Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Showing posts with label Cipta Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Cipta Sejarah. Show all posts

Thursday, 4 April 2013

Cipta Sejarah: Dun Negeri Sembilan Terbubar Sendiri

Sistem pentadbiran dan pilihan raya negara ini menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan terbubar dengan sendiri hari ini.

Mandat semasa kerajaan Negeri Sembilan berakhir tengah malam tadi, membolehkan pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari.

Ini kali pertama Dun sebuah kerajaan negeri terbubar dengan sendiri - berbeza dengan apa yang disaksikan sepanjang 12 pilihan raya umum yang lalu.

Dun terbubar dengan sendiri di sebalik spekulasi berterusan Parlimen akan dibubarkan.

Parlimen penggal ke-12 akan terbubar secara automatik pada 30 April ini dan Dun Negeri Sembilan pula merupakan Dewan pertama yang terbubar sendiri iaitu tengah malam tadi.

Lazimnya, hampir kesemua Dun dan Parlimen telah dibubarkan serentak sepanjang 12 pilihan raya umum lalu.

Malah ini juga kali pertama Dun negeri yang diperintah oleh BN terbubar dengan sendiri sementara mandat penggal ke-12 Parlimen berterusan.

Kesemua negeri kecuali Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor diperintah oleh sebuah perikatan bernama Pakatan Rakyat.

Tuesday, 28 June 2011

Cipta Sejarah: Lagarde, wanita pertama ketuai IMF

Menteri Kewangan Perancis Christine Lagarde, 55, dinamakan sebagai wanita pertama akan mengetuai Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Lagarde bersaing dengan wakil Mexico Agustin Carstens bagi mengisi jawatan itu, meskipun kenyataan IMF berkata kedua-dua mereka “sangat layak” bagi mengetuai badan antarabangsa ini.

Beliau menerima sokongan daripada Amerika Syarikat dan Eropah selain China, India dan Brazil.

Kerusi itu kosong ekoran keputusan Dominique Strauss-Kahn, yang berhadapan dengan kes serangan seksual, meletakkan jawatan.

“Keputusan sudah ada, saya rasa ini satu penghormatan dan terharu dengan kepercayaan yang diletakkan oleh lembaga bagi saya memegang jawatan MD IMF,” kata Lagarde (gambar) menerusi akaun Twitternya yang dipetik oleh laporan BBC.

Tuesday, 22 March 2011

Keputusan SPM Kini Boleh Diketahui Melalui SMS

PETALING JAYA: Untuk pertama kalinya dalam sejarah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), calon-calonnya boleh memperolehi keputusan melalui sistem pesanan ringkas atau SMS.

Untuk melakukannya, apa yang perlu dilakukan ialah menaip SPM SEMAK, kemudian diikuti oleh nombor kad pengenalan dan selepas itu nombor calon sebelum mengirimnya kepada 15888.

Perkhidmatan ini akan diaktifkan selepas jam 10 pagi Rabu sehingga tengah malam 30 Mac.

Lembaga Peperiksaan Malaysia berkata dalam satu kenyataan pada Selasa, para calon juga boleh memperolehi keputusan mereka dari sekolah masing-masing selepas jam 10 pagi.

Seramai 467,970 calon telah menduduki peperiksaan itu tahun lalu yang berlangsung dari 23 November sehingga 20 Disember.

Untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai cara menggunakan perkhidmatan SMS tersebut secara lebih lanjut, calon-calon bolehlah melayari http://apps2.moe.gov.my/

Sumber: mStar Online, Selasa, 22/3/2011

Saturday, 30 October 2010

Kelantan Cipta SEJARAH

KUALA LUMPUR, 30 Okt — Kelantan, yang sedang menyaksikan pilihan raya kecil DUN Galas, mencipta sejarah — buat julung kali muncul juara Piala Malaysia dengan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Pasukan Red Warriors yang tewas tahun lalu di tangan Negeri Sembilan — pasukan Hobin Jang Hobin — menebus kekalahan itu walaupun ketinggalan 0-1 di separuh masa pertama.

Kemenangan itu turut menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali sebagai Piala HMS Malaya.

Kelantan kecundang dalam tiga perlawanan akhir sebelum ini.

Negeri Sembilan memperolehi gol pertama seawal minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Shahurain Abu Samah.

Pengadil perlawanan Subkhiddin Mohd Salleh memberi sepakan itu kepada Negeri Sembilan setelah penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menjatuhkan S. Kunalan dalam kotak penalti.

Negeri Sembilan terus mengasak pintu gol Kelantan menerusi beberapa serangan namun gagal menembusi kekentalan benteng lawan yang dibarisi Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Farisham Ismail dan Rizal Fahmi Abdul Rosidi.

Bersambung babak kedua, “The Red Warriors” yang ditemani sekurang-kurangya 60,000 penyokong terdesak untuk mencari gol dan melakukan beberapa asakan yang akhirnya membuahkan gol penyamaan pada minit ke-57.

Hantaran luar Norshahrul Idlan Talaha tidak disia-siakan Ketua Pasukan “The Red Warriors” Indra Putra Mahayuddin yang menanduk dan merobek gol Negeri Sembilan.

Kelantan semakin garang apabila Mohd Badri Mohd Radzi menambah jaringan pada minit ke-65 hasil hantaran cantik Mohd Norfarhan Muhamad.

Ketiadaan tonggak utama Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak yang terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan menyebabkan Negeri Sembilan semakin tertekan apabila ketinggalan 1-2.

Bagi mengukuhkan kubu pertahanan, jurulatih Kelantan B. Sathianathan mengambil tindakan bijak memasukan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Khairan Eroza Razali.

Strategi itu berjaya apabila tamat masa permainan menyaksikan Kelantan muncul juara Piala Malaysia musim ini selepas berjaya mempertahankan kedudukan 2-1 menewaskan Negeri Sembilan.

Sumber: The Malaysian Insider

Sunday, 25 July 2010

Cipta Sejarah: Komputer Riba Termurah di Dunia

India berjaya menghasilkan komputer riba dengan teknologi skrin sentuh yang bakal dijual pada harga sekitar AS$35 (RM111) seunit.

Komputer riba itu dihasilkan melalui kerjasama Institut Teknologi India dan Institut Sains India untuk kegunaan mahasiswa bermula tahun hadapan, sebelum dijual kepada golongan murid dan pelajar.

Jurucakap Kementerian Pelajaran, Mamta Verma berkata, kerajaan juga bercadang memasang kemudahan jalur lebar di kesemua 22,000 kolej seluruh negara untuk memenuhi keperluan dan perkembangan semasa dunia pendidikan.

Antara aplikasi yang tersedia dalam komputer riba edisi khas ini adalah pelayar Internet dan kemudahan sidang video. Kos menghasilkan komputer riba berkenaan akan disubsidikan kerajaan supaya mampu dibeli pelajar dan mahasiswa.

"Usaha juga sedang diambil untuk mengurangkan kos pembuatan dengan cara menggunakan teknologi tempatan supaya komputer riba ini boleh dijual pada harga serendah AS$10 (RM32)," kata Menteri Pembangunan Sumber Manusia, Kapil Sibal semasa melancarkan komputer riba berkenaan di New Delhi pada 22 Julai lalu.

Sunday, 16 May 2010

Piala Uber: Korea Selatan Mencipta SEJARAH

Kuasa badminton wanita China dikejutkan Korea Selatan yang mencatat SEJARAH merobohkan dominasi Tembok Besar dengan merampas mahkota Piala Uber buat pertama kali selepas menang 3-1 pada perlawanan akhir, semalam.

Yongbo, ketua jurulatih pasukan juara bertahan China, sebelum ini dengan angkuhnya bernada yakin bahawa Korea Selatan akan tetap berputih mata pada pertemuan final keenam kedua-dua pasukan berkenaan.

Namun, anak buah Kim Joong Soo menukar tempelak itu menjadi satu semangat apabila menumbangkan keangkuhan wanita China untuk membawa pulang Piala Uber buat kali pertama selepas lima percubaan serta memastikan mereka menyertai kelab elit empat negara trofi keagungan berpasukan wanita itu.

Korea yang turut merobohkan dominasi 11 tahun China, memulakan langkahan kemenangan perseorangan pertama, Bee Seung-hee menamatkan rekod dua kekalahannya dengan mengejutkan pemain nombor satu dunia, Wang Yihan 23-21, 21-11.

“Saya membuat analisa permainan Yihan dan menghantar bola di garisan belakang. Ternyata strategi itu menjadi,” kata Seung-hee. “Sebagai perseorangan utama, sudah tentu tekanan menghasilkan mata itu ada, tapi, rasanya saya berdepan tekanan itu lebih awal dan mengatasinya berbanding Yihan.”

Rentak kemenangan kemudian diteruskan beregu Lee Hyo-jung-Kim Min-jung yang terpaksa bergelut sebelum menjinakkan pasangan nombor satu dunia, Ma Jin-Wang Xiaoli 18-21, 21-12, 21-15.

Laluan Korea Selatan hampir terjejas apabila perseorangan kedua China, Wang Xin menewaskan Sung Ji-hyun 21-14, 16-21, 21-7 sebelum beregu Lee Kyun-won-Ha Jung-eun meleburkan ego Du Jing-Yu Yang untuk mata kemenangan Korea 19-21, 21-14, 21-19

Sumber: Berita Harian Online, 15 Mei 2010

Sunday, 7 February 2010

Cipta Sejarah: Ainan Bergelar Mahasiswa

Pada usia tujuh tahun, Ainan mula mendapat perhatian dunia kerana kepintaran luar biasanya dan menjadi kanak-kanak termuda lulus subjek kimia di peringkat GCE O-Level. Hari ini dia mengukir satu sejarah lagi apabila bergelar mahasiswa universiti.

Ainan mula merangkak pada usia empat bulan, berjalan ketika enam bulan dan berlari ketika lapan bulan. Malah, pada usia Ainan mencecah enam tahun, dia mula menunjukkan minat membaca buku kimia.

Untuk membaca lanjut, sila klik di sini..

Sunday, 4 October 2009

Burj Dubai: Bangunan Tertinggi di Dunia

DUBAI, 3 Okt (Bernama) -- Bangunan tertinggi di dunia, Burj Dubai, mengikut jadual untuk siap akhir tahun ini, demikian menurut pemajunya, Emaar Properties.

Ketinggian akhir menara kegunaan bercampur yang mengandungi kediaman, suite korporat serta Armani Hotel and Armani Residences yang pertama di dunia, akan diumumkan apabila Burj Dubai dibuka akhir tahun ini.

Emaar mengumumkan beberapa angka dan fakta yang mengagumkan mengenai pembinaan menara itu, yang kini pada ketinggian lebih 800 meter di pusat projek mega Downtown Burj Dubai.

Keseluruhan berat aluminium yang digunakan bagi lapisan pelindung bahagian luar struktur tinggi itu bersamaan dengan lima pesawat A380, dan jumlah panjang besi keluli ialah 293 kali ketinggian Menara Eiffel di Paris.

Sejumlah 103,000 meter persegi kaca digunakan dalam panel pelindung yang boleh meliputi 14 padang bola sepak dan 15,500 meter persegi besi keluli dengan ukiran yang digunakan boleh meliputi 34 gelanggang bola keranjang yang diperakui Persatuan Bola Keranjang Nasional.

Jumlah panjang gasket pula ialah 2,050,000 meter linear, yang jika diukur hujung ke hujung ialah kira-kira jarak antara Dubai ke ibu negara Syria, Damascus yang berada pada 2,052 kilometer.

Lapisan pelindungan luar Burj Dubai siap baru-baru ini, dengan rekod dunia pemasangan tertinggi permukaan aluminium dan kaca, kata Emaar.

Panel lapisan pelindung yang ke-24,348 itu, seberat 750 kilogram dipasang pada ketinggian lebih 662 meter.

Sumber: BERNAMA

Tuesday, 22 September 2009

KD Tunku Abdul Rahman


Kapal Selam Scorpene pertama negara, Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman yang diterima secara rasmi daripada pengarah projek Scopene di Toulon Perancis pada 24 Jan lepas,berlabuh di Pangkalan KD Sultan Abdul Aziz Shah, Pulau Indah, Klang dan disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, dalam satu upacara khas sebelum meneruskan pelayaran ke pangkalan TLDM Lumut. Foto: Klang. September 3, 2009.

Sila baca juga artikel-artikel di bawah:
1.
Scorpene kapal selam digeruni musuh
2. Cabaran bertugas dalam 'tiub besi'
3. KD Tunku Abdul Rahman, its official
4. KD Tunku Abdul Rahman In Full Operation Middle October
5. Kapal selam pertama negara selamat tiba

Friday, 21 August 2009

Muhasabah: Terima di Dunia, Bebas di Akhirat


"BUKAN hendak mengaibkan diri sendiri, tetapi saya harap hukuman sebat ini dapat dilakukan secara terbuka supaya dapat memberi kesedaran kepada orang ramai," kata Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, kepada Sinar Harian.

Wanita yang berasal dari Sungai Siput, Perak dan berkahwin dengan seorang rakyat Singapura itu dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Isnin lalu selepas mengaku salah meminum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2007.

Kartika berkata, sekiranya hukukuman ke atasnya dilakukan secara tertutup bermakna mesej untuk memberi kesedaran tentang kesalahan tersebut tidak sampai kepada khalayak.

“Ini adalah kes pertama wanita dikenakan hukuman sebat dan kalau boleh ia dilakukan secara terbuka. Saya mahu hukuman ini menjadi mesej dan pengajaran kepada orang ramai. "

“Kalau nak bagi kesedaran kepada orang ramai saya bersedia dan ikhlas dilakukan di tempat yang menjadi tumpuan orang ramai,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya, di kampung Jawang, di sini, semalam.

Menurut Kartika, sekiranya permintaan untuk menjalani hukuman di khalayak ramai ditolak, beliau berharap mahkamah membenarkan ahli keluarga, waris terdekat dan wakil media hadir menyaksikan proses hukuman sebat yang dijalankan kelak.

“Kalau tidak dibenarkan hukuman dijalankan di hadapan orang ramai, saya berharap sewaktu hukuman sebat dikenakan, saudara mara, waris terdekat dan wakil media dibenarkan masuk. "

“Bukan mudah untuk berhadapan dengan masyarakat tetapi saya bersedia,” katanya.

Anak keempat daripada sembilan beradik ini berkata, beliau benar-benar sudah membuat persediaan rapi sama ada dari segi mental atau fizikal untuk menjalani hukuman tersebut.

“Bila-bila masa pun saya sudah bersedia untuk menghadapinya. Saya bersedia mental dan fizikal serta reda. "

“Sewaktu lepas SPM dula saya ada belajar di pusat pendidikan agama dan mempunyai sebuah al-Quran yang saya bawa ke mana-mana sehingga sekarang."

“Saya harap mereka membenarkan saya untuk membawa al-Quran ini untuk memberi sokongan semangat kepada saya,” katanya.

Kata Kartika, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menarik balik keputusan untuk berdepan hukuman berat tersebut kerana sedar tentang kesalahan besar yang menconteng arah kepada kedua ibu bapanya.

“Bukan nak cakap besar tetapi memang tidak pernah terlintas untuk menarik balik. Saya rasa bersalah sangat-sangat ketika dimalukan dengan laporan media tentang kesalahan saya dan perbuatan yang mencoteng arang kepada keluarga.

“Memang sakit untuk menjalani hukuman sebat tetapi lebih sakit lagi apabila saya menyakitkan hati kedua ibu bapa saya,” katanya.

Kartika mengakui bersyukur ketika ditahan pihak berkuasa kerana ia dapat memberi pedoman dan pengajaran besar kepada kehidupannya.

“Saya bukan alkoholik (gila kerja). Terus terang sewaktu ditangkap itu kali kedua saya meneguk minuman itu. Kali pertama di Singapura, kali kedua di sini dan saya terus ditahan. Ini saya anggap sebagai petanda supaya saya terus bertaubat,” katanya.

Kartika bakal ditahan berkuatkuasa 24 Ogos ini bagi tempoh tujuh hari untuk melaksanakan hukuman sebat yang akan dijalankan di Penjara Wanita Kajang, Selangor.

Hukuman untuk sedarkan masyarakat: Shukarno

Sementara itu, bapa Kartika, Shukarno Abdul Mutalib berharap supaya hukuman terhadap anaknya dapat dilakukan secara terbuka kerana ia membabitkan soal kesedaran agama kepada masyarakat.

“Ini adalah kesalahan dia, dan dia mesti berdepan dengannya. Tetapi saya juga berharap bersetuju dengan permintaan Kartika yang mahu ia dilaksanakan di hadapan orang ramai untuk memberi kesedaran.

“Saya bersedia berhadapan dengan orang ramai mengenai kesalahan anak saya dan mungkin ada keciciran agama dari segi didikan kepadanya,” katanya.

Menurut Shukarno, selepas anaknya selesai menjalani hukuman, mereka akan menghantar Kartika ke Mekah untuk menunaikan umrah.

Pada 20 Julai lalu, Kartika dijatuhi hukuman sebatan enam kali dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuantan selepas mengaku bersalah minum arak di sebuah hotel setahun lalu.

Mahkamah turut memerintahkan Kartika Sari Dewi yang kini bekerja di Singapura dan memiliki taraf penduduk tetap negara tersebut menjalani hukuman penjara tiga tahun jika gagal membayar denda.

Dia dituduh di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 kerana meminum arak jenama Tiger Beer di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend Cherating dekat sini kira-kira pukul 11.40 malam, 11 Julai tahun lalu.

Enakmen tersebut turut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun. Pelaksanaan hukuman sebat dibuat mengikut Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002.

Sumber: Sinar Harian

Sila baca juga artikel-artikel di bawah:

1) Malaysian model: No need for Amnesty aid on caning

2) Model insaf, redha disebat

Monday, 13 July 2009

SMIAAG di persada dunia

Sejarah2u merakamkan salam tahniah kepada pasukan debat B.Melayu dan B. Inggeris yang terlibat dalam Pertandingan Debat Antarabangsa anjuran MUSLEH yang telah berlangsung di Hotel Putra pada 9 - 12 Julai yang lepas.

Kejayaan merangkul gelaran johan oleh pasukan debat B.Melayu dan naib johan oleh pasukan debat B.Inggeris dirasakan cukup manis dan memberi reputasi cemerlang kepada institusi pendidikan seperti SMIAAG di peringkat tertinggi.

Kejayaan ini bertambah manis dan bermakna dengan penyertaan sekolah-sekolah terpilih daripada Indonesia, Singapura, Brunei dan Selatan Thailand.

Tahniah kepada pihak penganjur, para pendebat dan semua yang terlibat menjayakan pertandingan berstatus dunia ini. Semoga lebih banyak kejayaan bakal dikecapi oleh pasukan debat SMIAAG pada masa depan. InsyaAllah

Catatan: Teringat penulis ketika mula membentuk pasukan debat di bumi SMIAAG tercinta sekitar tahun 2005..penuh kesederhanaan tapi cekal dan berkobar semangat juang mencipta sejarah demi Al-AMin. Kejayaan hari ini dirasa cukup berbaloi dengan tekad dan pelaburan 'modal insan' yang dibina penuh kesabaran pada masa dahulu. Teruskan perjuangan kalian wahai generasi Al-AMin meski di mana pun kalian berada!

Wednesday, 24 June 2009

Hospital Pantai cipta SEJARAH lahir bayi dalam air

KUALA LUMPUR: Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) mencipta sejarah dengan menjadi hospital pertama di Lembah Klang yang menjalankan kaedah melahir bayi di dalam air.

Bayi pertama yang dilahirkan secara kaedah itu merupakan bayi perempuan seberat 3.6 kiligram (kg) 14 Jun lalu, iaitu bayi kepada pasangan Dinesh dan Joanna Cheryan.

Bayi itu adalah anak ketiga kepada pasangan berkenaan.

"Ia satu lagi kejayaan kepada PHKL dan kami berbangga menjadi hospital pertama di Lembah Klang yang melakukan kelahiran bayi di dalam air," kata Ketua Pegawai Eksekutif PHKL, Tan Suet Guan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kaedah bersalin di dalam air adalah kaedah alternatif di mana si ibu akan berendam di dalam air suam yang bertujuan mengurangkan kesakitan dan memberi keselesaan pada ibu berkenaan semasa melahirkan bayi.

Tan berkata kaedah tersebut masih baru di Malaysia tetapi banyak diamalkan di banyak negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan New Zealand.

"Ia lebih selamat dan selesa serta semula jadi untuk ibu dan bayi," katanya.

Sumber: Bernama

Sunday, 24 May 2009

Juara Liga Juara-Juara Eropah 2009?

Salam Sejarah buat semua pengunjung Sejarah2u yang dihormati.

Posting kali ini khusus buat peminat bola sepak, khususnya di antara penyokong pasukan Manchester United dan Barcelona yang akan bertembung untuk satu kejuaraan berprestij benua Eropah pada 27 Mei hadapan.

Siapakah bakal juaranya nanti?

Manchester United yang dilatih dan diurus oleh Sir Alex Ferguson pastinya ingin mencatat SEJARAH sebagai kelab yang mampu mengekalkan piala tersebut, di samping turut telah menjuarai piala Antara Kelab-kelab Dunia dan Piala Liga Inggeris.


Sementara pasukan Barcelona di bawah pengurusan dan jurulatih Pep Guardiola pastinya berhajat mencipta SEJARAH sebagai kelab Sepanyol pertama yang memenangi tiga piala dalam satu musim setelah memenangi piala La Liga, piala Copa del Rey dan seterusnya piala Liga-Liga Juara Eropah menentang Manchester United pada minggu depan.

Sudah pasti peminat-peminat kedua-dua finalis tersebut tidak akan berganjak untuk menyaksikan kelibat menakjubkan daripada dua ikon kelab-kelab tersebut seperti Christiano Ronaldo dan Lionel Messi, di samping ramai lagi pemain-pemain bintang bertaraf dunia yang bakal turun dalam perlawanan tersebut nanti.

Siapa pun yang bakal muncul juara antara dua kelab ini, sama-samalah kita nantikan kemunculan mereka di Rom, Itali pada 27 Mei depan dengan SEJARAH yang bakal tercipta untuk dunia bola sepak yang tiada sempadannya ini.

Friday, 15 May 2009

Kes Pertama Wabak Influenza A (H1N1) di Malaysia

Seorang pelajar 21 tahun mangsa pertama disahkan positif dijangkiti wabak influenza A(H1N1) atau selesema babi - kes pertama di Malaysia, demikian diumumkan oleh Kementerian Kesihatan hari ini (15/5/09).

"Kementerian ingin memaklumkan mengenai satu kes yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan telah disahkan positif influenza A(H1N1) melalui ujian makmal yang dilakukan hari ini," kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

"Ia merupakan kes yang pertama influenza A(H1N1) dikesan di Malaysia."

Pelajar itu, yang baru pulang dari Amerika Syarikat pada Rabu lalu, mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan semalamdan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama.

"Beliau telah diberi rawatan antivirus dan berada dalam keadaan stabil," kata Dr Mohd Ismail dalam satu kenyataan di laman web rasmi kementerian berkenaan.

Kementerian telah mengambil tindakan pencegahan dan kawalan termasuk penyiasatan perhubungan mangsa dengan orang lain, termasuk ahli keluarganya dan penumpang serta anak kapal penerbangan MH 091 dari Newark, USA yang tiba di lapangan terbang KLIA pada 7.15 pagi kelmarin.

Menurut kenyataan itu lagi, kementerian meminta semua klinik dan hospital swasta agar sentiasa merujuk segera kes-kes mereka yang baru kembali dari negara yang dilanda wabak tersebut dan mengalami gejala-gejala seperti demam dan salah satu daripada gejala berikut - batuk, susah bernafas, sakit badan, sakit kepala atau sakit tekak - ke hospital-hospital rujukan yang telah ditetapkan.

Sila baca lanjut di sini

Wednesday, 1 April 2009

Intipati Laporan Cobbold


" Lebih kurang satu pertiga daripada penduduk setiap buah negeri itu menyokong kuat Malaysia ditubuhkan dengan segera tanpa mengambil berat tentang syarat-syaratnya.

Satu pertiga lagi, menyokong dengan syarat dan jaminan dan akan menguatkan sokongan mereka jika kerajaan menunjukkan sikap bahawa percantuman itu memberi faedah pada mereka.

Baki yang satu pertiga lagi terbahagi kepada dua iaitu mereka yang mahu mencapai kemerdekaan dulu sebelum rancangan Malaysia; dan mereka yang sukakan British memerintah beberapa tahun lagi. Yang betul-betul menentang Malaysia hanya 20 peratus bagi negeri Sarawak".

Sumber: Laporan Suruhanjaya Cobbold, 1962.

Monday, 30 March 2009

Sejarah Penamaan Calon

Salam Sejarah buat semua pengunjung Sejarah2u yang dihormati lagi dikasihi. Suhu politik negara kita agak sedikit 'panas' dengan perkembangan terbaru proses penamaan calon bagi tiga pilihan raya kecil yang akan diadakan serentak pada 7 April depan

Pada 29 Mac lepas, negara kita telah mencipta sejarah penamaan calon paling ramai sejak negara mencapai kemerdekaan iaitu di DUN Bukit Selambau, Kedah bila 15 calon yang akan bertanding telah mengisi borang pencalonan mereka masing-masing.

Selain dua calon yang akan mewakili parti BN dan Keadilan, 13 calon lain akan bertanding untuk tiket bebas.

Bilangan teramai semasa proses penamaan calon tersebut telah berjaya mengatasi rekod sebelum ini, dalam pilihan raya peringkat dewan undangan negeri di Sabah iaitu seramai lapan orang.

Lebih menarik lagi, pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau di Kedah akan turut dijalankan serentak dengan pilihan raya kecil DUN Batang Ai, Sarawak dan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak iaitu pada tarikh 7 April.

Sejarah2u mengucapkan 'Selamat mengundi' kepada para pengundi di keiga-tiga kawasan tersebut ;)

Thursday, 12 March 2009

Salam Kejayaan, Teruskan Perjuangan

Tahniah! dan syabas diucapkan buat semua anak didik tercinta lagi dikasihi yang telah berjaya mencipta SEJARAH dalam keputusan peperiksaan SPM 2008 yang lalu.

Kejayaan gilang gemilang hari ini merupakan hadiah termahal dan sangat bermakna buat semua warga Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak dan para pendokongnya, samada secara langsung mahupun tidak langsung.

Buat anak-anak didik di kelas 5 Salman al-Farisi dan kelas 5 Suhaib ar-Rumi sesi 2008..tiada ungkapan terindah mampu dilafazkan melainkan ustaz sangat gembira kerana telah diberi kesempatan untuk mengenali dan mendidik kalian sehingga dapat berkongsi kegembiraan kecemerlangan ini.

Semoga kejayaan gemilang hari ini dapat diteruskan momentumnya hingga ke peringkat menara gading kelak. InsyaAllah.

Doa dan harapan ustaz agar kalian dapat memanfaatkan segala ilmu yang telah dibekalkan dengan sewajarnya buat umat. Semoga kalian terus berjaya dalam segala lapangan kehidupan..di dunia juga di akhirat. Ameen.

Kalam guru Sejarah:

"Sejarah bukan sekadar dibaca, tetapi difahami dan dihayati bagi membentuk jati diri mulia insani"

"Kegagalan dan ketertewasan anda bukanlah persoalan utama, tetapi kemampuan dan kesungguhan anda merancang untuk mencipta kecemerlangan adalah pokok pangkal segalanya".

Sunday, 1 March 2009

Alia Sabur Cipta SEJARAH Profesor Termuda di Dunia

ALIA Sabur mencatatkan rekod dunia dalam 'Guinnes Book of World Records' apabila menjadi profesor paling muda dengan memegang jawatan berkenaan pada usia 18 tahun 362 hari (Alia lahir pada 22 Februari 1989).

Kedudukan itu membolehkan dia mencipta rekod baru selepas mengatasi ahli matematik Scotland, Colin Maclaurin yang juga pelajar Sir Isaac Newton dengan memegang jawatan berkenaan ketika berusia 19 tahun tujuh bulan iaitu pada tahun 1717.

Alia yang dibesarkan di New York adalah anak pasangan Julie Sabur (kelahiran Iran) dan Mark kini bertugas sebagai profesor sepenuh masa di samping menjalani penyelidikan pembangunan teknologi nano dalam sektor perubatan di Konkuk University di Seoul, Korea Selatan.

Selain mendapat tali pinggang hitam dalam taekwondo seawal usia 9 tahun, Alia juga merupakan calon termuda yang pernah menerima beberapa sijil dan anugerah kehormat daripada Jabatan Pertahanan AS, NASA, GAANN, dan NSF.

Berkongsi pengalaman menjadi ibu kepada anak pintar ini, Julie berkata, kecerdikan anak perempuannya diketahui ketika berusia lapan bulan kerana pada usia berkenaan Alia sudah boleh bertutur dan membaca.

Katanya, dia percaya anak yang baru lahir hingga berusia enam tahun adalah tahap sangat penting dalam perkembangan seseorang anak. Rajinlah membaca kepada anak anda dan galakkan mereka menerokai alam bacaan.

“Luangkan masa untuk menjawab soalannya. Jangan kata, Mak sibuk, Mak tak ada masa. Kalau tidak mengetahui jawapan kepada soalannya, kata padanya, marilah kita ke perpustakaan untuk mencari jawapannya,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Julie berkata, kepintaran luar biasa yang dimiliki Alia menyebabkan anaknya dikecualikan daripada mengikuti pengajian di peringkat asas selama lapan tahun dan seterusnya ditawarkan ke kolej.

Kecerdikan Alia katanya, semakin terserlah apabila dia mampu menyelesaikan permasalahan matematik pada tahap tinggi dan ditawarkan mengikuti program ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik di Stony Brook University, New York pada usia 10 tahun.

“Selain mempunyai kepintaran luar biasa, Alia juga mempunyai kemahiran bermain alat muzik klarinet dan pada usia 10 tahun, anak kecil ini dengan pemain piano terkemuka Ling Lang menjayakan Mozart’s Clarinet Concerto,” katanya.

Menjadi ibu kepada anak cerdik, Julie berkata, dia memberi kebebasan seimbang kepada anaknya sepanjang tempoh kanak-kanak dan remaja kerana baginya, masa yang berharga ketika itu perlu digunakan sepenuhnya dengan bermain dengan rakan sebaya.

Jika dibiarkan Alia terus belajar beliau berkata, dikhuatiri jiwanya akan memberontak dan mengambil keputusan di luar dugaan hingga membinasakan karier dan masa depannya.

Sebelum ini, katanya, dia mengambil pengajaran daripada banyak peristiwa membabitkan anak pintar yang mengalami tekanan perasaan serius disebabkan desakan ibu bapa mahukan mereka memberikan terbaik.

“Tekanan itu menyebabkan mereka mengambil keputusan drastik hingga meragut nyawa dan keadaan ini menyebabkan berlaku pembaziran kerana kepintaran yang ada boleh dieksploitasi dalam membantu memajukan ummah. "

“Walaupun sibuk mengendalikan kajian, Alia kini berkongsi maklumat dan kepakarannya kepada umum di peringkat global dengan menjayakan beberapa siri ceramah antaranya syarahan bertajuk Belajar Secara Berkesan Dalam Memaksimumkan Sesuatu Potensi di Kuala Lumpur, baru-baru ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Saturday, 27 September 2008

Angkasawan China cipta SEJARAH berjalan di angkasa lepas


BEIJING: Angkasawan China, yang menggunakan kapal angkasa Shenzhou VII, mencipta sejarah hari ini apabila berjaya berjalan di angkasa lepas, sambil menerima tepukan bergemuruh daripada berjuta rakyat yang menonton siaran langsung misi itu melalui televisyen.
Ketua penerbangan Zhai Zhigang, terapung di angkasa selama 20 minit, di luar kapsul yang membawanya sebelum itu.

Kejayaan itu, yang menguatkan lagi agenda angkasa lepas China, termasuk untuk membina stesen angkasa lepas menjelang 2020, turut disaksikan Presiden Hu Jintao dan beberapa pegawai kanan Parti Komunis. Sebaik saja keluar daripada pintu berbentuk bulat, Zhai, 42, melambai ke arah kamera yang dipasang pada kapsul berkenaan dan berkata: "Salam sejahtera kepada semua rakyat negara saya dan dunia!"

Dengan keadaan tubuhnya terikat oleh dua utas kabel ke kapsul itu, Zhai mengibarkan bendera China yang dihulur kepadanya oleh angkasawan kedua Liu Boming, yang membantunya dari dalam kapsul itu, sebelum mengumpul sampel bahan yang terlekat di luar kapal angkasa berkenaan untuk tujuan penyelidikan.

Zhai memakai pakaian 10 lapis berharga 30 juta yuan (RM13.7 juta) seberat 120kg, yang digelar "Feitian" (pakaian untuk terbang ke langit). Pakaian buatan China ini mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.

Misi angkasa lepas ini, yang melibatkan tiga angkasawan dan menggunakan bantuan roket Long March 2F, berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di Wilayah Gansu malam kelmarin.
Kapal angkasa berkenaan dijadualkan mendarat di Inner Mongolia esok setelah terlibat dengan perjalanan selama 68 jam, termasuk mengelilingi bumi setiap 90 minit.

Zhai, bekas juruterbang jet pejuang, termasuk dalam senarai mereka yang berpotensi menyertai misi ke angkasa lepas sebanyak dua kali, tetapi tidak terpilih menyertai penerbangan solo pertama pada 2003 dan misi melibatkan dua juruterbang pada 2005.

Kejayaan beliau mendorong China untuk memulakan kerja membina makmal angkasa lepas menjelang 2010 dan mempunyai stesen angkasa lepas sendiri menjelang 2020. China adalah negara ketiga yang menghantar manusia ke angkasa lepas, selepas bekas Soviet Union dan Amerika. Aksi berjalan di angkasa lepas pertama kali dilakukan oleh angkasawan Soviet Alexei Leonov pada 1965.

Sumber: BERNAMA