Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Tuesday 31 March 2009

Iklan Bina Kerjaya

Peluang belajar perubatan, pergigian dan farmasi di Mesir!!

Terbuka luas kepada anda. Jangan bertangguh lagi. Binalah impian anda dengan merebut peluang keemasan ini.

Untuk mendapatkan info lebih lanjut berkenaan maklumat pengajian, yuran pengajian & perkhidmatan dan pendaftaran borang permohonan, sila layari sekarang ke
:

http://www.quranmedic.my



Monday 30 March 2009

Skor A Siri 6/09

Tajuk: Imperialisme Barat di Asia Tenggara

Soalan Esei

1. Bincangkan faktor-faktor yang menggalakkan imperialisme Barat di Asia Tenggara yang bermula pada abad ke-19. (10 markah)

2. Apabila kuasa-kuasa imperialis telah menguasai Asia Tenggara, mereka telah mengubah sistem pentadbiran Barat. Apakah perubahan-perubahan pentadbiran yang telah berlaku di Indonesia akibat kehadiran Belanda? (10 markah)


Soalan Struktur

1. a) Nyatakan dua bahan mentah yang ingin dikuasai oleh penjajah Barat di Asia Tenggara pada abad ke-18. (2 markah)
……………………………………………………………………….............................................................
……………………………………………………………………….............................................................

b) Apakah bentuk pentadbiran negara-negara Asia Tenggara sebelum penjajahan Barat?
(2 markah)
……………………………………………………………………….................................................................
………………………………………………………………………................................................................

c) Mengapa penjajah Barat merasakan perlu untuk merubah sistem politik tradisional Asia Tenggara? (2 markah)
………………………………………………………………………................................................................
………………………………………………………………………................................................................

d) Jelaskan ciri-ciri umum sistem birokrasi Barat yang diperkenalkan di Asia Tenggara.
(4 markah)
………………………………………………………………………..................................................................
………………………………………………………………………..................................................................

Jawapan & Ulasan

Sumber: Portal Pendidikan Utusan

Pemasyhuran Kemenangan

Tahniah diucapkan kepada para pemenang
dalam pertandingan melukis Peta Minda paling Kreatif peringkat Kelas 1 Urwah dan Kelas 1 At-Tabari.

Diharap kepada yang kurang berjaya, teruskan usaha gigih kalian pada pertandingan-pertandingan Sejarah yang akan datang. Di bawah adalah dimasyhurkan senarai nama 10 yang terbaik :)

Kelas 1 Urwah:

1) Mimi Maisara bt Md Muhizam
2) Khairunnisa bt Azlan
3) Fatin Nabila bt Abdullah
4) Nurmi Elisya bt Rosli
5) Izham Afiq b Norizan
6) Siti Adlina bt Abdul Jalil
7) Ummu Wahidah bt Mustapha
8) Kauthar bt Roslan
9) Amirul Hafidz b Hairil Anuar
10) Sarah binti Kamarudin
11) Farhan b Ab Malek


Kelas 1 At-Tabari:

1) Fahmi Buran
2) Fatimah Aqilah Ismail
3) Wan Maryam Nabihah
4) Siti Amelya bt Amdan
5) Nur Murfiqah Mokhtar
6) Nurul Syafiqah Mohd Hanafiah
7) Ainul Basitah
8) Syed Mohamed Farees Al-Amin
9) Dzulhusne Fikri b Mohd Sabran
10) Siti Aisyah

Sejarah Penamaan Calon

Salam Sejarah buat semua pengunjung Sejarah2u yang dihormati lagi dikasihi. Suhu politik negara kita agak sedikit 'panas' dengan perkembangan terbaru proses penamaan calon bagi tiga pilihan raya kecil yang akan diadakan serentak pada 7 April depan

Pada 29 Mac lepas, negara kita telah mencipta sejarah penamaan calon paling ramai sejak negara mencapai kemerdekaan iaitu di DUN Bukit Selambau, Kedah bila 15 calon yang akan bertanding telah mengisi borang pencalonan mereka masing-masing.

Selain dua calon yang akan mewakili parti BN dan Keadilan, 13 calon lain akan bertanding untuk tiket bebas.

Bilangan teramai semasa proses penamaan calon tersebut telah berjaya mengatasi rekod sebelum ini, dalam pilihan raya peringkat dewan undangan negeri di Sabah iaitu seramai lapan orang.

Lebih menarik lagi, pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau di Kedah akan turut dijalankan serentak dengan pilihan raya kecil DUN Batang Ai, Sarawak dan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak iaitu pada tarikh 7 April.

Sejarah2u mengucapkan 'Selamat mengundi' kepada para pengundi di keiga-tiga kawasan tersebut ;)

Thursday 26 March 2009

Minda Sejarah: Belajar Efektif dengan Peta Minda

Peta minda merupakan kaedah yang berkesan untuk mendapatkan semula maklumat daripada ingatan untuk ditukarkan menjadi bentuk yang boleh dilihat.

Peta minda boleh membantu anda untuk meningkatkan kecerdasan dan kemahiran anda untuk mengukuhkan daya ingatan dan pemahaman.

Peta minda merangsang pelbagai keupayaan yang ada dalam diri anda.Antaranya, anda perlu memikirkan tentang maklumat yang diperlukan dan membuat pemilihan mengikut keinginan anda.

Secara langsung, anda berhubung secara aktif dengan maklumat yang ada dalam ingatan anda.Bolehlah anda sifatkan anda sebenarnya sedang berbicara dengan daya ingatan sendiri.

Peta minda itu juga boleh merangsang beberapa anggota anda yang mempunyai peranan tersendiri.

Antaranya, anda perlu berfikir, memerhati, memilih, melukis dan menentukan anda memahami apa yang anda inginkan.Tangan anda ikut serta dalam kerja-kerja tersebut.

Hal ini dapat memahirkan diri dengan disiplin yang penting dalam pembelajaran.Menggunakan peta minda bermakna anda harus menggunakan kemahiran menyusun maklumat yang betul dan tepat dan mudah difahami.

Peta minda juga membolehkan anda membuat perkaitan dengan lebih mudah dan cepat.Apa yang anda ingat akan dapat diperkukuh melalui gambaran dan tulisan yang anda lakukan.Kemudian anda mengaitkan pula dengan beberapa isi kecil yang lain.

Cabang dan Ranting

Lama kelamaan akan membentuk idea keseluruhan mengenai apa yang anda inginkan daripada daya ingatan anda.Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa penggunaan peta minda akan menambahkan keseimbangan otak kiri dan otak kanan.

Apa yang menarik mengenai peta minda ialah ia merangkumkan semua aspek bahasa, analitis, reka bentuk, matematik, deria dan sebagainya dalam usaha keseluruhannya.

Kelebihan lain yang terdapat pada peta minda ialah ia mudah digunakan serta sesuai untuk semua tujuan.Peta minda amat sesuai untuk tujuan menelaah pelajaran, mengambil nota yang diajar oleh guru, membaca buku, persediaan sebelum berbahas, untuk bermesyuarat, malah untuk persediaan membeli-belah.

Anda tidak perlu menuliskan semuanya pada sekeping atau lebih kertas.Anda tidak akan sukar untuk memikirkan secara mendalam kerana ingatan anda dibantu oleh hasil lukisan dan tulisan mata dan tangan anda.

Peta minda boleh disediakan dengan mudah. Pada buku tulis atau sekeping kertas, tulis topik utama yang menjadi perhatian anda. Topik tersebut, misalnya pembelajaran, eloklah dituliskan di bahagian tengah.

Dari sini, pelbagai perkara lain yang berkaitan dengan topik pembelajaran akan dihasilkan dalam bentuk cabang atau cawangan daripada pembelajaran tadi.Daripada cabang-cabang tadi, anda boleh menghasilkan pelbagai fakta isi kecil yang lain bentuk ranting. Di samping itu, anda boleh juga menggunakan pelbagai imej lain yang boleh mencorakkan peta minda dengan lebih menarik.

Selamat mencuba :)

Tinta Strategis: Rasulullah SAW Pakar Risik dan Strategi

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam". (al-Anbiya': 107)

Secara umumnya memang Baginda Saw diutus ke seluruh alam ini untuk membawa rahmat yang besar bagi kesejahteraan umat manusia di dunia dan akhirat.

Pun begitu, 'rahmat' itu sebenarnya turut meliputi kepimpinan Baginda Saw sebagai pakar strategi dan perisikan.

Dalam ruangan yang terbatas ini, memadailah jika diambil peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah pada 622M.

Ini kerana ia merupakan satu momentum dan titik tolak kepada kejayaan penyebaran Islam di seluruh tanah Arab dan seluruh dunia kemudiannya. Dalam peristiwa tersebut jelas betapa genius dan pintarnya baginda Saw dalam mengatur strategi dan membuat perisikan sebelum tugas hijrah yang suci itu dilaksanakan.

Perkataan 'strategi' berasal daripada perkataan Greek strategos, iaitu istilah ketenteraan untuk menerangkan kemahiran seorang panglima perang.

Ia merujuk kepada perancangan seorang panglima perang mengatur pasukannya dengan matlamat menewaskan pihak musuh. Carl von Clausewitz, ahli teori seni perang di abad ke-19, menyatakan 'strategi sebagai usaha merangka perancangan perang dan membentuk kempen individu termasuklah membuat keputusan penglibatan individu' (The Essentials of Strategy, 2006: xiii).

Dalam lain perkataan, jika hijrah ke Madinah menjadi objektif, maka di sini strategi ialah cara mana Rasulullah Saw boleh melakukannya dengan jaya.

'Perisikan' pula bermaksud hasil maklumat yang telah diproses dan boleh digunakan untuk sesuatu tujuan. Ia berbeza dengan 'maklumat' yang merupakan bahan mentah yang belum diproses bagi menghasilkan perisikan.

Ia mempunyai lima peringkat iaitu perancangan, pengumpulan data dan maklumat, pemprosesan bahan tersebut, penganalisisan dan akhirnya penyebaran hasil perisikan tersebut kepada pihak yang memerlukannya.

Apakah benar elemen-elemen strategi dan perisikan wujud dalam peristiwa hijrah tersebut?

Dari segi strategi, ia boleh dikesan menerusi analisis SWOT iaitu kekuatan (strength), kelemahan (weakness), peluang (opportunity) dan ancaman (threat).

Faktor kekuatan di sini ialah kesediaan penduduk Madinah (ketika itu masih bernama Yathrib) menyambut kedatangan Baginda Saw. Ini berikutan beberapa rombongan dari kota tersebut yang telah menemui Baginda Saw di Aqabah, Mina pada 621M terdiri daripada 12 lelaki daripada suku Aus dan Khazraj. Ia dikenali sebagai Baiah Al-'Aqabah Pertama.

Ini diikuti oleh Baiah Al-'Aqabah Kedua pada Jun 622M di mana melibatkan kira-kira 70 orang Madinah yang menunaikan ibadah haji (Safiyyu Al- Rahman Al- Mubarakfuri, Sirah Nabawiyyah, 2008: 207 dan 211). Mereka berjanji tidak mempersekutukan Allah, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak mereka dan tidak menentang Baginda.

Kekuatan yang lain ialah kebijaksanaan Rasulullah Saw Gua Thur sebagai tempat persembunyian semasa berhijrah. Ini kerana posisi gua tersebut terletak di Selatan Mekah, bukan jalan menuju Madinah dan ia boleh mengelirukan pihak musuh. Lebih-lebih lagi gua tersebut agak tinggi, mempunyai jalan yang bengkang bengkok dan sukar didaki. Baginda Saw juga menuju Madinah menggunakan jalan yang jarang dilalui oleh penduduk Mekah.

Dari aspek kelemahan hijrah ke Madinah ini ialah Rasulullah Saw dan Saidina Abu Bakar akan menempuh jalan yang sulit dan banyak rintangan. Ia bukan sahaja sukar dilalui, tetapi terdedah kepada risiko lapar dan dahaga serta penuh kegelapan. Mereka juga mudah terdedah kepada ancaman suku kaum yang tidak dikenali di sepanjang perjalanan.

Dari aspek peluang pula, Rasulullah Saw telah menjangkakan Madinah adalah lokasi yang terbaik untuk memantapkan penyebaran agama Islam. Di situ, Baginda dan golongan Muhajirin akan kurang diganggu dan ditindas oleh kaum Quraisy Mekah.

Aspek ancaman semasa berhijrah datangnya daripada bangsa Yahudi di Madinah. Ini kerana mereka menganggap menjadi bangsa terpilih oleh Allah SWT. Sebaliknya Nabi Muhammad Saw, daripada bangsa Arab. Ini menyebabkan mereka merasa iri hati. Mereka mengadakan konspirasi dengan golongan munafik dan Quraisy Mekah.

Bagaimanapun ancaman tersebut dapat ditangani apabila Rasulullah Saw mengadakan perjanjian dengan mereka. Baginda Saw bertindak tegas apabila berlaku perlanggaran syarat perjanjian. Peralatan perang mereka dirampas dan ini melemahkan kekuatan ketenteraan mereka.

Bagaimana pula dari aspek perisikan? Rasulullah Saw sememangnya telah merancang hijrah ke Madinah secara teratur, walaupun tidak dinafikan ia memang merupakan perintah Allah. Baginda Saw mempunyai fakta bahawa Madinah mempunyai keistimewaan dari segi geografi, politik, ekonomi, mahupun sosial.

Madinah terletak dalam kawasan perjalanan kabilah dari Sham dan Yaman. Dari arah timur, Madinah bercantum dengan padang pasir Najd sehingga ke Iraq. Dari arah barat pula, kota tersebut bercantum dengan Laut Merah. Ia dikelilingi oleh pokok-pokok dan tanaman yang rendang, dengan ini boleh menjadi pertahanan perang semula jadi. Kota itu juga mempunyai tanah yang subur dan mempunyai dua lembah yang dilimpahi air.

Rasulullah Saw juga mempunyai sumber perisikan dan pembantu yang dapat melicinkan lagi pelaksanaan hijrah ke Madinah. Dalam istilah perisikan ia dikenali sebagai HUMINT (human intelligence).

Antaranya ialah Abu Bakar As-Siddiq r.a. yang menemani Baginda Saw sepenuh masa sewaktu berhijrah. Begitu juga Ali bin Abi Talib r.a. yang menggantikan Baginda Saw di tempat tidur pada malam hijrah. Pembantu lain ialah Asma' anak perempuan Abu Bakar yang menguruskan bekalan makanan.

Ini diikuti Abdullah anak lelaki Abu Bakar yang mencari maklumat perisikan. Pada sebelah siang beliau keluar mencari maklumat yang menjadi isu percakapan orang ramai, kemudian melaporkan kepada Baginda Saw dan bapanya pada sebelah malam.

Ini dimantapkan lagi oleh Amir bin Fuhairah, hamba kepada Abu Bakar yang menjadi gembala ternakan. Beliau membantu persembunyian di Gua Thur, di samping mengelirukan pihak musuh. Pada sebelah siang beliau menggembala ternakan di Mekah tetapi pada sebelah petang membawa kambing ke tempat persembunyian untuk membekalkan susu kepada mereka.

Seterusnya mendapat perkhidmatan seorang penunjuk jalan yang mahir dengan situasi kawasan dan jalan untuk berhijrah. Walaupun Abdullah bin Uraiqit seorang musyrik, tetapi amanah dan taat menyimpan rahsia.

Rasulullah Saw juga sentiasa menganalisis maklumat perisikan yang diterima. Baginda Saw tidak mahu terbuai dengan kuantiti pengikut, padahal yang lebih penting ialah kualiti mereka. Bagi mempastikan pengikutnya berhijrah ke Madinah dengan niat yang ikhlas, bukannya disebabkan agenda tertentu sama ada tujuan keduniaan atau untuk menikahi seseorang perempuan.

Ini jelas daripada hadis Baginda Saw, "Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia diniatkan. Barang siapa hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya. Dan barang siapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu". (riwayat Bukhari dan Muslim).

Wanita yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah Ummi Qais yang memberi syarat kepada seorang sahabat bahawa beliau bersedia menjadi isteri sekiranya lelaki itu berhijrah ke Madinah.
Baginda Saw juga sentiasa membuat tindakan follow-up dan follow-through terhadap sokongan yang telah dijanjikan. Contohnya, baginda mengutus seorang sahabat, Mush'ab bin Omar kepada rombongan dari Yathrib (Madinah) yang berjanji setia dengan Baginda, di samping mengajarkan al-Quran dan agama Islam.

Baginda Saw sentiasa memantau pergerakan orang yang memeluk Islam bukan kerana ikhlas tetapi kerana muslihat tertentu. Golongan munafik ini diketuai oleh Abdullah bin Ubai.

Sebagai contoh Baginda Saw mengetahui sepucuk surat sulit yang dihantar kaum Quraisy Mekah kepada Abdullah supaya memerangi Baginda dan golongan Muhajirin. Baginda berjaya mengagalkan konspirasi itu, hasil maklumat perisikan yang diterima.

Berdasarkan kepada perbincangan di atas adalah jelas bahawa Nabi Saw menggunakan strategi dan perisikan semasa berhijrah ke Madinah.

Memang tepat kata Sun Tzu dalam buku The Art of War, "Raja dan panglima yang bijak boleh menewaskan musuh jika mereka bergerak dan mencapai kejayaan melebihi orang biasa kerana mempunyai maklumat awal. Maklumat tersebut tidak dapat diperoleh daripada makhluk halus, dewa atau pengalaman mahupun telekan nujum. Ia mesti diperoleh daripada orang yang mengetahui situasi musuh."

Tuntasnya, sewajarnya-lah umat Islam mencontohi Baginda Saw menjadi umat kelas pertama yang menguasai bukan sahaja kedua-dua bidang tersebut. Bahkan merangkumi bidang lain seperti informasi, teknologi, politik dan ekonomi dalam dunia yang sentiasa bersaing dan mencabar ini.

Sumber: Zainal A. Jalil, Utusan Malaysia Online

Transformasi Islam di Alam Melayu

Menurut sarjana ilmuan kenamaan tempatan, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972), bahawa masyarakat dan alam Melayu telah mendapat sesuatu yang baharu dan "moden" dalam maksud dan erti yang sebenarnya dengan kehadiran Islam.

Menurutnya lagi Islam-lah yang mencetuskan era dan zaman baru di alam Melayu secara menyeluruh yang mencakup perubahan "jiwa" dan "rupa" masyarakat Melayu, seperti yang ditegaskannya sebagai;

".....kedatangan Islam di Kepulauan Melayu-Indonesia harus kita lihat sebagai mencirikan zaman baru dalam pensejarahannya, sebagai semboyan tegas menegaskan satu sistem masyarakat yang berdasarkan beberapa kebebsan orang perseorangan, keadilan dan kemuliaan keperibadian insan". (al-Attas, 1972:20)

Perubahan yang paling asasi ialah dari sudut kepercayaan yang mana masyarakat Melayu telah diperkenalkan dan diyakinkan dengan keyakinan yang berteraskan faham tauhid.

Dengan mantapnya faham tauhid ini, maka world view masyarakat Melayu telah berubah, meninggalkan "zaman lama" seperti yang digambarkan oleh MuhammadUthman (1977), sebagai;

" Zaman Hindu-Buddha dengan metodologinya, penyembahan rajanya, ciri tertentu dan masyarakatnya, dengan alam khayalannya, penyembahan berhalanya, dengan menitik penting kepada keseniannya". (Muhammad Uthman, 1977:185)

Nyatanya faham tauhid yang dibawa oleh Islam telah menghapuskan kepercayaan sebelum Islam yang bersifat syirik dan berjaya menjawab persoalan-persoalan ketuhanan, persoalan manusia, dan persoalan alam. Dan jawapan pasti islam terhadap segala persoalan ini berdasarkan faham tauhid, telah memantapkan keyakinan masyarakat Melayu terhadap Islam.

Untuk menyimpulkan proses transformasi Islam di alam Melayu ini, dirasakan kenyataan Dr. Siddiq Fadil mempunyai kebenarannya;

" Perkembangan dan kemantapan Islam di rantau ini tidak dihasilkan hanya dengan usaha sambil lewa para pedagang, dan tidak juga semata-mata kerana sikap pak turut orang-orang Melayu, tetapi berkait usaha gigih dan bijaksana para da'ie yang komited, para da'ie yang terdiri dalam kalangan pedagang, mubaligh, ulama', kaum Sufi, sultan dan bala tenteranya".

Rujukan:
1) Al-Attas, Syed Muhammad al-Naquib, "Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu", (Kuala Lumpur, UKM 1972)
2) El-Muhammady, Muhammad 'Uthman, "Peranan Islam Dalam Pembentukan Kebudayaan Melayu" dalam Seminar Islam dan Kebudayaan Melayu, (PKPIM, 25-28 Julai, 1976)
3) Siddiq Fadil, "Gerakan Islam di Dunia Melayu, tuntutan Zaman dan Cabaran Lingkungan", (Kuala Lumpur, 1989)

Saturday 21 March 2009

Peristiwa Penting 1

1963 : Perlembagaan Malaysia dibentuk

10 Mei 1969 : Pilihan Raya Malaysia yang kedua

13 Mei 1969 : Berlaku tragedi 13 Mei yang mengakibatkan kehilangan jiwa rakyat dan kerosakan harta benda.

16 Mei 1969 : Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan perintah darurat di seluruh negara. Sistem kerajaan berparlimen digantung.

17 Mei 1969 : Kerajaan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai Tun Abdul Razak telah diwartakan.

Julai 1969 : Jabatan Perpaduan Negara ditubuhkan

29 Januari 1970 : Majlis Perundingan Negara diwartakan.

31 Ogos 1970: Rukun Negara sebagai ideologi negara diisytiharkan.

23 Februari 1971 : Kerajaan berparlimen Malaysia dipilih semula.

Thursday 19 March 2009

Makam Laksamana Bentan

Batu Asas Pengenalan Makam

Makam Laksamana Bentan terletak di Kampung Kelantan dan berhampiran dengan Tebing Sungai Kemang di Daerah Kota Tinggi.

Perjalanan ke Makam ini hanya sejauh dua km dari bandar Kota Tinggi. Dipercayai di sinilah telah disemadikan Megat Seri Rama yang juga dikenali sebagai Laksamana Bentan, pahlawan Melayu terbilang dan isterinya Dang Anum.

Nama sebenar Laksamana Bentan ialah Megat Seri Rama berasal dari Bentan Sumatera dan bertugas sebagai Panglima angkatan laut Sultan Mahmud Shah II (1685-1699). Megat Seri Rama telah menikam Sultan Mahmud sewaktu dijulang ketika dalam perjalanan menuju ke masjid untuk solat Jumaat.

Ini disebabkan dendamnya terhadap tindakan Sultan yang telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas isterinya sewaktu ketiadaan beliau mempertahankan negeri daripada serangan musuh. Dang Anum yang sedang mengandung telah dijatuhkan hukuman bunuh kerana dituduh memakan seulas nangka yang diambil dari kawasan larangan Diraja.

Makam Laksamana Bentan dan Isterinya Dang Anum

Namun demikian, Sultan sempat menikam balas Megat Seri Rama dan melafazkan sumpah bahawa "Orang-orang Bentan akan muntah darah jika berkunjung ke bumi Kota Tinggi selama tujuh keturunan". Peristiwa ini terkenal dengan 'Sultan Mahmud Mangkat Dijulang'.

Susunan batu bata bersaiz besar yang digunakan untuk membina tembok makam ini dipercayai adalah sebuah kota pertahanan pada zaman kesultanan melayu silam. Kedudukan di atas tebing tinggi Sungai Johor ini sangat sesuai digunakan sebagai tempat beristirehat dan meninjau kedatangan musuh.

Sumber: Jabatan Muzium Kota Tinggi

Saturday 14 March 2009

Soekarno: Antara Kejayaan dan Kegagalan

" Soekarno was the best example I know of a revolutionary leader who could tear down a system experttly but could not focus hid attention on rebuilding it". (Richard Nixon)

Thursday 12 March 2009

Salam Kejayaan, Teruskan Perjuangan

Tahniah! dan syabas diucapkan buat semua anak didik tercinta lagi dikasihi yang telah berjaya mencipta SEJARAH dalam keputusan peperiksaan SPM 2008 yang lalu.

Kejayaan gilang gemilang hari ini merupakan hadiah termahal dan sangat bermakna buat semua warga Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak dan para pendokongnya, samada secara langsung mahupun tidak langsung.

Buat anak-anak didik di kelas 5 Salman al-Farisi dan kelas 5 Suhaib ar-Rumi sesi 2008..tiada ungkapan terindah mampu dilafazkan melainkan ustaz sangat gembira kerana telah diberi kesempatan untuk mengenali dan mendidik kalian sehingga dapat berkongsi kegembiraan kecemerlangan ini.

Semoga kejayaan gemilang hari ini dapat diteruskan momentumnya hingga ke peringkat menara gading kelak. InsyaAllah.

Doa dan harapan ustaz agar kalian dapat memanfaatkan segala ilmu yang telah dibekalkan dengan sewajarnya buat umat. Semoga kalian terus berjaya dalam segala lapangan kehidupan..di dunia juga di akhirat. Ameen.

Kalam guru Sejarah:

"Sejarah bukan sekadar dibaca, tetapi difahami dan dihayati bagi membentuk jati diri mulia insani"

"Kegagalan dan ketertewasan anda bukanlah persoalan utama, tetapi kemampuan dan kesungguhan anda merancang untuk mencipta kecemerlangan adalah pokok pangkal segalanya".

Wednesday 11 March 2009

Sejarah Kewujudan Akta ISA di Malaysia

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 sebenarnya dirangka oleh R.H. Hickling pada awalnya. Kemudian ia dijadikan undang-undang pada tahun 1960.

Semasa akta itu mula digunakan, ia membenarkan kajian semula, akan tetapi sejak itu, ISA telah dipinda sebanyak lebih daripada 20 kali dan peruntukan ini telah dikeluarkan. Kuasa mutlak telah diberikan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri membolehkan beliau menangkap sesiapa pun, tanpa merujuk kepada mahkamah.

Pernyataan seksyen perundangan yang berkaitan Akta ISA adalah seperti di bawah:

Section 73(1) Internal Security Act 1960: "Any police officer may without warrant arrest and detain pending enquiries any person in respect of whom he has reason to believe that there are grounds which would justify his detention under section 8; and that he has acted or is about to act or is likely to act in any manner prejudicial to the security of Malaysia or any part thereof or to maintenance of essential services therein or to the economic life thereof."

Sect 8. Power to order detention or restriction of persons. "(i) If the Minister is satisfied that the detention of any person is necessary with a view to preventing him from acting in any manner prejudicial to the security of Malaysia or any part thereof or to the maintenance of essential services therein or the economic life thereof, he may make an order (hereinafter referred to as a detention order) directing that that person be detained for any period not exceeding two years."

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Lazimnya dikenali sebagai ISA, iaitu akronim nama bahasa Inggerisnya, Internal Security Act) merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang sedang berkuatkuasa di Malaysia.

Sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan.

Pada tahun 1989, kebolehan mahkamah untuk menyiasat kuasa Menteri di bawah peruntukan ini telah dihapuskan dengan beberapa pindaan kepada Akta ini. Pada masa kini, mahkamah boleh melihat semula hanya perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA.

Semenjak tahun 1960 apabila Akta ini dikuatkuasakan, beribu-ribu orang termasuk ahli kesatuan sekerja, pemimpin pelajar, aktivis hak buruh, aktivis politik, golongan agama, ahli akademik dan aktivis badan bukan kerajaan telah ditahan di bawah ISA. Ramai aktivis politik pada masa dahulunya telah ditahan untuk lebih daripada sedekad.

ISA digunakan secara konsisten terhadap mereka yang mengritik kerajaan dan mempertahankan hak asasi manusia. Dikenali sebagai "keganasan putih" (white terror), ia amat ditakuti dan dibenci, meskipun menjadi satu alat mudah untuk negara membasmi sebarang penentangan dan debat terbuka.

Akta ini merupakan satu mekanisme pencegahan yang sangat berkesan serta masih dikekalkan oleh kerajaan yang berkuasa untuk mengawal kehidupan umum dan masyarakat awam.

Sila baca juga:
1) Operasi Lalang

Sumber: Wikipedia

Tuesday 10 March 2009

Masjid Aqsa bakal runtuh tidak lama lagi?

Jumaat, 06/03/2009 - Penggubal undang-undang Palestin dan pengerusi jawatankuasa Baitulmuqaddis dalam PLC, MP Dr Ahmad Abu Halabia menyatakan pengumuman Israel untuk menggali dua terowong di bawah Masjid Aqsa merupakan “ujian untuk orang Arab dan umat Islam”.

Dalam satu temubual dengan PIC pada Rabu lalu, Abu Halabia menerangkan bahawa usaha-usaha Israel itu untuk meyahudikan segera bandar itu akan diperhebatkan lagi termasuk memusnahkan lebih banyak kediaman Palestin dan memaksa ramai keluarga keluar dari bandar tersebut.

Beliau menekan penggalian Israel di bawah makam ketiga paling suci untuk umat Islam sudah sampai ke peringkat mencemaskan dan mula untuk mengancam asas masjid itu.

Jumaat, 06/03/2009 - Penggubal undang-undang Palestin dan pengerusi jawatankuasa Baitulmuqaddis dalam PLC, MP Dr Ahmad Abu Halabia menyatakan pengumuman Israel untuk menggali dua terowong di bawah Masjid Aqsa merupakan “ujian untuk orang Arab dan umat Islam”.

Dalam satu temubual dengan PIC pada Rabu lalu, Abu Halabia menerangkan bahawa usaha-usaha Israel itu untuk meyahudikan segera bandar itu akan diperhebatkan lagi termasuk memusnahkan lebih banyak kediaman Palestin dan memaksa ramai keluarga keluar dari bandar tersebut.

Beliau menegaskan bahawa penggalian yang dilakukan Israel di bawah makam ketiga paling suci untuk umat Islam kini sudah sampai ke peringkat mencemaskan dan mula untuk mengancam asas masjid itu.

Sumber: http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : hijjaz79

Galloway: Kami akan beri bantuan kepada kerajaan Gaza

Selasa, 10/03/2009 - Sebaik tiba di Sahat al-Katibah di Gaza pada hari Isnin (9/3), George Galloway seorang ahli Parlimen British dan ketua konvoi ‘Pembuluh Kehidupan’ yang bertujuan memecahkan sekatan yang dikenakan terhadap Gaza, menyeru semua individu yang merdeka di seluruh dunia agar menghantar konvoi serupa, delegasi dan bantuan ke Gaza melalui pintu sempadan Rafah.

Beliau berkata dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Sahat al-Katibah bersama dengan beberapa ahli parlimen daripada blok ‘perubahan dan pembaikan’ dalam Dewan Perundangan, “kami datang ke sini, ke semenanjung Gaza dengan 200 buah kereta sejauh ratusan batu hanya kerana anda.. Kami melalui gunung-gunung dan sungai.. Kami merentasi 8 buah negara sebelum tiba di Gaza.

Kami merentasi sempadan yang sebelum ini ditutup. Setiap saat kami terdengar seruan orang dewasa dan tangisan kanak-kanak yang sedang berada dalam kepungan. Suara-suara inilah yang menyebabkan kami datang walaupun terpaksa meredah perjalanan yang amat jauh. Setiap jalan yang dilalui, kami dapati semua orang menunjukkan kasih sayang dan solidariti terhadap rakyat Palestin. Namun masih ada kerajaan yang tidak memberikan bantuan sehingga kini.”

Beliau menambah, “kami membawa bersama ubat-ubatan, peralatan dan bantuan yang akan kami serahkan kepada Perdana Menteri kerajaan Palestin yang dipilih secara sah, Ismail Haneyya.”

Beliau juga menegaskan, “jutaan lagi yang tidak dapat datang sekarang sedang berdoa untuk anda di Gaza, termasuk ratusan rakyat di beberapa negara Arab yang sanggup menyerahkan barangan kemas mereka untuk disumbangkan kepada Gaza.”
penterjemah : muhajir

Monday 9 March 2009

Tuntutan Mengingati Rasulullah Saw Sepanjang Masa

AKU kesayangan Allah (dan tidak bongkak). Aku membawa panji 'Pujian' pada hari kiamat, di bawahnya Adam dan yang sesudahnya (dan tidak bongkak). Aku yang pertama pemberi syafaat dan yang diterima syafaatnya pada hari kiamat (dan tidak bongkak). Aku yang pertama menggerakkan pintu syurga dan Allah membukanya untukku dan aku dimasukkan-Nya bersama-sama orang beriman yang fakir (dan tidak bongkak). Dan Akulah paling mulia dari kalangan terdahulu dan terkebelakang di sisi Allah (dan tidak bongkak)," maksud sabda Baginda SAW yang diriwayatkan Tirmizi.

Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik untuk kamu." (Surah al-Ahzab ayat 21)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud, "Adalah akhlaknya (Rasulullah SAW) sebagai akhlak al-Quran." (Hadis riwayat Muslim)

Ia menunjukkan akhlak Baginda SAW adalah sempurna kerana Baginda mengamalkan segala ajaran dalam al-Quran. Inilah salah satu sebab mengapa seluruh umat manusia diperintahkan supaya mencontohi Baginda.

Sesungguhnya Allah mengutuskan Rasulullah SAW kepada manusia untuk menjadi contoh terpilih. Baginda juga contoh, gambaran pelaksanaan yang sempurna lagi tinggi untuk kesempurnaan manusia sejagat.

Tidak syak lagi kepada umat Islam bahawa sekiranya mereka mengikuti keperibadian Rasulullah SAW yang mulia, sesungguhnya mereka adalah manusia yang mempunyai ciri kepemimpinan agung, yang sentiasa mendapat kasih dan restu daripada Allah.

Rabiulawal adalah bulan bersejarah bagi umat Islam kerana dalam bulan inilah junjungan kita Rasulullah SAW diputerakan. Hari keputeraan ini disambut oleh umat Islam untuk mensyukuri rahmat Allah yang menurunkan seorang pemimpin yang sudah mengubah suasana dan keadaan hidup manusia ke arah kejayaan. Di samping itu, ia sebagai satu saranan untuk mengenang serta mengimbas kembali perjuangan Baginda yang penuh dengan rintangan, bagi membetulkan akidah umat, serta untuk kemanusiaan dan keadilan sejagat.

Selaku Nabi dan Rasul, Baginda sudah menerima amanah daripada Allah dengan penuh tawakal dan ketaatan yang menjadikan Baginda itu sentiasa berjaya dan mendapat pertolongan.

Baginda SAW adalah seorang rasul yang mempunyai darjat kelebihan daripada nabi, rasul yang lain. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 253 yang bermaksud: "Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan tertentu) di antara mereka ada yang berkata-kata dengan Allah dan ditinggikan (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan."

Kita mencintai Rasulullah kerana Baginda mempunyai peribadi yang tinggi. Rasa cinta kita kepadanya tidak cukup jika kita lahirkan dengan kata-kata dan sambutan yang pelbagai cara, tetapi mesti dilahirkan dengan meniru sifat peribadi yang mulia. Kerana sifat-sifat peribadi yang mulia inilah Rasulullah SAW disanjung tinggi dan dapat memandu manusia dan mengubah suasana kehidupan manusia ke arah yang lebih cemerlang dan lebih bahagia bukan saja di dunia bahkan di akhirat.

Di antara sifat Rasulullah SAW yang patut kita hayati ialah Baginda sentiasa bersifat benar dalam semua keadaan. Baginda tidak pernah berdusta dan tidak pula menyeleweng dalam tingkah laku; Baginda bersifat amanah sejak kecil hingga diberikan gelaran al-Amin dan diberikan kepercayaan membawa dagangan Siti Khadijah seterusnya Allah melantiknya menjadi seorang Rasul akhir zaman; Baginda bersifat adil tidak memihak dalam membuat hukuman walaupun terhadap keluarganya sendiri. Ini telah ditegaskan dengan sabdanya yang bermaksud: "Demi Allah seandainya anakku Fatimah mencuri nescaya aku potong tangannya."

Di samping itu, Baginda mempunyai keyakinan diri. Dengan keyakinan dan ketabahan itu menyebabkan agama Islam tersebar hingga ke hari ini; Baginda juga berusaha dengan rajin dan tekun. Ini dapat dilihat daripada apa yang dilakukan olehnya dari sejak kecil dengan bekerja sebagai pengembala kambing dan ketika remaja berniaga dan akhirnya ia berdakwah menyeru manusia mengabdikan diri kepada Allah dan memperbaiki kepincangan masyarakat; dan Baginda adalah seorang yang cekal dan cekap menjalankan tugasnya di semua bidang seperti pengurusan rumah tangga, pentadbiran negara dan di medan perang; serta Baginda juga mempunyai sifat kesungguhan dalam usahanya menyebarkan agama Islam, menyatupadukan umat dan melakukan ibadah kepada Allah. Baginda tidak mudah putus asa walaupun menghadapi tekanan daripada puak Quraisy.

Perkara di atas adalah satu pegangan yang wajib dimiliki oleh setiap Muslim mengenai nabi mereka. Kecintaan kita kepada Junjungan adalah tanda wujudnya iman dalam diri kita. Sabda Baginda maksudnya: "Tidaklah seseorang itu dikatakan beriman hingga aku lebih dicintai daripada ayahnya, anaknya dan seluruh manusia." (Hadis riwayat Bukhari)

Umat Islam hari ini kurang memperhatikan hakikat di atas. Mereka menjadikan selain Muhammad SAW sebagai idola mereka. Mereka lebih mencontohi si polan dan si polan dari mencontohi Muhammad SAW. Mereka lebih sebati jiwa dan raga mereka dengan si anu dan si anu daripada sebati jiwa dan raga mereka dengan Muhammad SAW.

Sehingga akhirnya mereka lebih mengutamakan perkataan, perbuatan dan persetujuan yang dikeluarkan oleh manusia, selain Muhammad SAW. Mereka berkata bahawa mereka beriman kepada Muhammad SAW. Tapi ketika dianjurkan kepada mereka perkataan, perbuatan, dan persetujuan Baginda, mereka menutup mata.

Mereka berkata bahawa mereka pengikut Muhammad SAW. Tapi ketika ditunjukkan kepada mereka perkataan, perbuatan, dan persetujuan Baginda mereka menutup telinga.
Mereka berkata bahawa mereka mencintai Muhammad SAW. Tapi ketika dihadapkan kepada mereka perkataan, perbuatan, dan persetujuan Baginda mereka menutup mulut.

Itulah realiti yang dihadapi umat Islam masa kini. Mereka mengingati Muhammad SAW hanya apabila mereka sedang dalam surau, masjid dan majlis. Tapi ketika mereka keluar, yang mereka ingat adalah selain Muhammad SAW. Padahal perkataan, perbuatan dan persetujuan Muhammad SAW bersifat sederhana dan tidak menyusahkan dan memberatkan. Baginda bersabda maksudnya: "Apa saja yang aku larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka lakukanlah sesuai kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan berselisih faham dengan nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh)." (Muttafaq 'alaihi)

Betapa mulia dan tingginya Muhammad SAW seperti dalam hadis pada permulaan renungan ini dia ia sudah cukup untuk menjadi bukti kewajipan mengidolakan Baginda. Mahukah kita dekat dengan Baginda kerana mengidolakan Baginda? Jika mahu, Baginda pun memberikan satu jalan dalam sabda Baginda bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak membaca selawat kepadaku." (Hadis riwayat Tirmizi) Allahumma salli 'ala Muhammad.

Sumber: Berita Harian

Sila baca juga:
1) Sejarah Memperingati Maulidur Rasul

Thursday 5 March 2009

Keranda Bahasa Melayu


KERANDA 152

Anak Melayu
panas dadamu membakar
kita arak keranda 152
ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
tiap pintu dan jendela sudah dijaga
bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
namamu telah diseru
jawablah
sebelum lidahmu jadi bisu

Usman Awang (1967)


Komentar:

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu telah melalui sejarah yang panjang. Pejuang bahasa sebelum merdeka adalah juga pejuang bangsa dan pejuang kemerdekaan. Keranda 152 adalah satu episod dari rantaian perjuangan meletakkan Bahasa Melayu di tempat yang selayaknya.

Buku Keranda 152, Bahasa kita, Air Mata & Maruah Kita, merupakan sebuah buku yang diterbitkan semula oleh Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun 2002. Buku asalnya berupa himpunan tulisan berbentuk stensilan pada tahun 1968. Ianya berupa cetusan hati untuk memperingati ulangtahun peristiwa penentangan terhadap Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967).

Buku ini menceritakan detik detik peristiwa penentangan yang berlaku pada 3 Mac, 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa & Pustaka.

Apa sebenarnya Keranda 152? Ianya merujuk kepada Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah salah satu dari kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh rakyat berbilang bangsa.

Sewaktu detik mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, tuntutan rakyat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai sesatunya Bahasa rasmi telah tidak dapat dipenuhi oleh parti yang memerintah.

Alasannya kerana Bahasa Melayu belum benar-benar bersedia untuk mengambil-alih tugas Bahasa Inggeris yang telah digunakan oleh penjajah dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran negara. Atas sebab itu, Bahasa Inggeris masih dibenarkan penggunaannya, untuk tempoh masa 10 tahun lagi.

Tempoh itu dirasakan munasabah untuk setiap rakyat Tanah Melayu mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu.Apa yang berlaku pada tahun 1967, Bahasa Inggeris masih diberi ruang yang besar sebagai bahasa rasmi.

Badan NGO Melayu rasa terkejut dengan beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang Bahasa 1967 yang masih mengekalkan Bahasa Inggeris dalam beberapa bidang terutama bidang kehakiman.Apa gunanya merdeka, jika bahasa anak pribumi dianggap sebagai bahasa kelas ketiga dan tidak layak diguna di negara sendiri? Adakah tempoh 10 tahun masih tidak cukup untuk setiap rakyat memantapkan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan?

Inilah yang diperjuangkan oleh pejuang bahasa dalam tahun 1967. Mereka berasa bagi dikhianati oleh para pemimpin yaang kononnya memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu.

Sekumpulan 9 orang peguam Melayu telah menghantar memorandum menyuarakan bantahan namun tidak dipedulikan oleh parti yang memerintah.

Kemarahan orang Melayu membuak-buak. Seramai 2,000 orang mewakili 120 pertubuhan orang Melayu telah berhimpun di Balai Budaya, DBP pada petang Jumaat 3 Mac, 1967.

Perhimpunan ini menyaksikan orang Melayu bersatu tanpa mengira fahaman politik. Peristiwa itu juga diingati dengan ucapan Tun Syed Nasir Ismail, Pengarah DBP yang menitiskan airmata mengenangkan nasib Bahasa Melayu;

"...saya menangis bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir daripada keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tidak boleh buat apa-apa sekarang ini. Saya terikat..."

Kemarahan rakyat sudah tak terbendung menyaksikan sekumpulan aktivis bersedia mahu berarak ke Bangunan Parlimen. Mereka mahu mengusung Keranda 152 yang membawa jiwa bangsa yang sudah ditamatkan hayat oleh bangsanya sendiri.

Keranda 152 akan diingat sebagai satu episod dalam sejarah perjuangan Bahasa Melayu. Balai Budaya yang menjadi saksi peristiwa bersejarah itu, kini sudah ditukar nama kepada Balai Tun Syed Nasir.

Peritiwa 13 Mei 1969, kemudiannya seakan menjadi penyelamat bila Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama dalam dasar pendidikan negara.

Kemuncak perjuangan ini menyaksikan lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 yang menyaksikan buat kali pertama, Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai pengantar utama.

Tahun ini genap 42 tahun Peristiwa Keranda 152. Tempoh masa 42 tahun Keranda 152 dan 52 tahun merdeka adalah saat yang mungkin sesuai untuk kita kembali bermuhasabah dan menyoal diri...Di manakah Bahasa Melayu? ATAU adakah masih di dalam keranda?

Debaran 12 Mac

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2008 akan diumumkan pada 12 Mac ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom dalam kenyataan hari ini berkata calon yang menduduki keduadua peperiksaan itu boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masingmasing bermula pukul 10 pagi.

"Calon persendirian pula akan mendapat keputusan mereka melalui pos yang akan dihantar oleh Jabatan Pelajaran Negeri," katanya.

Alimuddin berkata pengumuman analisis keputusan SPM dan STAM 2008 akan diadakan serentak pada 12 Mac pukul 9 pagi di Putrajaya.

Seramai 442,936 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2008 dan daripada jumlah itu 388,079 atau 87.6 peratus adalah calon sekolah Kementerian Pelajaran, 16,019 (3.6 peratus) calon sekolah kerajaan negeri dan tajaan badanbadan tertentu, 10,331 (2.3 peratus) calon sekolah swasta dan 28,507 (6.5 peratus) calon persendirian perseorangan, katanya.

Alimuddin juga berkata sebanyak 3,939 pusat peperiksaan telah disediakan untuk peperiksaan itu di seluruh negara.

Peperiksaan bertulis SPM 2008 dijalankan dari 11 November hingga 5 Disember 2008.Bagi peperiksaan STAM pula, seramai 6,240 calon telah mendaftar untuk mendudukinya, katanya.

Daripada jumlah itu, katanya 886 atau 13.9 peratus adalah calon sekolah bantuan penuh kerajaan, 4,219 (67.6 peratus) calon sekolah agama tadbir kerajaan negeri, 788 (12.6 peratus) calon sekolah agama rakyat serta sekolah swasta dan 367 (5.9 peratus) calon persendirian perseorangan.

Sementara itu, keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 akan diumumkan pada 10 Mac ini.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam kenyataan berkata calon sekolah boleh mendapatkan keputusan peperiksaan mereka di sekolah masingmasing bermula pukul 12 tengah hari manakala calon persendirian individu akan memperolehnya melalui pos.

Di samping itu, katanya calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip STPM dan hantar ke 39003.

Selain itu, katanya keputusan juga boleh disemak melalui sistem dalam talian dengan melayari laman web Majlis Peperiksaan Malaysia http://www.mpm.edu.my mulai pukul 12 tengah hari pada hari berkenaan.Katanya analisis pengumuman keputusan peperiksaan berkenaan akan diadakan pada 10 Mac pukul 11.30 pagi di MPM.

Seramai 53,638 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu dan daripada jumlah tersebut, 46,319 atau 86.35 peratus adalah calon sekolah kerajaan, 2,189 (4.08 peratus) calon sekolah swasta dan 5,130 (9.56 peratus) calon persendirian individu.

Sumber: BERNAMA

Sunday 1 March 2009

Alia Sabur Cipta SEJARAH Profesor Termuda di Dunia

ALIA Sabur mencatatkan rekod dunia dalam 'Guinnes Book of World Records' apabila menjadi profesor paling muda dengan memegang jawatan berkenaan pada usia 18 tahun 362 hari (Alia lahir pada 22 Februari 1989).

Kedudukan itu membolehkan dia mencipta rekod baru selepas mengatasi ahli matematik Scotland, Colin Maclaurin yang juga pelajar Sir Isaac Newton dengan memegang jawatan berkenaan ketika berusia 19 tahun tujuh bulan iaitu pada tahun 1717.

Alia yang dibesarkan di New York adalah anak pasangan Julie Sabur (kelahiran Iran) dan Mark kini bertugas sebagai profesor sepenuh masa di samping menjalani penyelidikan pembangunan teknologi nano dalam sektor perubatan di Konkuk University di Seoul, Korea Selatan.

Selain mendapat tali pinggang hitam dalam taekwondo seawal usia 9 tahun, Alia juga merupakan calon termuda yang pernah menerima beberapa sijil dan anugerah kehormat daripada Jabatan Pertahanan AS, NASA, GAANN, dan NSF.

Berkongsi pengalaman menjadi ibu kepada anak pintar ini, Julie berkata, kecerdikan anak perempuannya diketahui ketika berusia lapan bulan kerana pada usia berkenaan Alia sudah boleh bertutur dan membaca.

Katanya, dia percaya anak yang baru lahir hingga berusia enam tahun adalah tahap sangat penting dalam perkembangan seseorang anak. Rajinlah membaca kepada anak anda dan galakkan mereka menerokai alam bacaan.

“Luangkan masa untuk menjawab soalannya. Jangan kata, Mak sibuk, Mak tak ada masa. Kalau tidak mengetahui jawapan kepada soalannya, kata padanya, marilah kita ke perpustakaan untuk mencari jawapannya,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Julie berkata, kepintaran luar biasa yang dimiliki Alia menyebabkan anaknya dikecualikan daripada mengikuti pengajian di peringkat asas selama lapan tahun dan seterusnya ditawarkan ke kolej.

Kecerdikan Alia katanya, semakin terserlah apabila dia mampu menyelesaikan permasalahan matematik pada tahap tinggi dan ditawarkan mengikuti program ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik di Stony Brook University, New York pada usia 10 tahun.

“Selain mempunyai kepintaran luar biasa, Alia juga mempunyai kemahiran bermain alat muzik klarinet dan pada usia 10 tahun, anak kecil ini dengan pemain piano terkemuka Ling Lang menjayakan Mozart’s Clarinet Concerto,” katanya.

Menjadi ibu kepada anak cerdik, Julie berkata, dia memberi kebebasan seimbang kepada anaknya sepanjang tempoh kanak-kanak dan remaja kerana baginya, masa yang berharga ketika itu perlu digunakan sepenuhnya dengan bermain dengan rakan sebaya.

Jika dibiarkan Alia terus belajar beliau berkata, dikhuatiri jiwanya akan memberontak dan mengambil keputusan di luar dugaan hingga membinasakan karier dan masa depannya.

Sebelum ini, katanya, dia mengambil pengajaran daripada banyak peristiwa membabitkan anak pintar yang mengalami tekanan perasaan serius disebabkan desakan ibu bapa mahukan mereka memberikan terbaik.

“Tekanan itu menyebabkan mereka mengambil keputusan drastik hingga meragut nyawa dan keadaan ini menyebabkan berlaku pembaziran kerana kepintaran yang ada boleh dieksploitasi dalam membantu memajukan ummah. "

“Walaupun sibuk mengendalikan kajian, Alia kini berkongsi maklumat dan kepakarannya kepada umum di peringkat global dengan menjayakan beberapa siri ceramah antaranya syarahan bertajuk Belajar Secara Berkesan Dalam Memaksimumkan Sesuatu Potensi di Kuala Lumpur, baru-baru ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian