Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Monday 27 April 2009

Ujian dan Dugaan

Salam Sejarah buat semua pengunjung dan anak-anak murid yang ustaz kasihi lagi diingati. Apa khabar kalian semua? Moga sentiasa sihat dan ceria hendaknya la yer :)

Lama sungguh rasanya tak mengemaskini weblog ini. Lebih kurang seminggu lebih lamanya. Ini disebabkan masalah pada sistem internet yang ustaz terpaksa lalui dengan pasrah.

Selain itu, sedikit sebanyak kesibukan yang tidak berpenghujung, malah bersilih ganti pada minggu lepas dari bermulanya latihan bola tampar sekolah, Majlis Takrim 2008, bengkel menjawab Sejarah SPM dan yang paling mencabar adalah menanda kertas ujian bulanan yang memerlukan keazaman dan disiplin diri yang cukup tinggi.

Rasanya masih belum terlambat lagi untuk ustaz mengucapkan TAHNIAH buat anak-anak SMIAAG yang naik ke pentas bagi menerima anugerah masing-masing. Tahniah juga buat semua rakan guru yang bertungkus lumus menjadikan hari tersebut sangat istimewa. Persembahan pelajar juga hebat dan penuh keunikan tersendiri. Percayalah bahawa kalian semua telah mengukir kejayaan SEJARAH cemerlang pada hari tersebut.

Bagi anak-anak murid yang kurang berjaya..berusahalah kerana kalian punya potensi besar untuk terus mencipta kecemerlangan pada masa depan. Moga kita bertemu pula dalam Majlis Takrim 2009 kelak.

Ayat-ayat Cinta:
Bersabarlah menerima segala ujian dan dugaan Allah Swt dengan penuh pasrah dan keimanan yang tinggi kpd-Nya, kerana itu bermakna DIA sangat sayang kepada anda.

Hari Ini Dalam Sejarah: Kembali Dari Congo


Pada tarikh hari ini iaitu bersamaan 28 April tahun 1963, kumpulan terakhir tentera Malaya yang bertugas di Congo selamat pulang ke tanah air.

Mereka terdiri daripada 28 pegawai dan 718 perajurit, disambut meriah di Port Swettenham (kini Pelabuhan Klang).

Penghantaran tentera ke Congo adalah untuk mengawal kekacauan yang timbul akibat perang saudara di bumi Congo. Negara Congo kini lebih dikenali dengan nama Zaire.

Misi pengaman di Congo ini merupakan penglibatan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang pertama di bawah Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. United Nations Operations In Congo atau lebih dikenali sebagai UNOC melibatkan 3,000 anggota Tentera Darat Malaysia dari pelbagai peringkat anggota.

Angkatan Tentera Malaysia telah menghantar Pasukan Khas Malaya (MSF) yang terdiri daripada 4 kontinjen yang ditempatkan di Congo mulai Oktober 1960 hingga April 1963. Kontinjen TDM yang berkhidmat sebagai pasukan pengaman di Congo ialah Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Kedua Pasukan Peninjau (31 Oktober 1960 - Mac 1961).

Seterusnya TDM menghantar 6 RAMD dan A Skuadron 1 Peninjau (Julai 1961 - April 1962), 7 RAMD (Februari 1962 - Disember 1962) dan 2 RAMD (Jun 1962 - April 1963). Markas MSF telah diperintah oleh Brig Jen Hamid Bidin selama 2 tahun sehingga Januari 1963.

Tugas MSF di Congo adalah untuk menentukan ketenteraman dan memelihara undang-undang bagi membantu kerajaan yang baru ditubuhkan.

Tugas-tugas lain adalah:
  • Memelihara keutuhan wilayah dan kebebasan politik Congo.
  • Mencegah berlakunya perang saudara.
  • Memastikan penarikan keluar dari Congo semua tentera asing, separa tentera dan anggota penasihat asing yang bukan di bawah pemerintahan PBB.
  • Memastikan penarikan keluar semua askar upahan.

Tuesday 14 April 2009

Rahsia Kejayaan

"Teknik pembelajaran yang saya amalkan amat mudah, iaitu merangkumi aspek menjaga 'hubungan dengan Allah' dan juga 'sesama manusia' iaitu sentiasa menghormati orang tua, guru dan rakan-rakan".

"Di samping itu, saya juga memberi sepenuh tumpuan semasa belajar di dalam kelas dan sentiasa berhubung dengan guru dalam menyelesaikan pelbagai masalah pelajaran".

"Saya tidak pernah mengikuti kelas tuisyen di luar, namun semangat dan minat mestilah berada di hadapan kita dalam mengejar cita-cita dan ingatlah kejayaan kita tidak akan datang bergolek, melainkan kita berusaha dalam apa cara pun".

Nota: Ucapan adik Siti Nur Madhiah Nik Omar (20A) semasa Seminar Motivasi Bijak Belajar anjuran Kerajaan Negeri Kelantan di Pengkalan Chepa pada 14 April 2009.

Sunday 12 April 2009

Raja Putih Sarawak

James Brooke adalah merupakan seorang bekas tentera yang pernah berkhidmat dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI).

Selepas bersara daripada SHTI, beliau bergiat aktif dalam aktiviti perdagangan di Singapura.

Beliau telah diarahkan oleh Gabenor Singapura untuk menghantar sepucuk surat kepada Pengeran Muda Hashim di Kuching pada 1840.

Namun, keadaan di Kuching agak gawat pada ketika itu dengan pemberontakan oleh pembesar dan penduduk tempatan yang diketuai oleh Datu Patinggi Ali terhadap ketidakpuasan hati kekuasaan Kesultanan Brunei ke atas wilayah Sarawak ketika itu.

Pangeran Muda Hashim telah meminta bantuan James Brooke untuk mengekang pemberontakan tersebut dengan janji bahawa beliau akan ditawarkan jawatan gabenor jika berjaya.

James Brooke akhirnya berjaya menghapuskan pemberontakan dan dilantik sebagai Gabenor Sarawak pada tahun 1841. Beliau kemudiannya menjadi Raja Putih Sarawak sehingga 1868 yang kemudiannya digantikan oleh waris keluarganya iaitu Charles Brooke dan Charles Vyner Brooke.

Dinasti pemerintahan keluarga Brooke berakhir sebaik Sarawak diserahkan kepada British sebagai sebuah tanah jajahan sebaik tamat Perang Dunia Kedua pada tahun 1946.

Thursday 9 April 2009

Hari Ini Dalam Sejarah


Raja Sir Chulan ibni Almarhum Sultan Abdullah meninggal dunia pada usia 17 tahun.

Baginda adalah putera Melayu pertama yang menyertai perkhidmatan sebagai pekerja di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 10 April 1933.

Wednesday 8 April 2009

Suara Rakyat..

Salam ukhuwwah dan sejahtera buat semua pengunjung setia Sejarah2u.

Semalam, bersamaan 7 April telah mencipta sejarah bila negara kita mengadakan tiga pilihan raya kecil secara serentak pada hari yang sama.

Pilihan raya kecil ini disebabkan oleh kematian penyandang (Batang Ai , Bukit Gantang) dan perletakan jawatan ADUN Bukit Selambau, V Arumugam. Mengikut perlembagaan, Suruhanjaya Pilihan Raya mesti mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari sebaik disahkan kerusi-kerusi tersebut kosong.

Secara zahirnya, kelihatan dua parti komponen telah 'berpencak' dengan hebatnya iaitu antara parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), namun hakikatnya ia adalah manifestasi suara rakyat yang menjunjung perlembagaan dengan menggunakan 'kuasa undi' mereka dalam pilihan raya tersebut.

Keputusannya, PR mengalahkan BN dengan 2-1. BN berjaya menewaskan PR di kerusi DUN Batang Ai, Sarawak bila calonnya Malcom Mussen Lamoh mendapat 3907 undi, sementara lawannya, Jawah Gerang sekadar mendapat 2053 undi dengan undi majoriti yang diperolehi sebanyak 1854.

Bagi keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pula, calon PR dari parti PKR, S. Manikumar telah memperoleh 12632 undi mengatasi lawannya dari BN, Datuk S. Ganesan yang hanya memperolehi 10229 undi. Sementara semua 13 calon bebas lain telah hilang wang deposit, RM5000 seorang serta wang kempen RM3000 seorang kerana mendapat undi yang sangat sedikit marginnya berbanding yang diperolehi oleh kedua-dua calon di atas.

Sementara bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang, calon PR dari PAS iaitu Dato' Seri Ir. Nizar Jamaludin telah berjaya mengalahkan lawannya dari BN, Ismail Saffian dengan mendapat undi sebanyak 21860 berbanding 19071. Undi majoriti yang diperolehi Nizar ialah sebanyak 2789 undi. Calon bebas iaitu Kamarul Ramizu sekadar mendapat 62 undi sahaja dan kehilangan wang deposit.

" Demokrasi itu boleh difahami sebagai..dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat" (Abraham Lincoln)

Tuesday 7 April 2009

Usik-Usik Sikit..


Teori Kedatangan Islam ke Asia Tenggara

Bahan di atas telah disediakan oleh pelajar SMIAAG untuk pembentangan dalam Persediaan Ulangkaji Intensif (PUI) Sejarah SPM.

Untuk mengulangkaji tajuk ini dalam aplikasi 'power point' (ppt) sila klik di sini untuk paparan lebih jelas. Selamat mengulangkaji dan menambah ilmu pengetahuan :)

"Ingat Sejarah...Ingat Sejarah2u".

Monday 6 April 2009

Peristiwa Hartal dalam Sejarah Negara kita

Peristiwa Hartal dalam sejarah negara kita telah berlaku serentak di semua bandar-bandar besar di Semenanjung Malaysia hingga Singapura pada 20 Oktober 1947.

Ia adalah konotasi daripada gabungan usaha All Malayan Council Joint Action (AMCJA) dan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) demi membantah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) 1948. Sebelum itu, AMCJA-PUTERA telah menggubal satu perlembagaan untuk Tanah Melayu yang mereka namakan sebagai 'Perlembagaan Rakyat', tapi ditolak oleh pihak British.

Dalam peristiwa Hartal, majoriti kedai telah ditutup selama sehari dan ini menyebabkan segala urusan perdagangan dan jual beli di Tanah Melayu menjadi lumpuh serta mengakibatkan kerugian urusniaga bernilai jutaan ringgit.

Peristiwa ini melambangkan usaha protes terancang yang dikendalikan AMCJA-PUTERA demi memastikan 'suara rakyat' didengari oleh penjajah British.

Meskipun tindakan ini sedikit sebanyak menjejaskan ekonomi dan kepentingan British di Tanah Melayu, namun mereka tetap meneruskan perlembagaan PTM, 1948 demi kepentingan mereka.

Asal Usul Nama Kuala Langat

Asal usul Kuala Langat boleh dikaitkan dengan sebatang sungai yang dikenali sebagai Sungai Langat.Dari segi kedudukan Kuala Langat terletak di kuala sungai tersebut.

Menurut sumber lisan ada yang mengatakan bahawa Langat itu berasal dari perkataan Minangkaubau yang membawa maksud "air hangat".

Menurut sumber tersebut lagi pada masa dahulu pedagang-pedagang menggunakan Sungai Langat sebagai jalan perdagangan dan mereka mendapati air di bahagian kuala sungai tersebut sentiasa hangat. Lama-kelamaan tempat di persekitarannya disebut Kuala Langat.

Satu lagi sumber lisan menyatakan terdapat banyak ikan selangat di dalam sungai tersebut. Masyarakat Melayu di sekitar sungai itu dahulu terlibat dengan kegiatan menangkap ikan. Ada logiknya nama Langat dikaitkan dengan banyaknya ikan selangat yang terdapat di sungai itu.

Sumber: Info Daerah, Sinar Harian, 7 April 2009

Saturday 4 April 2009

Anti-Semitism?

Istilah Anti-Semitism atau lebih dikenali juga sebagai 'Judeophobia' dirujuk kepada sebarang perasaan dan tindakan prejudis atau keganasan yang dilakukan terhadap mana-mana komuniti Yahudi di seluruh dunia.

Rasa prejudis ini lazimnya dikaitkan dengan kecenderungan mendikriminasikan Yahudi samada dari aspek agama, budaya, etnik bangsa yang cenderung untuk menolak kewujudan 'eksklusif' bangsa Yahudi secara khusus.

Istilah Anti-Semitism ini wujud rentetan kononnya atas 'tekanan dan kezaliman terpilih' yang komuniti Yahudi percaya telah dilakukan ke atas bangsa mereka. Ini termasuklah semasa Perang Salib 1096, Pengusiran keluar kaum Yahudi dari bumi England (1290), Sepanyol (1492), Portugal (1497) dan paling diingati adalah peristiwa Holocoust semasa pemerintahan Jerman dalam Perang Dunia Kedua di bawah arahan Adolf Hitler.

Istilah ini mula menjadi 'jaminan perlindungan' kepada komuniti Yahudi pada hari ini daripada mengaitkan mereka dan proksi mereka daripada sebarang tindakan perundangan antarabangsa atas tindak tanduk mereka ke atas musuh dan saingan mereka dalam segala lapangan aspek kehidupan meliputi perniagaan, ketenteraan, pendidikan dan sebagainya.

Justeru, dalam melihat senario semasa hari ini seperti penjajahan Israel ke atas Palestine jelas menunjukkan bahawa mereka bebas menindas sesiapa sahaja atas keistimewaan ini. Padah kepada musuh dan komuniti yang tidak bersama atau menentang mereka ialah mereka dilabel sebagai 'Anti-Semitism'.

Friday 3 April 2009

Terapi Solat: Khazanah Amalan Rasulullah SAW

Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Terapi Otot dan Kecergasan Fizikal Tubuh Badan

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

Terapi Anti-Stres dan Kawalan Minda yang lebih Tenang & Fokus

Ng Siew Chok yang bertindak mengkaji isyarat otak semasa solat berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya.

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Terapi Imbangan Komposisi Tubuh yang lebih Stabil

Dr Fatimah Ibrahim yang mengkaji komposisi tubuh semasa solat berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Terapi Mengekalkan Kesihatan dan Memulihkan Tenaga yang Hilang

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Terapi Sakit Bahagian Pinggang

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.

Terapi Mati Pucuk

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit.

Terapi Pesakit Jantung

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari. Allahu 'alam

Najib Perdana Menteri keenam Malaysia

PERDANA MENTERI KEENAM..Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersalaman dengan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (kanan) selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan, Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia oleh Najib sebagai Perdana Menteri di Istana Negara.

Jumaat, 3 April 2009: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun.

Najib,55, mengangkat sumpah jawatan dan sumpah menyimpan rahsia sebagai Perdana Menteri Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada pukul 10:12 pagi tadi.

Upacara yang penuh adat istiadat itu berlangsung di Balai Rong Seri Istana Negara di sini.

Najib mencipta sejarah kerana mewarisi bapanya, Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan Perdana Menteri kedua.

Najib menyertai politik secara aktif selepas Tun Abd Razak meninggal dunia.

Upacara bersejarah itu bermula pukul 10 tadi dengan disiarkan secara langsung oleh RTM.

Sebelum ini, Najib yang mengambil alih jawatan Presiden Umno daripada Abdullah pada Perhimpunan Agung Umno minggu lepas, turut menghadap Seri Paduka di Istana Negara, selepas istiadat menghadap oleh Abdullah pada pagi semalam.

Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri kelima menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Oktober 2003.

Sumber: mStar Online

Wednesday 1 April 2009

Intipati Laporan Cobbold


" Lebih kurang satu pertiga daripada penduduk setiap buah negeri itu menyokong kuat Malaysia ditubuhkan dengan segera tanpa mengambil berat tentang syarat-syaratnya.

Satu pertiga lagi, menyokong dengan syarat dan jaminan dan akan menguatkan sokongan mereka jika kerajaan menunjukkan sikap bahawa percantuman itu memberi faedah pada mereka.

Baki yang satu pertiga lagi terbahagi kepada dua iaitu mereka yang mahu mencapai kemerdekaan dulu sebelum rancangan Malaysia; dan mereka yang sukakan British memerintah beberapa tahun lagi. Yang betul-betul menentang Malaysia hanya 20 peratus bagi negeri Sarawak".

Sumber: Laporan Suruhanjaya Cobbold, 1962.