Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Sunday, 3 August 2008

Mengingati Peristiwa Berdarah Muslim Bosnia


MENANGIS, meratap tersedu-sedu kerana tidak dapat menahan sebak. Berpuluh ribu Muslim Bosnia menyambut ulang tahun memperingati peristiwa berdarah pembunuhan kejam ribuan Muslim oleh tentera Serb di Srebrenica, Bosnia Herzegovina, Jumaat lalu.
"Setiap tahun pada waktu ini kami meratapi peristiwa terbabit. Ia seperti berulang kembali," kata seorang penduduk di Srebrenica, Nafija Alic.

Dia seperti beribu-ribu wanita Muslim lain, dipaksa keluar dari bandar itu selepas ia dikuasai pihak Serb pada 11 Julai 1995. Sejak itu, dia tidak pernah melihat ahli keluarganya.
Bapanya yang turut menjadi mangsa pembunuhan itu sudah ditemui dan disemadikan dua tahun lalu, tetapi suami, ibu dan adiknya yang berusia 17 tahun ketika peristiwa itu, malah lebih 20 sanak saudaranya masih gagal dijejakinya.
Zina Huremovic, 49, hamil pada kali terakhir melihat suaminya, Izet, sebelum dia terlepas daripada kepungan di bandar itu pada 1993.
Sejak itu dia berusaha mencari suaminya, malah dia turut meninggalkan contoh darah anaknya di makmal bagi tujuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA). Usahanya untuk menjejaki suaminya berbaloi apabila dia diberitahu jasad Izet ditemui dan sudah dikenal pasti tahun lalu.
"Lama saya menunggu peluang ini, melihat gambarnya dan sangat berharap dia pulang," kata anaknya, Ermin, yang kini berusia 15 tahun.
"Hari ini saya menanam harapan saya bersamanya. Kerana itu saya tidak akan sekali-kali melupakan atau memaafkan (pembunuh bapanya)," kata remaja lelaki itu.
Srebrenica adalah wilayah di bahagian timur Bosnia Herzegovina, dihuni penduduk Muslim. Ia kekal dalam Republik Srpska, yang dikuasai Serb bersama Persekutuan Muslim Croat yang dibentuk selepas perang Bosnia 1992-1995.
Pada 2007, Republik Srpska atau Serbia mempunyai 1,512,108 penduduk, membabitkan tiga entiti utama, Serb Bosnia (1,330,122), Muslim Bosnia (148,108) dan Croat Bosnia.
Dalam peristiwa berdarah itu lebih 8,000 Muslim, tanpa mengira jantina dan usia dibunuh dengan kejam.
Walaupun sesetengahnya cuba menyelamatkan diri, mereka tetap diburu dan dibunuh, manakala yang terselamat terputus hubungan dengan ahli keluarga dan sehingga kini masih tidak dapat berjumpa.
Mangsa yang dibunuh ditanam beramai-ramai bergelimpangan di dalam kubur besar. Tetapi selepas penyiaran gambar satelit yang menunjukkan sebahagian besar kawasan perkuburan itu, pihak Serb memindahkan mangsa ke lokasi lain untuk menyembunyikan jenayah yang mereka lakukan daripada masyarakat umum.
Suasana di pusat pemakaman Srebrenica-Potocari menjadi bertambah suram kerana pada kesempatan itu juga dilakukan upacara pengebumian semula kira-kira 300 jenazah yang baru dijumpai.
Ada antara mereka berjalan di lorong keranda hijau mengenal pasti keranda suami, anak, bapa atau adik, sekurang-kurangnya mahu menyentuh jasad insan tersayang buat kali terakhir sebelum mereka disemadikan kembali.
Mayat mereka digali daripada kubur besar dan disemadikan semula dengan lebih elok selepas dikenal pasti melalui ujian DNA. Mereka berusia 15 hingga 84 tahun.
"Sangat sukar untuk menerimanya apabila mereka memberitahu saya yang bapa saya sudah dikenal pasti. Walaupun dia sudah tidak bersama kami, saya tetap gembira kerana rohnya tenteram," kata Vanesa Mehmedovic, 26, yang melakukan penyempurnaan terhadap jenazah bapanya, Mevludin.
Sehingga kini, lebih 2,900 mangsa dari Srebrenica disemadikan di kawasan tanah perkuburan itu yang dibina pada 2003, khusus bagi peristiwa terbabit. Tetapi beribu-ribu mangsa dikatakan masih belum dapat dikenal pasti, membabitkan beberapa kawasan lagi.
Pada masa ini hanya ujian DNA yang digunakan bagi mengenal pasti mangsa Muslim daripada peristiwa berdarah itu. Sehingga kini, lebih daripada 5,600 mangsa di Srebrenica dapat dikenal pasti, tetapi disebabkan ada bahagian rangka yang tidak lengkap atau kecil, mengakibatkan lebih 2,400 lagi tidak dapat disemadikan.
Jasad mereka disimpan di rumah mayat khas kerana ahli keluarga mereka mahu menunggu anggota badan yang hilang dijumpai sebelum disemadikan semula. Peristiwa pembunuhan kejam Srebrenica disifatkan sebagai tindakan penghapusan etnik oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan tribunal jenayah perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Dalang kepada kekejaman terbabit adalah Radovan Karadzic - warga Bosnia berketurunan Serb yang menjadi pemimpin dalam peperangan dan komander tenteranya, Ratko Mladic, yang masih bebas bergerak di negara Balkan itu.
Mustafa Ceric, Ketua Masyarakat Islam Bosnia, meminta Kesatuan Eropah untuk mewartakan 11 Julai sebagai hari berkabung Eropah pada setiap tahun.

No comments: