Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017]



Friday, 16 May 2008

Selamat Hari Guru 2008

Rasulullah SAW pernah bersabda:

" Andai ditimbang tinta pena para guru dengan darah para syuhada', maka lebih berat pahala guru daripada pahala darah para syuhada'. Barang siapa yang menziarahi seorang guru maka seolah-olah dia menziarahiku dan barang siapa yang berjabat tangan dengan gurunya, maka seolah-olah dia berjabat tangan denganku."
(Sumber: Dewan Siswa, Mei 2008)


Guru oh Guru

Berburu ke padang datar,

Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.
(Dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

SN Usman Awang, 1979

Wednesday, 7 May 2008

Salam Kecemerlangan Dalam Peperiksaan Sem 1


~SELAMAT MENJAWAB PEPERIKSAAN~

Semoga Semua Berjaya Dalam Peperiksaan..

“Allahhumma ja’alna minan najihin wal faizin wal mumtazin wal mutawaffiqin fi kulli imtihan fid dunya wal akhirah.”

“Ya Allah jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang berjaya, orang-orang yang cemerlang, orang-orang yang gemilang, orang-orang yang diberi petunjuk dalam setiap ujian dan peperiksaan di dunia dan di akhirat.”

Ya Allah.. bantulah.. kami berserah kepadaMu Ya Rabbi..

Monday, 5 May 2008

Analisis pengagihan soalan struktur & esei

Salam Sejarah buat semua calon SPM '08,
Memandangkan peperiksaan semester semakin hampir, diikuti kemudian oleh peperiksaan percubaan dan kemuncaknya peperiksaan SPM 2008, maka sejarah2u ingin memberi sedikit analisis tentang pengagihan soalan berbentuk struktur dan esei yang pernah keluar mengikut tahun (2004-2007).


Tahun 2004

- Tamadun Yunani
- Piagam Madinah
- Imperialisme Barat dan sistem birokrasi
- Rukun Negara
- Sistem Khalifah
- Perusahaan getah di TM
- nasionalisme tahap 1
- Sistem pilihanraya di Malaysia
- Faktor penggubalan dasar luar Malaysia
- ASA


Tahun 2005

- Tamadun Rom
- Peristiwa Hijrah
- tanaman komersil
- penentangan pemimpin tempatan
- peperiksaan awam China
- Tamadun Islam & sumbangannya
- Imperialisme Barat
- Reaksi penubuhan Malaysia
- Blok-blok kuasa dunia


Tahun 2006

- Dakwah Islam di Mekah
- Ekonomi Sara diri
- Sistem Ahli
- K-Ekonomi
- Tamadun Mesopotamia
- Takrif tamadun
- Pengaruh Islam di AT - bahasa, amalan dan nilai hidup
- Malayan Union
- DEB
- Perang Dunia 1 & 2


Tahun 2007

- Kerajaan maritim
- Sistem Khalifah - pemilihan, t/jawab, Abu Bakar as-Siddiq
- Imperialisme Barat - takrif, perluasan kuasa, persaiangan, slogan
- Pembentukan Malaysia
- Islam di AT - kebudayaan, kesenian, tulisan
- Revolusi pertanian & perindustrian
- Pembentukan & ciri-ciri negara bangsa
- Perlembagaan Malaysia
- ASEAN & dasar luar Malaysia


Tahun 2008

- ???????????
- ???????????
- ???????????

Saturday, 3 May 2008

Asal Usul Nama Negeri Kedah



Nama negeri Kedah mempunyai persamaan dengan perkataan Kadah atau Khedah yang bermaksud perangkap gajah. Namun demikian, besar kemungkinan nama Kedah bukan berasal daripada perkataan tersebut. Nama purba Kedah ialah Kadaram atau Kalagam. Kadaram bermaksud kuali besar dan kalagam pula bermaksud warna hitam. Pada zaman dahulu, pedagang-pedagang Arab dan Parsi memanggil kawasan yang terletak di sebelah utara Semenanjung sebagai Kilah, Kalah atau Qalha. Kerajaan Langkasuka yang seringkali dikaitkan dengan kisah-kisah percintaan di kalangan orang Melayu juga dipercayai terletak di Kedah. Sisa peninggalan ibu negerinya dijumpai di sebelah tenggara banjaran pergunungan Kedah. Menurut catatan sejarah, Kedah yang dikenali sebagai Khatarai oleh pedagang-pedagang dari India mula dijadikan sebagai tempat persinggahan mereka seawal Kurun ke-6. Para ahli-ahli sejarah mempercayai bahawa Lembah Bujang merupakan pusat kerajaan lagenda Langkasuka. Ini dibuktikan dengan penemuan lebih daripada 50 buah kuil atau candi yang jelas menunjukkan kewujudan tamadun Hindu di tempat ini.

Sumber: Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Thursday, 1 May 2008

Sejarah Hari Pekerja


TAHUKAH ANDA??

SEJARAH SAMBUTAN HARI PEKERJA ( 1 MEI )

Apakah keistimewaan 1 Mei? Pastinya, sebagai seorang pekerja, sama ada di sektor kerajaan mahupun di sektor swasta pastinya sedia maklum bahawa pada hari tersebut adalah merupakan Hari Pekerja yang disambut serentak bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia. Pada hari tersebut juga telah diisytiharkan sebagai cuti umum.

Idea sambutan Hari Pekerja ini sebenarnya mula tercetus di Australia pada tahun 1856. Ia adalah merupakan salah satu cara para proletariat pada masa itu untuk mencapai hari bekerja lapan jam sehari. Pada asalnya, mereka menetapkan perayaan itu pada 21 April 1856 dengan mengadakan demonstrasi bagi mencapai tujuan mereka.

Perayaan pertama itu telah memberi kesan yang positif di kalangan proletariat Australia yang membawa kesedaran kepada mereka sehingga tercetusnya pemberontakan baru menyebabkan keputusan diambil untuk meraikan perayaan itu setiap tahun.

Idea perayaan Hari Pekerja ini diterima di seluruh Australia dengan cepat, malah mula tersebar ke negara-negara lain di seluruh dunia. Kejayaan para pekerja Australia mencapai matlamat bekerja lapan jam sehari mendorong para pekerja di negara lain tampil dengan berani untuk menuntut hak yang sama. Golongan pertama yang mencontohi langkah pekerja Australia ini adalah pekerja Amerika. Bermula pada tahun 1886, mereka mengambil keputusan bahawa setiap 1hb Mei patut menjadi hari pemberhentian bekerja antarabangsa. Pada hari tersebut, lebih 200,000 orang pekerja meninggalkan tempat bekerja mereka dan menuntut masa bekerja hanya lapan jam sehari.

Pengisytiharan 1 Mei sebagai Hari Pekerja di Malaysia hanya bermula pada tahun 1972. Pengisytiharan ini juga adalah hasil usaha gigih para proletariat negara pada masa lalu yang didorong oleh semangat perjuangan untuk mendapatkan waktu bekerja yang adil di samping menentang penindasan dan penekanan oleh pihak majikan.

Kini, ramai yang telah lupa mengenai sejarah Hari Pekerja ini. Malah cuti yang diisytiharkan pada hari berkenaan hanyalah dianggap sebagai satu daripada cuti umum yang biasa. Walau apapun, ia seharusnya tidak dipandang remeh kerana sejarah inilah yang telah mengiktiraf hak-hak para pekerja agar tidak lagi ditindas oleh pihak majikan. Pelbagai undang-undang atau dasar telah dibuat bagi memastikan hak pekerja lebih terjamin dari semasa ke semasa. - MESRA

(Sumber: Selected Political Writings of Rosa Luxemburg, Dick Howard)