Tambun, Ipoh. Hasil daripada persidangan itu terbentuklah Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948.

Walau bagaimanapun pada tahun 1949 Aminuddin terpaksa berhenti bergiat aktif dalam persatuan pelajar kerana ditawarkan ke Universiti Malaya, Singapura. Pada ketika itu beliau hanya mengikuti perkembangan persatuan dari jauh sahaja.

Semasa di universiti beliau berminat mengajar dan untuk menimba pengalaman beliau telah mendaftar sebagai guru sambilan di Anglo-Malay Evening School. Beliau telah mengajar di sekolah itu dari tahun 1949 hingga 1951.

Dalam tahun 1950, beliau bergiat aktif dalam GPMS dan dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan. Dalam tahun yang sama beliau telah lulus peperiksaan Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, lulus Ijazah Kepujian Sarjana Sastera.

Selepas menamatkan pelajarannya, beliau kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah. Pada tahun 1951 hingga Julai, 1952, beliau telah berkhidmat di Sekolah Anderson. Beliau telah melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti London dengan Biasiswa Queen.


Beliau meninggalkan Pulau Pinang dengan menaiki kapal SS Canton pada 12 Julai 1952. Aminuddin menamatkan pengajiannya pada bulan Julai 1953 dengan mendapat Ijazah Master of Methods dalam bidang pendidikan. Selepas pulang ke tanahair beliau ditawarkan jawatan Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim.

Sumbangan besarnya kepada pelajar dengan memperkenalkan Sejarah Islam tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran. Pada bulan September 1955 Aminuddin terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak dan pada tahun 1960 pula beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Rahman.

Pada usia 36 tahun beliau telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Selangor. Pada masa yang sama beliau aktif dalam persatuan dan pertubuhan lain seperti Senat Universiti Malaya, Persatuan Al-Rahman, Persatuan Sejarah Tanah Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan usaha beliau juga peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diwujudkan.


Beliau telah menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia pada tahun 1963. Aminuddin Baki meninggal dunia pada 24 Disember 1965 kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang. Pada ketika itu memegang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

Sumber: Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)