Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Tuesday 6 April 2010

Bangunan Sultan Abdul Samad

Bangunan Sultan Abdul Samad adalah merupakan di antara bangunan lama yang terdapat di bandaraya Kuala Lumpur yang merupakan bangunan warisan dan masih dilindungi keaslian rekabentuknya.

Bangunan Sultan Abdul Samad ini dibina pada tahun 1893. Walau bagaimana pun perletakan batu asas bagi bangunan ini hanya dibuat pada 6 Oktober 1894 oleh Sir Charles B.H. Mitchell yang merupakan Gabenor Negeri-negeri Selat ketika itu.

Bangunan ini siap sepenuhnya untuk digunakan pada tahun 1897. Bangunan Sultan Abdul Samad ini mengambil sempena nama Sultan Selangor yang memerintah pada ketika itu, iaitu dalam tahun 1896. Bangunan ini merupakan suatu mercu tanda di Kuala Lumpur yang gah pada ketika itu.

Kedudukan lokasinya yang terletak pada satu tapak di antara pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak begitu terkenal kerana merupakan satu tapak yang strategik, iaitu di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur.


Kawasan tersebut meliputi keluasan 10,200 meter persegi dan di bahagian belakangnya terdapat Jalan Belanda yang kini dikenali sebagai Jalan Mahkamah Persekutuan.

Bangunan Sultan Abdul Samad ini juga dikatakan strategik kerana terletak berhampiran dengan Dataran Merdeka, Kelab Diraja Selangor dan Masjid Jamek yang kesemuanya terletak berhampiran Sungai Gombak.

Sebelum merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan sebuah Pusat Pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Pejabat Residen- General dan Pejabat Besar Pos.

Selepas kemerdekaan pula, ia dijadikan sebagai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Negeri dan Perbendaharaan Kerajaan. Bangunan ini juga menempatkan Mahkamah Agung Malaysia dan sebahagian daripada Mahkamah-mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1978.

Rekabentuk pelan bangunan ini dibuat oleh arkitek dari British bernama A.C. Norman (yang bekerja di Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur) dan dibantu oleh seorang jurutera juga berasal dari British, iaitu C.E. Spooner.


Senibina Bangunan Sultan Abdul Samad ini sangat unik dan merupakan di antara bangunan yang tersohor pada ketika itu. Ia mempunyai dua tingkat setinggi 57 kaki berbentuk ladam di mana di tengah-tengahnya terdapat satu dataran tinggi segi empat yang dipagari oleh batas-batas pokok bunga yang cantik.

Bangunan ini juga mempunyai tiga kubah, satu menara jam besar dan sebuah arked. Ia juga terdapat satu serambi besar tertutup yang merupakan suatu elemen penting dalam rekabentuk bangunan ini.

Senibinanya yang berbentuk ‘saracenic’ merupakan satu ciri senibina Moorish dan Moghul yang berunsurkan Islam. Ini terbukti melalui terdapatnya tiga buah kubah yang menghiasi bangunan ini.


Di peringkat awalnya ia diperbuat daripada kayu dan batu bata yang dicat berwarna hitam, namun kini ianya telah digantikan dengan kubah yang bersalut dengan tembaga. Kos pembinaannya sebanyak RM 152,000 dan merupakan bangunan yang termahal di rantau ini pada ketika ianya didirikan.

Sekitar tahun 1978, kerja-kerja pengubahsuaian telah dibuat dan siap sepenuhnya dalam tahun 1984 dengan anggaran belanja sebanyak RM 17.2 juta. Pada waktu itu kerajaan Australia telah menyumbang sebanyak RM 200,000 sebagai kos menyadur tembaga bagi ketiga-tiga kubah pada tahun 1982.


Pengubahsuaian ini dilakukan hanya pada bahagian dalam bangunan tanpa menjejaskan bahagian luarnya dan kedudukan asal bangunan tersebut. Selepas siap sepenuhnya, Bangunan Sultan Abdul Samad ini sekali lagi dirasmikan pada tahun 1984.

No comments: