Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Tuesday 28 July 2009

Minda Sejarah: Ciri-ciri Guru Sejarah Cemerlang

Salam perjuangan buat semua guru Sejarah yang dihormati lagi disegani meski di manapun kalian semua sedang berkhidmat kini demi membangun jiwa anak bangsa agar menjadi insan terpimpin dan memimpin peradaban ke mercu kegemilangan.

Pada kali ini Minda Sejarah akan berkongsi satu tajuk penting ke arah merealisasikan matlamat melahirkan ciri-ciri guru sejarah yang berkesan.

Apakah rasionalnya guru sejarah perlu mempunyai ciri-ciri cemerlang? Jawapannya adalah sangat mudah iaitu seorang murid akan lebih cemerlang jika dibimbing oleh seorang guru yang cemerlang.

Tidaklah bermakna penulis merupakan pencinta dan pembimbing sejarah yang berkesan apatah lagi cemerlang, namun sekadar berkongsi serba sedikit pengalaman diri dan rakan-rakan guru sejarah lain yang telah mencipta kecemerlangan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka.

Guru sejarah berkesan memiliki ciri-ciri personal, profesional, sosial dan interpersonal yang unggul. Selain daripada mendapat latihan yang baik dan berpengalaman dalam mata pelajaran sejarah, guru sejarah berkesan juga mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam merancang kurikulum, mengurus kurikulum dan melaksanakan kurikulum sejarah dengan berkesan dalam pelan tindakan organisasi pembelajaran di sekolah. Pada umumnya seorang guru sejarah berkesan mempunyai ciri-ciri berikut :

(1) Dapat mengembangkan stail, kaedah, pendekatan, strategi pengajaran yang berkesan bagi mencorakkan pembelajaran yang bermakna, memupuk minat dan mengembangkan potensi murid-murid.

(2) Dapat menyusun dan merancang pembelajaran yang mencabar kebolehan murid ke arah pengembangan pemikiran dan menggalakkan murid berfikir secara kritis, analitikal dan kreatif.

(3) Dapat mencorakkan situasi pembelajaran yang menarik dan menjadikan mata pelajaran sejarah relevan, penting dan berguna kepada pembangunan dan perkembangan diri murid.

(4) Mempunyai kebolehan istimewa seperti kebolehan bercerita, berlakon, daya imaginasi, kemahiran berkomunikasi, berjenaka, daya intelektual yang tinggi, disegani dan dihormati murid.

(5) Mempunyai personaliti yang disenangi oleh murid, menjadi pendorong dan 'role model' kepada para pelajar.

(6) Mengamalkan pembelajaran aktif (active learning), mendorong penglibatan aktif murid dan memberi peluang yang luas kepada murid mengembangkan kebolehan dan potensi mereka.

(7) Kreatif dan inovatif, khususnya dari segi pengajaran, pembelajaran, personaliti dan penggunaan pelbagai inivasi media dan teknologi pembelajaran.

(8) Patriotik dan 'Cinta Tuhan', iaitu satu kualiti kebolehan guru sejarah membangkitkan semangat, memupuk kesedaran, menyuburkan idealisme, dan membina wawasan bersama dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah di bilik darjah.

(9) Mempunyai kewibawaan dan karisma sebagai guru dan pemimpin pendidikan yang berkesan dalam pengajaran mata pelajaran sejarah.

(10) Menonjolkan ciri-ciri personal yang berkesan seperti ikhlas, mesra, penyayang, ceria, tenang, berfikiran positif dan terbuka, bijak, bertimbang rasa, bermotivasi tinggi, mempunyai wawasan dan inspirasi serta berkebolehan menjana perubahan dan kemajuan diri murid.

(11) Mempunyai kebolehan berhujjah, kemampuan menjana dan mencetuskan pemikiran aras tinggi, berpengetahuan yang luas, dedikasi terhadap tugas pengajaran, minat dan dorongan profesional bagi memaju dan meningkatkan kualiti pengajaran, semangat berusaha menjadikan diri cemerlang dan pakar bidang yang diajar serta sentiasa berusaha memajukan diri dalam profesion perguruan yang diceburi.

Tuntasnya, kegagalan dan keengganan guru sejarah mengekalkan sifat-sifat guru sejarah yang berkesan, cemerlang dan bermotivasi tinggi boleh memberi impak yang buruk kepada kemajuan dan perubahan pendidikan yang perlu berlaku di peringkat sekolah.

Perlaksanaan kurikulum sejarah di sekolah mungkin tidak berlaku secara dinamik dan progresif sekiranya kurang kesediaan dalam kalangan guru sejarah bagi melaksanakan pembaharuan, selaras dengan perkembangan arus pendidikan semasa.

Faktor-faktor penentu seperti perubahan sikap guru, penguasaan aplikasi inovasi dan teknologi maklumat, latihan dalam pengurusan dan perlaksanaan, memperkenalkan teknik dan strategi baru yang efektif dan mampu dilaksanakan, pemberian insentif kepada guru, pembentukan 'teamwork' dalam organisasi sekolah dan sebagainya perlu diambilkira dalam perlaksanaan pembaharuan dan perubahan ke arah merealisaikan lebih ramai guru sejarah yang mempunyai ciri-ciri guru sejarah cemerlang.

No comments: