Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Tuesday 29 December 2009

Tahukah Anda? - Pokok Yahudi

Nabi saw bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Tirmidhi bermaksud:

"Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah akan berlaku peperangan di antara orang Islam dan Yahudi, maka pada waktu itu (tentera) Yahudi akan dibunuh oleh (tentera) Islam, sehingga apabila orang Yahudi berselindung di sebalik batu dan pokok, lalu batu dan pokok itu akan bersuara dengan katanya: ‘wahai muslim, wahai hamba Allah, di belakangku ini ada Yahudi, marilah bunuhnya’, kecuali POKOK GHARQAD (yang tidak bersuara), kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi".

Hadis ini menceritakan tentang peristiwa akhir zaman iaitu waktu hampir kiamat. Pada waktu ini tentera Yahudi yang dipimpin oleh Dajjal akan berperang dengan orang Islam.

Dalam peperangan ini, orang Islam akan dapat membunuh dan menewaskan orang Yahudi sehinggakan apabila mereka berselindung di sebalik mana-mana batu dan pokok untuk menyelamatkan diri, maka dengan izin Allah pokok dan batu akan memberitahu tentera Islam tentang Yahudi yang berlindung di sebaliknya.

Akan tetapi ada satu pohon yang tetap berdiam diri dan akan bersekongkol dengan Yahudi iaitu pohon yang bernama Gharqad.

Dimaklumkan bahawa orang Yahudi pada waktu ini sedang giat menanam pokok Gharqad secara berleluasa di negara haram Israel sebagai suatu persediaan menghadapi tentera Islam pada akhir zaman.

Ini juga bermakna bahawa orang Yahudi sebenarnya memang tahu dan sedar tentang kebenaran Islam dan kebenaran hadis nabi saw….namun, disebabkan sifat ego dan sikap bongkak mereka menyebabkan mereka tidak menerima ajaran Islam, sebaliknya terus berusaha memerangi umat Islam dari semasa ke semasa.

Ramai juga yang bertanya tentang bagaimanakah pokok Gharqad. Ada yang menyatakan bahawa ia pokok Krismas, dan ada pula yang menyatakan bahawa ia pokok ru, pokok kaktus dan sebagainya.

Moga gambar pokok Gharqad yang dipapar di atas dapat menyelesaikan kekeliruan tentang gambaran pokok Gharqad. Dan yang pastinya, pokok Gharqad tidak sesuai dengan iklim di Malaysia dan ia tidak tumbuh di tempat kita. Allahu a'lam.

http://www.jnf.org/support/tree-planting-center/

Monday 28 December 2009

China Discovers Tomb of Ancient Legendary Ruler

BEIJING (AFP) - – Chinese archaeologists believe they have found a nearly 1,800-year-old tomb belonging to the legendary ruler Cao Cao, who was known as a cruel tyrant but also a cunning military strategist and poet.

The tomb is located in central Henan province, not far from the Yellow River and near the city of Anyang, where Cao Cao ruled the Kingdom of Wei from 208 to 220, when he died at age 65, the state China Daily reported Monday.

"Excavation has been going on for nearly one year, and we'll come up with further evidence," the paper quoted Guan Qiang of the State Administration of Cultural Heritage as saying.

"But even based on what we've got, we can tell for sure that the mausoleum belongs to Cao Cao."

Numerous articles found in the tomb are inscribed as "personal belongings frequently used by the King Wu of Wei," Cao Cao's posthumous title, it said.

Archaeologists have found the remains of three people in the tomb -- a male around 60 years of age, believed to be Cao Cao, a female of about 50 and a second woman between 20 and 25, thought to be the king's wife and escort.

The tomb was discovered about a year ago, but only became known to authorities after stone tablets carrying inscriptions of "King Wu of Wei" were seized from alleged tomb raiders, the report said.

So far archaeologists have recovered over 250 relics from the tomb which covers an area of 740 square metres (8,000 square feet), an area befitting a burial plot for someone of Cao Cao's stature, it said.

During his rise to power during the waning years of the Han Dynasty, Cao Cao became known as a clever yet cruel tyrant who was also a military genius.

His exploits form an important aspect of the 14th century historical novel "Romance of the Three Kingdoms," known as one of China's greatest literary works and a publication that remains widely read today.

Cao Cao remains a mainstay in Chinese culture and is a frequent character in Peking opera and historical theatre. He was most recently portrayed in director John Woo's blockbusters "Red Cliff" and "Red Cliff 2".

His poems continue to be taught in schools throughout China.

AFP - Tuesday, December 29

Sunday 27 December 2009

Mengingati Air Mata Darah di Gaza

Hari ini, bersamaan 27 Disember 2009 telah genap setahun serangan besar-besaran tentera Israel ke atas Genting Gaza, yang ditadbir Hamas, dengan runtuhan bangunan kesan daripada serangan tersebut masih jelas kelihatan.

Bunyi siren memecah keheningan pada pukul 11.20 pagi (pukul 5.20 petang waktu Malaysia) semasa bom pertama dalam 'Operasi Cast Lead' Israel dilancarkan setahun lalu atas dakwaan untuk menghentikan serangan-serangan roket yang dilancarkan oleh pejuang Palestin dari Gaza.

Pada hari Sabtu, 27 Disember 2008, jet-jet pejuang Israel melancarkan serangan serentak ke atas beberapa bangunan Hamas di wilayah Gaza yang dihuni 1.5 juta penduduk Palestin, menyebabkan sekurang-kurangnya 225 orang terbunuh, serangan yang paling banyak menumpahkan darah dalam masa sehari sepanjang konflik Israel-Palestin.

Perang tamat 22 hari kemudian selepas gencatan senjata kedua-dua belah pihak, dengan 1,400 penduduk Palestin, termasuk lebih 400 kanak-kanak, dan 13 orang Yahudi terbunuh, selain kawasan Gaza menjadi padang jarak padang tekukur.

Sempena tahun baru hijrah 1431 dan di ambang tahun baru 2010..tanyakan pada diri dan hati, apakah sumbangan anda terhadap saudara seaqidah anda di Gaza?.. dan telah terzahirkan suara keamanan dan kemanusiaan anda kepada masa depan dunia yang lebih aman dan harmoni pada masa depan?

Acheh Dalam Kenangan


Rasanya baru berlalu peristiwa tsunami dahsyat yang melanda Acheh pada pagi hari ahad, tanggal 26 Disember 2004, apabila bumi bergegar hampir 10 minit lalu mengubah secara drastis bentuk demografi dan geografi wilayah Acheh, Indonesia.

Hakikatnya, tanggal 26 Disember 2009 ini, telah lima tahun Acheh masih meratap dalam kepiluan mengenang kehilangan dan kemusnahan mega yang pernah melanda.

Masih jelas tergambar, dalam kekalutan suasana dengan orang ramai lari bertempiran meninggalkan rumah mereka, ombak tinggi menggunung melepasi pokok kelapa yang mara sama pantas dengan kelajuan jet pejuang, menghancurkan kehidupan penduduk di penjuru barat pulau Sumatera ini dan kawasan sekitar Lautan Hindi, mengorbankan sekurang-kurangnya 226,000 nyawa.

Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Colin Powell yang meninjau kawasan persekitaran Banda Aceh dari udara pada Januari 2005, mengibaratkan bandar raya itu "seolah-olah dilanda serangan senjata nuklear. Hancur musnah segala-galanya".

Sesungguhnya gempa berukuran 9.15 pada Skala Ritcher, iaitu yang kedua paling hebat pernah dicatatkan, adalah 1,500 kali lebih kuat jika dibandingkan dengan ledakan bom atom di Hiroshima.

Moga kita semua terus menginsafi diri dan terus bersyukur kerana dianugerahkan bumi bertuah ini.

Friday 25 December 2009

Salam Kembali Berjuang

Salam Sejarah diucapkan buat semua pengunjung setia Sejarah2u yang dikasihi lagi dihormati

Syukur ke hadrat ilahi kerana diberi kesempatan mencoretkan sesuatu setelah agak lama menyepi..membiarkan weblog ini 'berhabuk' tanpa sebarang 'entry' baru.

Mungkin sekadar berkongsi..sepanjang percutian ini, penulis dihambat waktu selaku 'babysitter' tidak bertauliah demi mengurus anak-anak tercinta. Meskipun penatnya tidak terkata, tapi melihat telatah dan melayan ragam mereka yang menghiburkan merasakan diri ini terlalu bertuah dan bersyukur kerana menjadi seorang yang bergelar 'abi'.. :-)

Di samping itu, malam2 penulis dihabiskan dengan aktiviti yang sangat2 penulis impikan untuk dilakukan ketika cuti iaitu membaca dan menulis. Alhamdulillah, nantikan buku2 hasil karya penulis dalam masa terdekat..hehehe..maaf, mungkin hanya sekadar satu gurauan nakal kot.

Sementelah pada 15 hingga 20 disember lalu, penulis kerap berulang alik ke sekolah kerana ini merupakan tahun pertama kelab kebajikan guru dan kakitangan yang diterajui penulis diamanahkan untuk menguruskan jualan buku bagi sesi baru 2010. Syukur kerana semuanya berjalan lancar berkat dokongan dan kesungguhan rakan2 guru dan ajk murid yang terlibat menjayakan jualan tersebut. Terima kasih buah kalian semua.

Belum pun hilang penat, penulis telah turun padang pula mengikuti program persaingan eksplorasi 2010 yang bermula pada 21 hingga 24 disember, dari Uia-klcc-Tmn Pertanian Malaysia. Program khusus untuk meraikan murid2 lepasan Spm ini telah meninggalkan banyak kenangan manis dan bermakna buat diri penulis secara peribadi.

Apa azam baru tahun hijrah 1431 atau tahun baru 2010 ini? Sejarah2u akan terus menyumbang bahan2 terbaik dalam kerangka memartabatkan sejarah peradaban umat dengan penuh rasa tanggungjawab selaras dengan taklif sebagai 'khayr ummah' dan agen atau jurubicara kepada kebangunan ummat...untuk mengambil ibrah daripada catatan peristiwa2 terdahulu demi membina masa depan yang lebih gemilang. Insyaallah

Friday 4 December 2009

Lagenda Raja Bersiong

Kota Aur di Gubir, Kedah dipercayai milik Raja Bersiong

Kewujudannya hanya berdasarkan cerita legenda, tiada bukti fizikal

BAGI peminat sastera rakyat dan cerita legenda, kisah kekejaman Raja Bersiong yang memakan darah manusia pastinya sering menarik perhatian. Bukan setakat kekejamannya, tetapi persoalannya ialah sama ada kisah itu benar-benar berlaku atau hanya cerita lisan yang diturun- temurunkan untuk hiburan bagi mengisi masa senggang.

Catatan Hikayat Merong Mahawangsa dan Sastera Rakyat Negeri Kedah menyatakan ia kisah legenda dan tiada sesiapa yang dapat membuktikan dengan tepat atau mempunyai bukti fizikal peristiwa itu memang berlaku.

Persoalannya, wujud beberapa nama tempat yang dikaitkan dengan peristiwa berkaitan Raja Bersiong. Nama daerah Baling, Mukim Siong dan Kota Aur di Kedah adalah nama popular yang dikaitkan dengan rentetan sejarah silam Raja Bersiong.

Jika ke Kampung Lalang, kira-kira 10 kilometer dari Pekan Baling, pengunjung akan melalui satu mercu tanda seakan-akan pintu gerbang berbentuk sepasang siung yang tumbuh menegak. Mercu tanda berdiri tegak di kiri dan kanan jalan sebenarnya dibina sebagai tanda ingatan kepada peristiwa Raja Bersiong.

Siapakah Raja Bersiong hinggakan industri perfileman negara juga berminat dan pernah menterjemahkan kisahnya ke dalam filem Melayu, lakonan seniman Ahmad Mahmud, Sarimah dan Nor Azizah pada 1968 serta drama tari bertajuk Raja Bersiong di Dewan Filharmonik Petronas.

'Raja Bersiong' lakonan Ahmad Mahmud dan Sarimah pernah difilemkan pada 1968 dan di bawah teraju utama, Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman.

Cerita lisan mengatakan Raja Bersiong ialah gelaran kepada seorang Raja Kedah yang berpusat di Lembah Bujang. Nama sebenarnya ialah Raja Ong Maha Perita Deria iaitu raja keempat keturunan Merong Mahawangsa.

Penduduk Kampung Pokok Setol, Yahya Ramli, 72, berkata kisah Raja Bersiong diwarisi secara lisan dan generasi lama di situ juga tidak pernah tahu secara tepat mengenainya. Namun, mereka percaya ia memang ada kaitan dengan kewujudan kawasan berkenaan berdasarkan nama tempat.

“Itu cerita antah-berantah, kisah anak raja Kedah sebelum zaman Islam yang memakan hati dan darah manusia. Ada yang mengatakan ia keturunan Merong Mahawangsa di Langkasuka, ada yang kata mereka keturunan gergasi.

“Apabila rakyat memberontak, mereka lari ke Kota Aur di Gubir dan bina kubu di sana. Ketika dalam perjalanan itulah raja membuang siung yang tumbuh di mulutnya. Siung itu jatuh ke bendang dan tempat itu dinamakan Baling.

“Soalnya di mana kubur Raja Bersiong, itu yang tak boleh disahkan. Ada yang kata, selepas menetap di Kota Aur, raja itu lari ke Jitra, Kedah ikut Kuala Nerang, Pokok Sena, Nami, Naka yang bersempadan dengan Siam (Thailand),’ katanya.

Ditanya sama ada beliau tahu kewujudan sebuah istana lama di Jitra yang dikatakan milik Raja Bersiong, Yahya cukup tertarik dan katanya, jika itu benar, ia perlu diteliti, direkod dan dipelihara untuk tatapan generasi akan datang.

“Saya sendiri sebenarnya cukup teringin dan sudah lama mencari siapa yang boleh menceritakan kisah Raja Bersiong dan apa buktinya. Mesti ada sesuatu yang boleh dibongkar,” katanya.

Kisah sama dikongsi rakannya, Wan Ibrahim Wan Ahmad, 72, seorang pesara askar Wataniah. Ibrahim berketurunan Pattani, Thailand yang mengatakan kesan tinggalan sejarah itu dipercayai wujud di satu tempat iaitu di Kubang Jong.

Kubang Jong mendapat nama sempena tempat Raja Bersiong bermain jong (sejenis perahu diraja) di sebuah kolam air yang terletak di Kampung Luak.

“Ketika masih bertugas dengan pasukan Askar Wataniah, saya pernah masuk ke Kota Aur di Gubir. Kota itu dipercayai milik Raja Bersiong yang dibina daripada buluh yang ditanam rapat. Jika gajah rempuh pun, ia tidak akan tumbang, binatang itu pun tidak akan melepasi deretan pagar buluh.

“Kota itu memang kukuh, kami cuma boleh menyelit masuk ke dalam kota melalui celah pokok buluh berduri. Saiz kawasan kota itu lebih besar daripada saiz padang bola. Itu cerita lama pada 1975 dan mungkin sekarang kota itu sudah tumbang atau pokok buluh pula tumbuh meliar,” katanya.

Imam Masjid Pokok Setol, Harun Abu Bakar, 84, berkata kisah mitos itu mempopularkan daerah Baling dan Jabatan Hutan Baling mengambil inisiatif membina replika sepasang siung di Kampung Lalang sebagai mercu tanda.

Katanya, replika itu dibina pada awal 80-an sempena lawatan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kekal sehingga kini.

“Agak pelik, tak ada satu pun kampung di sini dinamakan kampung siung, cuma wujud mukim Siong. Mungkin ia lebih sesuai untuk menggambarkan sesuatu yang lebih besar dan luas,” katanya.

Apa pun pendapat yang diutarakan, kesimpulannya penduduk di situ terutama generasi lama berbangga dengan nama tempat mereka yang diberi berdasarkan cerita mitos popular, cuma lebih baik jika diwujudkan satu papan kenyataan ringkas mengenai sejarah atau latar belakang tempat sebagai rujukan pelancong luar.

Antara 24 kampung di Mukim Siong

Kampung Bandar, Terbala, Kelian Dalam, Kota, Siput, Pokok Setol, Luar, Baru, Lalang, Carok Bunting, Kuala Kedua, Ulu Legong, Bechah Sawa, Memali, Carok Putih, Surau, Carok Semeliang, Weng Luar, Weng Dalam, Batu 60, Tanjung Paru, Seri Ketenga, Batu 8 dan Teluk Rambong.

Sumber: Berita Harian Online

Thursday 3 December 2009

Sejarah2u di Mata Dunia

Adalah menjadi hasrat kewujudan weblog sejarah2u ini dapat dimanfaatkan oleh warga global, meski di negara manapun mereka berada.

Menjadi matlamat agar agenda penulisan bahan sejarah dalam medium bahasa Melayu dapat dimartabatkan dan mesej da'wah Islamiah diperkasakan menerusi perspektif Sejarah, telah memberikan inspirasi bermakna untuk Sejarah2u giat aktif dalam menyediakan bahan yang berkualiti, punya kredibiliti dan dapat diterima oleh semua khalayak massa.

Penegasan dan pembuktian pencapaian ini dilihat sangat meninggalkan dampak yang cukup bererti bila dalam beberapa tika waktu kehadiran pengunjung dari 15-16 buah negara melawat sejarah2u. Buktinya di sini...

Monday 30 November 2009

Memori Natrah: Antara Cinta dan Air Mata


KALAU disebut kepada generasi muda hari ini tentang kisah hidup Natrah, percayalah pasti akan ada yang mengerutkan dahi dan menggelengkan kepala.

Tetapi bagi mereka yang hidup di zaman penuh tragedi dan provokasi serta mereka yang mengikuti kisah itu, pastinya ia merupakan satu sejarah yang tidak mungkin akan luput sehingga bila-bila.

Biarpun sudah lebih lima dekad tragedi berdarah sehingga tercetusnya Rusuhan Natrah itu, tetapi implikasi yang berlaku daripada tragedi itu sebenarnya cukup relevan dengan apa yang berlaku hari ini.

Malah Natrah, atau nama sebenarnya, Maria Huberdina Hertogh juga sudah pergi meninggalkan kita semua pada usia 72 tahun di tanah kelahirannya, Belanda.

Jika ada yang mempersoalkan kenapa isu Natrah masih lagi mahu dipanjangkan dan dibincangkan, jawapannya cukup mudah.

Kisah itu sebenarnya telah meninggalkan impak yang cukup besar dalam sejarah terutama sekali apabila ia membabitkan soal agama, budaya dan latar belakang.

Natrah dilahirkan pada 24 Mac 1937 di Tjimahi, Jawa, Indonesia. lima tahun kemudian, beliau diserahkan kepada seorang wanita bernama Che Aminah Ahmad untuk dijadikan sebagai anak angkat.

Natrah yang juga dikenali sebagai Bertha Hertogh diserahkan kepada Che Aminah oleh ibunya, Adeline dan neneknya, Nor Louisenya tanpa pengetahuan bapa Natrah, Sarjan Hertogh yang telah ditawan oleh tentera Jepun.

Bermula detik itu, Natrah dididik, dibelai dan dicurahkan dengan penuh kasih sayang oleh Che Aminah dalam suasana yang cukup harmoni sehingga Natrah dilihat sebagai orang Melayu.

Hidupnya, tuturnya, gayanya dan peribadinya sudah seperti orang Melayu dan mereka yang berada di sekelilingnya juga tidak melihat Natrah sebagai orang Barat.

Mereka menerima Natrah dengan tangan terbuka dan menjadikannya sebahagian daripada komuniti mereka sewaktu Natrah tinggal di Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu.

Malah, Natrah sendiri dalam satu temuramah satu ketika dahulu menyifatkan kehidupan sewaktu zaman kanak-kanaknya merupakan momen yang cukup indah dan bahagia sekali.

Malangnya, kebahagiaan yang dikecapi Natrah tidak kekal lama dan semuanya direntap apabila polemik mula tercetus sebaik sahaja bapanya dibebaskan dan menjalankan misi mencarinya.

Kemuncaknya adalah pada tahun 1950 apabila detik demi detik yang mencemaskan lagi mendebarkan mula tercetus.

Muslihat

Semuanya bermula apabila Natrah dibawa ke Singapura oleh Che Aminah untuk bertemu dengan bapa kandungnya tanpa disedari semuanya adalah muslihat yang mahu memisahkan Natrah dan ibu angkatnya itu.

Tanggal 22 Mei 1950, Ketua Hakim Mahkamah telah mengarahkan Natrah untuk diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Singapura dan kemudiannya dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura.

Tidak sanggup untuk berpisah dengan Natrah yang sudah dianggap sebagai anak kandungnya itu, Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah.

Che Aminah menang kes rayuannya itu dan dengan pantas, Natrah dikeluarkan daripada York Hill.

Bimbang peristiwa yang sama berulang lagi, Che Aminah menyegerakan perkahwinan di antara Natrah dan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung.

Mungkin dengan pernikahan itu akan akan menyelamatkan Natrah daripada 'dirampas' oleh Belanda tetapi ia bukan satu jaminan yang kuat.

Sebaik sahaja hakim menjatuhkan hukuman bahawa Natrah mesti dipulangkan semula kepada ibu bapa kandungnya dan harus ditukar agamanya kepada Katolik, di sinilah amarah orang Melayu dan Islam semakin memuncak.

Ternyata, keputusan itu langsung tidak boleh diterima oleh orang Melayu ketika itu yang kuat dan tebal pendirian dan pegangan mereka terhadap Islam.

Bagi mereka, soal agama dan budaya adalah perkara yang tidak langsung boleh dikompromi terutama sekali isu murtad dan ia seharusnya dipelihara sehingga ke liang lahad.

Kerana Natrah, sebuah peristiwa berdarah yang diberi nama Rusuhan Natrah telah tercetus lantas dimaktubkan dalam sejarah sebagai salah satu peristiwa penting.

Akibat daripada Rusuhan Natrah yang berlaku pada 12 Disember 1950 itu, 18 orang telah kehilangan nyawa manakala 200 orang lagi cedera parah hanya mahu membela dan tidak sanggup untuk melihat agama mereka dipermainkan sebegitu rupa.

Begitulah impak yang terhasil daripada kehidupan seorang wanita biasa namun istimewa bernama Natrah ini.

Kerana Natrah juga, ramai yang tidak tahu beberapa individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung ketika itu telah menjadi tokoh serta negarawan terbilang dan tersohor.

Sampai bila-bila pun, kisah ini akan terus bersemadi dalam hidup dan ingatan sebahagian daripada.

Cuma, adakah insiden Natrah ini akan membuka mata kita terutama kepada generasi muda hari ini untuk dijadikan iktibar agar ia tidak akan berulang lagi?

Wednesday 25 November 2009

Lambaian Kaabah

Salam Aidil Adha 1430H

Kekejaman Komunis Bintang Tiga

Bau hanyir darah, sungai jernih bertukar merah, mayat bergelimpangan

DITANGKAP dan disembelih hidup-hidup, darah menyembur keluar dari leher yang hampir putus, tubuh terangkat ke atas dan menggelepar menahan seksa sakratulmaut. Bunyi geruh menarik nafas akhir amat gerun dan memilukan.

Tidak cukup dengan itu, walaupun batang tubuh sudah tidak bergerak dan basah bermandi darah, dagingnya ditakik pula sebelum dibakar dan dihumban ke dalam lubang sedalam paras paha.

Perbuatan kejam dan di luar peri kemanusiaan itu adalah gambaran kekejaman komunis yang bermaharajalela ketika era darurat dari 1948 sehingga 1960.

Bagi Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri menyifatkannya sebagai tindakan membalas dendam Parti Komunis Malaya (PKM) yang juga dikenali Bintang Tiga terhadap individu yang disyaki menjadi tali barut tentera Jepun.

Tentera Jepun menguasai negara ini untuk tempoh tiga tahun lapan bulan. “Jepun menyerah kalah selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom pada 6 Ogos 1945. Sebaik mendapat khabar, komunis keluar daripada tempat persembunyian di hutan dan menunjukkan kekuatan dengan membunuh sesiapa saja yang dipercayai bersekongkol dengan Jepun,” katanya.

Gambaran kekejaman Bintang Tiga dijelaskan beliau pada ceramah program Bicara Tokoh Darurat sempena pameran Darurat-Rentetan Sejarah 1948-1960 anjuran Muzium Negara yang berlangsung dari 30 Jun hingga 30 Ogos lalu.

Shafie berkata, keadaan huru-hara di Malaya ketika itu menyebabkan hubungan antara kaum tegang biarpun keanggotaan PKM bukan di kalangan kaum Cina saja.

“Hubungan antara kaum ibarat paku berselirat. Mereka terlalu berhati-hati baik dalam pergaulan mahupun percakapan kerana takutkan musuh dalam selimut.

“Si penjual sayur yang berjaja setiap pagi menjadi pembelot pada malam hari apabila membawa PKM mengepung kediaman penduduk yang lancang mengkritik komunis,” katanya.

Disebabkan tidak mahu ditimpa kesusahan, masyarakat ketika itu rela bergelap dan berkurung di rumah biarpun Maghrib belum menjelang.

Shafie berkata, ancaman PKM tidak dihadapi orang Melayu saja, bahkan ada kaum Cina terutama suku Tionghua selalu menerima ugutan, diganggu malah harta mereka dirampas menyebabkan mereka memilih mendiami kawasan pinggir hutan.

Perang Vietnam memburukkan keadaan kerana memberi ilham untuk menghasilkan jerangkap samar atau bobby trap kepada pengganas komunis. Pemberontakan komunis ketika ini di seluruh dunia melalui fasa kedua dengan melakukan serangan lebih agresif dan membunuh.

“Permatang (laluan) tentera dan polis dipasang jerangkap samar menyebabkan ramai anggota keselamatan terkorban, kudung kaki dan tangan. Pemilik ladang dan lombong dikelar, tanaman getah ditetak, manakala kereta api yang membawa hasil komoditi itu diserang, diterbalikkan dan dibakar. Hakikatnya, ini cara komunis melumpuhkan ekonomi negara,” katanya.

Namun, kata Shafie, kekejaman komunis meragut kesabaran rakyat, terutama orang Melayu apabila balai polis diserang, dibakar dan menagih korban bukan saja di kalangan anggota bertugas, bahkan anak isteri dibunuh tanpa belas kasihan. Balai Polis Bukit Kepong, Kuala Krai, Simpang Pertang dan Pekeliling musnah dihujani peluru dan bom tangan membangkitkan kemarahan masyarakat,” katanya ketika mengenang semula keganasan dicetuskan anak buah Chin Peng itu.

Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Zaini Mohd Saidi walaupun ketika darurat masih kecil dan berusia dua tahun, namun beliau mengerti kesengsaraan dan ketakutan yang ditanggung orang sekelilingnya.

“Saya membesar dalam kekalutan, hilang kebebasan bahkan lebih teruk, melabelkan suku kaum tertentu sebagai komunis. Keadaan ketika itu sangat menekan perasaan sehinggakan untuk pulang ke kampung saya di Lenggeng, Negeri Sembilan dari Kuala Lumpur harus melalui tidak kurang 10 sekatan jalan raya, perintah berkurung dikenakan selepas jam 6 petang, manakala permit diperlukan bagi beras dan gula mempunyai berat lebih sekati,” katanya.

Namun, paling dikesali beliau ialah kesan pemberontakan komunis yang mencipta sentimen benci di antara kaum, khususnya Melayu dan Cina. “Angka korban darurat dianggarkan mencecah 2,542 orang membabitkan semua kaum terutama Melayu dan Cina.

Pantang silap sikit ketika itu, akan tercetus perkelahian kaum yang berakhir dengan kematian,” katanya. PKM di bawah pimpinan Chin Peng membiak ke angka 10,000 anggota pada akhir 60an berbanding 400 anggota asal. Matlamat awal untuk memerangi kuasa Jepun sebaliknya melahirkan gerombolan gerila yang berniat jahat menimbulkan huru-hara.

“Generasi kini patut mengenang semula pahit getir perjuangan dan kesediaan anggota keselamatan berkorban nyawa demi negara. Azab dua tiga bulan berkampung di hutan tidak terungkap dengan kata-kata, namun itu sudah menjadi tugas kami untuk melindungi keselamatan rakyat,” katanya.

Fahami sejarah kemerdekaan

KEMERDEKAAN dikecapi hari ini bukan diperoleh secara mudah tetapi dibina dengan keringat, darah dan air mata. Penghayatan kemerdekaan tidak terhad dengan mengibarkan bendera, menganjurkan perarakan warna-warni, konsert dan menyanyikan lagu ‘Negaraku’ semata-mata tetapi sewajarnya rakyat dilatih mengenang semula perjuangan generasi terdahulu membebaskan negara daripada penjajahan, selain memahami proses bagaimana akhirnya kemerdekaan menjadi milik negara.

Kependudukan Jepun yang bertunjangkan slogan ‘Asia untuk Asia’ berjaya merubah senario politik Tanah Melayu apabila British tidak lagi dianggap kuasa imperialisme kebal. Bertujuan mengembalikan maruah peribadi, namun diuar-uarkan atas nama membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman Jepun, British menjalinkan kerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 8 Disember 1940.

Namun, British silap perhitungan apabila PKM yang sepatutnya menyebelahi mereka, sebaliknya bermaharajalela mengisi kekosongan ditinggalkan Jepun yang kalut dengan kemelut pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1946.

Pengaruh fahaman komunis semakin meluas menjelang 1948. Malah, untuk merealisasikan wawasan penubuhan Republik Komunis Malaya, PKM menukarkan namanya kepada Malayan People Anti-British Army (MPABA) sekali gus menjadi platform melancarkan serangan lebih agresif untuk melumpuhkan British.

Tiga peringkat strategi dirangka komunis untuk mengambil alih Tanah Melayu bermula dengan menghasut kesatuan sekerja mengadakan mogok.

Usaha ini gagal apabila British meluluskan Trespass Law (undang-undang pencerobohan) yang menyekat kesatuan memasuki ladang bagi tujuan berceramah dan menstruktur organisasi pekerja.

Ordinan persatuan yang mewakili pekerja juga dipinda dan dikemaskini pada 12 Jun 1948 iaitu mewajibkan semua kesatuan sekerja mendaftar dengan pihak berkuasa.

Strategi kedua PKM ialah menguasai bandar kecil, seterusnya mendirikan markas PKM yang diisytiharkan British sebagai kawasan putih. Bagi memastikan dasar dan rancangan mereka berjalan lancar, Gerakan Rakyat (Min Yuen) berciri serampang dua mata ditubuhkan. Gerakan Rakyat ini bertanggungjawab membekalkan makanan kepada ahli PKM yang melarikan diri ke dalam hutan selepas pengharaman parti itu, selain mengumpul maklumat berkaitan strategi kerajaan menghapuskan mereka.

Pemberontakan bersenjata terkandung dalam strategi terakhir. Melaluinya, anggota dilatih menguasai taktik perang gerila, selain menubuhkan unit kecil berfungsi menakutkan penduduk Tanah Melayu membabitkan pertumpahan darah warga British dan sekutunya.

Kekejaman demi kekejaman yang dilakukan memaksa British mengambil pendekatan drastik mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948.

Meskipun darurat menyusahkan rakyat kerana mengekang pergerakan, mengorbankan banyak nyawa serta menyebabkan kerosakan harta benda, dari perspektif lain, insiden darurat sebenarnya mempercepatkan lagi proses memerdekakan Tanah Melayu apabila British bersetuju ia ditadbir anak tempatan.

Info Kes-Kes keganasan komunis

· Serang hendap di Kelian Intan - 10 September 1947

Peristiwa berlaku pada jam 7.30 pagi membabitkan serangan pengganas ke atas sebuah lori dan dua bas yang membawa anggota polis. Tiga anggota polis dan enam orang awam terkorban, manakala dua mata-mata polis serta 12 orang awam cedera parah. Segerombolan pengganas komunis dikatakan melepaskan tembakan bertubi-tubi selama 10 minit, merampas harta penumpang dan mengacukan senapang kepada mereka.

· Pembunuhan di Sungai Siput, Perak - 16 Jun 1948

Tragedi ini mengorbankan tiga pengurus ladang berbangsa Eropah iaitu T.G Christian, A.E Walker dan J.M Allison. Pembunuhan ini menggemparkan penduduk tempatan, seterusnya penyebab kepada pengisytiharan Undang-undang Darurat di Perak. Ia adalah pengumuman darurat pertama sebelum ia diperluaskan di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948. Pembunuhan ini disifatkan sebagai kemuncak keganasan komunis yang mula berleluasa sejak tamat Perang Dunia Kedua di negara ini.

· Serangan ke atas kampung Jeram Choh, Johor - 18 Jun 1948

Ia dilakukan kira-kira 20 pengganas komunis lengkap bersenjata. Kemuncak kejadian ialah serangan ke atas balai polis yang menyebabkan kerajaan mengalih langkah mengumumkan perintah darurat berkuat-kuasa serta-merta.

· Tragedi lombong Batu Arang, Selangor - 12 Julai 1948

Lombong ini ditawan komunis sebagai strategi melumpuhkan ekonomi negara. Ia bukan saja mengakibatkan operasi kilang terhenti, malah seluruh kilang dimusnahkan manakala lima pekerja berbangsa Cina terkorban.

· Sabotaj ke atas kuari Sungai Gepai, Tapah, Perak - 19 Januari 1950

Serangan membabitkan kira-kira 20 pengganas itu memusnahkan beberapa kenderaan dan peralatan kuari.

· Serang hendap di Seberang Perai - 22 Januari 1950

Serangan ini mengorbankan lapan anggota polis termasuk seorang sarjan Inggeris manakala enam anggota polis Melayu cedera parah.

· Serangan di Kampung Simpang Tiga, Setiawan, Perak - 4 Februari 1950

Kira-kira 80 pengganas komunis menyerang dan membakar kampung yang mengakibatkan 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

· Peristiwa Bukit Kepong - 23 Februari 1950

150 pengganas komunis yang diketuai Mat Indra menyerang balai polis pada jam 4.30 pagi. Tragedi memilukan ini mengorbankan 23 mangsa membabitkan 13 anggota polis, enam pengawal kampung, tiga wanita dan seorang kanak-kanak.

· Serang hendap di Sungai Semur, Kelantan - 25 Mac 1950

Pertempuran antara kira-kira 250 pengganas komunis dengan platun Kompeni D Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja berjumlah 25 orang. Serangan berlaku pada jam 10.30 pagi ketika platun berkenaan menyusuri sungai. Sejumlah 17 orang anggota tentera terbunuh dengan lapan cedera.

· Pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney di Batu 56 1/2, Jalan Kuala Kubu Bharu, Bukit Fraser - 6 Oktober 1951

Sir Henry, Pesuruhjaya Tinggi British pada 1948 hingga 1951 diberi tanggungjawab membanteras ancaman komunis di Tanah Melayu. Dia dan isteri ditembak mati ketika dalam perjalanan ke Bukit Fraser dari Kuala Lumpur untuk bercuti.

· Serang hendap kereta api, Tampin, Negeri Sembilan - 14 November 1951

Serangan ini mengorbankan empat orang awam, termasuk pemandu kereta api, K Vettivelu. Kejadian berlaku pada waktu malam ketika kereta api berkenaan berada kira-kira sebatu dari Tebong berhampiran Tampin.

Sabotaj dilakukan dengan mengalihkan landasan mengakibatkan kereta api tersasar, manakala sebahagian gerabak terbabas serta tergelincir kira-kira 10 meter ke bawah landasan. Kereta api itu ditembak bertubi-tubi sekali gus mencederakan 20 penumpang. Antara mangsa terselamat, termasuk Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dan isteri serta dua putera baginda.

· Pokok getah seluruh Tanah Melayu ditetak (1948 - 1951)

Ia adalah tindak balas pengganas komunis terhadap pemilik ladang yang enggan bekerjasama dengan mereka. Perbuatan menetak pokok juga bertujuan melumpuhkan ekonomi yang ketika itu banyak bergantung kepada hasil pengeluaran getah.

Sumber: Berita Harian Online

Tahukah Anda? - Khasiat Kurma

Setiap kali kedatangan bulan Ramadhan, buah kurma atau tamar pastinya menjadi pilihan umat Islam di seluruh dunia sebagai juadah untuk berbuka puasa.

Populariti kurma mengatasi hidangan lain ketika berbuka puasa dan buah ini menjadi makanan utama Nabi Muhammad SAW yang diteladani umat Islam zaman berzaman.

Umat Islam dianjurkan berbuka puasa dengan buah kurma sebaik terbenamnya matahari kerana ia perkara yang disunatkan.

Selain bulan puasa, biasanya masyarakat Melayu Islam sering dihadiahkan kurma oleh jemaah yang baru pulang dari mengerjakan ibadat haji di Makkah.

Menjadi makanan wajib di Asia Barat, kurma menurut ensiklopedia Wikipedia dipercayai berasal di sekitar Teluk Parsi dan ditanam sejak zaman kuno dari Mesopotamia hingga prasejarah Mesir, kira-kira 4,000 tahun Sebelum Masihi.

Bukti arkeologi pula menunjukkan kurma mungkin berasal dari timur Arab dalam 6,000 tahun Sebelum Masihi. Buah ini kemudian dibawa pedagang Arab ke Asia Selatan, Asia Tenggara, utara Afrika dan Sepanyol yang mana orang Sepanyol memperkenalkan buah ini ke Mexico dan California pada 1765.

Tarikh sebenar kurma dibawa ke Malaysia tidak diketahui tetapi ia dipercayai diperkenalkan pedagang Arab yang datang berniaga dan berdakwah ketika zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Kurma atau nama botani Phoenix dactylifera mengandungi zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, kalsium, vitamin B1, vitamin B2, beta karotena serta niasin.

Buah kurma amat sesuai untuk dijadikan hidangan berbuka puasa kerana kandungan tenaganya yang tinggi dapat mengembalikan paras gula yang rendah dalam darah kepada paras yang normal.

Amalan berbuka puasa yang baik ialah dengan mengambil tiga biji kurma yang kaya dengan tenaga, serat, vitamin dan mineral. Kemudian diikuti dengan setengah cawan jus buah-buahan. Selepas itu bolehlah mengambil satu mangkuk kecil sup sayur berserta dengan satu atau dua keping roti.

Bagi mereka yang menghidapi kencing manis, buah kurma boleh diambil sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa. Namun begitu, mereka perlu mengawal pengambilannya. Mereka boleh mengambil tiga biji kurma tetapi perlu mengehadkan pengambilan makanan serta minuman manis yang lain.

Kurma baik untuk diet pemakanan, malah, kandungan zatnya dapat membantu dalam perubatan (mempunyai tenaga pembersihan) dan estringen pada masalah usus yang dapat mengatasi masalah sembelit dan gangguan usus kronik.

Ia juga dapat digunakan dalam masalah sakit kerongkong, selesema dan demam, juga dikatakan penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia, selain mempunyai pelbagai khasiat lain. Oleh kerana kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium, ia sesuai untuk wanita sama ada ketika hamil atau selepas bersalin.

Jus kurma dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi. Kandungan zat besi yang terkandung pada buah berkenaan juga menyebabkan wanita berpantang sesuai mengambilnya sebagai hidangan tanpa keraguan. Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, ia dapat diatasi dengan memakan buah kurma sekali gus menggalakkan pertambahan kandungan susu.

Kurma juga membantu melancarkan perjalanan darah, menghindari barah, merawat buah pinggang, mencuci hati dan membantu mengurangkan pengaliran darah ketika kelahiran. Berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, pembentukan darah dan sum-sum tulang.

Antara kajian lain dijalankan membuktikan kurma antara makanan paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga, selain berkhasiat membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda kanak-kanak.

Justeru, ia sangat sesuai untuk perut kosong, memberikan tenaga dan menyegarkan kisaran penghadaman. Dilaporkan 100 gram kurma segar mengandungi sumber vitamin C yang diperlukan badan dan membekalkan 230 kalori untuk tenaga (960 kJ).

Oleh kerana kurma mengandungi sedikit air, ia masih pekat walaupun sudah kering. Bermakna dengan memakan kurma, badan mendapat tenaga mencukupi walaupun hanya dimakan sebiji dan segelas air. Oleh sebab itulah ada individu yang memilih berbuka puasa dengan hanya sebiji kurma dan badan sudah berupaya mendapat tenaga kembali selepas sehari suntuk berpuasa.

Kini, kurma bukan hanya dimakan umat Islam tetapi menjadi pilihan pelbagai masyarakat dunia yang hidangkan dalam pelbagai resipi serta juadah. Dengan ada reka cipta dalam dunia masakan, kurma boleh dinikmati pelbagai cara dan tidak lagi hanya dimakan sebagai buah semata-mata. Pakar masakan mula menjadikan kurma sebagai bahan pilihan dalam resipi yang dicipta.

Selain digabungkan dengan coklat, manisan dan agar-agar, kurma menjadi ramuan dalam kek, biskut dan jem yang menjadi menu tidak kira bagi sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Peniaga juga memberi wajah baru kepada kurma dengan membuang biji dan digantikan dengan badam, dipakej dengan cara yang menarik dan kemas.

Malah, kini kurma menjadi bahan utama dalam hamper yang dihadiahkan kepada kawan-kawan, kenalan, saudara mara serta rakan niaga terutama menjelang Ramadan.

Kota Purba Inca

KOTA purba tinggalan tamadun Inca ini merupakan tarikan utama bagi pelancong yang melawat Peru. Machu Picchu yang bermaksud puncak purba dipercayai dibina sekitar 143O sebelum ditinggalkan sepenuhnya ketika zaman penaklukan tentera Sepanyol.

Kewujudan kota yang terletak pada ketinggian 2,430 meter dari paras laut ini hanya diketahui dunia luar pada tahun 1911 melalui pendedahan ahli sejarah Amerika Syarikat bernama Hiram Bingham.

Menurut kajian arkeologi, kawasan yang dibina daripada susunan batu-batu asah itu suatu ketika dahulu pernah menjadi penempatan kepada sekurang-kurangnya 1,200 orang.

Struktur Machu Picchu dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu pertanian, bandar dan keagamaan yang dibina bertepatan mengikut keadaan sekelilingnya.

Kawasan lereng bukitnya dibangunkan sebagai teres-teres pertanian yang dilengkapi dengan sistem saliran air yang ditakung dari puncak bukit.

Bahagian bawah pula menempatkan penginapan para petani dan golongan pengajar manakala pentas keagamaan dibina bertentangan dengan pergunungan Andes, mengadap Lembah Urabamba di bawah kaki gunung berkenaan.

Pemandangan di kawasan pergunungan dan lembah di Machu Picchu sering digambarkan pelawat sebagai pengalaman alam fantasi yang dikelilingi unsur mistik.

Tuesday 17 November 2009

Selamat Menduduki Peperiksaan SPM 2009

Soalan-Soalan Jangkaan SPM 2009 Sejarah2U

Soalan-soalan Jangkaan Sejarah SPM 2009 (Kertas 2)
oleh Sejarah2U (17/11/09)

Tingkatan 4

1) Tamadun Indus, Hwang Ho [Bab1]
2) Kerajaan Umayyah, Abbasiyah [Bab 6]
3) Teori2 Kedatangan Islam ke AT [Bab 7]
4) Pengaruh Islam – ekonomi, sosiobudaya [Bab 8]
5) Zaman Gelap, Renaissance, Penjelajahan [Bab 9]
6) Undang2 Tanah, Perbandaran [Bab 10]

Tingkatan 5

7) Nasionalisme di AT [Bab1,2]
8) Warisan Kesultanan Melayu [Bab 3]
9) Pakatan Murni, Perjanjian PTM 1957 [Bab 5]
10) Raja Berperlembagaan, Kuasa Pemerintahan [Bab 7]
11) Perpaduan Kaum di Malaysia [Bab 8]
12) Dasar2 Luar Malaysia [Bab 9]

Tambahan Soalan Jangkaan (Dikemaskini:18/11/09)

13) Kerajaan Agraria [T4, Bab 3 ]
14) Buruh Luar, Masyarakat Majmuk [T4, Bab 10]
15) Globalisasi, ICT, K-Masyarakat [T5, Bab 9]

_________________________________________________

Analisis Soalan Jangkaan Sejarah SPM ’09 Mengikut Tema

Tingkatan 4:

Tema 1:
Soalan No. 1 & 13
Tema 2:
Soalan No. 2, 3 & 4
Tema 3:
Soalan No. 5 & 14

Tingkatan 5:

Tema 4:
Soalan No. 7
Tema 5:
Soalan No. 8, 9, 10 & 11
Tema 6: Soalan No. 12 & 15


”Berusaha, Berdoa, Bertawakkal...Kejayaan ’A’. InsyaAllah.”

Tuesday 10 November 2009

Analisis Mutakhir Soalan Percubaan SEJARAH SPM Negeri/SBP/MRSM 2009

Salam Sejarah penulis ucapkan buat semua pengunjung Sejarah2u yang dikasihi lagi dihormati.

Buat semua calon yang bakal menduduki kertas SEJARAH pada 18 dan 19 November ini pastinya semakin sibuk dan giat mengulangkaji bagi memperoleh gred A dalam peperiksaan ini.

Memang diakui, begitu banyak pertanyaan dan permintaan agar penulis membantu menyediakan soalan-soalan khusus berdasarkan beberapa analisis terdahulu. Tak kurang juga yang meminta soalan-soalan ramalan buat persediaan akhir sebelum peperiksaan. Hakikatnya, penulis bukanlah seorang ahli nujum seperti 'pak belalang'.

Penulis tetap berpendirian bahawa dengan kerajinan dan ketekunan membuat latih tubi, keampuhan strategi mengulangkaji dan kemahiran menguasai analisis soalan bakal memberikan natijah yang pastinya menghadirkan kegembiraan dan kejayaan di kemudian hari.

Maka, sebagai usaha dan ikhtiar di penghujung 'tarikh keramat' menjawab nanti, penulis berusaha sedaya mungkin untuk menyediakan analisis mutakhir ini dengan harapan sedikit sebanyak membantu persiapan akhir para calon membuat ulangkaji secara terpandu dan fokus. Semoga berjaya dengan izin-Nya jua. Ameen.

Sila klik di sini untuk mendapatkan analisis mutakhir ini.

"Ingat Sejarah..Ingat Sejarah2u" :)

Sistem Merit ke IPTA mulai Sesi 2010/2011


Untuk membaca kenyataan akhbar Kementerian Pengajian Tinggi mengenai Kaedah Pengiraan Merit sila klik di sini.

Friday 6 November 2009

Bicara Salam Berjuang

Pada hari khamis lalu, bersamaan tarikh 5 November tercatat sejarah dengan berakhirnya sesi kelas Persediaan Ulangkaji Intensif (PUI) untuk subjek Sejarah Spm bagi sesi 2009 ini.

Penulis merafa'kan setinggi kesyukuran pada-Nya kerana memberi kekuatan kepada penulis untuk melaksanakan amanah sepanjang hampir dua bulan PUI berlangsung untuk memberikan hanya yang terbaik kepada anak-anak didik yang penulis sayangi.

Semakin menghampiri Spm, dapat penulis rasakan bahawa hati ini semakin dekat dengan setiap denyutan mereka sementelah banyak berkongsi perasaan dan masalah mereka dalam memastikan mereka tenang dan berkeyakinan tinggi dalam satu saf yang kukuh demi membuat persediaan terbaik untuk menghadapi Spm kelak.

Jauh di hati kecil ini, penulis sentiasa mendoakan kejayaan mereka dalam Spm dan yang lebih penting kejayaan mereka dalam segala lapangan samada di dunia mahupun di akhirat.

Harapan penulis, agar anak-anak didik asuhan penulis ini terus fokus dengan misi kecemerlangan demi mengharapkan redho-Nya di samping abaikanlah pujukan hati dan nafsu yang selalu merayu ke arah 'kegelinciran' dalam melakukan sesuatu yang sia-sia dan tidak bermanfaat demi masa depan mereka.

Bersabarlah dengan segala susah payah dalam usaha menekuni ilmu, kerana ilmu yang diperoleh dengan sabar dan tekun itulah yang lebih berkat. Betulkanlah niat menuntut ilmu bukan semata-mata lulus dan skor peperiksaan semata (exam orientation) tapi tuntutlah ilmu demi menggapai keredhoan Allah Swt, seterusnya berjaya mengembalikan 'izzah Islam dan tradisi gemilang umat khayr ummah ini.

Akhir bicara, medan peperiksaan itu ibarat sebuah medan perang yang maha dahsyatnya, segala apa latihan yang diberi dan panduan sepanjang PUI ibarat 'senjata' dan kemahiran untuk berperang. Manfaat dan gunakanlah semua kemahiran dan 'senjata' tersebut dengan tangkas dan penuh semangat keperwiraan tulen hingga tercapai matlamat yang dicita. 'Biar putih tulang, jangan berputih mata' 'Pantang perwira berundur, pantang maut sebelum ajal'. Allahu a'lam

Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN)

ASEAN (Association of Southeast Asian Nation) ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 hasil daripada perisytiharan atau Deklarasi Bangkok.

Ia merupakan satu pertubuhan yang lebih luas lagi bagi menggantikan ASA (Association of Southeast Asia) dan MAPHILINDO (Malaysia, Filipina, Indonesia).

ASEAN bukanlah satu pakatan tentera tetapi merupakan satu persetujuan bagi menjalin hubungan antara negara anggota yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Brunei, Vietnam, Myanmar, Laos, dan Kemboja.

Hubungan dalam ASEAN meliputi kerjasama dalam bidang politik, sosial dan ekonomi.

Pada tahun 1971, dengan cadangan Malaysia, ASEAN telah bersetuju untuk berpegang kepada dasar berkecuali dengan mawujudkan 'Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali' atau dikenali dengan ZOPFAN.

Ini bermakna Asia Tenggara terutamanya ASEAN menjadi kawasan yang bebas daripada pengaruh dan penglibatan negara-negara kuasa besar dunia.


Sepanjang penubuhan ASEAN, ia telah banyak menerima cabaran yang mengganggu gugat kestabilan ikatannya. Antaranya, termasuklah pencerobohan Vietnam terhadap Kemboja dan pertikaian merebut kekayaan di Laut China Selatan seperti isu Spratly, berikutan pengisytiharan kawasan ekonomi lanjutan (Extended Economic Zone atau EEZ).

Walaubagaimanapun, ASEAN secara keseluruhannya telah berjaya dan mampu mewujudkan satu kerjasama ekonomi dan politik yang baik dan harmoni demi memelihara kepentingan bersama antara negara anggotanya.

Tuesday 3 November 2009

Tahukah Anda? - Lurah Bilut

Lurah Bilut adalah sebuah kawasan penempatan FELDA yang terletak di Bentong, Pahang.

Ia mula dibuka pada tahun 1958 dan merupakan rancangan pembangunan tanah secara berkelompok untuk pertanian yang pertama ditubuhkan seumpamanya di Malaysia dan dunia.

Felda Lurah Bilut adalah merupakan kawasan FELDA yang pertama ditubuhkan di Malaysia.

Penempatan penduduk dibahagikan mengikut kawasan asal penduduk datang. Contohnya penduduk berasal dari Pulau Pinang dikumpulkan penempatan mereka di Jalan Pulau Pinang.

Kegiatan pertanian utama adalah penanaman Getah dan Kelapa Sawit.

Penduduk terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.

Sistem pemusatan pentadbiran sekolah rendah di FELDA Lurah Bilut adalah merupakan Sekolah Wawasan pertama dan model dalam pembentukan sekolah wawasan di seluruh Malaysia.

Nota: Untuk sebuah filem bertajuk Bilut, sila klik sinopsisnya di sini.

Friday 30 October 2009

Kegemilangan Istiadat Pertabalan Yamtuan: Sejarah Tercipta Selepas 42 Tahun

Negeri Sembilan menyaksikan pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, yang telah berlangsung penuh istiadat di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti pada 26 Okt yang lalu.

Istiadat pertabalan ini berlangsung di Bandar Diraja Seri Menanti dari 22 hingga 28 Okt 2009.

Istiadat ini mengulangi sejarah lebih 42 tahun lalu, upacara pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman pada 18 April 1967.

Istiadat pertabalan pada 26 Okt lalu merupakan istiadat kemuncak selepas hampir setahun bermula dengan pemasyhuran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 29 Dis 2008 berikutan kemangkatan Tuanku Ja'afar dua hari sebelumnya.

Proses pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan merupakan suatu yang unik kerana dilakukan oleh Undang Yang Empat -- Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau -- setelah dilantik daripada putera-putera yang layak dicalonkan.

PERJALANAN PERTABALAN

Istiadat pertabalan dimulakan dengan istiadat mengeluarkan dan memasang alat-alat kebesaran di halaman Istana Besar Seri Menanti pada 22 Okt oleh Pegawai 99 yang diketuai Datuk Seri Amar Diraja.

Alat-alat kebesaran ini terdiri daripada lapan kaki payung kuning, lapan bilah tombak berambu, lapan bilah keris panjang, lapan bilah pedang panjang dan lapan tonggol kuning, hitam dan merah.

Alat-alat ini akan kekal terpasang di halaman Istana selama tujuh hari sehingga istiadat menyimpan dilakukan pada 28 Okt.

Ini diikuti dengan tembakan dua das meriam.Istiadat seterusnya ialah istiadat bersiram pada 25 Okt lalu melibatkan Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku BEsar Mahmud.

Baginda berdua seterusnya bersemayam di atas Takhta Rencana dan diarak dari Istana Besar Seri Menanti ke Panca Persada, disusuli dengan lapan das tembakan meriam.

Orang Empat Istana menyempurnakan istiadat bersiram dengan menyembahkan bedak limau setelah mengelilingi baginda berdua sebanyak tujuh kali.

Baginda berdua kemudiannya bersemayam semula di atas Takhta Rencana dan diarak kembali ke Istana Besar Seri Menanti dengan disusuli lapan das tembakan meriam lagi.

ISTIADAT PERTABALAN

Istiadat pertabalan berlangsung pada 26 Okt di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti. Istiadat tersebut bermula dengan ketibaan Menteri Besar Negeri Sembilan dan Tunku Besar Tampin di sebelah pagi di perkarangan Istana.

Setelah bermalam di rumah telapak (rumah persinggahan) masing-masing, Undang Yang Empat berehat di balai-balai sementara yang disediakan khas di luar perkarangan Istana Besar Seri Menanti sebelum berjalan kaki memasuki perkarangan Istana Besar Seri Menanti diiringi oleh Datuk-Datuk Lembaga masing-masing. Lima belas das tembakan meriam akan dilepaskan.

Undang Luak Sungai Ujong akan berjalan dari Balai Melintang, Undang Luak Jelebu dari Balai Serong, Undang Luak Johol dari Balai Bertingkat manakala Undang Luak Rembau dari Balai Panjang.

Untuk membaca lanjut, sila klik di sini.


"Tegak Rumah Kerana Sendi, Runtuh Sendi Rumah Binasa, Sendi Bangsa Adalah Budi, Runtuh Budi Runtuhlah Bangsa. Adat Bersaudara, Saudara Dipertahankan, Adat Berkampung, Kampung Dipertahankan, Adat Bernegeri, Negeri Dipertahankan, Adat Berbangsa, Bangsa Dipertahankan, Adat Beragama, Agama Dipertahankan".

Skor A Siri 10/09

Latihan Soalan Esei

F= Fakta , H= Huraian, C= Contoh

Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 merupakan asas pembinaan negara dan bangsa Malaysia yang ada pada hari ini.

Soalan 1: Jelaskan konsep sistem politik masyarakat Melayu tradisional.

F1 Negara adalah kerajaan
F2 Disebabakan adanya raja
F3 Kedudukan raja tinggi dan istimewa
F4 Bertanggungjawab memberikan perlindungan politik
F5 Menjamin keselamatan rakyat
F6 Rakyat yang mendiami wilayah raja akan mengakui kekuasaan raja
F7 Kesetiaan rakyat terhadap raja menentukan sempadan kerajaan
F8 Kerajaan kuat akan menakluk atau menanungi kerajaan yang lemah
F9 Kesultanan Melayu Melaka mempunyai banyak negeri taklukan dan naungan
F10 Negeri bererti kawasan
F11 Seperti negeri Larut, negeri Bernam, dan negeri Krian

Soalan 2: Apakah unsur-unsur warisan Kesultanan Melayu Melaka yang masih diamalkan di negeri-negeri Melayu hingga hari ini?

F1 Mengamalkan sistem beraja
F2 Menggunakan gelaran sultan pada awal nama
F3 Kesultanan Perak, Johor, dan Pahang diasaskan oleh kerabat diraja Melaka
F4 Sistem pewarisan takhta mementingkan jurai keturunan sebelah bapa (patrilineal)
F5 Putera sulung sultan dengan permaisurinya mewarisi takhta kerajaan
F6 Sultan tiada putera, adik lelaki sultan boleh mewarisi takhta
F7 Mengamalkan Sistem Pembesar Empat Lipatan
F8 Perbezaan hanya pada gelaran pembesarnya
F9 Kitab undang-undang bagi Johor, Perak, dan Pahang disalin dan dipinda berdasarkan Hukum Kanun Melaka
F10 Adat istiadat Melayu
F11 Agama Islam adalah agama rasmi
F12 Bahasa Melayu melambangkan penyatuan bangsa dan bahasa kebangsaan
F13 Alat kebesaran diraja

Thursday 29 October 2009

Majlis Solat Hajat SPM 2009

Salam Sejarah buat semua anak didik di tingkatan 5 yang dikasihi Allah Swt.

Pihak Kelab Kelas Tingkatan 5 akan menganjurkan majlis Solat Hajat untuk semua para calon yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Diharap kalian hadir dan menjemput ibu bapa masing-masing untuk hadir bersama bagi menjayakan majlis yang besar maknanya buat kalian semua.

Jadual penuh majlis adalah seperti di bawah:

Tarikh/ Hari : 30 Oktober '09 / Jumaat
Tempat : Surau Al-Amin
Masa : 7.00 pm - 9.30 pm
Tentatif : Solat maghrib, Tazkirah, Solat Isya' , solat Hajat, jamuan ringan (potluck), bersurai.

Semoga segala hajat yang kita pohon bersama diterima di sisi Allah Swt...demi kecemerlangan di dunia mahupun di akhirat. InsyaAllah

p/s: kepada sesiapa yang ingin mendapatkan kertas percubaan SPM MRSM '09, sila klik di sini.

"Ingat Sejarah...Ingat Sejarah2u" :)

Tuesday 27 October 2009

Za'ba - Pejuang Kemerdekaan Tanah Air dan Bahasa Melayu

PENDITA Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad tidak pernah mengenal erti berputus asa dan pernah berjuang untuk meninggikan martabat Bahasa Melayu suatu masa dahulu.

Semasa mengajar di Kolej Latihan Sultan Idris, beliau berusaha untuk menyerapkan syarat-syarat aturan tatabahasa Arab dan Bahasa Inggeris dalam buku-buku teks sekolah dan bahan-bahan bacaan umum dalam Bahasa Melayu.

HASIL KARYA ZA'BA

Artikel pertamanya yang berjudul “Temasya Mandi Safar di Tanjung Kling” diterbitkan sebanyak dua kali dalam akhbar Utusan Malaya.

Buku pertamanya yang bertajuk Umbi Kemajuan, merupakan menulisan semula karangan rencana keugamaan yang diterbitkan pada tahun 1932.

Za’ba mula menulis secara aktif semasa beliau menjadi guru sementara di Johor Bahru pada tahun 1916.

Bakat Pendita Za’ba terserlah kerana beliau menyentuh mengenai aspek-aspek bahasa, kesusasteraan, agama, ekonomi, pendidikan dan politik dalam hasil karyanya.

Karyawan yang disegani ini pernah mengarang cerpen, novel dan buku-buku rujukan tatabahasa dalam Bahasa Melayu.

Antara hasil karyanya ialah Journalism in Malaya yang diterbitkan pada tahun 1947, Ilmu Mengarang Melayu (1934), Pelita Bahasa Melayu I, Pelita Bahasa Melayu II dan Pelita Bahasa Melayu III (1958).

Seorang penulis yang bernama Dharma Wijaya menggambarkan Pendita Za’ba sebagai seorang pejuang Bahasa Melayu yang sentiasa ditunjangi oleh ketabahan, kecekalan dan keyakinan.

“Perjuangan Za’ba lebih menjurus kepada kegiatan keilmuan khususnya dalam pendidikan, penyelidikan dan penulisan,” ujar Dharma Wijaya dalam satu teks ucapan.

Untuk menghargai sumbangan pendita Za’ba dalam bidang penulisan, Universiti Malaya menamakan salah sebuah perpustakaannya sempena namanya (Perpustakaan Peringatan Za’ba) untuk mengenang jasa beliau kepada perkembangan Bahasa Melayu.

LATAR BELAKANG

Za’ba dilahirkan pada tahun 1895 di sebuah kampung terpencil yang terletak dekat Batu Kikir, Jempol Negeri Sembilan.

Beliau berasal dari sebuah keluarga yang kuat beragama, oleh itu tidak hairanlah penulis ini telah belajar berkhatam Al-Quran, menghafal Surah Yassin dan berzanji ketika usianya mencecah tujuh tahun.

Pendita pujaan ramai ini hanya menjejakkan kakinya ke sekolah pada usia 12 tahun di Sekolah Melayu Batu Kikir. Beliau kemudiaannya, bertukar ke Sekolah Melayu Linggi untuk mendalami ilmu pengajian Arab dan Islam lanjut.
Penulis ulung ini merupakan pelajar Melayu pertama dari Negeri Sembilan yang menghabiskan zaman persekolahannya (Senior Cambridge) dari darjah satu hingga darjah enam dalam jangka masa enam tahun.

Pada tahun 1917, Za’ba melangkah ke alam perkhawinan dan mempunyai seorang anak perempuan.

Namun, ianya tidak kekal lama. Karyawan ini kemudiannya berkhawin sekali lagi dengan Fatimah Umar dan menjaga anak perempuannya itu.
USAHA MENENTANG PENJAJAH

Za’ba, merupakan seorang pejuang tanah air yang berani mengetengahkan aspek kemunduran masyarakat Melayu pada zaman pemerintahan British melalui hasil karyanya.

Tindakannya itu pernah mengundang kesangsian pihak British yang pernah mengehadkan hasil karyanya.
Za'ba duduk dari tempat kedua dari kanan. Gambar ini diambil pada bulan Ogos 1929. -Foto THE STAR
Penulis agung ini suka bergiat aktif dalam perkhimatan masyarakat. Beliau menjadi Penasihat Umum bagi Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) pada tahun 1937.

Pada tahun 1946, pendita ini dilantik sebagai ahli jawatankuasa bagi Jawatankuasa Penggubal Rang Piagam UMNO di kongres menentang pembentukan Malayan Union.

Beliau keluar dari dunia politik selepas Piagam Umno diterima dan diluluskan.

PERJALANAN KARIER

Za’ba pernah berkhimat sebagai seorang guru di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1918.

Kerjayanya sebagai pensyarah Bahasa Melayu di Universiti London bermula pada tahun 1947.
Kemudiannya, Za’ba bersara dari perkhimatan kerajaan ketika berumur 55 tahun.

Penulis ulung ini dilantik sebagai pensyarah senior di Jabatan Pengajian Melayu (Malay Study Department (JPM)) di Universiti Malaya, Singapore pada tahun 1953.

Dengan bantuan Ungku Aziz, Za’ba menjadi pengasas pembentukan pertubuhan bahasa pelajar dan dua tahun berikutnya, membentuk Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya.

Karyawan yang menjadi tulang belakang penggunaan Bahasa Melayu yang kita gunakan kini, menerima gelaran Pendeta secara rasmi pada tahun 1956.

Za’ba atau nama sebenarnya Tan Sri Dr. Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 pada usia 78 tahun.

Friday 23 October 2009

Kelas Intensif Sejarah SPM '09

Salam Sejarah buat anak-anak didik yang dikasihi. Moga kalian terus menekuni ilmu dan lebih gigih menelaah pelajaran ketika ini.

Dimaklumkan bahawa Panitia Sejarah SMIAAG akan mengadakan kelas intensif Sejarah bagi menghadapi peperiksaan SPM yang bakal menjelang tiba.

Objektif diadakan kelas ini adalah bagi memantapkan persediaan akhir dalam kalangan calon serta menjadi landasan mengukur tahap kesediaan calon dalam menghadapi apa jua bentuk soalan yang bakal muncul samada dalam kertas 1, mahupun kertas 2.

Kelas intensif ini juga bermatlamat untuk mencapai sasaran calon menjawab minimum 2000 soalan objektif serta menguasai kaedah menjawab struktur dan esei dengan lebih mantap dan berkeyakinan tinggi.

Panitia bersetuju untuk memilih hari RABU (3.40 pm-4.40 pm) dan JUMAAT (2.30 pm-4.00 pm) dan diadakan di dewan seminar SMIAAG. Kelas akan bermula pada hari Rabu, 28 Oktober '09.

Kelas intensif ini terbuka kepada semua calon yang fokus untuk skor A bagi subjek Sejarah dalam SPM kelak. Sesungguhnya tiada istilah 'mustahil' untuk menggapai sebuah kejayaan..yang penting adalah terus gigih berusaha dan fokus untuk sentiasa melakukan hanya yang terbaik demi sebuah kecemerlangan.

Kepada sesiapa lagi yang berminat untuk menyertai kelas intensif ini, sila daftarkan nama anda kepada Ust Isharuddin bagi memudahkan urusan logistik.

"Ingat Sejarah...Ingat Sejarah2u" :)

Tuesday 20 October 2009

Hari Malaysia Diisytihar Cuti Umum

KUALA LUMPUR, 19 Okt. 2009 – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun, diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan.

Beliau yang mengumumkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat semalam berkata, pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.

“Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan kita akan perjuangan mencapai kemerdekaan dari penjajahan, yang akan dirayakan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan dan sebagainya untuk mengingati detik sejarah itu.

“Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia,” katanya.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang bertanya sejauh mana penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia dan jenis-jenis program yang difikirkan berkesan untuk mencapai hasrat tersebut.

Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kedua Belas bermula tepat pukul 10 pagi semalam dengan menyaksikan Perdana Menteri sebagai yang pertama memberikan jawapan bagi sesi pertanyaan bagi jawapan lisan pagi semalam.

Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di mana Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963.

Najib berkata, pembentukan Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat merupakan titik sejarah yang amat penting dan mahu suka duka rakyat di Sabah dan Sarawak dirasai oleh rakyat di Semenanjung.

Sumber: Bernama

Monday 19 October 2009

Tinta Strategis: Dunia Pasca 11 September (911) - Siri 2


Imej ISLAM

Kedangkalan pemikiran dan sifat prejudis media global dan Barat terhadap Islam menjadikan Islam dipandang sebagai agama keganasan sehingga melahirkan gejala ‘Islamiphobia’ yang cukup digeruni Barat.

Islam menjadi ‘kambing hitam’ bagi isu 911. Masyarakat Islam di Barat sentiasa berada dalam kebimbangan kerana merasakan diri mereka semakin terancam.

Bagi kebanyakan negara Eropah dan Barat seluruhnya melihat perkembangan Islam dan umatnya di kalangan mereka sebagai ancaman kepada suasana hegemoni Barat dan politik multiculturalism untuk jangka panjang. (Tariq Modood:Muslim & the Politics of Multiculturalism)

Islam, selepas 11 September terpampang sebagai musuh Barat, dan bukan setakat sebagai pencabar kepada tamadun Barat sebagaimana yang dinukilkan oleh Samuel Huntington. Islam disamatarafkan dengan komunisme – lantas ia digelar ‘komunisme Baru’.

Kehidupan Barat yang berpaksikan falsafah sekular moden, dan keamanan Barat yang terbentuk oleh kemajuan material, difikir akan tercabar sekiranya negara muslim berperintahan cara Islam, atau pengaruh Islam merebak di rantau yang strategis seperti Timur Tengah.

Pakatan ketenteraan Barat mula dihala kepada Islam. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Setiausaha Agung NATO, “Islam ‘militan’ adalah ancaman menggerunkan kepada keselamatan Barat”. (“March of the Militants,” Far Eastern Economic Review, 1995)

Perkembangan Islam di beberapa buah negara Arab juga membimbangkan pemimpin dan pembuat dasar Barat yang sensitif terhadap masa depan cara hidup dan ‘survival’ kebudayaan mereka. Justeru, Barat berterusan memainkan peranan utama untuk menghalang kepada kebangkitan Islam.

Beberapa pemimpin negara Arab yang dihantui oleh kebangkitan Islam (yang dianggap Barat sebagai ‘Islamic Moderates’) begitu mudah terdorong oleh hasutan dan saranan Barat, seterusnya menjadi harapan bagi mengekalkan kepentingan Barat di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Di luar lingkungan dunia Arab, maka Turki dan Pakistan merupakan negara dipupuk sebagai pembela kepentingan Barat dalam konteks kebangkitan Islam. Turki yang menganut dasar sekular tajaan Kamal Attartuk pernah bergandingan dengan Barat dalam Perang Dingin, begitu ghairah untuk menganggotai Kesatuan Eropah semacam telah dipertanggungjawabkan dengan tugas membendung kemaraan Islam, sekurang-kurangnya dalam negara.

Imej Turki sebagai pemimpin empayar Islam lepas masih segar di kalangan umat Islam, dan seandainya negara itu memilih jalan Islam, impak kehadirannya adalah besar dan meluas. Barat merasa bimbang terhadap kemungkinan itu.

Kewujudan penganut Islam di Eropah Barat yang semakin besar jumlahnya dari setahun ke setahun juga adalah dimensi kepada dunia bukan barat, yang sering dihubungkaitkan dengan ancaman agama tersebut terhadap keseluruhan tamadun Barat.

Tambahan pula, sebahagian mereka ini mempunyai pertalian dengan kebangkitan Islam di negara asal mereka, manakala sebahagian lain telah terserap dalam pergerakan membangun semula kehidupan Islam di kalangan sesama mereka.

Di Perancis terdapat lebih lima juta penganut Islam, sebahagian besarnya berasal dari utara Afrika, dan di kalangan mereka terdapat pihak yang berusaha mewujudkan cara hidup Islam di tengah-tengah kebudayaan sekular moden Perancis.

Di Jerman, terdapat lebih dua juta Muslim, yang terdiri dari kaum imigran dan pekerja dari Turki, pelarian Bosnia, dan sebagainya. Mereka ini yang berpusat di bandar-bandar seperti Berlin, Cologne, dan Munich, juga terlibat dalam kegiatan Islam yang membangkitkan rasa curiga dan marah di kalangan penduduk Jerman.

Penganut Islam yang berjumlah lebih dua juta di Britain turut menimbulkan konflik dan tentangan daripada orang British yang sememangnya tidak senang terhadap kehadiran orang keturunan India dan Pakistan dari dahulu, dan kini terpaksa pula berdepan dengan tuntutan agar cara hidup Islam mereka turut dihormati sama oleh kerajaan setempat.

Sungguhpun orang-orang Islam yang terlibat ini sudah lama bermaustatin di Eropah Barat, malah telah menjadi warganegara negara-negara berkenaan, dan bersedia mengamal aspek-aspek asas dalam kehidupan bernegara, namun, mereka masih berterusan dilihat sebagai wakil dari dunia lain – dunia bukan Barat dengan berpandangan dunia sendiri.

Pemupukan Islam dalam kalangan Muslim di Amerika Syarikat juga telah membangkitkan persoalan serupa kepada cara hidup sekular di negara itu, dan kini penyerangan terhadap masjid, institusi dan hak asasi penganut Islam sebagai kaum minoriti semakin menjadi-jadi.

Bersambung........

Thursday 15 October 2009

Hari Kad Laporan Percubaan SPM

Pada hari ini, Jumaat bersamaan 16 Oktober 2009M (27 Syawal 1430H) adalah merupakan hari pengambilan kad laporan bagi peperiksaan percubaan SPM yang diduduki oleh semua pelajar tingkatan 5 tempohari.

Sesi taklimat dan pengambilan kad laporan akan bermula pada jam 2.30 petang, iaitu selepas berakhirnya solat jumaat. Semua ibu bapa dan para pelajar tingkatan 5 SMIAAG dijemput hadir ke sesi yang sangat penting ini.

Buat semua 'anak-anak ceria dan bersemangat waja' kelas 5 Salman al-Farisi yang dikasihi, ustaz selaku guru kelas dan merangkap 'bapa' antum ingin memohon maaf kerana tidak dapat bersama antum pada petang ini. Ustaz terpaksa balik awal ke Johor bagi menghadiri majlis walimah adik ipar pada keesokan harinya. Yang berbahagia, Ust Ayub dan Ust Abd Aziz akan menggantikan tempat ustaz.

Sebagaimana lazimnya, dalam setiap peperiksaan pasti akan terzahir pelbagai perasaan suka mahupun sedikit duka dek kerana keputusan yang bakal diperolehi atau telahpun diketahui. Ini bukanlah peperiksaan kali pertama, jauh sekali yang terakhir kerana hakikat sebenar peperiksaan SPM akan bermula pertengahan November depan.

Anggaplah setiap liku dan cabaran dalam peperiksaan yang telah dan bakal diduduki seumpama sebahagian juzu' daripada liku-liku kehidupan yang panjang perjalanannya ini. Yang telah berlalu, biarkanlah ia berlalu. Kini, tetapkanlah 'fokus' terus demi masa hadapan. InsyaAllah, dengan usaha gigih , istiqamah, berdoa dan bertawakkal serta berkat restu ibu bapa, guru..tidak mustahil kejayaan gemilang menanti kalian di depan mata.

Hanya kepada Allah S.w.t sahajalah kita kembalikan segala urusan ini dan berserah diri...

Minda Sejarah: Tip-Tip Menjelang Peperiksaan

Salam Sejarah buat semua pengunjung Sejarah2u yang dikasihi lagi dihormati. Tip-tip atau panduan menjelang persediaan menhadapi peperiksaan kali ini penulis tujukan buat semua para calon yang bakal menduduki peperiksaan SPM yang semakin hampir tiba.

Harapan penulis agar ia mampu membantu persediaan yang telah sekian lama diusahakan oleh para calon serta dapat menghadirkan kecemerlangan sebagaimana yang dicita-citakan oleh semua. InsyaAllah.

1. Semak Jadual Lengkap Peperiksaan SPM 2009

Semakan ini penting bagi merancang jadual belajar pecutan akhir. Ulangkaji hendaklah dirancang mengikut kertas peperiksaan yang yang akan diduduki terlebih dulu. Rancang dan bincang dengan guru dan ibu bapa supaya jadual terbaik dapat dihasilkan dengan mengambil kira keperluan semua mata pelajaran

2. Teruskan Latihan Sambil Mengulangkaji Secara Konsisten

Teruskan latihan soalan model peperiksaan bagi setiap mata pelajaran. Cubalah menjawab soalan-soalan percubaan peringkat negeri selain soalan peperiksaan sebenar. Semak jawapan dan kukuhkan penguasaan anda dengan membuat semakan dari buku teks atau buku ulangkaji di bahagian soalan yang gagal dijawab. Tindakan ini akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping memanjangkan hayat ingatan anda.

3. Ulangkaji Semua

Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. Jangan sekali-kali belajar subjek atau sub-tajuk yang anda sukai, sebaliknya perlu merangkumi semua topik. Semua subjek adalah keutamaan anda.

4. Mengingat dan Membuat Perkaitan

Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda gunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali, membuat akronim, mancipta skrip atau melodi lagu, melakar, mengingat kata kunci dan membuat perkaitan menerusi modul 'pemetaan minda'.

5. Merancang Persiapan Peperiksaan

a. Beberapa minggu sebelum peperiksaan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan di sekolah, rumah, di mana saja manfaatkan masa membaca nota ringkas tapi padat.

b. Jaga kesihatan diri dan tidur yang mencukupi supaya sentiasa sihat, segar dan fokus ketika mengulangkaji dan menduduki peperiksaan.

c. Lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minati seperti perlawanan bola sepak misalnya :).. Jangan lepaskan peluang keemasan ini . Pastikan SPM hanya diambil sekali seumur hidup anda. Tiada ulangan kertas. Na'uzubillah

d. Dapatkan restu ibubapa dan guru serta mohonlah keampunan mereka.

e. Datang lebih awal dan pastikan anda bersarapan. Bawalah semua alat tulis yang anda perlukan seperti pensel, pen, kalkulator, jam (tangan), pemadam, pembaris, dan lain-lainnya. Kelengkapan ini membantu anda fokus sepanjang masa peperiksaan.

f. Tenang dan percayakan diri sendiri. Ingatkan diri anda bahawa anda sudah bersedia dan akan menghadapi peperiksaan dengan baik dan tenang.

g. Prebiu soalan-soalan terlebih dahulu. Luangkan 10% dari keseluruhan waktu peperiksaan untuk membaca soalan-soalan secara mendalam, tandakan kata-kata kunci dan tetapkan berapa lama masa yang diperlukan untuk menjawab setiap soalan.

h. Menjawab soalan yang mudah dahulu, baru soalan yang sukar. Ketika anda membaca soalan, catatkan juga idea-idea yang muncul yang akan digunakan sebagai jawapan.

i. Semasa menjawab soalan aneka pilihan, ketahuilah jawapan yang patut dipilih. Analisa jawapan dan memberi rasional betul atau salah kepada setiap pilihan jawapan . Potong jawapan yang anda tahu salah dan pilih jawapan anda

j. Semasa menjawab soalan esei, fikirkan dulu jawapannya sebelum menulis.
Buat rangka karangan secara ringkas untuk esei dengan mencatat dahulu beberapa idea yang akan ditulis. Kemudian susun idea-idea tersebut mengikut susunan yang mana penting atau perlu dibincangkan dulu.


k. Sisihkan 10% waktu anda untuk memeriksan jawapan .
Pastikan anda telah menjawab semua soalan. Baca sekali lagi jawapan anda untuk memeriksa ejaan, struktur bahasa dan tanda baca atau tanda titik perpuluhan.


l. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah. Fokus pada kertas berikutnya.

6. Banyakkan Berdoa dan Bertawakkal. InsyaAllah anda akan cemerlang

Nota: Jika perlu berlajar lah dalam kumpulan kecil. Yang penting tanamkan azam dan semangat untuk fokus kepada kejayaan cemerlang. Anda memang boleh berjaya …..