Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Saturday, 27 September 2008

Sesalan di Hujung Ramadhan....




Aku berdiri di ujung jarum jam tua
yang mengerakkan denyutan nadiku Hina dalam diri yang selalu lupa alpa Terkulai dalam keheningan dunia
Ego dalam selimut hari
Hari ini ...
Walau air mataku mengering
Walau kata tobat dari mulutku menjadi sumbang
Walau usaha kudratku menghapus coretan nafsu
Waktu itu takkan kembali walau sedetik pun

Kutatap kembali Qur'an kecilku
Hanya lipatan kecil pada halaman nipis terbaca
Begitu sibukkah aku...
Begitu kakukah lidahku...
Begitu angkuhkah hatiku...

Hari ini...
Waktuku terbias sia-sia
Tak ada setetes embun pagi pun yang tersisa
Dalam damba kedahagaan hakiki
Menggapai rahmat yang berlagu sepi

Kutatap kembali sajadah lusuh itu
Tak ada sujud malam pun berbekas di sana
Tak ada air mata penyesalan pun menetes di sana
Tak ada ukiran doa khusyu' pun tergores di sana
Tak ada rasa bersyukur pun dari nikmat yang teramat banyak

Hari ini...
Sakit dalam dada
Rasa hina tercabik kemalasan
Menghitam dalam asap kendaraan tua
Tertutup noda basah yang terinjak sepatu berlumpur

Ya... Allah
Adakah waktuku yang tersisa
dari putaran waktu yang terus berlari

Ya... Allah
Mampukah aku berdiri sebagai manusia
Kalau sujudkupun hanya di waktu yang Engkau wajibkan
Mampukah aku di sebut hambamu
Kalau rasa syukurku memudar
Mampukah aku melafazkan kebesaran namaMu
Kalau persekutuanku pada amarahMu menebal
Mampukah aku mendengar takbiran di akhir Ramadhan ini
Kalau tak sebesar biji zarahpun kebaikan yang aku lakukan
Mampukah aku ....Walau hanya melihat kalung taqwa yang Engkau kalungkan pada hamba-hamba pilihanmu

Ya... Allah
Malu aku melangkah lata di bumimu
Malu aku menyuap limpahan dari rizqimu
Malu aku menatap keindahan anugerahmu

Ya... Allah
Berilah aku kesempatan Ya .. Allah
Walau di akhir detik dan saat di bulan sucimu ini
Hanya untuk mengucap satu kata Ya Allah
Kata syukur karena nikmatmu Ya Allah
Agar sesal ni dipertemukan semula...
Dengan Ramadhan yang akan datang. Ameen

al-Ikhwan
Kota Batu. 2008

Angkasawan China cipta SEJARAH berjalan di angkasa lepas


BEIJING: Angkasawan China, yang menggunakan kapal angkasa Shenzhou VII, mencipta sejarah hari ini apabila berjaya berjalan di angkasa lepas, sambil menerima tepukan bergemuruh daripada berjuta rakyat yang menonton siaran langsung misi itu melalui televisyen.
Ketua penerbangan Zhai Zhigang, terapung di angkasa selama 20 minit, di luar kapsul yang membawanya sebelum itu.

Kejayaan itu, yang menguatkan lagi agenda angkasa lepas China, termasuk untuk membina stesen angkasa lepas menjelang 2020, turut disaksikan Presiden Hu Jintao dan beberapa pegawai kanan Parti Komunis. Sebaik saja keluar daripada pintu berbentuk bulat, Zhai, 42, melambai ke arah kamera yang dipasang pada kapsul berkenaan dan berkata: "Salam sejahtera kepada semua rakyat negara saya dan dunia!"

Dengan keadaan tubuhnya terikat oleh dua utas kabel ke kapsul itu, Zhai mengibarkan bendera China yang dihulur kepadanya oleh angkasawan kedua Liu Boming, yang membantunya dari dalam kapsul itu, sebelum mengumpul sampel bahan yang terlekat di luar kapal angkasa berkenaan untuk tujuan penyelidikan.

Zhai memakai pakaian 10 lapis berharga 30 juta yuan (RM13.7 juta) seberat 120kg, yang digelar "Feitian" (pakaian untuk terbang ke langit). Pakaian buatan China ini mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.

Misi angkasa lepas ini, yang melibatkan tiga angkasawan dan menggunakan bantuan roket Long March 2F, berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di Wilayah Gansu malam kelmarin.
Kapal angkasa berkenaan dijadualkan mendarat di Inner Mongolia esok setelah terlibat dengan perjalanan selama 68 jam, termasuk mengelilingi bumi setiap 90 minit.

Zhai, bekas juruterbang jet pejuang, termasuk dalam senarai mereka yang berpotensi menyertai misi ke angkasa lepas sebanyak dua kali, tetapi tidak terpilih menyertai penerbangan solo pertama pada 2003 dan misi melibatkan dua juruterbang pada 2005.

Kejayaan beliau mendorong China untuk memulakan kerja membina makmal angkasa lepas menjelang 2010 dan mempunyai stesen angkasa lepas sendiri menjelang 2020. China adalah negara ketiga yang menghantar manusia ke angkasa lepas, selepas bekas Soviet Union dan Amerika. Aksi berjalan di angkasa lepas pertama kali dilakukan oleh angkasawan Soviet Alexei Leonov pada 1965.

Sumber: BERNAMA

Tuesday, 16 September 2008

Peristiwa Nuzul al-Quran dan Lailatul Qadar

Nuzul Al-Quran

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

Al-Qur'an adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT
Maksudnya:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi.

Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).

Friday, 12 September 2008

16 September wajar dimartabatkan – Prof Khoo Kay Kim

Bagi rakyat Malaysia yang menetap di Semenanjung, perayaan kemerdekaan 31 Ogos setiap tahun sememangnya telah sinonim untuk di raikan sebagai usaha memperingati kemerdekaan. Namun bagi rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak tarikh 31 Ogos 1957 adalah detik yang mana dua negara di kepulauan Borneo itu masih berada di bawah jajahan British. Manakala 16 September 1963 merupakan tarikh kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia. Editor, Mat Zahari Ali menemubual Pakar Sejarah Universiti Malaya, Prof Khoo Kay Kim untuk meneliti kewajaran tarikh 16 September untuk di nukilkan sebagai hari kebesaran negara.

SK: Prof membuat kenyataan dalam media arus perdana baru-baru ini bahawa 16 September tidak harus diraikan sebagai hari hari besar kerana telah ada 31 Ogos?

Prof Khoo : Ha ha ha( ketawa kecil)… itu yang saya hairan, ada wartawan yang telefon saya tapi yang dia tulis lain dari apa yang saya cakap. Dia (wartawan arus perdana) tanya saya, apakah saya setuju dengan saranan Anwar supaya 16 September di jadikan sebagai hari cuti umum sebagaimana 31 Ogos. Saya jawab lain tapi dia tulis lain.

SK : Apa jawapan Prof?

Prof Khoo : Saya kata dua tarikh itu berdasarkan fakta sejarah adalah penting dan wajar di rayakan sebagai hari kebesaran negara. 31 Ogos 1957 sebenarnya adalah tarikh British menyerahkan kedaulatan negara pada kuasa raja bukannya kepada orang tertentu sebagaimana di dakwa. Tetapi kemudiannya raja menurunkan atau memberikan kedaulatan itu kepada rakyat kerana kuasa tertinggi dalam Tanah Melayu pada ketika itu adalah Raja bukannya individu tertentu. Lalu mandat itu di terima oleh rakyat untuk di sambut sebagai kemerdekaan itu.

16 September pula adalah ulangan kita untuk mengingati tarikh kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Tanah Melayu pada 1963 yang kemudiannya Tanah Melayu di tukar kepada Persekutuan Malaysia. Maka mengapa kita tidak boleh bertolak ansur untuk menjadikan 16 September sebagai sebahagian dari hari kebesaran negara. Kita mulakan dengan sambut 31 Ogos dan 16 September sebagai hari puncak perayaan. Dua minggu saja tempohnya dan hari mula dan hari terakhir di jadikan hari cuti. Bukan susah sangat.

SK: 31 Ogos hari merdeka, 16 September apakah pula nama yang sesuai untuk diraikan?
Prof Khoo: Ha, ha ( ketawa kecil).. apa nama pun tak apalah, Hari Malaysia ke, Hari Persekutuan ke atau apa-apa sajalah tetapi mesejnya perlu jelas supaya rakyat memahaminya dalam kontek yang lebih luas.

SK: Maksud Prof?

Prof Khoo : Sejarah Negara yang terhidang di depan kita selepas 51 tahun merdeka dan 45 tahun Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia kita menemukan banyak jurang yang berlaku antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur.Baik dalam kontek bahasa, budaya, ekonomi, pendidikan, perpaduan kaum, politik dan sebagainya banyak yang berbeza. Kita di semenanjung dengan kesemenanjungannya dan kawan kita di Malaysia Timur pula dengan cara mereka dan tidak ada titik pertemuan yang harmoni antara keduanya.

Walaupun ada di bidang politik tetapi masing-masing ada agenda yang bukan bermatlamatkan penyatuan bangsa Malaysia tetapi lebih kepada kekuasaan dan pengaruh politik. Ini sebenarnya lebih memisahkan lagi.Kita di semenanjung ini pun dalam politik kita di pecah dan di pisahkan dengan kesukuan dan kebangsaan masing-masing. Maka lebih hebat lagilah jurangnya apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak yang turut di pisahkan lagi oleh Laut China Selatan.

SK: Berdasarkan falsafah sejarah apakah mekanisma sesuai untuk menjadikan Semenanjung dan Sabah serta Sarawak lebih bersatu dan ‘harmoni’?

Prof Khoo: Kalau kita membicarakan soal 16 September, saya bersetuju 16 September di jadikan sebagai satu tarikh yang harus dikenang dan dirai oleh rakyat Malaysia secara keseluruhan kerana 31 Ogos tidak sangat memberi signifikan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak. Kalau ini berlaku saya rasa tarikh ini akan memberi satu pengiktirafan dan penghormatan kepada rakyat di kepulauan Borneo itu oleh kerajaan pusat. Tetapi ini bukanlah jalan pokok ke arah itu tetapi ia boleh dijadikan simbol asas ke arah penyatuan yang menyeluruh kerana setiap sesuatu itu harus dimulai dengan satu titik. Maka tidak salah kalau kita jadikan perayaan sempena 16 September sebagai satu titik tersebut.

SK: Ada pihak menganggap menjadikan 16 September sebagi hari cuti umum sebagai hal remeh dan mencukupi dengan hari-hari cuti yang sedia ada?.

Prof Khoo: Saya tidak berminat untuk bercakap hal politik tetapi dalam konteks sejarahnya kita tidak boleh meremehkan sejarah orang lain dan kesalahan yang lebih besar adalah kita memaksa orang lain menerima sejarah kita. Kita kena ingat bahawa sejarah memberi kesan yang besar kepada pelbagai disiplin hidup baik politik, ekonomi, sosial hingga ke pasaran saham. Banyak kegagalan pemimpin dunia dalam menguasai rakyat mereka di sebabkan mereka mengabaikan fakta sejarah. Sejarah juga membuktikan pemimpin yang meletakkan penguasaan kuasa di hadapan dan membelakangkan kedaulatan rakyat adalah pemimpin yang bersifat sementara.

SK: “Perpaduan Asas Kejayaan” sebagai moto sambutan kemerdekaan baru-baru ini dianggap moto tahun 60′an dan tak wajar selepas negara merdeka 51 tahun. Prof setuju dengan saya?

Prof Khoo: Saya setuju kerana berdasarkan status kedaulatan negara itu, perpaduan merupakan hiraki kedua selepas keamanan dalam piramid kemanusiaan. Tapi apabila kita meletakkan perpaduan itu sebagai satu ikon dalam kita memberi sesuatu manifestasi ia menggambarkan pemimpin negara tersebut sedang menghadapi masalah asas dalam mengurus tadbir negara dan rakyatnya. Ini kerana moto itu memberi makna atau bersifat kempen oleh kerajaan kerana ia sedang berhadapan dengan masalah yang menyebabkan moto tersebut disebarkan kepada rakyat.Pada pandangan saya, kita seharusnya telah selesai mengatasai masalah perpaduan setelah merdeka lebih 51 tahun tetapi saya hairan mengapa kita masih gagal menyelesaikan masalah perpaduan antara kaum ini.

SK: Andai 16 September berjaya di letakkan sebagai satu hari keraian oleh negara kita. Apakah moto perpaduan ini sesuai untuk dijadikan sebagai ikon sulungnya?

Prof Khoo: Boleh juga kalau mahu kerana buat masa ini kita sedang berhadapan dengan mood perkauman yang memperlihatkan semakin menakutkan di mainkan oleh ahli-ahli politik.Ia tidak berapa ketara di Malaysia Timur tapi di semenanjung telah menampakkan putik-putiknya.Dalam teori sejarah keadaan ini di lihat sebagai fenomena melangkah kebelakang kerana macam saya sebutkan kita seharusnya menyelesaikan masalah perkauman ini dalam masa sepuluh tahun pertama selepas kemerdekaan tetapi kita gagal.Sistem pendidikan kita juga gagal, sistem sosial kita juga gagal, dalam ekonomi pun gagal malah banyak yang kita gagal sehingga kesannya selepas 51 tahun merdeka pun kita masih berhadapan dengan masalah asas iaitu perkauman dan perpaduan hingga ke saat ini.Walhal Penyata Razak 1956 dijadikan agenda perlembagaan Persekutuan untuk merealisasikan perpaduan dikalangan pelbagai kaum.Tapi hal ini tidak selesai sampai bila-bila pun apatah lagi apabila amalan ahli politik yang menggunakan isu perkauman sebagai jalan mudah untuk berkuasa dan mendapatkan sokongan dari kaum yang diwakilinya. Sampai bila pun tak akan selesai.

Sumber: http://www.suarakeadilan.com/sk/berita-utama/2008/09/1342

Tuesday, 9 September 2008

Hari Malaysia

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat referendum di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah dan Sarawak. Ia bukan merupakan cuti am di Semenanjung Malaysia.