Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Friday, 12 September 2008

16 September wajar dimartabatkan – Prof Khoo Kay Kim

Bagi rakyat Malaysia yang menetap di Semenanjung, perayaan kemerdekaan 31 Ogos setiap tahun sememangnya telah sinonim untuk di raikan sebagai usaha memperingati kemerdekaan. Namun bagi rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak tarikh 31 Ogos 1957 adalah detik yang mana dua negara di kepulauan Borneo itu masih berada di bawah jajahan British. Manakala 16 September 1963 merupakan tarikh kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia. Editor, Mat Zahari Ali menemubual Pakar Sejarah Universiti Malaya, Prof Khoo Kay Kim untuk meneliti kewajaran tarikh 16 September untuk di nukilkan sebagai hari kebesaran negara.

SK: Prof membuat kenyataan dalam media arus perdana baru-baru ini bahawa 16 September tidak harus diraikan sebagai hari hari besar kerana telah ada 31 Ogos?

Prof Khoo : Ha ha ha( ketawa kecil)… itu yang saya hairan, ada wartawan yang telefon saya tapi yang dia tulis lain dari apa yang saya cakap. Dia (wartawan arus perdana) tanya saya, apakah saya setuju dengan saranan Anwar supaya 16 September di jadikan sebagai hari cuti umum sebagaimana 31 Ogos. Saya jawab lain tapi dia tulis lain.

SK : Apa jawapan Prof?

Prof Khoo : Saya kata dua tarikh itu berdasarkan fakta sejarah adalah penting dan wajar di rayakan sebagai hari kebesaran negara. 31 Ogos 1957 sebenarnya adalah tarikh British menyerahkan kedaulatan negara pada kuasa raja bukannya kepada orang tertentu sebagaimana di dakwa. Tetapi kemudiannya raja menurunkan atau memberikan kedaulatan itu kepada rakyat kerana kuasa tertinggi dalam Tanah Melayu pada ketika itu adalah Raja bukannya individu tertentu. Lalu mandat itu di terima oleh rakyat untuk di sambut sebagai kemerdekaan itu.

16 September pula adalah ulangan kita untuk mengingati tarikh kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Tanah Melayu pada 1963 yang kemudiannya Tanah Melayu di tukar kepada Persekutuan Malaysia. Maka mengapa kita tidak boleh bertolak ansur untuk menjadikan 16 September sebagai sebahagian dari hari kebesaran negara. Kita mulakan dengan sambut 31 Ogos dan 16 September sebagai hari puncak perayaan. Dua minggu saja tempohnya dan hari mula dan hari terakhir di jadikan hari cuti. Bukan susah sangat.

SK: 31 Ogos hari merdeka, 16 September apakah pula nama yang sesuai untuk diraikan?
Prof Khoo: Ha, ha ( ketawa kecil).. apa nama pun tak apalah, Hari Malaysia ke, Hari Persekutuan ke atau apa-apa sajalah tetapi mesejnya perlu jelas supaya rakyat memahaminya dalam kontek yang lebih luas.

SK: Maksud Prof?

Prof Khoo : Sejarah Negara yang terhidang di depan kita selepas 51 tahun merdeka dan 45 tahun Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia kita menemukan banyak jurang yang berlaku antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur.Baik dalam kontek bahasa, budaya, ekonomi, pendidikan, perpaduan kaum, politik dan sebagainya banyak yang berbeza. Kita di semenanjung dengan kesemenanjungannya dan kawan kita di Malaysia Timur pula dengan cara mereka dan tidak ada titik pertemuan yang harmoni antara keduanya.

Walaupun ada di bidang politik tetapi masing-masing ada agenda yang bukan bermatlamatkan penyatuan bangsa Malaysia tetapi lebih kepada kekuasaan dan pengaruh politik. Ini sebenarnya lebih memisahkan lagi.Kita di semenanjung ini pun dalam politik kita di pecah dan di pisahkan dengan kesukuan dan kebangsaan masing-masing. Maka lebih hebat lagilah jurangnya apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak yang turut di pisahkan lagi oleh Laut China Selatan.

SK: Berdasarkan falsafah sejarah apakah mekanisma sesuai untuk menjadikan Semenanjung dan Sabah serta Sarawak lebih bersatu dan ‘harmoni’?

Prof Khoo: Kalau kita membicarakan soal 16 September, saya bersetuju 16 September di jadikan sebagai satu tarikh yang harus dikenang dan dirai oleh rakyat Malaysia secara keseluruhan kerana 31 Ogos tidak sangat memberi signifikan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak. Kalau ini berlaku saya rasa tarikh ini akan memberi satu pengiktirafan dan penghormatan kepada rakyat di kepulauan Borneo itu oleh kerajaan pusat. Tetapi ini bukanlah jalan pokok ke arah itu tetapi ia boleh dijadikan simbol asas ke arah penyatuan yang menyeluruh kerana setiap sesuatu itu harus dimulai dengan satu titik. Maka tidak salah kalau kita jadikan perayaan sempena 16 September sebagai satu titik tersebut.

SK: Ada pihak menganggap menjadikan 16 September sebagi hari cuti umum sebagai hal remeh dan mencukupi dengan hari-hari cuti yang sedia ada?.

Prof Khoo: Saya tidak berminat untuk bercakap hal politik tetapi dalam konteks sejarahnya kita tidak boleh meremehkan sejarah orang lain dan kesalahan yang lebih besar adalah kita memaksa orang lain menerima sejarah kita. Kita kena ingat bahawa sejarah memberi kesan yang besar kepada pelbagai disiplin hidup baik politik, ekonomi, sosial hingga ke pasaran saham. Banyak kegagalan pemimpin dunia dalam menguasai rakyat mereka di sebabkan mereka mengabaikan fakta sejarah. Sejarah juga membuktikan pemimpin yang meletakkan penguasaan kuasa di hadapan dan membelakangkan kedaulatan rakyat adalah pemimpin yang bersifat sementara.

SK: “Perpaduan Asas Kejayaan” sebagai moto sambutan kemerdekaan baru-baru ini dianggap moto tahun 60′an dan tak wajar selepas negara merdeka 51 tahun. Prof setuju dengan saya?

Prof Khoo: Saya setuju kerana berdasarkan status kedaulatan negara itu, perpaduan merupakan hiraki kedua selepas keamanan dalam piramid kemanusiaan. Tapi apabila kita meletakkan perpaduan itu sebagai satu ikon dalam kita memberi sesuatu manifestasi ia menggambarkan pemimpin negara tersebut sedang menghadapi masalah asas dalam mengurus tadbir negara dan rakyatnya. Ini kerana moto itu memberi makna atau bersifat kempen oleh kerajaan kerana ia sedang berhadapan dengan masalah yang menyebabkan moto tersebut disebarkan kepada rakyat.Pada pandangan saya, kita seharusnya telah selesai mengatasai masalah perpaduan setelah merdeka lebih 51 tahun tetapi saya hairan mengapa kita masih gagal menyelesaikan masalah perpaduan antara kaum ini.

SK: Andai 16 September berjaya di letakkan sebagai satu hari keraian oleh negara kita. Apakah moto perpaduan ini sesuai untuk dijadikan sebagai ikon sulungnya?

Prof Khoo: Boleh juga kalau mahu kerana buat masa ini kita sedang berhadapan dengan mood perkauman yang memperlihatkan semakin menakutkan di mainkan oleh ahli-ahli politik.Ia tidak berapa ketara di Malaysia Timur tapi di semenanjung telah menampakkan putik-putiknya.Dalam teori sejarah keadaan ini di lihat sebagai fenomena melangkah kebelakang kerana macam saya sebutkan kita seharusnya menyelesaikan masalah perkauman ini dalam masa sepuluh tahun pertama selepas kemerdekaan tetapi kita gagal.Sistem pendidikan kita juga gagal, sistem sosial kita juga gagal, dalam ekonomi pun gagal malah banyak yang kita gagal sehingga kesannya selepas 51 tahun merdeka pun kita masih berhadapan dengan masalah asas iaitu perkauman dan perpaduan hingga ke saat ini.Walhal Penyata Razak 1956 dijadikan agenda perlembagaan Persekutuan untuk merealisasikan perpaduan dikalangan pelbagai kaum.Tapi hal ini tidak selesai sampai bila-bila pun apatah lagi apabila amalan ahli politik yang menggunakan isu perkauman sebagai jalan mudah untuk berkuasa dan mendapatkan sokongan dari kaum yang diwakilinya. Sampai bila pun tak akan selesai.

Sumber: http://www.suarakeadilan.com/sk/berita-utama/2008/09/1342

No comments: